Adakah Anda Berlatih Cukup 10,000 Jam?

Apr 09, 2020 4 Minit
usaha, bakat, berlatih

Sejak dahulu lagi, masyarakat suka mendengar kisah individu yang berbakat. Mereka yang mempunyai kebolehan luar biasa sentiasa disanjung tinggi oleh orang ramai, tanpa mengira jenis bakat. Dari CEO syarikat terkemuka, hinggalah ke pemain alat muzik yang lancar, barang siapa yang berbakat, dia akan menjadi pujaan hati. 

Saya pasti kalian, yang sedang membaca artikel ini, juga mempunyai pengalaman sebegini, terutamanya di waktu persekolahan dahulu. Pasti setiap sekolah akan mempunyai pelajar yang sentiasa cemerlang dalam subjek tertentu. Sudah tentu akan ada pemain muzik, atlet, dan pemidato yang seakan-akan tidak perlu berlatih seperti orang lain  – mereka sudah cukup bagus. Sering kali, kawan-kawan mereka akan memuji mereka dengan mengatakan ‘dia memang pandai’.

Itu bukan pujian. Itu hanya alasan yang diberikan.

Isi tersirat di sebalik ‘pujian’ ini adalah, kawan kita yang hebat itu memang sudah berbakat secara semula jadi. Pencapaiannya bukan hasil usaha, tetapi bernasib baik kerana mempunyai genetik yang baik. Orang lain (termasuk kita) yang tidak mempunyai genetik yang begitu baik tidak mungkin boleh mencapai apa-apa. Buang masa sahaja untuk cuba.

Jadi, kita pun memilih untuk tidak melakukan apa-apa, dan akhirnya tidak mencapai apa-apa. Bukan itu sahaja, malah kita juga membazir masa.

Ahli psikologi Anders Ericsson pernah menjalankan penyelidikan untuk mencari jawapan untuk persoalan ini. Kajian ini dijalankan di sebuah institut muzik di Germany. Subjek yang digunakan adalah 40 orang pemain ahli muzik viola. Guru-guru di institut ini diminta untuk membahagikan 40 orang pelajar kepada tiga kategori – pemain luar biasa, pemain biasa dan pemain lemah. 

Anderson dan pasukannya kemudian menjalankan siasatan untuk mencari corak dan faktor yang boleh menjelaskan bagaimana seseorang boleh menjadi pemain yang hebat. Salah satu faktor yang disiasat adalah jumlah waktu yang diperuntukkan untuk berlatih. Jika memang seseorang itu berbakat secara semula jadi, sudah tentu akan ada pemain luar biasa yang jarang berlatih, atau tidak berlatih sama sekalipun.

Antara keputusan yang diperolehi:

  1. Setiap seorang pemain dalam kategori luar biasa telah pun berlatih selama lebih daripada 10,000 jam.
  2. Tiada sesiapa yang sudah berlatih 10,000 jam tetapi masih belum berada di kategori luar biasa

Anda mungkin berkata yang  sampel ini tidak adil. Kerana semua subjek adalah pemain viola di institut muzik, setiap 40 orang subjek itu memang sudah berbakat, dan pemain yang lemah di kalangan mereka masih lagi jauh lebih berbakat daripada orang biasa. 

Tapi berdasarkan maklumat ini, apakah sebenarnya bakat para pemain muzik ini? Pada pendapat kalian, adakah kebolehan yang dianugerahkan kepada mereka ini sejak lahir? Bagaimana dengan kawan anda yang selalu mendapat keputusan cemerlang? Sejak sebelum lahir, adakah dia telah diberikan bakat genetik untuk menjawab soalan matematik?

“Anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkanya”

Manusia bukan mahkluk yang lahir dengan kebolehan terperinci. Bak kata pepatah di atas, persekitaran yang mencorakkan mereka. Contoh seperti anak ikan jerung. Sejak lahir, ia sudah berdikari dan boleh berenang dan memburu. Tetapi jika dibandingkan dengan anak manusia. Pada waktu bayi, ia langsung tidak bermaya dan bergantung sepenuhnya pada ibu bapa. 

Tetapi bandingkanlah dua makhluk ini apabila dewasa. Jerung itu masih lagi berenang dan memburu sahaja, manakala masa depan manusia itu tidak boleh diramal – terlalu banyak kemungkinan.

Menurut Daniel Coyle dalam bukunya The Talent Code, evolusi manusia dari dahulu sampai sekarang adalah kerana kebolehan manusia untuk belajar. Untuk fokus dan menyesuaikan diri kepada persekitaran. Ini adalah penjelasan dan definisi bakat yang jauh lebih masuk akal. Bayangkanlah kalau ada manusia purba yang lahir dengan mempunyai bakat untuk bermain viola – ia seperti tidak masuk akal.

Ya, saya tak nafikan bakat dan kebolehan semula jadi itu memang wujud – tetapi bukan seperti yang kita sangkakan. Bakat adalah keupayaan untuk fokus terhadap sesuatu perbuatan atau subjek – fokus sehingga 10,000 jam. 

Sepuluh ribu jam untuk berlatih bukannya bermaksud 10,000 jam seperti kata pepatah:

“Bagai melepaskan batuk di tangga”

Apabila bercakap tentang 10,00 jam latihan, Ericsson merujuk kepada latihan yang bersungguh-sungguh dan efisien. Sama seperti memberi lebih perhatian kepada subjek lemah semasa mengulang kaji untuk perperiksaan. Sepuluh ribu jam itu perlulah digunakan sebaik-baiknya.

Terdapat satu pengecualian kepada hujah di atas, iaitu kebolehan bersukan. Malangnya, potensi kita untuk menjadi handal dalam sukan-sukan tertentu tertakluk kepada DNA kita. Tidak kira betapa rajinnya kita berlatih dan strategik pun permainan kita, kalau seseorang itu dikategori pendek, memang susah untuk dia menjadi pemain bola keranjang NBA. 

Akan tetapi, bentuk badan bukanlah halangan untuk mengembangkan kebolehan dalam arena yang lain. Sebagai pemain bass, saya pernah merungut kerana tangan dan jari saya terlalu kecil untuk saya bermain dengan lancar. Jika saya mempunyai jari yang lebih panjang seperti Victor Wooten, sudah tentu saya boleh bermain seperti dia.

Akan tetapi, saya telah mengenali ramai pemain guitar/bass yang mempunyai tangan yang kecil seperti saya. Apa yang lebih menarik, mereka juga pemain luar biasa seperti Victor. Persamaan utama yang mereka miliki adalah, mereka berusaha bersungguh-sungguh. Jika diantara anda ada yang sanggup menyiasat, saya pasti mereka semua sudah berlatih lebih daripada 10,000 jam. 

Jika anda berani menyiasatnya, saya pasti saya akan malu dengan keputusannya. Anda pula bagaimana?

 

 

Anda juga boleh membaca artikel lain di sini.

Untuk berhubung dengan lebih lanjut, email editor@leaderonomics.com 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Perwatakan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Alt

Cadangan Buat Kamu

Nuansa E-mel

Nuansa E-mel yang Tidak Dilepaskan: Menyemak Vs. Memproses

Oleh Juliet Funt. Adakah terdapat perbezaan kritikal antara menyemak dan memproses e-mel? Juliet menerangkan perbezaannya di sini.

Nov 24, 2022 3 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Akui Kesilapan Di Tempat Kerja: 10 Cara Terbaik

Kita tidak boleh lari dari kesilapan. Biarpun naluri kita akan lazimnya mempertahankan diri tetapi sekiranya kita bersalah, akuilah kesilapan itu. Tontoni video TOP 10 untuk belajar cara-cara mengakui kesilapan di tempat kerja.

Aug 09, 2017 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest