Oleh ROSHAN THIRAN

Profesor di Stanford Tina Seelig mewajibkan semua pelajarnya menulis resume kegagalan, iaitu “resume yang memuatkan segala yang hodoh, merangkumi aspek peribadi, profesional dan akademik.”

Dia menegaskan bahawa bagi setiap kegagalan dalam resume itu, pelajar mestilah menerangkan apakah yang dipelajari melalui pengalaman tersebut.

Menyedari kuasa di sebalik latihan ini, saya pun mula mencoret resume kegagalan saya sendiri.

Semasa mencatat setiap kegagalan saya dari aspek profesional, saya mengenang kembali mana-mana pengajaran yang dapat saya ceduk dan aplikasikan dalam kehidupan.

Yang sangat memeranjatkan, salah satu kegagalan terbesar saya (mengusutkan keadaan dalam latihan integrasi perniagaan pada awal kerjaya saya di Amerika Syarikat) telah membawa kepada kejayaan luar biasa apabila saya mengambil peranan dalam pengintegrasian yang lebih besar di Eropah. Sebahagian besar daripada kejayaan tersebut disumbangkan oleh ilmu yang saya peroleh semasa kegagalan pertama itu.  

Saya juga gagal dengan teruk apabila menceburi perusahaan perniagaan sewaktu di universiti. Faktor utama kegagalan itu disebabkan oleh pengurusan inventori yang lemah. Apabila saya mula memegang jawatan dalam bidang operasi semasa mengendalikan sebuah unit perniagaan, saya menggunakan sebanyak mungkin ilmu yang saya pelajari melalui kesilapan dalam pengurusan inventori dahulu. Hasilnya, saya beroleh kejayaan besar membaik pulih unit perniagaan itu.

Penghinaan, kekecewaan, kegelisahan, rasa malu, kesakitan — semuanya adalah perasaan yang timbul apabila mengalami kegagalan.

Teruk rasanya apabila gagal. Saya tidak pernah senang hati dengan kegagalan dan saya tidak pernah berasa tenang apabila gagal. Namun, kita semua sedar kegagalan merupakan episod yang penting untuk kita menjadi lebih maju.

Ramai orang hari ini bercakap tentang kegagalan dan kepentingannya tetapi tidak ramai yang menyedari bahawa kita hanya dapat belajar dengan memetik pengajaran yang diperoleh sewaktu menempuh kegagalan. Ini bukannya tentang kegagalan, tetapi tentang proses pembelajaran. Seorang pujangga berkata “kegagalan ialah suatu peluang untuk kita melangkah semula, kali ini dengan lebih bijak”.

Pelajaran daripada kegagalan

Seelig mewajibkan tugasan resume ini untuk semua pelajar kerana “kegagalan meningkatkan peluang untuk kita tidak mengulangi kesilapan yang sama. Kegagalan juga merupakan petanda bahawa anda telah menyahut cabaran untuk memperluas kemahiran”.

Malah, ramai orang yang berjaya percaya bahawa jika anda tidak gagal sekali-sekala maka anda sebenarnya tidak mengambil risiko yang secukupnya. Tambahan lagi, amat jelas bahawa nisbah kejayaan kepada kegagalan itu tetap. Jadi, jika anda impikan lebih banyak kejayaan, anda perlu bertahan dengan kegagalan sepanjang menjalani hidup.

Joyce James pernah menulis “kesilapan merupakan gerbang penerokaan”. Ini merupakan paradoks kepimpinan, iaitu kita hanya dapat mengecapi kejayaan dengan merasai kegagalan.

Tidak kira peranan kita dalam organisasi, sama ada ketua pegawai eksekutif atau kerani bilik mel, kita semua melakukan kesilapan. Persoalan utamanya ialah: Adakah kita meluangkan masa untuk terlebih dahulu mengenal pasti kesilapan diri dan belajar daripada insiden sedemikian?

Berkaitan: Bagaimana Kita Berfikir Tentang Kegagalan Boleh Membawa Kejayaan Yang Tidak Dijangka

Menulis resume kegagalan

Kebanyakan resume hanya bertumpu pada kejayaan dan mengetepikan kegagalan yang mungkin memberi kesan yang besar terhadap siapa kita hari ini dan boleh jadi ia adalah faktor kejayaan kita pada masa hadapan.

Malah, ramai penemu duga hari ini bertanyakan soalan seperti, ceritakan kelemahan andaatau berikan beberapa contoh keadaan tidak terlaksana seperti yang anda rancangkan dan apakah yang anda belajar daripada pengalaman ini”.

Dengan adanya resume kegagalan, ia akan membantu anda menjawab soalan sebegini dan menunjukkan bahawa anda mempunyai rasa rendah hati untuk belajar daripada kelemahan diri. 

Resume kegagalan pada dasarnya menyenaraikan setiap satu kesilapan dan kegagalan yang anda hadapi. Resume kegagalan memastikan kita hidup bertongkat ke bumi.

Dengan mengenang kembali kegagalan dahulu, ia membantu saya meletakkan diri dalam kasut orang lain. Saya pernah berasa begitu tertekan setiap kali menemui kegagalan.

Hari ini apabila saya teringat kembali banyaknya kekurangan dan kesilapan diri, saya tidak begitu bimbang apabila berlakunya kesilapan. Saya hanya mencari cara untuk belajar daripadanya. Hal ini betul-betul membantu saya menjadi seorang yang lebih matang.

Maka bagaimana anda boleh menghasilkannya? Proses menulis resume kegagalan melibatkan empat langkah:

  • Kolum 1: tuliskan kegagalan besar yang pernah anda hadapi
  • Kolum 2: kemukakan sebab anda gagal
  • Kolum 3: nyatakan bagaimana anda boleh gagal
  • Kolum 4: senaraikan pengajaran yang anda peroleh daripada kegagalan ini

Belajar daripada kegagalan

Selain menulis resume kegagalan, kita perlu merenung kesilapan yang pernah kita lakukan dengan kerap. Setiap bulan, suku tahun, ambil masa beberapa jam untuk melihat kembali kesilapan yang dilakukan dari aspek profesional, sosial dan peribadi. Berikut merupakan beberapa langkah yang boleh kita manfaatkan daripada kesilapan tersebut:

Mengaku kesilapan anda

Kegagalan dalam hidup bukanlah salah kita semata-mata. Kegagalan disumbangkan oleh pelbagai faktor. Mudah untuk kita letakkan kesalahan pada orang lain. Saya melakukan hal yang sama berkali-kali dengan niat baik, dan jelas kegagalan itu berlaku disebabkan faktor-faktor luaran. Meskipun begitu, anda perlu meneliti setiap kegagalan dan melihat sumbangan ANDA kepada kegagalan itu. (Tanya apa yang perlu anda lakukan secara berbeza?) Pemimpin yang hebat tidak pernah menyalahkan orang lain atas kegagalan mereka. Mereka menerima kesalahan itu berasal daripada mereka.

Cepat-cepat minta maaf dan baikikesilapan anda

Mengaku kesilapan sebenarnya tindakan yang membantu. Namun, anda perlu menangani masalah tersebut dan memulihkan keadaan (sebaik mungkin!). Dengan mengaku kesilapan, kita bukan sahaja melepaskan beban emosi. Ini sebenarnya menampilkan sisi sebenar kita, iaitu seorang insan yang lemah. Ini bahagian yang penting dalam perjalanan kita menjadi seorang pemimpin.

Pada tahun 2001, Sistem Kesihatan di Universit Michigan melancarkan sebuah program yang menggalakkan pekerja kesihatan untuk melaporkan kesilapan dalam mengendalikan rawatan, yang mewajibkan mereka memberitahu pesakit dan keluarga mereka mengenai kesilapan yang berlaku, bagaimana ia boleh terjadi dan langkah-langkah yang diambil untuk mengelakkan kesilapan yang sama berlaku pada masa hadapan. Ini termasuklah permohonan maaf secara bertulis kepada pesakit dan keluarga mereka serta menawarkan pampasan ganti rugi yang setimpal disebabkan oleh kesalahan yang dilakukan pekerja kesihatan. Program ini berjaya mengurangkan bilangan tuntutan mahkamah dan ganti rugi, menyelesaikan masalah dengan lebih pantas dan menjimatkan kos yang melibatkan undang-undang. Ungkapan maaf boleh membantu (ini benar!).

Memahami punca sebenar

Luangkan sedikit masa untuk merenung kesilapan dan cuba fahami isu sebenar di sebalik permasalahan tersebut. Ajukan soalan-soalan sebegini kepada diri:

  1. Apakah kesilapan yang berlaku? Adakah kesilapan ini berpunca daripada proses, seseorang atau perkara lain?
  2. Di manakah kesilapan ini berlaku?
  3. Bagaimana kesilapan ini boleh terjadi?
  4. Apakah punca sebenar?
  5. Apakah yang menyumbang kepada keadaan ini? Adakah anda menyumbang kepada keadaan ini? Bagaimana?

Sebaik sahaja anda mengajukan soalan-soalan tersebut dan memahami punca sebenar kesilapan, anda dapat mula belajar daripada situasi tersebut.

Belajar daripada kesilapan

Ingatlah, semua orang melakukan kesilapan, tetapi pemimpin yang hebat belajar daripada kesilapan dan menjadi lebih baik. Untuk betul-betul belajar daripada kegagalan, anda perlu menyoal diri, apa yang akan anda lakukan apabila berhadapan dengan situasi yang sama pada masa hadapan. Apabila anda mula menulis pelan tindakan yang berbeza daripada yang pernah anda lakukan, baharulah anda dapat menggarap pengajaran yang terungkai daripada kesilapan.

Artikel berkaitan: Jatuh, Bangun Dan Teruskan Kehidupan

Kebanyakan daripada kita melakukan kesilapan tetapi kita hanya menjungkit bahu dan menyedapkan diri bahawa ia akan ‘berlalu pergi.’ Ya, kita haruslah tidak terbelenggu memikirkan kesilapan tetapi kita perlu menilai diri dan membuat perancangan untuk mengambil tindakan dengan cara berbeza suatu masa nanti.

Berkongsi ilmu yang anda pelajari 

Daripada kajian kami di Leadernomics, cara yang terbaik untuk memperkukuh sesuatu ilmu adalah dengan mengamalkannya terlebih dahulu dan kemudiannya menyampaikan ilmu tersebut kepada orang lain.

Berkongsi ilmu dengan orang lain dapat memantapkan pembelajaran. Ia adalah cara terbaik untuk berasa tenang dengan kesilapan diri (menerima kegagalan sebagai pengajaran dalam hidup!). Ini juga akan menunjukkan rasa rendah hati kita sebagai manusia yang bukan sahaja gagal tetapi mampu mengutip pandangan dan pengajaran yang bernilai daripada kesilapan.

Akhir kata

Carmen Nobel dari Sekolah Bisnes Harvard menyatakan bahawa “usahawan yang berpengalaman sedar pengalaman mengendalikan sebuah syarikat yang akhirnya gagal sebenarnya boleh menjadi batu loncatan dalam karier, tetapi ini hanya berlaku sekiranya barisan eksekutif sanggup menganggap kegagalan sebagai potensi untuk penambahbaikan.”

Kita semua tahu bahawa kegagalan menjadikan kita pemimpin yang lebih baik, tetapi pokok pangkalnya ialah hikmah di sebalik kegagalan itu dan bangkit semula dari kesilapan. Kegagalan merupakan proses hidup yang mendidik kita dengan pengajaran yang bernilai. Lagipun, kegagalan mendewasakan!

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Failure Maketh Man.

TINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Please enter your name here