Kitalah Penentu Nasib Sendiri

Feb 12, 2021 6 Minit
Penentu Nasib
Nasib mungkin takdir, tetapi takdir boleh diubah

Gong Xi Fa Cai

Menjelang Tahun Baru Cina ini, ramai sungguh kawan saya yang mengucapkan semoga nasib saya dipermudahkan. Kita semua mengharapkan tahun baru menandakan titik di mana nasib kita berubah. Dalam kalangan populasi ini, banyak juga yang merasakan bahawa nasib sudah ditakdirkan. Apa yang akan datang, akan datang. 

Adakah saudara saudari pembaca turut setuju?

Saya teringat sesi sembang dengan Dato Seri Idris Jala beberapa tahun lepas di mana beliau berkongsi rahsia kejayaannya. Salah satu daripada faktor yang dihuraikan Dato Idris adalah betapa pentingnya kita mempunyai ‘nasib yang baik’. Beliau percaya bahawa kita hanya dapat mengawal 40% daripada apa sekalipun yang kita usahakan. Yang selebihnya bergantung pada nasib, ataupun dalam kata-katanya sendiri, ‘campur tangan Ilahi’. Jika kita hidup dengan integriti dan empati, maka kita mampu mempengaruhi nasib untuk menjadi lebih baik.

Jika kita hidup dengan integriti dan empati, maka kita mampu mempengaruhi nasib untuk menjadi lebih baik.


Perbualan kami membangkitkan semula satu persoalan yang sering buat saya bingung: Kenapa ada sesetengah orang yang seakan-akan sentiasa bernasib baik, manakala orang lain tenggelam dalam nasib malang?

Kalau nasib adalah sekadar takdir, sudah tentu ada masanya semua orang bernasib baik dan buruk, kan? Jadi mengapa ada orang baik yang sentiasa bernasib malang, dan orang jahat yang hidupnya diberkati dengan tuah yang melimpah?

Mungkinkah ‘nasib’ dan ‘tuah’ ini sesuatu yang sebenarnya boleh diubah atau dipengaruhi?

Nasib saya sendiri pula?

Bertahun-tahun dahulu, selepas saya tamat program internship dengan General Electric di Amerika Syarikat, saya disenaraipendekkan untuk termu ramah bagi mencari calon berpotensi tinggi di kalangan para intern. Daripada 45 orang calon temu ramah itu, hanya segelintir sahaja akan diterima.

Menjelang hari tersebut, ramai calon yang keluar dari bilik temu ramah dengan air mata bergelinangan - ada juga yang sampai menangis teresak-esak! Saya mengaku saya cukup takut sewaktu melangkah masuk ke dalam bilik itu. 

Bayangkan betapa terkejutnya saya apabila penemu ramah saya tiba-tiba senyum dan menyoal saya tentang bola sepak! Dalam resume saya ada ditulis yang saya sebahagian daripada pasukan bola sepak di universiti. Secara kebetulan, pada tahun itu Piala Dunia diadakan di Amerika dan En Penemu Ramah cukup berminat dengan sukan mulia ini! Saya membalas senyumannya dan kami pun bercakap sahajalah tentang bola sepak! Tanpa sedar, sejam sudahpun berlalu. Kami berjabat tangan dan saya keluar sambil tersenyum lebar.

Daripada 45 orang calon, hanya tiga orang lulus, termasuklah saya.

Yea babayyyyy!

Sepanjang hidup saya, saya menyangka bahawa peristiwa itu hanya sekadar nasib, tetapi berdasarkan penyelidikan baru, mungkin ia tidak semudah itu.

Jenis nasib

Para penyelidik Tjan, Harrington dan Hsieh menegaskan bahawa terdapat dua jenis nasib - nasib yang tidak dapat diubah (contohnya jenis darah) dan nasib yang boleh dipengaruhi (kejayaan dalam perniagaan atau kerjaya). Bukan sahaja itu, mereka percaya yang banyak ‘nasib baik’ di alam keusahawanan boleh dikawal, asalkan kita tahu bagaimana. Titiknya: nasib itu bukan sekadar takdir, tetapi juga berdasarkan perwatakan kita.

Menurut penemuan mereka, orang yang menganggap diri mereka ‘bernasib baik’ memang akan memperoleh nasib yang lebih baik kerana mempunyai nilai-nilai yang kondusif kepada nasib! Apakah nilai-nilai ini? Terdapat tiga: sikap rendah diri, rasa ingin tahu dan pandangan optimis.

Ini sejajar dengan pandangan Dato Idris Jala: kalau kita belajar cara untuk mengawal apa yang boleh kita kawal - termasuklah reaksi kepada kejadian di sekeliling - kita boleh mengubah nasib kita!

Para pengarang Krumboltz dan Levin mempunyai pendapat yang lebih ekstrem: menurut mereka konsep ‘nasib’ itu langsung tidak wujud. Sebaliknya, mereka menggelarnya ‘planned happenstance’ ataupun 'kebetulan yang dirancang'. Berdasarkan perwatakan dan tindakan yang kita ambil, kita sedang merancang dan mempengaruhi nasib kita sendiri! 

Kejadian yang tidak disangka. Pertemuan yang mengejut. Perjanjian yang dimungkiri. Semua ini mampu mengubah arah hidup dan kerjaya kita. Apa yang ramai tidak sedar adalah peristiwa sebegini berlaku setiap hari! Yang membezakan nasib baik dan malang adalah kebolehan kita untuk mengenal pasti dan merebut peluang yang ada.

Alkisah Bette Nesmith

Pernah tak dengar tentang Bette Nesmith Graham? Dia seorang ibu tunggal di Amerika yang mendapat kerja sebagai setiausaha. Sebahagian daripada tugasnya termasuk menaip dokumen dengan mesin taip, dan Bette sering melakukan kesilapan. Ingat, ini adalah era mesin taip di mana kita tidak boleh tekan ‘delete’ sahaja.

Berdasarkan perwatakan dan tindakan yang kita ambil, kita sedang merancang dan mempengaruhi nasib kita sendiri!


Bette datang dari latar belakang seni, dan teringat yang para artis sering menutup kesilapan mereka dengan cat. Dia pun mencipta formulanya sendiri untuk ‘mengecat’ kesilapan di tempat kerja. Tidak lama kemudian, Bette sedar yang ciptaannya mempunyai potensi tinggi untuk dijual. Formula itu dinamakan ‘Liquid Paper’ dan Bette menubuhkan syarikatnya sendiri yang mengaut untung berjuta-juta. 

Bette bukanlah artis pertama yang bekerja sebagai setiausaha. Ramai orang sebelumnya juga membuat kesilapan semasa menaip. 
Adakah Bette sekadar bernasib baik? Ataupun adakah Bette mampu melihat dan merebut peluang keemasan di depannya?

Nasib dalam tangan

Bagaimakah sesiapa sahaja boleh mengubah nasib mereka dan mengenal pasti kesempatan? Berikut adalah sepuluh tip saya:
Percayalah yang kesempatan sentiasa ada - dunia ini begitu besar, masakan tiada langsung peluang untuk kamu sahaja? Dengan mendukung cara pemikiran yang peluang ada di mana-mana, barulah mata kita mampu melihatnya dengan lebih jelas.

  1. Berdoa dengan mengambil tindakan - kalau kita sekadar berat punggung, sudah tentulah kita akan gagal. Cuba dulu! Jangan tundakan apa yang boleh dilakukan hari ini.
  2. Kejadian yang tak diduga? Bagus! - hidup ini penuh dengan ketidakpastian. Jangan lari daripadanya. Belajar untuk menerimanya dan melihatnya sebagain peluang, bukan gangguan.
  3. Prihatinlah terhadap persekitaran - jangan malu bertanya kalau tidak tahu. Orang yang bernasib baik sentiasa tahu perkembangan terkini yang penting.
  4. Jangan takut berkata ‘ya’ - dalam filem Yes Man, Jim Carrey terpaksa bersetuju dengan sebarang cadangan yang ditujukan. Akhirnya, wataknya memperoleh kejayaan yang tidak dijangkakan.
  5. Bina network - Jangan sekali-kali memandang rendah kuasa network yang luas dan telus. Semakin ramai orang yang kamu kenal, semakin kecil dunia ini dan semakin mudah kamu mengubah nasib.
  6. Jangan sabotaj diri - “Saya tak boleh. Saya tak boleh. Saya tak boleh”. Akhirnya memang kamu tak boleh. Janganlah berfikiran begini. 
  7. Galakkan sifat ingin tahu kamu - Kalau sepanjang nyawa kamu sekalipun tidak pernah ambil risiko, apalah gunanya hidup itu? Jangan takut gagal, yang pentingnya belajar dari kesilapan dan bangkit semula.
  8. Hulurkan tangan untuk memberi dan menerima bantuan - semakin banyak bantuan saya beri, makin bertambah rahmat yang saya terima kembali. Kalau mampu, janganlah kedekut harta atau ilmu.
  9. Hiduplah integriti dan taati perintah Tuhan - seperti yang disarankan Dato Idris, apabila kita berbuat baik, nasib kita juga akan baik. Takdir itu bukan kebetulan sahaja - jadi jangan nakal sangat!

Akhir kata

Ada pepatah yang mengatakan ‘nasib itu dalam tangan sendiri’. Apabila kita melihat nasib sebagai kuasa di luar kawalan kita, ada kecenderungan untuk menganggap diri sebagai mangsa hidup yang ‘tidak adil’. 

Dengan melihat nasib sebagai sesuatu yang boleh dipengaruhi malah diubah, maka sikap kita juga akan berubah kepada mindset yang lebih positif. Daripada mangsa, kita menjadi pemimpin dan penentu masa depan kita sendiri.


Wahai saudara saudari sekalian, terima kasih kerana sudi membaca dan GOOD LUCK!

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Perangkap

Adakah Anda Terjebak dalam Perangkap Perancangan?

Oleh Michelle Gibbings. Pernah membuat keputusan mengejut hanya untuk menyesal kemudian? Sertai kelab! Mari berbual tentang perancangan, membuat pilihan yang lebih baik dan mencabar kecenderungan kita.

Oct 18, 2023 5 Minit

Wanita

Kehidupan Seharian Pekerja Gudang Wanita di NinjaVan Malaysia

Pernah terfikir bagaimana rasanya menjadi seorang wanita yang bekerja dalam industri yang kebanyakannya didominasi oleh lelaki? Dalam video ini, kami berbual dengan Nurazlin, seorang pekerja gudang wanita di #NinjaVanMalaysia, untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman dan kejayaannya sebagai seorang wanita dalam dunia lelaki.

Mar 15, 2023 10 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest