Ingin Disegani Orang? Cubalah 'Active Listening'

Jan 22, 2021 4 Minit
Mendengar
Jadilah Pendengar yang Baik

Yang berpura-pura mendengar memang mintak penumbuk jawapannya.

Bayangkan betapa sakitnya hati anda apabila bercakap dengan orang yang tidak memberikan tumpuan yang sepenuhnya. Anda mencuba sedaya upaya untuk menarik perhatiannya, tetapi dia seakan-akan tidak kisah langsung. Setiap lima minit, dia membelek mesej WhatsApp. Anda baru sahaja bercakap sepatah, dia sudah mencelah untuk berkongsi hal dia pula.

Suka tak, kalau si bebal ini adalah rakan sekerja anda? Langsung tak, kan?

Sekarang bayangkan kalau andalah rakan sekerja yang bebal dan tak pandai mendengar itu.


Kebolehan untuk mendengar dengan baik merupakan kebolehan yang sangat penting untuk kita asah. Ia membolehkan kita memahami orang ramai di sekeliling dan membuatkan mereka rasa dihargai. Apabila kita mendengar dengan baik, kita juga boleh berempati dan mengelakkan konflik.

Kita sendiri pun memang suka meluangkan masa dengan orang yang pandai mendengar dan melayan kita. Lihat sajalah tempat kerja anda. Siapa yang selalu diminta untuk berkongsi pendapat dan nasihat? Orang ini mungkin bijak dan berpengalaman luas, tetapi sebab utama mereka disukai orang adalah sifat mereka yang sudi mendengar.

Satu komponen untuk menjadi pendengar yang baik adalah 'active listening', atau 'pendengaran aktif' yang melibatkan kita mendengar dengan aktif dan khusyuk.

 Realiti pendengaran aktif.

Active Listening adalah satu pilihan. Sebagai pendengar, anda perlu membuat keputusan sama ada ia penting untuk anda mendengar dan memahami apa yang dikatakan oleh pihak yang sedang berbicara.
Kalau tidak, gangguan paling kecil pun akan mengalih perhatian anda.
 

Salah satu kesalahan yang paling kerap dilakukan adalah memikirkan hujah balasan apabila kita patut mendengar dengan khusyuk.


Seorang pendengar aktif akan fokus sepenuhnya terhadap apa yang sedang diperkatakan. Setiap bentuk gangguan akan diketepikan buat seketika, sama ada dari luar atau dalam.

Terdapat pelbagai jenis gangguan luaran, termasuklah rakan sekerja yang lain, bunyi telefon berdering, dan bunyi latar belakang. Jangan hiraukan gangguan ini, atau anda mungkin akan terlepas daripada mendengar informasi penting.

Berikut adalah beberapa tip untuk melawan godaan gangguan luaran.
 

  1. Matikan suara telefon. Melainkan anda sedang menantikan pangggilan yang penting, apa salahnya anda tutup bunyi telefon sebentar. Bunyi nada berdering akan menganggu kedua-dua pihak.
  2. Tatap mata mereka. Ini menunjukkan kepada mereka yang anda sedang memberikan fokus yang sepenuhnnya. Asalkan jangan melampau sangat dengan renungan tu - nanti kena pepper spray pula.
  3. Cari tempat yang senyap. Tip ini penting untuk mereka yang pendiam dan rendah nada suaranya.


Selain gangguan luaran, anda juga perlu melawan gangguan dalaman, iaitu fikiran kita sendiri. Otak kita sebenarnya tidak dicipta untuk melakukan dua perkara serentak. Salah satu kesalahan yang paling kerap adalah memikirkan hujah balasan apabila kita patut mendengar dengan khusyuk. Anda membuat andaian yang anda tahu apa yang mereka hendak katakan.

Ini langsung tidak membawa manfaat. Kecuali anda ingin mencelah (biadapnya!) anda masih lagi perlu membenarkan mereka selesai bercakap. Justeru, lebih baik kalau anda fokus dan benar-benar faham apa yang mereka katakan. 

'Dengar' menggunakan mata.

Pendengaran aktif juga melibatkan gerak badan dan riak wajah. Pernah tak bercakap dengan orang yang langsung tidak menunjukkan emosi? Ya, seram jugak kan?

Dengan meniru gerak badan dan riak wajah orang yang sedang bercakap, anda dapat menunjukkan yang anda memahami apa yang mereka katakan. Mereka akan menjadi lebih selesa dan sudi bercakap dengan jujur.

Dengan ini, anda juga dapat berempati dengan mereka. Ini bukannya bermaksud mengandaikan perasaan mereka, sebaliknya mendalamkan pemahaman kamu terhadap situasi mereka.

Apakah langkah-langkah untuk meniru gerak badan dan riak wajah dengan semula jadi? Berikut adalah beberapa cadangan:
 

  1. Mulakan dengan perkara yang lebih kecil: tona suara. Adakah mereka bercakap dengan yakin atau takut? Adakah mereka asyik terhenti-henti, atau boleh bertutur dengan fasih? Cuba anda ikut gaya bahasa mereka.
  2. Perhatikan cara mereka duduk. Adakah kepala mereka serong atau lurus? Adakah mereka mereka bersandar ke belakang? Ikut juga, tetapi dengan perlahan-lahan agar tidak menimbulkan rasa syak.


Tip bonus: Daripada anda tiru pergerakan orang lain, cuba buat mereka tiru pergerakan anda. Kalau mereka ikut gerak badan anda, memang sah mereka rasa selesa dengan anda.

Atau mereka pun dah baca artikel ni.

Balas dengan bijaksana.

Bayangkan situasi berikutnya:

Anda bertanya khabar kawan anda. Mereka pun bercerita panjang lebar tentang segala butiran yang berlaku dalam hidup mereka sejak minggu lalu. Anda mengangguk dan senyum untuk menggalakkan mereka terus bercakap. Tiba-tiba, mereka berhenti dan memandang anda dengan penuh harapan.

Tiba masanya untuk membalas.


Apa yang anda boleh buat:

  1. Tanya soalan yang membuatkan mereka memberikan lebih butiran tentang sebahagian daripada cerita mereka.
  2. Tanya mereka begaimana perasaan mereka tentang peristiwa tertentu.
  3. Cabar pandangan mereka dengan sopan.
  4. Rumuskan cerita mereka dan tanya sama ada ia betul atau tidak.
  5. Kalau anda yakin anda seorang yang kelakar, cuba berjenaka sedikit.


Apa yang anda TAK patut buat:

  1. Kongsi peristiwa sama yang berlaku kepada anda tetapi lebih hebat daripada pengalaman mereka.
  2. Tukar topik.
  3. Tidak membalas langsung.
  4. Berjenaka tentang isu sensitif.

Kuatkan hubungan kamu dengan 'active listening'.

Ada banyak lagi faktor yang membawa kepada pendengaran yang efektif, tetapi pendengaran aktif sudah semestinya adalah satu faktor yang besar. Bayangkanlah betapa kuatnya hubungan anda dengan orang ramai apabila andalah yang menjadi tempat mereka meluahkan perasaan dan meminta nasihat.


Aaron Lee mengemari app digital necole. Setiap pagi, dia memperoleh pelbagai pengetahuan melalui app berinteraksi necole ini. Anda juga dapat memiliki app necole ini. Sila layari necole.app untuk informasi lanjut dan mendapatkan app ini.


Lihat video ini di mana dua orang pemuda Malaysia berinteraksi dengan app necole:

Sila Kongsi

Perkembangan Peribadi

Tag: Nilai Murni, Perwatakan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

teknologi

Bagaimana Pemimpin Boleh Melawan Kebergantungan Berlebihan Pada Teknologi untuk Mengurangkan Tekanan

Oleh Michelle Gibbings. Dalam dunia hyperconnected hari ini, teknologi telah menjadi alat yang sangat diperlukan, tetapi ia juga boleh menjadi sumber tekanan, keletihan, dan memutuskan sambungan. Temui cara untuk mencapai keseimbangan sempurna antara penglibatan digital dan kehidupan yang penuh perhatian.

Nov 29, 2023 4 Minit

Wanita

Kehidupan Seharian Pekerja Gudang Wanita di NinjaVan Malaysia

Pernah terfikir bagaimana rasanya menjadi seorang wanita yang bekerja dalam industri yang kebanyakannya didominasi oleh lelaki? Dalam video ini, kami berbual dengan Nurazlin, seorang pekerja gudang wanita di #NinjaVanMalaysia, untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman dan kejayaannya sebagai seorang wanita dalam dunia lelaki.

Mar 15, 2023 10 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest