Bayi amat memerlukan ibu mereka pada bulan-bulan pertama kehidupannya.
Jadi, apabila Noor Farilla Abdullah terpaksa meninggalkan bayi lelakinya yang berusia tujuh bulan untuk ke Indonesia bagi urusan projek integrasi penggabungan yang dikendalikannya, itu adalah perkara yang paling sukar untuk dilakukukannya.
“Saya pulang hanya pada hujung minggu… Saya terfikir untuk berhenti kerja tetapi saya memujuk hati dengan berkata yang ini hanya buat sementara.
“Saya berharap dan berdoa agar apa yang terjadi dalam kehidupan bayi masa tersebut tidak akan mempengaruhi kehidupannya selepas itu.”
Kisah tersebut menonjolkan kesukaran yang terpaksa dihadapi kaum ibu yang bekerja.
Selari dengan perkembangan budaya, kaum wanita kini mempunyai pilihan karier yang pelbagai dan ada juga yang menjadi pemimpin.
Menurut laporan Hays 2017, manakala kaum lelaki masih memegang 80% daripada jawatan tinggi serta yang berperingkat pengurus di Asia, Malaysia pula merekodkan peratusan tertinggi pemimpin wanita, iaitu sebanyak 24%.
Kerajaan Malaysia dan syarikat-syarikat swasta semakin mengiktiraf pemimpin wanita seperti yang dilakukan oleh 30% kelab di Malaysia yang menggalakkan keanggotaan pemimpin wanita dalam lembaga pengarah syarikat.
Walaupun begitu industri-industri tertentu seperti pengangkutan masih mengekalkan kuasa pimpinan kepada kaum lelaki.
Jadi bagaimana seorang wanita dapat bertapak dalam industri ini dan memecahkan stigma yang wanita tidak akan berjaya melakukan kerja lelaki?
Leaderonomics bercakap kepada dua pemimpin wanita dari Touch ‘n Go untuk lebih memahami perjalanan kepimpinan mereka dalam industri ini.
Noor Farilla Abdullah, 41
Sebelum bertugas di Touch ‘n Go, Farilla pernah bekerja sebagai konsultan yang menyelia projek kompleks di Accenture, dan sebagai pengurus program yang mengendalikan projek strategik berskala besar serta integrasi penggabungan di CIMB.
Apabila CIMB menjadi syarikat induk kepada Touch ‘n Go, dia dipinjamkan untuk memangku jawatan ketua kewangan pada tahun 2013.
Dua tahun kemudian, dia dilantik menjadi ketua pegawai operasi (COO) dan bertanggungjawab menyelaras seluruh operasi Touch ‘n Go yang mempunyai 450 pekerja.
Farilla mengakui bahawa dia ”terpaksa bertungkus-lumus semasa tahun-tahun awal kerjayanya” sehingga mencecah peringkat ini yang memberinya lebih fleksibiliti dan pasukan pekerja yang kuat.
Apabila dia mula bekerja di syarikat ini, dia dihujani dengan pelbagai isu yang memerlukan perhatian serta-merta dan penyelesaian strategik, jadi banyak kerja perlu dilakukan untuk mengatasi masalah-masalah itu.
“Saya sukakan cabaran. Terdapat banyak peluang untuk membuat perubahan dan berinovasi,” kata Farilla dengan nada teruja.
Selain mengurus operasi, Farilla juga menyelia perkembangan produk baharu dan bekerja bersama kerajaan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas. Kedua-dua ini adalah faktor pemangkin kepada perkembangan perniagaan. Bagaimana dia melakukannya?
Berusaha menjadi efektif
“Ya, ini adalah industri yang dikuasai kaum lelaki, tetapi ia tidak bermakna yang wanita tidak boleh menjadi efektif,” Farilla tekankan.
Salah satu perkara penting yang dipelajari sepanjang kariernya adalah bagaimana menjadi efektif dalam apa jua situasi.
“Kita perlu menerima hakikat bahawa setiap orang ada kekuatan dan kelemahan masing-masing, tidak kira lelaki atau wanita.”
Soalan yang perlu ditanya, kata Farilla, adalah bagaimana kita memanfaatkan sumber-sumber dan infrastruktur di sekeliling kita untuk menjadi efektif?
Jika kekuatan sesuatu pasukan tidak sesuai bagi situasi tertentu, cari pasukan lain yang mempunyai kombinasi kekuatan yang boleh menyelesaikan sesuatu permasalahan, nasihat Farilla.
Logik lawan perasaan
Kajian mencadangkan bahawa mencari keseimbangan antara logik dan perasaan adalah penting apabila kita berbicara mengenai pujukan dan pengaruh.
Kata Farilla, “Selalunya menjadi efektif adalah menjadi logikal, tetapi pada masa yang lain ia lebih cenderung kepada menjadi bersemangat dan bersungguh-sungguh.
“Sebagai pemimpin, anda perlukan kedua-duanya untuk mempengaruhi pengikut.
“Saya masih belajar untuk mengimbangi kedua-duanya. Kadang-kadang saya keluar dari mesyuarat tanpa mendapat apa yang saya inginkan,” katanya disulami dengan gelak ketawa.
Tiada yang kekal
Tahun demi tahun, tanpa mengira fasa hidup yang sebagaimana Farilla telah belajar menerima kenyataan bahawa tiada apa yang kekal. Setiap halangan, projek dan inisiatif akan tetap sampai ke penghujungnya.
“Ada kalanya anda terpaksa memberi lebih perhatian kepada pekerjaan anda dan pada masa lain, kepada keluarga anda. Andalah yang berkuasa untuk menentukan bagaimana mengurus perkara-perkara tersebut,” kata ibu kepada dua orang anak.
Asma Hanim Ahmad Marikan, 38
Asma memulakan tugas sebagai Ketua Projek Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di Touch ‘n Go sejak tahun 2016. Projek ini dipacu oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan memerlukan kolaborasi rapat bersama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya. Ia berfokus pada usaha mencari penyelesaian inovatif bagi meningkatkan pengalaman pemandu.
Berbekalkan pengalaman 15 tahun dalam bidang IT dan pengurusan projek, tidak menghairankan sama sekali apabila Asma dipertanggungjawabkan dengan projek strategik seperti ini.
Untuk mendapat penghormatan daripada rakan sekerja bukanlah mudah, kata Asma, terutamanya jika anda pemimpin yang muda dalam lapangan yang dikuasai kaum lelaki yang matang seperti industri lebuh raya dan tol.
Tidak cukup dengan cabaran itu, satu lagi kesukaran ialah mengimbangi keluarga dan pekerjaan yang mendesak, kata ibu kepada dua orang anak.
“Ia bukan mudah… anak-anak amat tulus. Mereka akan bertanya, ‘Mama, kenapa balik lewat sangat?’ Kadang-kadang ia sungguh menyedihkan,” kata Asma.
Buktikan kemampuan
“Anda harus membuktikan kemampuan anda menerusi pengetahuan yang ada, apa yang anda katakan dan bagaimana anda katakannya,” kata Asma.
Katanya, mempunyai jawatan sebagai ketua bukan menjadikan anda seorang pemimpin secara automatik. Anda mesti membuktikan kemampuan anda terlebih dahulu sebelum anda akan dihormati orang lain.
Sistem sokongan yang utuh
Tentang mengimbangi keluarga dan kerja, Asma menekankan kepentingan mempunyai sistem sokongan yang baik.
“Ia tidak mudah bagi seorang wanita untuk melepaskan tanggungjawab kepada keluarga pada saat karier mereka menuntut lebih perhatian. Anda mesti mempunyai sokongan. Saya beruntung kerana mempunyai sokongan seperti itu daripada keluarga saya.”
Kehebatan dan visi pemimpin
Sebagai seorang profesional IT, Asma menganggap fintech (teknologi kewangan) sebagai bidang yang amat mengujakan. Memandangkan Touch ‘n Go beroperasi dalam lapangan yang serupa dan amat mementingkan inovasi, ini menjadikan Asma tertarik untuk bekerja di syarikat ini.
Selain itu, Asma yakin dan kagum dengan kehebatan dan visi pemimpin syarikat kerana “bukan calang-calang orang yang dapat mendorong syarikat ke hala tuju yang diingini”.
“Anda perlukan kepantasan dan daya inovasi untuk menceburi dan bersaing dalam bidang ini,” kata Asma.
Kemahiran berkomunikasi
Projek yang sedang diketuai Asma adalah projek nasional yang memerlukan rundingan dengan pihak berkepentingan dari luar seperti agensi-agensi kerajaan dan beberapa entiti korporat.
Dia perlu mendapatkan persetujuan dan sokongan beberapa individu dari bahagian lain di dalam syarikatnya tentang idea serta perancangannya.
Ini bukan suatu tugas yang mudah kerana para pekerja akan bertanya jika projek itu akan memanfaatkan mereka, impak projek itu terhadap mereka atau sebaliknya.
“Jadi, saya terpaksa meyakinkan mereka di samping mengajar serta berkomunikasi dengan cara yang betul. Ini adalah antara kemahiran baharu yang saya perlu pelajari.”
Mentor yang baik
“Anda perlu ada mentor yang baik untuk berjaya,” nasihat Asma.
Akan tetapi, sebelum mencari mentor, anda perlu menilai kekuatan dan kelemahan diri sendiri. Dan janganlah mengehadkan diri kepada seorang mentor sahaja kerana individu yang berbeza mempunyai kekuatan dalam bidang yang berbeza, katanya.
Kuncinya adalah dengan memerhati dan melihat bagaimana seseorang individu itu boleh membimbing anda.
Akhir kata
Biasanya, kaum ibu yang bekerja lebih perlu mengimbangi tugas mereka berbanding kaum lelaki. Namun, ini tidak bermakna yang mereka tidak boleh berada di ‘meja perundingan’. Hujah ini dinyatakan Sheryl Sandberg, Ketua Pegawai Operasi Facebook dalam video TED Talk pada tahun 2010.
Program pementoran, kefleksibelan dan latihan penting untuk membolehkan kaum wanita menjadi pemimpin. Tetapi jika anda tidak bekerja keras untuk mencari keseimbangan antara kerja dan keluarga, dan jika anda tidak mengambil peluang yang diberikan (dan tidak mencuba), anda mungkin akan terlepas kenaikan pangkat itu.
Seperti yang ditunjukkan wanita-wanita ini, segalanya pun mungkin.
Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.