Atasi 'Had 4 Minit' Anda

Sep 07, 2017 6 Minit
trek lari, stadium
Melakukan Perkara Yang Msutahil

Pada Sukan Olimpik 2012 di London, seorang lelaki tua bernama Sir Roger Bannister menjadi salah seorang pembawa obor. Pada umur 83 tahun, Roger merupakan antara pakar neurologi terbaik di Britain, dan dianggap sebagai atlit terhebat negara itu. Walaupun tidak pernah memenangi pingat Olimpik tetapi beliau dianggap sebagai orang yang membuatkan kita percaya bahawa tiada yang mustahil untuk dicapai.

Pada Sukan Olimpik 1952 di Helsinki, Roger telah mencipta rekod British dalam acara 1,500 meter. Malangnya, penuntut perubatan berumur 23 tahun itu hanya memenangi tempat keempat dan tidak mendapat pingat. Ia merupakan penghinaan kepada beliau, tetapi telah mendorongnya untuk mencuba perkara yang tidak pernah dilakukan oleh sesiapa sebelum itu iaitu berlari satu batu di bawah empat minit dua tahun kemudian.  

Selama berkurun lamanya, manusia berfikiran bahawa ia adalah mustahil untuk berlari satu batu di bawah empat minit. Malah, para doktor dan saintis merumuskan bahawa tubuh badan manusia akan berkecai dan boleh membawa maut. Dunia juga bersetuju dengan pendapat itu. Kecuali Roger. Sistem kepercayaannya tidak seiring dengan sesiapa.

Sebagai penuntut perubatan, Roger amat memahami tentang fisiologi dan komposisi tubuh manusia. Beliau juga seorang pelari yang hebat dan tahu akan had diri. Beliau tahu jika beliau ingin memecahkan rekod berlari satu batu di bawah empat minit itu, beliau memerlukan perancangan dan strategi yang jitu.

Roger mula berlatih untuk mencapai matlamatnya tetapi beliau menerima banyak kritikan. Orang sekelilingnya mempersendakan tindakannya tetapi ia tidak menghalangnya. Beliau mula menggunakan kaedah latihan yang tidak konvensional.  Ini mengundang lebih banyak kutukan. Walaupun begitu, Roger tidak berganjak daripada matlamatnya. Kepercayaan diri beliau amat kuat.

Artikel berkaitan: Cekal Hati Capai Kejayaan

Melakukan yang mustahil

Pada malam 6 Mei 1954 yang dingin, Roger memulakan perjalanan ke balapan yang terletak di Jalan Iffley di Oxford. Itulah tempatnya Roger akan berusaha memecahkan rekod itu, diselubungi suasana angin lintang yang kuat, hujan, cuaca sejuk dan balapan sinder yang lencun serta licin. Ia ternyata keadaan yang tidak ideal.

Perlumbaan bermula. Roger menamatkan satu pusingan dalam masa 57.5 saat. Beliau terus berlari dengan pecutan yang sama untuk dua pusingan seterusnya, mencatatkan masa 1:58.2 dan 3:00.7. Satu lagi pusingan. Bolehkah beliau menghabiskan larian ini di bawah empat minit?

Penonton menggelengkan kepala. Mustahil! Beliau akan jatuh keletihan. Dua orang pelari yang mengikutinya jatuh tersepuk dalam pusingan kedua dan ketiga. Secara tiba-tiba, dengan berbaki 300 ela, Roger memecut pantas dengan sepenuh tenaga sehingga pengsan sejenak tatkala sampai ke garisan penamat.  

Penonton menanti pengumuman rasmi. Mereka percaya yang beliau tidak berjaya. Akhirnya pengumuman yang dinanti-nantikan kedengaran melalui pembesar suara: “Dengan masa tiga minit lima puluh sembilan perpuluhan empat saat, ini adalah rekod balapan baharu, dan, tertakluk kepada pengesahan, adalah rekod baharu anak kelahiran Britain, warganegara Britain, terbuka Britain, Eropah, Empayar British, dan dunia.”

Roger telah berjaya melakukan perkara yang mustahil. Dalam masa setahun selepas memecahkan rekod dunia itu, 37 pelari lain juga berjaya melakukan larian satu batu di bawah empat minit. Dan tahun berikutnya, 300 pelari lagi berjaya melakukannya. Sepanjang 6000 tahun sejarah manusia, tiada sesiapa dapat melakukan larian satu batu di bawah empat minit tetapi setelah Roger berjaya melakukannya, ramai pula yang berkemampuan membuatnya. 

Bagaimana ini terjadi?

Ia tidak ada kena-mengena dengan latihan atau balapan yang lebih baik atau atlit yang berkemahiran lebih tinggi. Ia berbalik kepada sistem kepercayaan yang berurat berakar dalam minda atlit-atlit ini. Saat Roger menunjukkan yang kejayaannya tidak mustahil, semua orang percaya ia tidak mustahil.

Tiada kuasa pengarahan lebih dominan dalam perlakuan manusia daripada kepercayaan. Kepercayaan anda mempunyai kuasa untuk mencipta atau memusnahkan. Dan kepercayaan ini disimpan dalam mata minda di dalam sistem yang saya panggil BS –sistem kepercayaan diri!

Sistem kepercayaan diri

Sistem kepercayaan anda dibentuk semenjak zaman kanak-kanak melalui cara asuhan dan pengalaman hidup. Ia adalah set ajaran yang menentukan cara pemikiran, pertuturan dan perlakuan anda. Jika anda percaya yang sesuatu perkara itu mustahil dilakukan, anda langsung tidak akan mencubanya.

Artikel berkaitan: Atasi Halangan, Tiada Yang Mustahil!

Hingga ke hari ini, terdapat banyak kepercayaan yang membataskan kemajuan kita. Kebanyakan ibu bapa percaya yang kejayaan hanya akan dapat dicapai melalui pekerjaan yang stabil seperti doktor, peguam, jurutera atau akauntan. Mereka kemudiannya memaksa anak-anak mereka untuk mengejar karier tersebut tanpa mengambil kira minat mereka. Ini hanya akan menyebabkan prestasi mereka menjadi buruk.   

Sistem kepercayaan menentukan kejayaan sesuatu perniagaan. Jack Welch, yang dianugerahi gelaran ‘Pengurus Abad Ini’ oleh majalah Fortune, berkata

“apabila kita membuat mereka percaya yang apa yang mereka fikir dan buat adalah penting – kemudian kita biarkan mereka membuatnya, itu adalah asas kepada daya saing yang bebas daripada kongkongan tradisi”.

Beliau telah berjaya merangsang pekerjanya membuat yang terbaik dengan mempengaruhi sistem kepercayaan mereka. Salah satu caranya ialah dengan memberitahu mereka bahawa kerja mereka adalah sangat penting.

Anda mangsa sistem kepercayaan sendiri?

Ahli falsafah Britain Stephen Law menggambarkan sesetengah sistem kepercayaan sebagai “omong kosong” kerana mereka “menarik orang masuk dan menawan mereka supaya menjadi hamba yang rela… jika anda terperangkap di dalamnya, ia akan menjadi sukar untuk berfikir secara waras semula”.

Kita sering kali terperangkap di dalam sistem kepercayaan kita sendiri tanpa menyedari kita menjadi hambanya. Terdapat banyak  contoh sistem kepercayaan organisasi yang memerangkap syarikat-syarikat dan membantutkan pertumbuhan mereka.

Bertahun-tahun lamanya, IBM dan penjual semula perkakasan komputer tradisional percaya yang komputer tidak boleh dijual secara dalam talian. Dell telah memecahkan kepercayaan itu. Sama seperti Netflix yang membuktikan kepada Blockbuster Videos bahawa kini terdapat cara baharu menyewa video.

Selama bertahun-tahun, produser muzik percaya bahawa satu-satunya cara mendapat nilai dan untung dalam penjualan muzik adalah melalui CD dan DVD. Jadi, apabila muncul rangkaian P2P seperti e-Mule dan e-Donkey yang membenarkan muzik dimuat turun secara percuma, produser muzik terus menyaman dengan harapan rangkaian-rangkaian ini gulung tikar. Tetapi yang sebaliknya berlaku; lebih banyak halaman yang muncul.  Mereka tetap berpegang dengan kepercayaan mereka sehingga Apple memutuskan untuk mempergunakan halaman P2P tersebut dan membuat untung melalui iTunes.

Melanggar pantang larang

Kebanyakan daripada kita telah terbiasa dengan cara kita. Industri kita terlampau takut dengan perubahan.

Apabila ada seorang ‘Roger’ muncul dan membuat perubahan dalam industri, secara tiba-tiba ada yang mengikut. Sebagai contoh, sebelum kehadiran Apple dalam industri telekomunikasi dan muzik, kebanyakan pemain setia dengan norma dan kepercayaan industri. Perkara yang sama berlaku kepada Syarikat Penerbangan Southwest dalam bisnes penerbangan, Nirvana dalam industri ‘hartanah’ dan Starbucks dalam perniagaan kafe. Mereka ini seperti Roger, memecahkan sistem kepercayaan dalam industri masing-masing.

Kepercayaan kita selalu menahan diri kita daripada membuat sesuatu dan mengehadkan kemajuan kita. Jadi, apa lagi kepercayaan lain yang membataskan kemajuan kita? Antaranya ialah:  

Saya tiada bakat untuk buat ini.

Saya tak boleh berubah. Inilah cara saya.

Saya dilahirkan tanpa bakat.

Saya haruslah realistik.

Sederhana itu OK.

Dia selalu lebih beruntung daripada saya.

Siapa yang saya nak tipu? Saya bukan siapa-siapa.

Mereka berjaya kerana sudah bertahun-tahun melakukannya. 

Saya tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang diperlukan untuk berjaya.

Sepertimana kita mempunyai kepercayaan yang terhad terhadap diri sendiri, kita juga mungkin mempunyai kepercayaan yang sama tentang orang lain, dan ini menyekatkan kita dalam banyak cara. Jika kita lihat seseorang yang duduk bersendirian, kita mungkin berfikir yang dia tidak peramah dan kita mungkin tidak akan meminta bantuan daripadanya. Jika kita berfikir orang lain lebih berkebolehan dan lebih tinggi kedudukannya, kita tidak akan mencabar mereka.

Mengatasi kepercayaan diri yang menggagalkan

Berikut adalah beberapa langkah untuk membantu anda membentuk semula sistem kepercayaan anda:

  • Kenal pasti kepercayaan yang menggagalkan dalam hidup anda, yang boleh menggelincirkan anda daripada matlamat hidup. Kaji semula kepercayaan ini dan mula perasan bila ia muncul dalam hidup anda.
  • Kenal pasti situasi spesifik yang mencetuskan kepercayaan ini.
  • Mulakan proses mengubah sistem kepercayaan anda. Lakukannya dalam tiga bidang ini:
    • Ubah bahasa yang digunakan. Berhenti menggunakan “Saya tak boleh buat ini” kepada “ya, saya boleh”.
    • Ubah fisiologi anda. Bangun dan bergerak bila anda rasa ada kepercayaan yang menyekat anda. Melompat dan bergerak adalah tindakan yang berkuasa untuk mengganggu corak pemikiran.
    • Ubah fokus anda. Berhenti memikirkan betapa hebatnya lawan anda atau betapa anda tidak layak. Sebaliknya, fokus pada matlamat akhir.
  • Selalu ingatkan diri sendiri bahawa anda boleh mengatasi apa segala jenis halangan untuk mencapai matlamat tidak kira bagaimana susahnya cabaran tersebut. Ingat, berlari satu batu di bawah 4 minit bukanlah cabaran fizikal sebenarnya, tetapi mental.

Akhir kata 

Kejayaan tidak dapat dicapai hanya dengan kepercayaan. Kejayaan cemerlang hanya boleh dicapai melalui kerja kuat, perancangan, kepimpinan dan latihan, tetapi tanpa api kepercayaan diri, ramai yang terkandas akhirnya.

Roger berlatih dengan kuat, membuat strategi dan berlari pantas. Tetapi jika sistem kepercayaannya mengatakan yang ia adalah mustahil, beliau mungkin tidak akan dapat mencapai kecemerlangan. Kita selalu berkompromi dengan matlamat kita dengan mengada-adakan sistem kepercayaan yang membantutkan dan membuatkan kita takut. Hanya kita sendiri yang boleh mengubahnya.

Apakah perkara dalam hidup anda yang ingin dilakukan tetapi semua orang mengatakan yang ia mustahil? Entah-entah, anda pun berfikiran sama seperti mereka. Mungkin ia adalah matlamat yang anda telah putus asa, atau sasaran yang tidak dapat dicapai. Mungkin anda fikir ia mustahil untuk memberi nafas baharu kepada perniagaan anda atau memberi inspirasi kepada pekerja anda?

Tidak kira apa halangan ‘4 minit’ anda, anda boleh mula merancang dan berusaha mencapainya jika sistem kepercayaan anda diubah. Jadi, mulakan dengan mengubah kepercayaan anda daripada berkata “Saya tidak boleh mencari penyelesaian” kepada “Saya boleh.” Dalam satu temu bual Roger telah ditanya pendapatnya tentang had kebolehan kita untuk memecahkan rekod dari segi fisiologi. Jawapannya “Tiada had langsung.”

Perkara yang sama boleh diguna pakai ke atas diri kita. Tiada had untuk kita mencapai selagi kita percaya kita boleh lakukannya.

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik It is all about BS!

Sila Kongsi

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Toksik

Cara Menangani Bos yang Toksik

Ditulis oleh Manfred F.R. Kets de Vries. Tangani bos toksik: Strategi untuk memulihkan kesihatan mental anda dan berjaya di tempat kerja!

Jun 26, 2024 5 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Barang yang Lepas Jangan Dikenang

Tip Kepimpinan adalah satu rancangan hebat yang mendorong anda untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa. Tontonilah sekarang dan jadilah seorang pemimpin yang hikmat.

Mar 02, 2018 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest