“Sesiapa yang berhenti belajar adalah tua, tidak kira dia berusia 20 atau 80. Sesiapa yang terus belajar kekal muda.” — Henry Ford
Selepas saya berucap pada suatu acara tidak berapa lama dahulu, seorang graduan baharu tampil untuk berterima kasih kepada saya. Katanya, saya telah memberi inspirasi kepadanya untuk meneruskan cita-citanya dalam membina kerjaya yang hebat. Ketaksubannya adalah dalam teknologi baharu.
“Dengan ijazah yang saya ada kini, saya boleh fokus kepada membina kerjaya saya tanpa perlu risau tentang pengajian lagi,” katanya dengan begitu yakin sekali. Saya terperanjat dan bertanya sama ada dia pasti dia tidak akan kembali belajar. “Ya,” katanya, “saya merancang untuk memberi fokus sepenuhnya kepada rancangan kerjaya saya.”
Berusia awal 20-an, siswazah ini percaya bahawa majlis konvokesyen menandakan tamatnya persaingan pendidikan sebaik sahaja ijazah bertukar tangan.
Sama seperti rakan seperjuangannya yang lain, graduan ini berniat untuk mencipta nama di pentas dunia tetapi mempunyai pandangan yang salah bahawa segala-galanya selesai dengan adanya ijazah di dalam tangan.
Sepertimana yang diketahui oleh sesiapa jua yang pernah memulakan bisnes atau projek, atau menerima kenaikan pangkat, pendidikan kolej hanyalah permulaan – kolej mengajar pelajar-pelajar cara belajar. Terma ‘pendidikan yang lengkap’ langsung tidak wujud kerana pembelajaran adalah proses sepanjang hayat.
Dalam perbualan ringkas bersama graduan muda yang berkeyakinan tinggi ini, saya menerangkan kepadanya bahawa semua pemimpin hebat yang disebutnya percaya kepada satu perkara – pembelajaran sepanjang hayat. Sebabnya cuma satu iaitu segala-galanya berubah.
Ekonomi, pasaran, keperluan kemahiran, teknologi, permintaan industri — ini semua adalah beberapa aspek kehidupan yang sentiasa berkembang. Permintaan dan keperluan hari ini akan berubah dalam masa lima tahun, dan mungkin menjadi lewah 10 tahun dari sekarang.
Apabila saya teringatkan Warren Buffet, saya pasti akan berasa kagum. Bagi seorang lelaki berusia pertengahan 80-an dan bernilai lebih AS$60 bilion, anda mungkin fikir yang dia kini sedang bersantai di pulau mewah dan bersuka-ria. Paling tidak pun, kita mungkin mengangap bahawa dia tidak perlu belajar, bukan begitu? Sebenarnya tidak.
Walaupun pada usia sedemikian dan mempunyai harta yang melimpah-ruah, Buffett terus membaca beberapa jam setiap hari untuk mengikuti perkembangan berita, trend dan perkembangan semasa, serta apa yang berlaku di dalam perniagaannya.
Jika seseorang seperti Warren Buffett percaya bahawa pembelajaran sepanjang hayat mempunyai nilai yang mengagumkan, siapalah kita untuk menidakkannya?
Hasrat untuk terus belajar, untuk menemukan idea dan konsep baharu serta memikirkan cara mengaplikasikannya untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau memenuhi keperluan, ini semua akan membantu minda kita kekal aktif dan tajam.
Kita tidak akan pernah menemukan saat dan ketika di mana kita akan berasa lengkap di dalam kehidupan ini, kerana ada sahaja perkara baharu yang akan kita terokai tentang dunia sekeliling kita.
Saya sentiasa menghargai perkembangan pengetahuan serta persefahaman, dan mempunyai set minda yang menghala ke arah pembelajaran berterusan yang membuka banyak peluang. Walau bagaimanapun, pembelajaran sepanjang hayat bukan hanya menaikkan peluang kejayaan semata-mata.
Berikut adalah apa yang saya telah temukan selama beberapa tahun ini:
1. Pembelajaran membantu kita menemukan nyala rasa kita
Segelintir daripada kita tidak sukar mencari nyala rasa kita, tetapi bagi kebanyakan orang, mereka terpaksa melakukan eksplorasi dan belajar tentang bidang yang diminati. Lebih banyak kita membaca, lebih ramai orang yang kita kenali di luar kelompok kita. Dan lebih banyak topik yang kita kupas, lebih banyak peluang kita berjumpa dengan perkara yang betul-betul merangsang daya kreatif dan perasaan ingin tahu kita.
2. Pembelajaran memberi kita erti makna dan tujuan
Apabila kita berkembang dalam pembelajaran kita, kita akan menjadi lebih sedar, lebih memahami dan menghargai kehidupan serta apa yang boleh kita sumbangkan. Sekiranya kita tetap di zon selesa, kita mungkin menjadi berpuas hati atau rasa yang nilai kita tidak berkembang.
Tetapi jika kita mengembangkan minda untuk mencuba sesuatu yang baharu, kita akan dihadiahi potensi baharu dan kesedaran yang kita boleh sentiasa menyumbang kepada masyarakat dalam pelbagai cara yang berharga.
3. Pembelajaran membolehkan kita menyesuaikan diri serta berubah
Manusia telah mencapai perkembangan sehingga kini kerana kebolehannya menyelesaikan masalah dan menyesuaikan diri dengan perubahan. Di zaman moden ini, kemajuan di segenap aspek kehidupan bergerak begitu pantas sekali. Cara kita menyaingi kadar perubahan itu hanyalah melalui pembelajaran.
Sungguhpun ketakutan melanda diri, kita sebenarnya lebih berupaya untuk menyesuaikan diri dengan idea, teknologi dan persekitaran baharu – lihat sahaja pada generasi lebih tua yang berjaya menguasai telefon pintar, tablet dan komputer riba.
4. Pembelajaran menjadikan dunia tempat yang lebih baik untuk semua
Fikirkan tentang kemajuan sosial serta perubatan, bagaimana teknologi telah merubah cara kita berkomunikasi dan memahami sesama sendiri. Tentulah, dunia kita belum sempurna, banyak lagi yang belum diterokai – tetapi jika kita lihat pada kemajuan yang telah kita perolehi sepanjang dekad dan abad yang terdahulu, dunia kita lebih selesa atas usaha kita untuk belajar dan teroka.
Tingkah laku serta pandangan berkembang dengan pembelajaran, dan lebih banyak kita memahami dunia kita yang bernuansa, kita akan menjadi lebih efektif dalam menangani masalah-masalah yang melanda.