Menjadi pemimpin adalah tanggungjawab yang berat. Ia menuntut kita untuk sentiasa menilai diri dan menyoal setakat mana sudah kita berkembang maju.
Saya berani berkata, tidak ada satu hari pun yang berlalu tanpa saya mengambil masa untuk berhenti sejenak dan bersyukur kerana berpeluang memegang jawatan sebagai pemimpin. Cabaran dan rintangan pasti ada. Pada hari-hari tertentu, segala-galanya berjalan lancar, dan ada pula hari-hari lain apabila semuanya terasa perit.
Merenung dan bersyukur
Semasa membuat renungan, saya sentiasa berasa syukur kerana adanya rakan-rakan sekerja yang kuat berusaha untuk mencapai sebuah matlamat yang sangat bermakna dan yang lebih penting daripada kami sendiri.
Komitmen dan dedikasi tanpa mengenal erti lelah ini membuat saya sedar bahawa tidak kira betapa tenat dan peritnya sesuatu cabaran, kami boleh mengatasinya kerana adanya teman yang sentiasa menemani.
Tidak ada yang lebih murni daripada peluang berada di barisan hadapan sebagai pemimpin sebuah pasukan yang berusaha begitu gigih untuk mencapai sebuah visi yang bermakna dan yang bakal memberi impak kepada masa depan bangsa.
Memimpin melalui teladan
Tatkala kita sebagai pemimpin mengharapkan standard tertentu daripada pekerja kita, jawatan yang dipegang ini menuntut kita untuk meletakkan standard yang lebih tinggi untuk diri sendiri.
Sudah biasa kita dengar bahawa pemimpin perlu ‘memimpin melalui teladan’. Maka ini adalah pendorong terbaik untuk kita terus mula menilai diri dengan lebih teliti, membolehkan kita sedar akan kekuatan diri sebagai pemimpin dan aspek yang perlu kita perbaiki dengan jelas.
Kita perlu memperuntukkan suatu tempoh untuk menilai diri dengan kerap supaya kita sentiasa berada dalam landasan yang betul dalam usaha mendayaupayakan tenaga kerja kita untuk mencapai visi dan mewujudkan legasi yang mampan.
Lain pemimpin lain cara menilai diri
Sesetengah pemimpin mungkin melihat kembali minit-minit dalam interaksi harian. Yang lain pula akan menilai diri sekali dalam beberapa bulan dan melihat secara keseluruhan bagaimana mereka memberi impak terhadap kakitangan dan organisasi.
Saya pula lebih suka ajukan soalan pada diri untuk betul-betul memahami maksud sebenar menjadi seorang pemimpin, dengan maklum balas yang menunjukkan takat mana pencapaian saya, manakala orang lain pula membantu memberi penekanan akan aspek yang perlu saya perbaiki.
Ingin saya berkongsi lima soalan yang sering saya ajukan pada diri, dengan harapan ini akan mendorong lebih ramai orang untuk mengamalkan tabiat menilai diri.
Sama ada anda seorang pemimpin atau tidak, soalan-soalan ini boleh membantu anda memantapkan kekuatan diri dan membuat penambahbaikan mengikut keperluan.
Ini akan meningkatkan keupayaan anda untuk memberi khidmat dan manfaat dengan lebih baik kepada diri sendiri dan orang lain.
1. Adakah jawapan kepada soalan ‘Mengapa’ bagi perkara yang sedang saya lakukan sama seperti dahulu?
Walaupun keutamaan, perancangan dan cara sesuatu dilaksanakan berubah dari masa ke masa, sebab utama mengapa anda melakukan sesuatu itu sekarang haruslah menjadi batu asas yang membina segala-galanya. Jika anda merasa mengapa itu sudah tersasar, ini mungkin petanda bahawa anda telah menyimpang, sama ada banyak atau sedikit, dari nilai atau visi. Jika ini yang terjadi, langkah seterusnya adalah bertanya pada diri akan perkara yang perlu anda lakukan dalam jangka masa pendek atau panjang, supaya anda dapat kembali ke pangkal jalan.
2. Bagaimana saya boleh membentuk diri menjadi seorang pemimpin?
Mana-mana pemimpin yang berpendapat mereka sudah ‘arif dalam semua perkara’ apabila mencapai suatu tahap sebenarnya mengundang bencana pada diri sendiri. Apabila sesuatu urusan yang dikendalikan berjalan lancar, anda berrasa seolah-olah sudah tahu semua perkara berkenaan kerja dan industri yang anda ceburi. Ramai orang mudah jatuh dalam perangkap sebegini. Namun seperti mana-mana aspek kehidupan, ada sepak terajangnya. Hanya pemimpin yang sentiasa tangkas, ingin tahu dan terus belajar yang dapat menyesuaikan diri dengan ujian terbesar dan tidak terjangka ini.
3. Adakah saya mudah dihubungi?
Ramai pemimpin mengamalkan ‘polisi terbuka’, iaitu sesiapa sahaja boleh datang berjumpa dan berbual dengan mereka pada bila-bila masa. Ini merupakan permulaan yang baik, namun untuk menjadikan diri mudah dihubungi, ini tidak terhad kepada perjumpaan fizikal sahaja. Kita perlu bertanya soalan seperti: Adakah saya seorang pendengar yang baik? Adakah saya memberi sokongan yang cukup kepada kakitangan saya? Adakah saya berusaha untuk menunjukkan penghargaan dengan ikhlas atas sumbangan mereka? Adakah saya mengambil kira saranan dan idea orang lain seperti yang saya fikirkan?
4. Adakah maklum balas yang saya peroleh itu mencukupi?
Salah satu tindakan paling berani yang boleh dilaksanakan seseorang pemimpin adalah mendapatkan maklum balas yang jujur dan membina berkenaan prestasinya. Ini boleh dilakukan sama ada secara formal dalam kumpulan, atau secara santai melalui perbualan bersemuka sambil minum kopi. Apa pun pilihan anda, pemimpin lebih memerlukan maklum balas berbanding orang lain kerana kita lebih mudah menerima komen positif daripada orang lain, sama ada yang ikhlas atau sebaliknya. Dengan ini, para pemimpin perlu lebih giat mendapatkan cadangan berkenaan aspek yang boleh ditambahbaikkan. Ini mungkin menyebabkan ego anda tercalar, namun seperti kata pepatah, Tak Sakit Tak Dapat Apa-Apa, ini sememangnya cara yang terbaik dalam memastikan seseorang pemimpin terus berkembang.
5. Jika saya salah seorang daripada pekerja, berapa markah yang akan saya beri pada diri – dan apa sebabnya?
Menilai diri adalah kerja yang rumit memandangkan ada macam-macam pendirian berat sebelah yang kita jadikan sebagai mekanisme penghadang untuk menolak kritikan. Untuk memperoleh kebolehan mengesan pandangan yang jujur tentang diri, ini merupakan kemahiran yang diasah masa demi masa. Bagi melancarkan proses ini, saya suka meletakkan diri di tempat rakan sekerja seorang demi seorang, dan cuba memberi markah pada diri dari sudut pandang mereka, sejujur yang mungkin. Dari sini, jika ada apa-apa isu, saya akan ajukan soalan pada diri tentang sebab sesuatu masalah itu timbul dan cara untuk menanganinya. Dengan pendekatan sebegini, saya dapat berusaha membina hubungan yang terbaik dengan semua orang yang bekerja bersama saya.