Yang Pentingnya Garis Penamat, Bukan Permulaan

Nov 09, 2018 5 Minit
garis penamat

Pada 16 Ogos 2009, rekod kelajuan kaki dicatat ketika Kejohanan Dunia di Berlin, Jerman oleh Usain Bolt. Kelajuannya direkodkan pada kadar menakjubkan iaitu 44.7km/jam, diukur di antara titik 60 dan 80 meter ketika acara pecut 100m.

Kadar puratanya, selama 9.58 saat yang diambil untuk memenangi perlumbaan itu, adalah lebih perlahan pada 37.58km/jam. Bandingkannya dengan kelajuan lari purata lelaki biasa (lebih kurang 13km/jam), dan ‘Petir Bolt’ masih tiga kali lebih pantas.

Saya ingin memberi perhatian khusus kepada kelajuan Bolt kerana beliau bukanlah pemula terpantas sepanjang kariernya. Seperti kata-kata Bolt sendiri:

Ada ramai lagi yang bermula lebih baik daripada saya tetapi saya penamat yang kuat.


Seperti yang anda boleh lihat ketika larian pecut 100m di Berlin – di mana beliau memecahkan rekod dunia – pelari-pelari di sebelah kirinya bermula lebih pantas daripadanya.

Tetapi, dalam beberapa saat sahaja, beliau memecut dan meninggalkan pelari lain untuk mencapai momen gemilang yang bersejarah di garisan penamat.

Pada hakikatnya, semasa tempoh kegemilangannya, Bolt tersangatlah pantas sehinggakan beliau pernah dilihat memperlahankan lariannya sebelum sampai ke garisan penamat dan masih mampu menang dengan selesa.

Pada waktu itu, para pengkritik percaya bahawa aksi Bolt itu hanya menunjukkan keangkuhannya.

Realitinya, beliau adalah seorang yang sedar akan keupayaan dirinya dan membiarkan prestasinya menjelaskan segala-galanya.

20 tahun bertungkus lumus 

Saya tahu apa yang saya mampu lakukan, jadi saya tidak pernah meragui diri saya.


Kepercayaan yang dibawa oleh ‘manusia terpantas’ ini pernah (dan masih) menjadi faktor yang cukup besar dalam perjalanannya mencapai matlamatnya.

Sepanjang kariernya, kejayaan Bolt termasuk menjadi juara dunia sebanyak 11 kali, memecahkan dua rekod dunia pada 2009 (acara 100m dan 200m), dan memenangi sembilan pingat emas di temasya Sukan Olimpik pada 2008, 2012 dan 2016.

Pencapaiannya sangat memberangsangkan apabila dilihat dari setiap perspektif. Akan tetapi, melihat kepada dominasi Bolt sepanjang tiga temasya Sukan Olimpik, kejayaannya yang mengagumkan ini mengambil masa kurang dari dua minit untuk dicapai. Purata masa lariannya sepanjang tiga temasya Sukan Olimpik itu berjumlah 115 saat. Dalam masa itu, beliau: 

  • memenangi 9 pingat emas 
  • menjana lebih daripada AS$1juta SESAAT lariannya (lebih kurang AS$120juta)
  • memecahkan rekod dunia
  • menjadi inspirasi kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia


Nampak senang sahaja kan? Berlari selama dua minit dan menuntut pujian? Menurut Bolt, tidak. Lantas beliau memberi tinjauan tentang apa yang diperlukan untuk menjadi seorang pemenang.

“Saya rasa ramai orang yang melihat saya berlari, dan mereka berkata. ‘Aaah, nampak sungguh mudah’. Tetapi sebelum sampai ke tahap itu, saya kena kerja keras. Terpaksa berkorban setiap hari, siang malam. Rasa macam nak mati bila berlari, rasa nak berhenti, putus asa, rasa seperti nak balik ke rumah saja.”  
 
Usain Bolt bukanlah dilahirkan hebat. Beliau dilahirkan dengan potensi untuk menjadi hebat. Beliau menghabiskan masa 20 tahun bekerja untuk menjadi mesin pecut seperti yang kita kenali dan hormati. Dua dekad yang dipenuhi dengan darah, keringat dan air mata untuk menghasilkan dua minit yang mengubah hidupnya.

Bakat yang dipunyainya mungkin kurniaan Tuhan… tetapi ia sama buat kita semua. Perbezaan di antara mereka yang berjaya merealisasikan impian mereka dan mereka yang tidak adalah dalam memberi komitmen untuk membuat yang sebaik mungkin ke atas bakat itu.

Terbatas kerana ketakutan dan kekhuatiran?

Bagi kebanyakan orang, kepercayaan yang membataskan dan ketakutan menahan diri mereka. Mereka risau kalau-kalau mereka gagal, tanpa menyedari yang kegagalan itu ibarat khasiat yang menyuburkan kejayaan.

Manusia takut dinilai kerana mereka rasa mereka kurang bagus, tetapi mereka tidak sedar yang orang yang paling kuat mengkritik itu sebenarnya yang paling penakut. Tidak mencuba itu sangat mudah, tetapi mengkritik dari zon selesa yang selamat juga mudah.

Seperti semua orang, Usain Bolt juga ada pengkritiknya – tetapi beliau tidak pernah membenarkan orang lain menenggelamkan kepercayaan dirinya, dan beliau juga tidak peduli tentang pengakhiran sesuatu perkara itu. Yang beliau tahu adalah membuat yang terbaik untuk merealisasikan nyala rasanya.

Kekhuatiran tidak akan membawamu ke mana-mana. Jika kamu berasa khuatir tentang prestasi kamu, bererti kamu sudah kalah. Berlatihlah dengan kuat, bangunlah, lakukan yang terbaik dan selebihnya akan selesai dengan sendirinya.

Tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan 

Untuk menjadi terbaik yang mampu, untuk merealisasikan matlamat besar yang kita impikan memerlukan kita memberi komitmen sepenuh hati dan meletakkan potensi kita di hadapan ketakutan kita, dan mendengar kepada suara kecil yang berkata, “Sebenarnya, tiada apa yang kita tak boleh buat saat kita menetapkan minda kita.”

Bayangkan apa yang anda boleh capai jika anda memberi komitmen sepenuh hati dalam merealisasikan potensi anda. Kesemua pakar dalam pelbagai bidang bermula dari satu titik. Apa yang diperlukan hanyalah keputusan untuk memulakannya, dan selebihnya memerlukan kepercayaan dan ketabahan.

Mudah bukanlah pilihan. Tiada hari cuti. Jangan berputus asa. Jangan takut. Bakat itu semula jadi … kemahiran dipupuk setelah bekerja berjam-jam.


Apabila saya ditanya, “Mengapa sesetengah orang berjaya dan ada yang tidak?” Jawapan saya selalunya, “Sebab mereka yang berjaya tidak pernah berhenti mencuba: dan mereka sentiasa mencari jalan.” Apa yang kita usahakan pasti mendapat pulangan.

Terdapat banyak kisah manusia yang membesar dalam kemiskinan dan terpaksa melalui pelbagai kepayahan (seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi) sebelum mimpi mereka menjadi kenyataan.

Memanglah senang melihat mereka ini sebagai contoh kejayaan dalam waktu yang singkat, menjejaki puncak karier – sukan atau apa-apa pun – memerlukan dedikasi dan komitmen yang jarang dapat dipenuhi oleh kebanyakan orang.

Mimpi adalah percuma. Matlamat ada kosnya. Anda boleh berkhayal dengan percuma, tetapi matlamat datang dengan harganya. Masa, usaha, pengorbanan dan keringat. Bagaimana anda ingin membayar untuk mencapai matlamat anda?

Mimpi ada kosnya

Semua orang bermimpi – ia perkara yang biasa bagi manusia. Tetapi berapa banyak yang kita sanggup memberi untuk mimpi-mimpi itu? Apakah kita sanggup untuk jatuh lima kali dan bangun untuk kali keenam? Berapa ramai daripada kita melihat halangan yang merentangi kita dan masih berkeras untuk meneruskannya, dengan realisasi bahawa kita yang berkuasa untuk mengawal takdir kita dan bukannya halangan tersebut?

Berapa ramai daripada kita yang tidak mengendahkan pengkritik, yang berkata itu tidak boleh dilakukan, dan tetap meneruskannya hingga ia disiapkan? Berapa kali kita khuatir dengan kata-kata mereka yang tidak nampak visi kita, apatah lagi memahami hasrat kita memberi sepenuh hati kepadanya?

Apabila kita memulakan langkah untuk mencapai matlamat kita, satu-satunya peperangan yang berbaloi adalah di antara kita dengan halangan-halangan yang merentangi jalan menuju kejayaan. Di samping kita menghormati mereka yang menunjukkan halangan di sepanjang perjalanan menuju matlamat kita, kita harus meneruskan usaha tidak kira apa jua, dan ingatlah nasihat ‘Petir Bolt’ supaya sentiasa:

‘Lenyapkan’ mereka dengan kejayaan dan ‘kebumikan’ mereka dengan senyuman.

Sila Kongsi

Perkembangan Peribadi

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Pemasaran

Alat Pemasaran Wajib untuk Pemimpin bagi Meningkatkan Prestasi Pasukan dan Mencapai Matlamat

Oleh Mia Rudic. Jadi, apa yang membezakan pasukan yang mencapai matlamat hebat daripada yang sentiasa tersekat di tahap permulaan? Petunjuk: Ia bukan kopi percuma atau ucapan motivasi. Ia adalah alat yang digunakan oleh pemimpin untuk meningkatkan prestasi, memudahkan kerjasama, dan mengubah sasaran yang bercita-cita tinggi menjadi kejayaan harian.

Oct 13, 2024 9 Minit

Wanita

Kehidupan Seharian Pekerja Gudang Wanita di NinjaVan Malaysia

Pernah terfikir bagaimana rasanya menjadi seorang wanita yang bekerja dalam industri yang kebanyakannya didominasi oleh lelaki? Dalam video ini, kami berbual dengan Nurazlin, seorang pekerja gudang wanita di #NinjaVanMalaysia, untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman dan kejayaannya sebagai seorang wanita dalam dunia lelaki.

Mar 15, 2023 10 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest