Gunakan Realiti Maya Untuk Melatih Pekerja

Sep 05, 2017 5 Minit
kereta api

Penciptaan enjin stim merupakan salah satu pencapaian terhebat dalam revolusi industri pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19. Kereta api lokomotif pertama yang dibina pada tahun 1804 menggegarkan dunia kerana ia telah memungkinkan pengangkutan kargo besar merentasi jarak yang jauh.

Dua ratus tahun telah berlalu dan dunia sekali lagi dikejutkan, kini dengan revolusi industri keempat (Industri 4.0). Pengkomputeran berasaskan awan dan zaman digital giat berjalan lancar. Dunia kini lebih dekat antara satu sama lain dan komunikasi pantas sudah menjadi suatu kebiasaan.

Namun, dengan adanya semua hasil inovasi sebegini, yang tetap konsisten adalah kereta api.

Generasi jurutera masa hadapan

Dua setengah abad yang lalu, landasan kereta api pertama dibina sebelum enjin pertama dihidupkan dengan arang batu yang dicangkup ke lubang api yang menyala-nyala. Kini, dunia lokomotif telah berubah dengan wujudnya kereta api tanpa pemandu dan masa perjalanan yang amat tepat. Ini telah meningkatkan perhubungan di kebanyakan negara maju.

Perkembangan laluan Transit Aliran Massa (MRT) yang baharu di Kuala Lumpur menjadi bualan ramai, apabila kawasan pinggir bandar baharu dan bandar kini boleh diakses melalui pengangkutan awam. Dengan adanya kemajuan teknologi, muncul pula cabaran baharu. Tenaga kerja berkemahiran tinggi sangat diperlukan.

Bagi menangangi isu ini, Akademi Rel Asia (Asian Rail Academy, ARA) telah dilancarkan untuk melatih, meningkatkan kemahiran dan melatih semula pekerja dalam industri ini selain segerombolan pekerja teknik dan jurutera yang bakal menyertai industri ini.

Memandangkan dunia kini sudah memasuki era digital, latihan dalam kelas yang biasa diadakan sudah tidak berapa relevan. Sebaliknya, ARA akan mula menggunakan simulasi realiti maya yang terkini.

“Pembelajaran kini lebih berfokus pada penglibatan aktif daripada yang bersifat pasif,” kata Maran Chandaraja, Ketua Pegawai Operasi ARA.

“Akademi Rel Asia akan menggunakan platform realiti maya (VR) untuk mendayaupayakan tenaga kerja digital dalam industri ini. Dengan menggunakan VR, kami mengubah cara melaksanakan latihan.”

Dirangka supaya seringkas dan sepraktikal mungkin, platform pembelajaran digital direka dengan mengambil kira mereka yang takut dan tidak sukakan teknologi. Sistem ini dihasilkan oleh pembangun perisian Pauley. Ia menggunakan kaedah gamifikasi untuk membolehkan pengguna membiasakan diri dengan pembelajaran cara ini.

Dari kiri: KPE TDA Datuk Zailani Safari; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (polisi dan antarabangsa) Amir Omar; Pesuruhjaya Tinggi British Vicki Treadell; KPE ARA RA Thiagaraja; KPE PSMB Datuk CM Vignaesvaran; dan Walpole.

Dengan menggunakan alat dengar Oculus Rift, pelajar dapat membuat gambaran dan berinteraksi dengan komponen kereta api dalam persekitaran 3D. Mereka kemudiannya akan mampu membiasakan diri dengan perincian berkenaan cara kereta api berfungsi, mendiagnosis kerosakan, menyelenggara peralatan dan menyempurnakan kemahiran melalui persekitaran pembelajaran yang selamat dan efektif.

ARA turut bekerjasama dengan salah sebuah organisasi perkhidmatan teknikal yang terkemuka di dunia, iaitu TÜV SÜD dari Jerman dalam menyediakan program pensijilan keselamatan kereta api, sama ada untuk kereta api konvensional mahupun yang berkelajuan tinggi, termasuklah metro dan transit aliran ringan.

Pensijilan antarabangsa

Bagi menyediakan tenaga kerja lokomotif yang bertaraf dunia di Malaysia, ARA bekerjasama dengan Akademi Latihan Rel Kebangsaan (National Training Academy for Rail, NTAR) United Kingdom (UK) untuk menyampaikan program pensijilan bertaraf antarabangsa.

Jika sebelum ini pekerja syarikat kereta api di Malaysia dilatih mengikut program latihan yang dibangunkan dalam negara, kini pensijilan antarabangsa NTAR akan memastikan Malaysia mampu bersaing dalam pasaran global.

“Malaysia telah membuat tinjauan terhadap semua negara yang terbaik dalam program pembangunan kereta api dan mencari-cari contoh yang wajar kita pelajari,”  kata Maran.

“Ideanya adalah untuk meniru setepat-tepatnya apa yang dilakukan NTAR di UK. Selama ini, terdapat beberapa program yang dikendalikan dalam negara oleh syarikat tempatan, namun kini kita boleh melengkapkan latihan tersebut dengan program pensijilan dari UK yang mula ditawarkan di Malaysia.”

Negara UK telah lama diakui sebagai peneraju inovasi dalam industri kereta api, dengan rangkaian kereta api meluas yang menghubungkan setiap pelosok kawasan dalam negara. Program latihan UK, yang sememangnya disegani negara lain, kini mula menembusi pasaran antarabangsa.

“Sebelum ini perwakilan dari negara lain pernah ke NTAR untuk menjalani latihan tetapi kami tidak pernah bekerjasama dengan syarikat dari luar negara untuk menawarkan perkhidmatan kami,” kata Jennifer Walpole, Ketua Pembangunan Perniagaan di NTAR.

“Kami sangat bangga ARA telah meneliti sistem kereta api Britain dan menyatakan ‘inilah yang kami mahukan’. Kami bukan sahaja menjual produk kepada Malaysia kemudian cabut lari; sebaliknya kami akan membantu dalam pelaksanaannya dan menolong memperkembangkan teknologi ini mengikut keperluan. Kami mahu tenaga kerja Malaysia menepati standard global.”

Kemahiran pekerja Malaysia ke luar negara 

Melalui kerjasama dengan penyedia latihan kereta api yang terkemuka di dunia, ARA mampu menawarkan penyelesaian bertaraf dunia kepada sesiapa yang ingin menceburi industri ini, namun Maran telah menetapkan matlamatnya lebih jauh ke hadapan.

“Kami mahu mendayaupayakan tenaga kerja kami untuk mampu bekerja, bukan sahaja di Malaysia, tetapi boleh membawa kemahiran tersebut memasuki negara-negara lain,” katanya.

“Jika syarikat kereta api di Malaysia mahu melaksanakan sesuatu projek, contohnya di Abu Dhabi, Arab Saudi atau negara ASEAN lain, mereka boleh menghantar pekerja bertauliah yang memenuhi standard antarabangsa bagi projek tersebut.”

“Ini bagus bagi sesiapa yang ingin menceburi industri ini; mereka bakal memperoleh pendedahan antarabangsa, selain meletakkan Malaysia ke persada global sebagai pakar rujukan dalam bidang ini.”

Ini merupakan sebahagian daripada persetujuan antara NTAR dan ARA, iaitu membantu menawarkan pensijilan bertaraf dunia dan memastikan Malaysia menjadi negara rujukan dalam bidang ini di rantau ini. Seperti yang dikatakan Walpole, matlamatnya adalah untuk menaikkan Malaysia menjadi pemain industri yang berdaya saing melalui ilmu berharga yang ditawarkan NTAR.  

Katanya, “Pengiktirafan antarabangsa yang diperoleh nyata membanggakan kami. Apa yang kami mahukan ialah Malaysia melakukan perkara yang sama seperti yang telah kami laksanakan di UK.”

Memenuhi keperluan pekerjaan

Menurut Agensi Depositori Teknologi (TDA), iaitu bahagian pemantauan teknologi di bawah penyeliaan Kementerian Kewangan, buat masa sekarang, terdapat seramai 16,700 tenaga kerja dalam industri kereta api di Malaysia. Angka ini dijangka meningkat kepada 68,000 pada tahun 2021 apabila MRT dan beberapa laluan baharu dilancarkan, disertai penyedia perkhidmatan baharu beberapa tahun lagi.

Inilah sebabnya industri kereta api semakin menjadi tumpuan utama. Ini jugalah sebabnya ARA ditubuhkan.  

“Dari segi latihan, bekalan tenaga kerja adalah sentiasa selaras dengan permintaan industri,” tambah Maran.

“Dengan lambakan kerja baharu yang akan wujud melalui industri kereta api, kami mahu menangani jurang ini dengan menawarkan pensijilan antarabangsa yang berprestij seperti ini.”

“Strategi kami adalah melatih mereka yang bekerja dalam industri ini terlebih dahulu. Selanjutnya kami akan menghulurkan bantuan kepada pendatang baharu secara beransur-ansur, sama ada siswazah yang baru saja tamat pengajian atau sesiapa sahaja dari bidang lain yang berhasrat menceburi industri ini.”

Pada pendapat Walpole, latihan ini penting untuk kelangsungan dan keselamatan bukan sahaja untuk pekerja dalam industri ini, tetapi juga  pengguna kereta api harian yang bergantung pada rangkaian kereta api di Kuala Lumpur yang semakin berkembang.

“Kami tidak berurusan dengan kereta api yang terlambat. Kami meneliti kerja keselamatan yang amat kritikal dalam menjamin keselamatan nyawa orang ramai,” katanya.

 

Jika anda bercadang untuk mengubah hala tuju karier dengan menceburi dunia rel yang penuh dinamik atau mahu belajar dengan lebih mendalam berkenaan Akademi Rel Asia, layarilah asianrail.com.my.  Untuk membaca artikel in dalam bahasa Inggeris, klik Using Virtual Reality To Train The Next Generation.

 

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

kejururawatan, peluang kerja, impian

Kejururawatan, Kerjaya Yang Penuh Dengan Peluang Terbuka

Kejururawatan bukanlah kerjaya yang buntu, yang tiada masa hadapan. Semuanya tertakluk kepada ikhtiar dan impian masing-masing, kata Dr. Rohani Arshad.

Nov 15, 2017 7 Minit

Jadilah Pembaca Leader’s Digest