Makcik Dan Budak Yang Tak Ada Resume (Kemas Kini)

Sep 09, 2017 7 Minit
pameran, jerayawara

Aku terbitkan kiriman di Facebook (FB) kira-kira jam 1.00 petang pada 30 Ogos. Dalam masa seminggu, lebih 10,000 orang ‘suka’ kiriman itu dan lebih 5,000 orang ‘kongsi’ di halaman masing-masing. Beberapa saluran media lain turut menyiarkan cerita itu.

Sementara ramai membaca cerita itu buat kali pertama, Ketua Urusetia Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Puan Hajah Norashikin Ismail, telah mula berusaha mencari budak tersebut. Dalam masa beberapa jam, beliau berjaya menghubunginya.

Sehari kemudian, pada Hari Kemerdekaan (31 Ogos), beliau dengan teamnya berkunjung ke rumah makcik. Objektif mereka? Untuk mengetahui sendiri keadaan kewangan keluarga itu, dan untuk membantu Hafiz mendapat kerja.

Secara jujurnya, sebagai penulis, aku selalu bimbang akan kesahihan laporan saya.
 

“Adakah aku ingat dengan betul semua informasi yang diberi?
“Adakah aku terlalu menghebohkan sesuatu supaya cerita itu lebih sensasional?
“Adakah aku menyebar berita palsu?

Soalan-soalan inilah yang melayang-layang dalam kepala aku ketika menulis cerita makcik. Kebenaran akan terdedah apabila team SL1M turun padang untuk bertemu mereka.

Aku sedar aku telah mempersembahkan Hafiz dan keadaan ibunya sebagai amat sukar sekali. Apabila Puan Hajah bercakap dengan aku  selepas lawatan mereka, aku mendapati keadaan mereka lebih teruk lagi. Kanser yang dihidapi makcik adalah sekurang-kurangnya pada tahap 2, dan anaknya lebih “istimewa” daripada yang kita anggap sebelum ini.

Berita baik, pihak Kementerian Sumber Manusia akan berusaha untuk melatih dan memberinya sokongan. Pelannya ialah membantu Hafiz memulakan perniagaan kecil menjual burger. Saya berharap ini akan berhasil untuknya.

Siapa tahu? Anda mungkin membaca lebih banyak lagi tentang Hafiz dan emaknya yang sungguh mengkagumkan pada hari-hari akan datang. Minat media massa sungguh hebat, banyak liputan media telah dibuat, dan banyak lagi dalam perancangan.

Tetapi mungkin yang lebih menakjubkan bagi saya adalah melihat anda semua yang ingin membantu. Sungguh gembira sekali melihat begitu ramai yang menawarkan doa, bantuan, dan juga tawaran pekerjaan. Sesungguhnya, rakyat Malaysia benar-benar berhati pemberi. Seperti yang mereka katakan, iman dalam kemanusiaan (dan semangat rakyat Malaysia yang sejati) kembali semula.

Akhirnya, aku bersyukur bahawa sesuatu yang aku tulis telah menyentuh begitu ramai orang, dan mencetuskan tindakan yang mungkin mengubah kehidupan keluarga itu. 

Ada di antara kita yang dipanggil untuk menjadi penulis, tetapi mungkin setakat itu yang boleh kita buat. Ada di antara kita yang mempunyai pengaruh yang besar, tetapi mungkin tidak mampu meluangkan banyak masa.  Dan sesetengah daripada kita fikir kita tidak boleh berbuat banyak, tetapi mungkin ‘suka’ dan ‘kongsi’  kita pada kiriman media sosial dapat membantu.

Mungkin bersama-sama, kita terdaya mengubah masa depan sesebuah keluarga.

Tak kira bagaimana kisah ini menyentuh anda, aku mengucapkan terima kasih kerana anda memainkan peranan membangkitkan negara Malaysia yang lebih baik. Aku berharap anda akan terus berbuat demikian.

Moga-moga Tuhan memberkati anda sekalian!!


Dua minggu yang lepas, aku telah ke Melaka bersama-sama team Kampus Leaderonomics untuk menjalankan Klinik CV (curriculum vitae) sebagai sebahagian daripada jerayawara Skim Latihan 1Malaysia (SL1M). Tujuan “klinik” ini adalah untuk menyemak resume graduan muda dan memberi tip menambah baik lagi resume mereka, secara percuma.

Kerja menyemak CV dan memberi tip amat meletihkan; kalangan kami bercakap tidak habis-habis dengan lebih 50 orang sehari hinggakan ada di antara kami yang sakit tekak. Tetapi kami gembira sebab dapat menolong graduan muda ini. Kadang-kadang ada juga muncul cerita sukses, cerita gembira, yang lucu malah yang sedih pun ada.

Di sini aku ingin berkongsi pengalaman dari sesi di Melaka yang cukup menyentuh hati hinggakan membuatkan aku hampir menangis.

***

Masa itu sekitar waktu makan tengah hari. Maka tidak ada ramai pengunjung ke booth.  Hanya tinggal aku dan seorang teman kerja yang tengah duduk di booth sebelah. Jadi, dia tidak nampak apa yang berlaku.

Seorang pemuda kurus yang memakai kemeja-T “Lejen” (biar kita panggilnya “Hafiz”, bukan nama betulnya) berjalan masuk ke booth kami, diikuti seorang makcik berbaju kurung sekitar usia 50 tahun atau lebih.

Kalau anda belum tahu, biar aku beritahu di sini — perekrut memang pantang tengok pemuda datang bersama-sama emak dan bapa ke interviu. Tetapi aku sudah biasa dengan hal ini. Aku pun tidak kisah selagi si pencari kerja itu yang mengambil inisiatif.  Kalau emak dan bapa hendak membaca suratkhabar di tempat menunggu, biarkan sahaja. Tetapi makcik ini terus duduk di hadapan saya, di sebelah anaknya.

***

“Di sini boleh buat resume ya?” tanya Hafiz.

“Oh, maaf! Di sini kami hanya tolong semak saja. Kalau adik ada bawa resume, aku boleh tolong.”

“Oh… mereka beritahu boleh buat di sini…” jawab makcik. 

“Minta maaf, makcik, di sini memang kami tolong semak saja. Tetapi mungkin aku boleh tolong ajar macam mana nak tulis resume. Kemudian nanti, adik boleh sambung di rumah.” 

***

Hafiz dan makcik tidak membantah. Aku pun terus merujuk kepada skrip “Menulis Resume Yang Bagus”. Contoh resume yang aku gunakan adalah dalam bahasa Inggeris. Hafiz nampak macam tidak mengerti sangat. Aku pun cuba menggunakan kata-kata yang mudah kerana tidak mahu dia hilang tumpuan. Cepat-cepat aku habis bahagian ini, supaya boleh teruskan ke bahagian soal jawab.

“Hafiz belajar kursus apa di universiti?”, tanya aku.

“Hafiz tak habis belajar, nak. Dia sampai PMR saja. Makcik suruh dia habiskan SPM, tapi dia malas.”, jawab makcik.

Ini fenomena yang aku namakan “saat malukan”. Inilah masanya orang tersayang (biasanya si wanita) akan menggunakan peluang untuk memberi nasihat tajam kepada yang disayangi di hadapan lelaki lain yang dianggap “bijak”. Oleh kerana peranan kerja aku sekarang memerlukan aku memberi nasihat kepada yang muda, hal ini selalu berlaku di hadapan saya. Aku memang benci dan kekok dalam situasi semaca ini.

Aku jangka Hafiz akan membantah tetapi agak mengejutkan, dia terdiam sahaja. Aku mula sedar yang peri laku budak ini ada yang lain sedikit. Pada masa ini juga, aku sedar Hafiz sedang menggigil; agak teruk juga. Sampai makcik terpaksa memegang tangannya.

“Sejuk ke?” aku tanya.

“Ah ah… masa kami datang tadi, hujan lebat,” jawab makcik

“Macam mana datang tadi?” aku tanya lagi.

“Naik motor, nak,” jelas makcik.

Rasa hormat aku terhadap makcik melambung tinggi. Tetapi aku tertanya-tanya sama ada makcik terlalu manjakan Hafiz sebab banyak sangat cuba menolong. Aku tahu… makcik ini hustler sifatnya, cepat bertindak, tetapi adakah sebab makcik ini, Hafiz lembap sangat?

Artikel berkaitan: Menulis CV Yang Hebat

“Okay, nanti Hafiz sambung buat resume sendiri dekat rumah, ya?” kata aku, sambil memandang tajam terhadapnya yang sepatutnya lebih pandai bertindak untuk diri.

“Boleh abang tolong buatkan, tak?” Hafiz tanya.

Aku bengang. Sesiapa yang berhadapan dengan bakal pelanggan akan sedar apabila tiba masa perbincangan itu tidak akan ke mana-mana. Membazir masa sahaja. Masa ini sepatutnya diluangkan untuk klien yang penting, dan bukan untuk mereka yang sia-sia. Kalau tidak, rugilah. Membazir sahaja kos peluang!

“Takpe, mak tuliskan. Tak susah sangat pun. Tulis nama, alamat, sekolah saja kan…”

Pemikiran aku yang telah melayang ditarik balik oleh suara makcik ke situasi sebenar. Aku tengok makcik sudah keluarkan kertas A4 dan mula menulis resume anaknya dengan menggunakan pen.

“Makcik, untuk syarikat-syarikat di sini, semua resume kena ditulis dengan komputer dan kemudian dicetak,”  aku membantah. “Lagipun, majikan-majikan di sini perlukan sekurang-kurangnya kelayakan diploma atau ijazah.”

“Tak apa, tak susah sangat pun,” makcik menoleh kepada saya. “Makcik dah tanya tadi… Syarikat ABC cakap boleh. Tapi kena hantar resume. Mereka cakap di sini boleh buat.”

Kepercayaan boleh menjadi kenyataan. Aku menyerah dan terus menolong mereka menyediakan resume.

Apabila sampai ke bahagian “aktiviti ko-kurikulum”, aku bertanya:: “Makcik, Hafiz pernah terlibat dalam apa-apa aktiviti ko-korikulum, tak? Macam sukan…?”

“Dia pernah bermain bola untuk negeri Melaka. Untuk pelajar istimewa.”

Aku terdiam kerana terpaksa mengambil masa sejenak untuk memikirkan apa sebenarnya maksud “istimewa”. Semuanya mula masuk akal sekarang. Makcik habis menyiapkan esume anaknya, dan meletakkan pen di meja..

Aku menyemak hasil kerjanya; resume paling hodoh yang pernah aku nampak. Dan juga yang paling indah.

*** 

Tapi misi kami belum siap lagi. Takkan aku hendak membiarkan resume yang disemak Leaderonomics macam itu sahaja. Aku pun membawa Makcik dan Hafiz ke booth jiran di mana kami boleh menggunakan khidmat komputer dan mesin cetak, serta boleh mengambil foto pasport supaya resume itu betul-betul lengkap dan sempurna. Bersama-sama kami menyempurnakan misi makcik.

Apabila Hafiz sibuk mengambil foto pasportnya, aku mengambil peluang bertanya makcik kenapa dia begitu sibuk menguruskan hal Hafiz.

“Makcik masih lagi kerja ke?” aku tanya.

“Oh tak, dulu makcik berniaga, tapi sekarang makcik dah berhenti sebab ada kanser,” makcik jawab dengan penuh tenang. Aku terkejut dan ingat terdengar salah.

“Makcik ada apa?” tanya aku, masih dalam keadaan tidak percaya.

“Makcik ada kanser ovari,” jawabnya tanpa emosi. Aku masih tidak boleh menerima jawapannya.

“Oh, tapi Makcik dah sihat, kan? Sebab boleh bawa Hafiz datang sini?”

“Tak, sebenarnya dah merebak ke hati. Tapi makcik tabahkan diri. Dan fikir positif. Sebab nak teruskan perjalanan hidup ni.”

Aku sebak, tidak tahu hendak kata apa lagi. Aku terus menolong makcik dan Hafiz menyempurnakan misi mereka pada hari itu. Aku harap itu secukupnya.

Semoga Tuhan memberkati makcik dan anak makcik, si Hafiz.

*** 

Aku tahu kemungkinan besar aku tidak akan berjumpa mereka lagi. Jadi, aku sedar  aku perlu menulis cerita ini. Mungkin cerita ini ada pengajaran untuk sesiapa yang tengah melalui masa yang susah. Mungkin ia boleh memberi semangat kepada anda, seperti ia memberikan aku semangat.

Jadi, kalau anda tengah mengalami kesusahan hidup sekarang; kalau anda ada bos yang berperangai semacam setan; kalau klien anda menghentak meja semasa bercakap dengan anda; kalau anda berasa macam anda susah sangat hendak berjaya dalam hidup, …

Aku hendak memberitahu anda bahawa dalam dunia ini, ada seorang ibu yang menghidapi kanser, yang sanggup membawa anak istimewanya menaiki motosikal dalam hujan lebat untuk berjuang merebut peluang dalam dunia yang dia langsung tidak memahami dan yang anaknya langsung tiada kelayakan.

Ibu itu melawan kesejukan tanpa rungutan, tidak menerima “tidak”, dan terus melakukan sedaya upaya untuk yang dipercayai dan dicintainya.

“Kalaulah makcik ini boleh tabahkan diri dan berfikiran positif, mungkin anda pun boleh.”

 

Cerita ini tersiar buat kali pertama di sini.Aaron Tang ialah ketua Bahagian Kampus di Leaderonomics. Dia juga ialah pengasas mr-stingy.com.

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Label

Perkara yang Boleh Dilakukan oleh Label Tersuai Untuk Jenama Anda

Oleh Bryce Fisher. Teruskan membaca untuk mengetahui kelebihan penting label tersuai, ia dapat membantu anda meningkatkan keterlihatan jenama anda dan membina pengikut pelanggan yang setia.

Jul 05, 2023 4 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Barang yang Lepas Jangan Dikenang

Tip Kepimpinan adalah satu rancangan hebat yang mendorong anda untuk menjadi seorang pemimpin yang berwibawa. Tontonilah sekarang dan jadilah seorang pemimpin yang hikmat.

Mar 02, 2018 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest