Bagaimana Kita Berfikir Tentang Kegagalan Boleh Membawa Kejayaan Yang Tidak Dijangka

Jun 06, 2018 1 Minit
kegagalan membawa kejyaan, nota-nota

Jika anda cuba mencipta gam gajah, tetapi kemudiannya menyedari ia tidak dapat bertahan lama, apakah yang akan anda lakukan? Bagaimana pula dengan proses menghasilkan peranti rakaman perubatan — apa yang akan anda lakukan sekiranya anda tersilap memasukkan komponen, dan tidak sedar akan kesignifikannya?

Kemungkinan besar, ramai antara kita akan membuang gam tidak lekat itu dan kembali ke papan lukisan untuk peranti rakaman tersebut. Kita mungkin mengeluh dengan kegagalan yang dihadapi, dan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan yang sama pada masa hadapan.

Sisa kita, khazanah orang lain 

Sekiranya Dr Spencer Silver, iaitu ahli kimia kanan di 3M pada tahun 1960-an, tidak melihat potensi hasil kerjanya selepas gagal mencipta pelekat superkuat, kita mungkin tidak mengetahui akan kewujudan nota Post-It.

Sebenarnya, rakan sekerja Silver iaitu Arthur Fry, yang menyedari kegunaan gam yang kini begitu popular. Dengan menampalkannya pada penanda buku kertas, halaman buku nyanyian gerejanya dapat disimpan tanpa penanda buku tersebut tercicir. Dengan itu,  bermulalah kewujudan Post-It, yang terus menyerikan pejabat dan bilik mesyuarat dengan nota disulami idea, petikan dan nota lain yang berguna pada hari ini.

Berkenaan dengan kisah peranti rakaman pula, semasa jurutera Amerika bernama Wilson Greatbatch berusaha untuk menghasilkan peranti rakaman untuk merekod denyutan jantung, dia tersalah memasukkan perintang yang berbeza saiz ke dalam litar. Selepas memasang perintang tersebut, dia mendapati bunyi yang terhasil menyerupai denyutan jantung manusia.

Menurut berita kematiannya dalam New York Times pada tahun 2011, bunyi itu mengingatkannya akan perbualannya tentang cara rangsangan elektrik dapat menyokong jantung ketika ritma semula jadi jantung tidak berfungsi. Berpunca daripada kegagalan inilah perentak jantung tercipta. Sebelum itu, perentak jantung yang ada besarnya seperti saiz televisyen. Syukurlah, disebabkan kesilapan Greatbatch ini, perentak jantung dengan saiz lebih kecil dapat dipasang untuk kegunaan lebih daripada 500,000 pesakit setiap tahun. Proses ini telah berjaya menyelamatkan berjuta-juta nyawa.  

Teliti semula makna kegagalan 

Contoh yang disebut di atas hanyalah dua daripada banyak ‘kegagalan’ atau kecuaian yang menjadi pengubah strategi dalam industri secara keseluruhan. Cetusan ini terdorong oleh golongan yang berhadapan dengan hasil yang tidak terjangka dan memilih untuk mencari penyelesaian bagi masalahnya.

Apabila menyentuh tentang kegagalan, klise yang menjadi pegangan umum ialah kegagalan itu bagus, bahawa kita harus gagal dengan cepat dan kerap. Pemikiran sebegini kurang tepat.

Ia bukan sesuatu yang hebat untuk gagal — tidak kira kekerapan atau kelajuannya. Namun, adalah amat bagus untuk belajar daripada kegagalan tatkala menghadapinya, dan mencari ruang untuk mendorong diri mencapai kejayaan yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Berkaitan: Kegagalan Mendewasakan

Kunci untuk mencapai kejayaan apabila mengalami kegagalan adalah melalui perubahan kecil yang terhasil daripada persoalan yang sering kita ajukan kepada diri sendiri dan orang lain. Sekiranya kebanyakan daripada kita diajukan dengan soalan, “Apa yang akan anda lakukan sekiranya anda cuba hasilkan gam gajah namun yang terhasil ialah pelekat yang tidak berfungsi?”, kita mungkin akan menjawab, “Mungkin buang sahaja gam itu dan mulakan semula dari awal.”

Tetapi bagaimana jika soalan yang sama itu diubah sedikit pada permulaan ayat, “Apa yang boleh anda lakukan sekiranya . . .”

Secara tidak langsung, minda kita beralih daripada menerima sahaja jalan buntu, kepada seseorang yang giat mencari-cari kemungkinan dan peluang. Inilah dia permulaan bagi inovasi, dan pencetus bagi ciptaan rintis.

Peralihan minda

Oleh itu, apabila anda tersilap langkah atau ‘gagal’ pada masa hadapan, daripada menelan hakikat dengan mengganggapnya sebagai pengalaman dan membiarkannya begitu sahaja, tanyalah diri anda, “Apa yang boleh saya lakukan? Apakah peluang yang dapat saya wujudkan? Apakah cara terbaik untuk melangkah ke hadapan?”

Anda mungkin akan terkejut dengan diri sendiri, tatkala pandangan berubah serba sedikit, tercetuslah beberapa penyelesaian, dan terbukanya peluang baharu untuk diterokai. Dan siapa yang dapat menduga sumbangan yang mampu anda beri kepada dunia dengan tuah baharu dan yang tidak terduga ini?

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik How We Think About Failure Can Bring Unexpected Success.

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Imej

Pasaran Digital dan Kepimpinan dan Pembangunan – Kualiti Pembekal dan Bukti Sosial (Bahagian 2)

Oleh Arun Nagarajah. Baca di sini bagaimana pasaran digital menyediakan bukti sosial untuk membantu profesional kepimpinan dan pembangunan memilih penyedia latihan berkualiti tinggi.

Jun 04, 2023 5 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.

Jul 28, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest