Berbicara Tentang Pemerkasaan Tetapi Bergantung Pada Pematuhan?

Jun 20, 2018 1 Minit
bualan, berbicara

Manusia adalah makhluk yang terikat dengan tabiat. Kita selesa dengan hidup yang rutin. Kita berpegang pada pendekatan yang teruji dan berjaya dalam mencari kemajuan.

Menyimpang dari norma bukan hanya akan meningkatkan rasa tidak selesa. Selalunya,  ia rasa tidak betul, tanpa menghiraukan bukti yang mencadangkan bahawa perubahan dalam perspektif boleh menawarkan beberapa manfaat.

Lagi pun, kebanyakan daripada kita pandai bercakap tentang keperluan untuk berubah, berinovasi dan menjadi kreatif. Kita menyanjung hasil positif yang terbit dengan memperkasakan orang lain. Kita gembira memuji setiap inisiatif pengubah permainan yang melawan trend dalam usaha menginspirasi kemungkinan yang tidak terfikir sebelumnya.

Apabila saya memikirkan tentang pemimpin perniagaan yang pernah saya temu di serata dunia, tiada seorang pun menafikan yang mereka ingin membuat perubahan atau membiarkan potensi pekerja mereka berkembang maju dengan membenarkan mereka menerokai idea dan peluang baharu bagi memanfaatkan organisasi mereka.

Jika diukur mengikut percakapan, kebanyakan (kalau bukan semua) syarikat patut menjadi hab inovasi yang berkembang pesat, mencipta penyelesaian terkini bagi masalah yang berulang-ulang yang dihadapi oleh setiap pemimpin dalam semua jabatan dalam industri masing-masing. Yang sedihnya, ini sebenarnya bukan realiti, kerana gaya pemimpin perniagaan masih terus berpihak kepada pematuhan berbanding pemerkasaan.

Berpandukan kajian yang melibatkan lebih daripada 2,000 pekerja melangkaui pelbagai industri, profesor dari Sekolah Perniagaan Harvard, Francesca Gino mendapati bahawa hampir separuh daripada responden bekerja di organisasi-organisasi di mana mereka ‘sering merasa keperluan untuk akur, dan lebih daripada separuh mengatakan yang pekerja di organisasi mereka tidak mempersoalkan status quo itu’.

Tekanan untuk akur bermakna para pekerja kekal berhati-hati, mengekang kreativiti dan imaginasi mereka dalam proses tersebut. Kata Gino, ini memberi kesan kepada pekerja dan organisasi mereka — pengurangan dalam keterlibatan, produktiviti, dan inovasi.

Jangan berlebih-lebih

Seperti yang ditunjukkan Gino, pematuhan tidak semestinya membantutkan kemajuan. Organisasi harus menyediakan struktur dan proses tertentu, dan mereka yang bekerja di dalam organisasi itu harus mengikut standard tertentu yang ditetapkan.

Tetapi pematuhan yang melampau juga boleh memberi kesan buruk kepada syarikat. Apabila tiada ruang untuk menyoal, kreativiti atau eksplorasi, di situlah kita berjumpa dengan organisasi yang berpegang kepada mantera bunyi maut, ‘Ini caranya sejak dahulu lagi,’ berserta sikap ketinggalan zaman yang sejati.

Dalam kajian serupa yang melibatkan lebih daripada 1,000 pekerja, Gino mendapati bahawa kurang daripada 10 peratus bekerja di organisasi yang menggalakkan sikap tidak konformis yang membina — terma yang didefinisikan oleh profesor Harvard itu sebagai ‘kelakuan yang menyimpang dari norma organisasi, tindakan orang lain, atau jangkaan yang sama, demi kebaikan organisasi’.

Dalam zaman di mana kemajuan hadir lebih pantas dan tepat, pada masa yang sama pemimpin perniagaan sentiasa berjuang untuk mengekalkan kuasa, ia agak tidak masuk akal bagi pemimpin perniagaan masa kini untuk bergantung pada mentaliti kepimpinan yang biasa digunakan pada tahun 1980-an.

Walau bagaimanapun, tekanan untuk mematuhi masih ada. Tetapi, mengapa?  Ia sebenarnya bergantung pada tiga faktor: keperluan sosial untuk akur; menjadi terlalu selesa dengan keadaan sedia ada; dan keengganan untuk mencabar pandangan kita dan orang lain kerana takut untuk menerima perubahan.

Ringkasnya, kita menyandar pada naluri untuk terus hidup yang mungkin memberi kebaikan kepada kita, selalunya. Tetapi, dari segi bekerja ke arah matlamat dan objektif dan mencari inovasi baharu, kita tidak berkuasa sebagai pemimpin jika kita tidak berbuat apa-apa untuk menggalakkan orang ramai untuk keluar daripada kepompong mereka dan meneroka potensi mereka.

Berkaitan: Asah Kemahiran Berfikir Dan Menyelesaikan Masalah

Masa untuk berubah

Bagaimana kita hendak menggalakkan sikap tidak konformis yang membina?

Memberi galakan

Kita boleh bermula dengan menggalakkan pekerja menjadi terbaik yang mereka mampu. Dengan mengenal pasti kekuatan mereka, kita memberi sokongan kepada mereka untuk mencipta idea baharu dan mencabar cara-cara konvensional melakukan tugasan.

Kebiasaannya, sebagai pemimpin kita berpendapat kita beroleh jawapan bagi setiap persoalan —  padahal ia tidak semestinya begitu. Itulah mengapa kita menggaji pasukan yang terdiri daripada ahli-ahli yang pintar untuk membantu kita mencapai visi kita.

Kita menyedari keperluan bakat kreatif, dan cara kita memberi penghargaan adalah dengan memberikan bakat-bakat ini ruang untuk mencipta inovasi dan memberikan idea yang lebih baik dan lebih berkesan.

Merangsang keterlibatan

Kedua, pemimpin boleh merangsang keterlibatan dengan mengenal pasti dan memahami individu yang unik yang bekerja bersama mereka. Kekangan masa dan tekanan kadangkala menyebabkan kita lupa bahawa pasukan kita dibina oleh personaliti-personaliti berbeza yang mempunyai kekuatan dan bakat yang berlainan.

Dengan melibatkan diri dengan orang di tahap mereka dan memberi perhatian kepada setiap idea mereka, kita boleh memperkasakan mereka untuk melihat sendiri nilai diri masing-masing dan bagaimana mereka boleh menyumbang dalam mencapai matlamat dan objektif yang serupa.

Berkaitan: 6 Langkah Kepimpinan Hebat Daripada Steve Jobs
Jangan urus secara mikro

Akhirnya, bagi meniru kata-kata Steve Jobs, pemimpin suka menggaji orang yang paling bijak — tetapi berapa ramai daripada mereka yang diurus secara mikro?

Bukankah lebih baik seorang pekerja itu diberikan masalah, dan kemudian membiarkan mereka mencari penyelesaian sendiri? Mereka tentu memerlukan bantuan sepanjang perjalanan tetapi, bak kata Jobs, sebab mengapa orang yang bijak diambil bekerja adalah supaya mereka dapat memberitahu pemimpin apa yang patut dibuat, dan bukan sebaliknya.

Akhir kata

Tidak boleh disangkal lagi bahawa pemimpin perniagaan mesti mempunyai pendapat sendiri tentang bagaimana sesuatu perkara itu harus dibuat; tetapi bukti menunjukkan bahawa mengurus untuk pematuhan sebenarnya merugikan semua yang terlibat.  

Sebaliknya, pemimpin yang benar-benar melibatkan diri, menginspirasi dan memperkasa adalah mereka yang mempunyai pekerja yang akan memberi komitmen dan azam tinggi membantu organisasi mereka maju sebaik mungkin, memastikan yang ia mempunyai kelebihan berbanding pesaing baharu dan yang sedia ada, mencipta kejayaan baharu (kadang-kadang mengujakan) sepanjang perjalanan.

 

Roshan Thiran bertekad untuk memperkasakan dan membimbing setiap individu dalam usaha mencetuskan perubahan dalam dunia. Anda boleh menghubunginya melalui Facebook dan Twitter.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Jam

Penjejak Masa Pekerja: Cara Memilih yang Terbaik untuk Syarikat Anda

Oleh Linda Carter. Masa adalah wang, terutamanya dalam dunia perniagaan. Pengurusan masa yang betul, bagaimanapun, boleh menjadi proses yang memakan masa untuk kedua-dua majikan dan pekerja.

Apr 09, 2023 3 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Rahsia Menjadi Pemimpin Yang Hebat

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita mengenal pasti dan menjadikan tokoh-tokoh yang unggul sebagai suri teladan, dan berlatih corak kepimpinan yang ingin kita contohi.

Jun 27, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest