Lebih Baik Hujan Emas di Negeri Orang?

Oct 13, 2017 1 Minit
rumput subur, rumput hijau
Belajar Bersyukur Atas Kurniaan Yang Ada

“Jangan ralit membandingkan diri sendiri dengan orang lain. Terokai kelebihan anda dan serlahkannya!”  Jennie Lynn Finch, atlet wanita

Beberapa tahun lepas, saya berada di Singapura meraikan cuti Tahun Baru Cina dengan keluarga. Semasa di VivoCity, yang terkenal sebagai medan persiaran membeli-belah yang terbesar di Singapura, telefon bimbit saya dan dompet isteri telah dicuri.

Pada mulanya, saya ingat mungkin telefon itu tercicir. Namun apabila menyedari dompet isteri yang disimpan rapi dalam beg tangannya turut sama hilang, kami berdua terperanjat.

Sudah banyak kali barang saya dicuri. Saya pernah diragut semasa di Barcelona, dan saya beberapa kali berhadapan dengan kes kecurian semasa di Malaysia.

Namun, saya benar-benar tidak menyangka hal sebegini terjadi di Singapura. Apa yang lebih mengejutkan, kami berhadapan dengan masalah semasa hendak membuat laporan polis.

Akhirnya, kami tidak berjaya memfailkan laporan polis di situ dan perlu pulang ke Malaysia untuk membuat laporan barang-barang yang hilang. Saya melepaskan kemarahan di Facebook, menyatakan “hujan emas mungkin tidak selalunya lebih baik” di Singapura, lebih-lebih berkenaan proses membuat laporan polis di situ.

Insiden ini benar-benar menyentak pemikiran saya, berkenaan kepercayaan tentang “lebih baik hujan emas” di negeri orang.

Selalunya dalam organisasi yang kukuh dan amat berkuasa, kadangkala saya melihat perkara yang sebaliknya berlaku, seperti lebih baik hujan batu di negeri sendiri.

Pernyataan masalah

Maka, apa masalahnya? Apabila kita sering membandingkan diri dengan orang lain, kita cenderung untuk meniru mereka, hinggakan menyebabkan kerugian apabila kita tersasar daripada memberikan tumpuan pada matlamat sendiri.

Jack Canfield pernah berkata:

“Secara amnya bagi saya, perbandingan merupakan jalan pintas ke arah ketidakbahagiaan.”

Malah lebih daripada itu, akan timbul masalah besar apabila kita mula membuat perbandingan. Kita bakal terjerumus dalam dua perangkap besar, yang menyelubungi ketua-ketua perniagaan. Dan hal ini ada baik dan buruknya. Apabila kita membuat perbandingan dan menyedari kedudukan kita lebih rendah, kita mudah berasa iri hati dan mempunyai sikap tamak, lalu ingin hidup sepertinya.

Tetapi apabila kita sebaliknya membandingkan diri dengan orang lain dan berasa diri lebih bernasib baik, kita terjunam dalam perangkap keangkuhan. Kita semua tahu bahawa orang yang sombong suatu hari nanti akan jatuh jua.

Perang Coke: Coca-Cola dan Pepsi

Peristiwa terbaik bagi sindrom ‘lebih baik hujan emas’ dalam perniagaan berlaku sekitar tahun 1980-an, antara Coca-Cola dan Pepsi.

Roberto C. Goizueta, salah seorang ketua pegawai eksekutif terhebat pada abad lepas, mula menyandang jawatan sebagai presiden (dan kemudian lembaga pengarah) Coca-Cola pada tahun 1981, apabila permodalan pasaran Coca-Cooa adalah sekitar AS$4.3 bilion (RM17.5 bilion). Dia mentransformasi Coca-Cola dan semasa menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1997, nilai Coca-Cola mencecah AS$152 bilion (RM621.4 bilion).

Namun, dia mengetuai organisasi ini menghadapi malapetaka terbesar dalam sejarah Coca-Cola- iaitu kisah Coke Baharu. Punca sebenar malapetaka ialah sindrom ‘lebih baik hujan emas’.

Sepanjang abad ke-20, Pepsi sentiasa tewas kepada Coca-Cola, sama ada di Amerika Syarikat (AS) dan serata dunia. Semua ini berubah pada April 1985, apabila Coca-Cola memperkenalkan Coke Baharu dalam pasaran dan menghentikan pengeluaran Coke Lama.

Kenapa Coca-Cola menggunakan formula baharu untuk minuman terlarisnya, walaupun telah menguasai tempat pertama? Jawapannya senang, Coca-Cola mula membuat perbandingan dengan Pepsi.

Pada tahun 1975, Pepsi menghantar salah seorang eksekutifnya, iaitu Larry Smith ke Texas, kerana Pepsi dilanyak teruk di sana. Smith percaya rasa Pepsi akan mencuri perhatian peminat Coca-Cola.

Smith yakin penduduk Texas minum Coca-Cola bukan disebabkan rasanya tetapi disebabkan jenama dan tanda dagangan Coca-Cola.

Kerana merasakan tiada apa-apa yang merugikannya, dia mengatur dan mereka-reka siri ujian rasa buta di Dallas, menamakannya sebagai Cabaran Pepsi, dengan slogan “Biarlah Deria Rasa Anda Yang Tentukannya”. Cabaran ini dimenangi Pepsi.

Walaupun ada cabaran uji rasa yang dibuat oleh Pepsi, Coca-Cola masih kekal di tempat pertama. Walau bagaimanapun, orang atasan Coca-Cola mula percaya bahawa lebih baik hujan emas di negeri orang.

Mereka ingin mempunyai minuman yang rasanya lebih baik daripada Pepsi. Perbandingan ini membawa kepada projek formulasi semula, yang dipanggil sebagai Projek Kansas, apabila formula baharu, yang rasanya lebih baik daripada Pepsi dibangunkan.

Maka, pada bulan April 1985, Goizueta mengumumkan bahawa mereka akan menghentikan pengeluaran Coke Lama dan memperkenalkan Coke Baharu, yang rasanya lebih baik daripada Coke Lama serta Pepsi.

Pepsi tidak percaya hal ini berlaku. Coca-Cola sanggup mengetepikan soda yang terlaris di dunia. Pepsi sentiasa mengagumi Coca-Cola dan mencemburui pencapaian Coca-Cola.

Dalam Perang Dunia Kedua, Coca-Cola mampu berkembang secara global berikutan pembinaan kilang-kilang di seluruh dunia untuk dibekalkan kepada tentera AS. Selepas perang tamat, kilang-kilang ini terus beroperasi untuk membantu membangunkan imej Coca-Cola di seluruh dunia.

Secara bandingan, perkembangan Pepsi berjalan secara perlahan, organik dan menelan segenap masa dan usaha. Pepsiyang sepatutnya mengagumi Coca-Cola dan mengakui bahawa “lebih baik hujan emas di negeri orang.”

Sebaliknya, Coca-Cola yang hebat ini pula yang inginkan minuman yang rasanya lebih baik daripada Pepsi, serta alpa bahawa mereka menguasai bahagian pasaran dan jenama.

Apabila Coke Baharu diperkenalkan, kebanyakan pembeli tidak suka produk baharu ini, walaupun ujian rasa buta mengesahkan rasanya lebih baik.

Dalam satu persidangan akhbar, seorang wartawan bertanya adakah Coca-Cola bakal mengembalikan Coke Lama dalam pasaran. Coca-Cola terus menjawab “Tidak sama sekali.”

Namun pada Julai 1985, hanya 79 hari selepas Coke Lama dikebumikan, Coca-Cola mengeluarkan semula Coke Lama dan menamakannya sebagai “Coca-Cola Classic.” Coke Baharu diberi nama Coke II.

Malapetaka terbesar bagi Coca-Cola berlaku apabila Pepsi mengatasi mereka buat kali pertams dalam sejarah. Pepsi tidak mungkin mampu muncul sebagai pesaing sekiranya Coca-Cola tidak membuat perbandingan sedemikian. Pepsilah yang sepatutnya mencemburui Coca-Cola.

Apabila anda membuat perbandingan dan mula rasa iri hati, anda terdorong untuk membuat kesilapan bodoh dan mengambil keputusan yang tak masuk akal.

Cemburu dan ketamakan

Apabila kita percaya bahawa lebih baik hujan emas di negeri orang, kita lebih mudah berasa iri hati, dengan menganggap orang lain lebih bertuah dan lebih bernasib baik daripada kita.

Kita mula berasa sengsara, cemas, dan terjerat dalam kepercayaan bahawa apa yang kita ada sangatlah sedikit. Perasan tamak mengaburi diri, kita berharap kita sepatutnya mempunyai lebih lagi dan menganggap apa yang kita ada tidak cukup.

Dalam cerita Wall Street karya Oliver Stone pada tahun 1987, Gordon Gekko (dilakonkan oleh Michael Douglas) menyatakan sikap tamak ini bagus.

Hal ini menimbulkan persoalan: kenapakah sifat tamak dianggap teruk? Bukankah kebanyakan perniagaan didorong oleh perasaan tamak?

Ramai ketua perniagaan percaya bahawa sikap tamak merupakan kunci utama kepada kejayaan. Sikap tamak pekerja untuk memperoleh bonus yang lebih besar dan gaji yang lagi tinggi digunakan sebagai faktor yang mendorong kepada prestasi yang lebih baik.

Sikap tamak pemegang saham untuk mendapatkan lebih pulangan daripada pelaburan mendorong mereka menjadi tidak berperikemanusiaan. Ramai percaya perilaku sebegini membawa kepada prestasi dan pertumbuhan yang lebih baik. Namun realitinya berbeza.

Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa perniagaan yang hebat didorong oleh nilai dan tujuan, bukannya ketamakan (atau keuntungan).

Kita begitu bernasib baik hari ini. Berbanding generasi-generasi lepas, kita disajikan dengan pelbagai pilihan, peluang dan kemungkinan.

Hari ini, kita mensia-siakan komunikasi tanpa batasan. Walaupun ada begitu banyak peluang dan pilihan yang dihadapkan tak terkira, mengapa ramai orang masih tidak gembira, berasa tertekan dan resah gelisah?

Apabila kita membandingkan diri dengan orang lain, kita tidak akan pernah berasa puas atau gembira dengan apa yang kita miliki. Kita membayangkan pekerja di syarikat lain lebih bernasib baik, walaupun syarikat tempat kita bekerja menerima anugerah syarikat terbaik.

Kita menjadikan hidup sendiri sengsara dengan tidak henti-henti “membayangkan” benda lain dalam perjalanan mencari kebahagiaan. Saya lihat ramai anak muda yang ada pekerjaan bagus namun mereka berasa tidak gembira dan kecewa hanya dengan melihat post di media sosial yang dimuat naik rakan mereka. Mereka rasakan rakan mereka lebih bertuah dan lupa nikmat yang dikecapi mereka.

Saya terkenang kisah sedekad lepas, semasa saya bekerja di General Electric (GE), yang pada saat itu merupakan sebuah syarikat yang paling dikagumi di dunia, berdasarkan senarai dunia Fortune.

Kadangkala, apabila rakan-rakan bangga diri dengan pengalaman yang menakjubkan di syarikat mereka bekerja, saya juga teringin untuk bekerja di situ, tetapi kemudian saya menyedari bahawa saya sebenarnya sedang bekerja di sebuah syarikat yang terbaik di dunia.

Sindrom ‘lebih baik hujan emas’ ini menyeksakan. Ia menimbulkan stres dan pelbagai penyakit), apabila kita kerap terfikir adakah kita terlepas benda penting yang bakal kunjung tiba, membuatkan kita terus membazir masa dan produktiviti. Lebih penting, ini mendorong pada tingkah laku negatif, seperti yang dilakukan oleh Coca-Cola pada tahun 1980-an.  

Yang kelakar, apabila kita melangkah ke “negeri hujan emas”, tiada perbezaan pun. Kita mungkin masih tidak bahagia.

Bagaimana boleh kita mengatasi masalah iri hati ini? Saya telah belajar cara terbaik untuk mengelak diri daripada mempunyai perasaan sebegini dengan bersyukur atas nikmat yang kita kecapi setiap hari. Walaupun dalam perniagaan, setiap perniagaan ada kelebihan dari segi kemahiran dan perkara yang positif secara tersendiri.

Jika kita memberi tumpuan untuk mensyukuri nikmat yang ada, kita akan mula nampak kekuatan perniagaan sendiri. Dengan berfokus pada kekuatan diri, kita mampu untuk terus membangunkan dan memajukan perniagaan.

Kegembiraan tidak didorong oleh hal-hal luaran. Sebaliknya, ia bertitik-tolak dari dalam diri. Kegembiraan diperoleh bukannya dengan berfikir tentang masa depan. Kita perlu raikan masa sekarang untuk mendapat kegembiraan.

Keangkuhan

Orang yang sombong suatu hari nanti akan jatuh jua. Banyak organisasi besar akhirnya jatuh terjelepuk daripada takhta keangkuhan mereka.

Kenapa syarikat-syarikat yang kukuh ini jatuh? Mereka membandingkan diri mereka dengan yang lain dan berasa sangat berkuasa, akhirnya mereka tenggelam dalam lembah kehinaan. Orang yang berjaya merupakan orang yang fokus untuk menambah baik diri setiap hari.

Begitu juga apabila kita sudah berada di hadapan, kita cenderung untuk menoleh ke belakang, menjejaskan tumpuan kita daripada perlumbaan.

Sindrom ‘hujan emas di negeri orang’ juga berlaku apabila kita rasa kita lebih baik daripada orang lain. Apabila kita mula berasa bahawa ada hujan emas di tempat kita lebih bagus dan mula menjadi angkuh, lambat-laun tingkah laku ini membinasakan kita. Dan tingkah laku sebegini berpunca daripada sifat angkuh.

Apabila kita berasa bangga, kita mula menjadi angkuh. Keangkuhan mengelabui pandangan kita daripada melihat kebenaran dan kita mula tidak tidak mengakui kesilapan diri. Bila kita rasa lebih baik daripada orang lain, kita alpa untuk mencari jalan menambah baik diri.

Bumi lebih subur apabila dibajai

Yang jelas, bumi tidak sentiasa subur di tempat lain. Setiap kawasan diliputi sebahagian rumpai, duri dan tumbuhan renek. Jika anda mengajukan soalan pada mana-mana pemimpin hebat, berkenaan bumi manakah yang lebih makmur, mereka akan menjawab bumi yang paling subur ialah bumi yang dibajai dengan baik.

Namun, kebanyakan daripada kita lebih senang memilih untuk melompat keluar apabila kita rasa lebih baik hujan emas di negeri orang ,daripada membajai tanah tumpah darah kita sendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan menabur baja?

Hal ini bermakna kita berusaha sehabis baik untuk:

  • Memantapkan diri untuk berjaya dalam organisasi tempat kita bekerja. Hal ini bermakna kita mengubah cara kerja dan peri laku supaya seiring dengan budaya dan norma perniagaan serta pemimpin.
  • Menyokong dan menambah baik organisasi atau tempat anda berada sekarang. Hal ini termasuklah menawarkan diri untuk melakukan sesuatu melebihi skop kerja.
  • Belajar sesuatu setiap hari untuk lebih maju. Setiap organisasi menyukai individu yang memajukan diri. Jika anda belajar dengan lebih proaktif (bukan semasa waktu kerja tetapi secara sendiri) berkenaan cara untuk menambah baik organisasi tempat anda berkhidmat, mudah untuk anda berjaya lebih daripada apa yang anda sangkakan. 
  • Berhenti membuat perbandingan dengan organisasi lain. Tumpukan segenap usaha untuk memperbaik organisasi anda.   

Akhir kata

Buddha pernah berkata, sebenarnya mudah sahaja untuk meraih kebahagiaan, rahsianya adalah dengan belajar bersyukur atas kurniaan yang ada dan tidak terkenang-kenang apa yang tidak kita miliki.

Jadi, sematkan dalam ingatan, bahawa bumi ini bukannya lebih subur di sini atau di sana. Bumi hanya akan lebih subur di tempat yang kita taburkan baja. Nasihat saya ialah, jangan sesekali membandingkan diri dengan orang lain. Bandingkan diri anda yang hari ini dengan yang semalam.

Berhenti membuat perbandingan!

Berikut merupakan lima sebab mengapa anda perlu menghentikan tabiat membandingkan diri dengan orang lain:

  1. Perbandingan hanyalah sia-sia

Kita selalunya membuat perbandingan akan betapa teruknya diri berbanding orang lain dan mula berasa iri hati. Ataupun, kita membandingkan kekuatan kita dengan kelemahan orang lain lalu berasa bangga.

  1. Perbandingan hanya membazir masa

Apabila membuat perbandingan, kita kehilangan masa yang sangat berharga yang boleh digunakan untuk mengejar matlamat kita. Fokus kita mula tersasar dan kita akhirnya sibuk untuk “dapatkan apa yang si polan ada” daripada melaksanakan kerja kita

  1. Perbandingan merupakan pertempuran yang tidak menguntungkan

Akan sentiasa ada manusia yang ‘lebih’ daripada kita. Anda bakal menjerumuskan diri dalam lembah kesengsaraan dan akhirnya terkubur.

  1. Perbandingan menyalakan rasa marah

Apabila kita membuat perbandingan, kita senang berasa kecewa dan teraniaya. Kita mula geram dan lambat-laun kemarahan muncul. Kemarahan yang tercetus ini boleh mengundang malapetaka.

  1. Perbandingan menghalang kita daripada menikmati kebahagiaan

Kebahagiaan hanya dapat dikecapi apabila kita fokus pada diri dan bersyukur dengan apa yang ada. Perbandingan hanya akan membuatkan kita melakukan perkara yang sebaliknya apabila kita fokus pada orang lain.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Is The Grass Always Greener On The Other Side?

Sila Kongsi

Perkembangan Peribadi

Tag: Tujuan Diri

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Rutin

Rutin Pagi Tanpa Rasa Bersalah: Cara yang Lebih Boleh Digunakan untuk Memulakan Hari dengan Betul

Oleh Juliet Funt. Rasa bersalah rutin pagi? Teroka pendekatan realistik untuk kehidupan yang sibuk. Terima rutin PM-prep, akordion atau reka bentuk harian dengan sengaja.

Mar 24, 2024 3 Minit

Wanita

Kehidupan Seharian Pekerja Gudang Wanita di NinjaVan Malaysia

Pernah terfikir bagaimana rasanya menjadi seorang wanita yang bekerja dalam industri yang kebanyakannya didominasi oleh lelaki? Dalam video ini, kami berbual dengan Nurazlin, seorang pekerja gudang wanita di #NinjaVanMalaysia, untuk mengetahui lebih lanjut tentang pengalaman dan kejayaannya sebagai seorang wanita dalam dunia lelaki.

Mar 15, 2023 10 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest