Cetuskan Kepimpinan Yang Unggul

Oct 27, 2017 1 Minit
buku, kemimpinan
Apakah Yang Mendorong Kejayaan Pepimpin-Pemimpin?

Pada tahun 2008, saya sering berkunjung ke rumah bekas Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman di Bukit Tunku. Pada masa itu, harta tanah itu dimiliki Kumpulan Media The STAR. Banyak perbincangan yang menarik mengambil tempat di situ.

Saya teringat dengan jelas pagi 6 Disember 2008 semasa saya melangkah melalui estet itu, saya kembali terkenang bahawa Perdana Menteri kita yang pertama sudah 18 tahun meninggalkan kita. Saya juga mengimbau pemimpin hebat yang lain seperti Mahatma Gandhi, Nelson Mandela serta tokoh perniagaan seperti Jack Welch dan Howard Schultz. Beberapa persoalan mula menjengah fikiran, tertanya-tanya sejak bila dan apakah yang mendorong kejayaan kepimpinan mereka.

Titik permulaan kepimpinan 

Hampir setiap pemimpin yang saya temui dan selidiki menapak langkah dalam perjalanan kepimpinan semenjak dari kecil lagi.

Ibu Richard Branson memupuk sifat kepimpinan pada anaknya semasa Branson berusia lima tahun, dengan meninggalkannya beberapa batu jauhnya dari rumah dan menyuruhnya mencari jalan pulang sendiri.  Ibu Jack Welch memainkan peranan yang besar dalam membangunkan kepimpinannya dari awal. Begitu juga kisahnya dengan Perdana Menteri Malaysia yang pertama; pembelajaran kepimpinan awal Tunku diterapkan sejak zaman kanak-kanaknya lagi.

Pada tahun 2005, kajian DDI mendapati bahawa 90% daripada ketua eksekutif dan anggota lembaga pengarah mempunyai sekurang-kurangnya dua peranan kepimpinan seperti ketua pengawas, pengawas atau kapten sukan semasa di bangku sekolah.

Sebuah kajian yang dilaksanakan oleh Institute of Leadership Management (ILM) (Institut Pengurusan Kepimpinan) merumuskan bahawa ramai bakal pemimpin mula menonjol diri sejak dari kecil lagi melalui latihan kepimpinan dari awal.

Ketua Pegawai Eksekutif ILM, Kim Parish, menjelaskan bahawa “kajian ini menunjukkan bahawa manusia terdidik dengan kepimpinan sejak dari kecil. Aktiviti-aktiviti seperti pengakap, pandu puteri atau menjadi wakil pasukan sekolah sebenarnya melengkapi anak muda dengan kemahiran seperti semangat berpasukan, membina cita-cita, membentuk matlamat berpasukan dan kualiti lain yang dikaitkan dengan kepimpinan yang mantap.”

Undian tersebut merumuskan bahawa tanggungjawab yang dipegang di sekolah merupakan petunjuk yang paling penting bagi seorang bakal pemimpin yang bagus – dan kelayakan akademik pula terlalu dipuja-puja.

Saya pasti kita semua sependapat bahawa ilmu kepimpinan yang dipelajari semasa kanak-kanak membantu menyemai benih cita-cita kepimpinan dalam setiap pemimpin. Namun, selain aktif dalam aktiviti luar kurikulum, apakah yang menjadi pendorong kepimpinan?

Pendorong kepimpinan

Masih banyak yang perlu dipelajari dan diterokai berkenaan pembangunan kepimpinan awal kanak-kanak, tetapi penyelidik seperti Angela Duckworth, David Levin dan Dominic Randolph menganjurkan bahawa kebanyakan pemimpin yang hebat berada dalam kedudukan sekarang hasil daripada cara mereka membangunkan ‘karakter’ masing-masing.  

Kebanyakan daripada kita akan melamun memikirkan dan bersetuju bahawa pembangunan karakter kepimpinan seseorang, termasuklah nilai pegangan, itu amat penting. Namun, ini sahaja tidak akan membawa kejayaan. Kita semua memang ketahui bahawa terdapat ramai belia yang biarpun tiada cacat cela dalam karakter, mengalami kesukaran memperhebat tahap kepimpinan masing-masing.  

Para penyelidik menerangkan bahawa terdapat dua jenis karakter — karakter moral dan karakter prestasi. Karakter moral sudah tidak asing bagi kita kerana terdapat banyak program untuk mengasah nilai-nilai etika seperti kasih sayang, murah hati, rendah hati, integriti dan ciri-ciri keibuan yang lain.

Karakter prestasi pula berbeza. Dan mereka yang akhirnya menjadi pemimpin yang hebat, merupakan insan yang membangunkan karakter moral bersama-sama karakter prestasi.

Karakter prestasi

Jadi, apakah itu karakter prestasi? Karakter prestasi juga merupakan nilai-nilai tetapi ia melibatkan nilai seperti rasa ingin tahu, ketabahan, kegigihan dan ketekunan. Malah, sebuah buku yang penuh hikmah bertajuk How Children Succeed (Bagaimana Anak-anak Boleh Berjaya) oleh Paul Tough menyatakan bahawa terdapat tujuh nilai karakter prestasi yang penting untuk memperoleh kejayaan iaitu:

  • Keazaman
  • Kawalan kendiri
  • Keghairahan
  • Kecerdasan sosial
  • Berterima kasih
  • Optimis
  • Ingin tahu

Menurut Tough, dua sebab utama kanak-kanak boleh berjaya adalah berpunca daripada kebolehan mempertingkatkan keazaman dan sifat ingin tahu semasa mereka kecil.

Apabila kita meneliti kebanyakan ketua perniagaan, kita mendapati bahawa hampir setiap seorang membina rasa ingin tahu yang mendalam sejak zaman kanak-kanak lagi. Branson suka meneroka dan bereksperimen. Benjamin Franklin pula suka bertanya.

Kebanyakan pemimpin hebat juga mula membentuk kegigihan dan ketekadan yang mendalam sejak dari kecil lagi. Mereka mampu menghadapi rintangan untuk merealisasikan matlamat mereka. Walaupun pada umumnya mereka tidak menerima apa-apa ganjaran, keteguhan hati mereka begitu terserlah.

Jelas, ciri-ciri karakter prestasi ini, ditambah pula dengan karakter moral, bakal menjadi pendorong awal yang sangat kuat dalam pembangunan kepimpinan. Namun, masih terdapat satu lagi elemen yang saya percaya dapat menyempurnakan triniti pendorong awal kepimpinan. Ini merupakan bahagian yang penting dalam kepimpinan, iaitu visi.

Pendorong yang mencetuskan

Setiap pemimpin yang hebat mempunyai visi yang jelas – mampu membawa pengikut mereka menuju ke destinasi yang baharu.

Banyak buku yang mengisahkan cara untuk membangunkan visi. Namun dalam kebanyakan kes, visi yang tertanam yang meluapkan api semangat pengikut tidak tercetus daripada seseorang pemimpin dalam masa sehari sahaja, tetapi dibina merentasi suatu tempoh.

Pengalaman Gandhi dilayan dengan teruk di Afrika Selatan menjadi titik tolak dalam visinya untuk membebaskan India. Pengalaman perit yang dialami Howard Schultz apabila melihat bapanya dilayan dengan teruk oleh majikan membuatkan Schultz menetapkan visi untuk Starbucks.

Anda akan menemui kisah yang lebih kurang sama bagi kebanyakan usahawan dan pemimpin. Pengalaman mereka semasa muda, terutamanya yang memeritkan, membantu mereka membangunkan visi perubahan.

Apabila visi ini ditetapkan dan dimaklumkan, visi ini menjadi pencetus yang terus menyalakan api cita-cita. Sebuah visi yang menarik dan menyemarakkan semangat akan sentiasa menjadi cetusan yang menghidupkan sesebuah kebangkitan. Jadi, bagaimana boleh kita sebatikan cara membangunkan visi dalam diri?

Bagaimana visi dibentuk? 

Menurut kebanyakan pemimpin yang telah kami selidiki, kami dapat melihat suatu contoh yang jelas. Kebanyakan pemimpin memulakan proses membentuk visi apabila berhadapan dengan saat ‘genting’ dalam hidup, yang membuatkan mereka kecewa dan tercari-cari ‘jawapan’ bagi merungkai sesuatu persoalan. Dalam penjelajahan mencari jawapan, mereka selalunya meluangkan masa berseorangan atau memencilkan diri. Dalam tempoh memencilkan diri ini, mereka akhirnya sedar akan ‘visi’ untuk organisasi mereka.

Steve Jobs menghabiskan masa bertahun-tahun di India sebelum menubuhkan Apple. Begitu juga dengan kebanyakan ketua perniagaan dan pemimpin politik seperti Gandhi (termasuklah pemimpin yang ‘jahat’ seperti Hitler), yang meluangkan masa dalam penjara dan bersendirian apabila visi mereka dibentuk.

Karakter moral penting juga 

Karakter prestasi dengan visi sahaja sangat berbahaya. Ramai kanak-kanak yang memiliki karakter prestasi yang dibangunkan tanpa karakter moral akhirnya membesar menjadi seperti diktator Austria iaitu Adolph Hitler. Karakter moral adalah pendorong kepimpinan yang penting juga.

Hitler mempelajari tentang keazaman, kawalan kendiri dan sifat ingin tahu. Lebih penting, dia meluangkan masa secara bersendirian (dalam penjara!) dan membangunkan visi yang jelas untuk bangsanya. Namun hakikatnya, Hitler tidak ada kompas moral untuk membimbingnya. Jiwanya tandus dengan pembangunan karakter moral selama ini. Akhirnya dia menjadi contoh pemimpin yang paling teruk dalam sejarah.

Akhir kata

Bak kata pujangga, seluruh masyarakat kampung bertanggungjawab untuk membesarkan seorang kanak-kanak, maka segenap masyarakat diperlukan untuk menghasilkan seorang pemimpin.

Dalam membentuk sifat kepimpinan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa dan guru memainkan peranan yang penting untuk menyemai bukan sahaja karakter moral, tetapi perlu juga memupuk dan mengukuhkan karakter prestasi sejak dari kecil.

Maka bagi kita yang bukan lagi kanak-kanak tetapi sudah mencecah umur 20-an, 30-an atau mungkin lebih tua dari itu, apakah yang harus kita lakukan? Masihkah ada sinar harapan untuk kita?

Fakta yang patut kita sematkan adalah 95% daripada diri kita pada masa ini adalah dibentuk melalui pembelajaran. Ini bermaksud apa jua usia kita, 95% daripada diri kita boleh diubah. Kajian juga menyatakan bahawa kita masih boleh mempertingkatkan kebolehan otak dan kemahiran kepimpinan kita. Ini bermakna jika kita berusaha membangunkan karakter moral dan prestasi, kita masih berpeluang menggembleng pengalaman untuk membina visi.

Visi kita untuk membina masa hadapan yang lebih baik bakal menjadi pencetus yang mendorong kepimpinan dizahirkan melalui tindakan. Jadi, sama ada anda seorang ibu atau bapa, guru atau pemimpin korporat, anda hendaklah melibatkan diri dengan mendorong cetusan perubahan atau membantu anak muda belajar tentang kepimpinan.

Tiger Woods, Jack Welch dan Richard Branson diterapkan dengan benih keunggulan oleh ibu bapa mereka; Helen Keller pula memanfaatkan guru-gurunya dalam memperkasa kemahirannya dalam memimpin.

Jadi, ambil masa anda untuk ‘menjadi seorang pemimpin’ atau bantulah orang lain untuk menggapai potensi mereka menjadi pemimpin, seperti yang sudah tertulis dalam suratan takdir.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Triggers That Enable You To Become A Great Leader.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Ketenangan

Tips Produktiviti: Petua Mencari Ketenangan Saat Kesukaran

Oleh Hazeem Mahayadin. Hidup di dunia ini tak selalunya indah. Kita tentunya menjalani pelbagai kesukaran dalam hari-hari yang kita tempuhi.

Aug 27, 2024 1 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Akui Kesilapan Di Tempat Kerja: 10 Cara Terbaik

Kita tidak boleh lari dari kesilapan. Biarpun naluri kita akan lazimnya mempertahankan diri tetapi sekiranya kita bersalah, akuilah kesilapan itu. Tontoni video TOP 10 untuk belajar cara-cara mengakui kesilapan di tempat kerja.

Aug 09, 2017 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest