Sifat-Sifat Kepimpinan Yang Membina Ketangkasan Nicol David

Feb 26, 2019 6 Minit
Nicol
Ciri-ciri Kepimpinan Yang Boleh Kita Teladani

Ratu Skuasy Malaysia, Datuk Nicol David, baru-baru ini mengumumkan bahawa beliau akan bersara secara rasminya pada akhir musim 2018/2019 Persatuan Skuasy Profesional (PSA) Jun ini.

Ahli sukan Malaysia yang berusia 35 tahun ini adalah pemain skuasy wanita yang terulung sepanjang masa, memenangi 8 kejohanan Terbuka Dunia dan 5 kejohanan Terbuka British, serta menduduki tangga nombor satu dunia untuk sejumlah 112 bulan, termasuk berturut-turut selama 108 bulan dari 2006 hingga 2015.

Marilah kita meneliti bagaimana warga Pulau Pinang ini berjaya mengubah arus hidup diri daripada seorang kanak-kanak yang tersangat aktif berlari-lari di gelanggang skuasy hingga menjadi seorang legenda sukan yang berjaya menggempurkan gelanggang skuasy di persada dunia selama lebih 20 tahun.

1. Membuka langkah  

“Ketika saya berumur 9 atau 10 tahun, saya telah mula menjelajah Malaysia untuk bermain skuasy. Lepas itu, saya ke luar negeri untuk menyertai kejohanan skuasy. Pada masa yang sama, saya berpeluang menjalin persahabatan dengan kenalan baharu, cerita Nicol. Ramai orang memberitahunya, beliau adalah pemain yang sangat berbakat dan mempunyai masa hadapan yang cerah, katanya.

Semua ini menggalakkan Nicol untuk menggiatkan usaha menambah baik diri. Mulai saat itu, beliau juga menetapkan bahawa beliau akan melanjutkan minatnya dalam sukan skuasy dengan serius, katanya.

Apabila beliau memenangi kejohanan Terbuka Dunia buat kali pertama ketika berusia 15 tahun, kesemuanya menjadi begitu jelas baginya, langsung mencetuskan impian, “Mungkin suatu hari nanti, saya akan menjadi juara dunia!”

Hari ini impian tersebut sudah pun menjadi kenyataan kerana beliau telah begitu gigih berusaha, cukup bertekad, konsisten dan berdaya tahan mengejarnya.

Bagaimana pula kita?

Biarpun sudah banyak kali kita menerima kata galakan dan pengukuhan, tetapi kita masih tidak mengambil tindakan yang konkrit, cuma sekadar merasa suka hati. Rasa senang hati dan suka hati tidak akan beroleh sebarang apa pun; mengambil tindakan akan menghasilkan sesuatu yang diusahakan.

“Mengetahui sesuatu tidak cukup. Anda mesti membuka langkah.” —Tony Robbins

2. Amalkan tabiat berdisiplin dan berfokus

Kerana terpaksa menjalani latihan gasak hari demi hari, dan mengharungi saat-saat genting semasa pertandingan, sakit badan dan ketegangan otot-otot adalah perkara biasa. Apabila dalam keadaan sebegini, ada hari-hari beliau terasa ingin bercuti rehat dari menjalani latihan, akui Nicol.

Bagaimanapun, jurulatih beliau selama 16 tahun ini, Liz Irving, berkata, “Beliau tidak pernah ponteng latihan, tidak kira sama ada beliau merasa selesa atau tidak. Ini betul-betul kerana etika kerja dan kesanggupannya untuk sentiasa meningkatkan prestasi permainannya dan menambah baik diri sebagai seorang ahli sukan — malah selepas beliau telah merangkul gelaran dunia yang pertama.

Berkaitan: Disiplin Dan Fokus

Bagaimana pula kita?

Adakah kita terus membuat apa yang kita perlu buat, misalnya bersenam untuk menjadi lebih sihat, belajar kemahiran baharu, mengubah set minda walaupun menghadapi rintangan? Ambil semak mutiara kata berikut:

“Kejayaan bukan selalunya mengenai kehebatan. Ia adalah mengenai kekonsistenan. beKerja keras dengan konsisten akan membawa kepada kejayaan. Kehebatan akan menyusuli.” — Dwayne Johnson.

3. Laraskan layar 

Nicol dikenali kerana rentetan kemenangannya tetapi beliau juga mengalami kekalahan sepanjang kariernya.

“Salah satu kekalahan teruk ialah semasa Sukan Asia 2002 di Busan. Saya gagal mempertahankan pingat emas yang saya menangi empat tahun sebelum itu ketika berusia 14 atau 15 tahun. Ia merupakan detik yang paling rendah dalam hidup saya, dan saya cukup-cukup hancur,” kata beliau.

“Saya membuat keputusan untuk ke Amsterdam untuk meneruskan latihan saya di bawah Liz Irving, yang berasal dari Australia,” tambahnya.

Ini merupakan titik pusingan dalam hidup David, untuk pertumbuhan peribadi dan profesionalnya. Rutinnya merangkumi dua hingga empat jam latihan setiap hari, enam hari seminggu, serta masa mengukuhkan ketegapan, kelajuan dan kekuatannya.

“Relokasi ke Amsterdam membantu saya membuat refleksi bahawa saya tidak patut cuma bergantung pada apa yang saya boleh lakukan tetapi pada apa yang saya boleh lakukan dengan apa yang saya ada,” tambahnya.

Nicol berada di tangga ke-53 apabila kembali ke sirkit pada tahun 2003 tetapi dalam masa setahun, beliau berjaya maju menyertai kalangan 10 terbaik di dunia. Mulai saat itu, beliau tidak lagi menoleh ke belakang. 

Pada tahun 2005, beliau menjadi pemain Malaysia yang pertama memenangi Terbuka Britain dan mengakhiri tahun itu dengan kejayaan besar-besaran apabila beliau memenangi Terbuka Dunia di Hong Kong, menjadikan beliau juara dunia yang paling muda. Dengan kemenangan itu, beliau menjadi juara dunia yang paling muda menduduki tangga nombor satu dalam tatacara pemangkatan dunia.

“Tidak boleh dinafikan detik itu detik yang paling gembira bagi saya, kerana mimpi saya untuk menjadi juara dunia terkabul!” katanya.

Bagaimana pula kita?

Apabila kita menghadapi rintangan dalam projek yang dijalankan, apabila karier kita semacam dalam takuk, adakah kita cepat mengibarkan bendera putih, terus berada dalam zon selesa, dan tetap berpeluk tubuh. Selama kita berada dalam zon selesa, kita akan menjadi kurang bahagia dan tahap pencapaian kita akan merosot. Jika kita ingin berjaya dalam hidup, keluar dari zon selesa.

“Para nelayan tahu laut adalah merbahaya dan ribut amat bahaya, tetapi bagi mereka bahaya-bahaya ini bukan alasan bernas untuk tetap berada di pantai.” — Vincent Van Gogh

4. Berjuang hingga ke akhir

“Tidak sesiapa yang boleh meramalkan tahap kejayaan yang dapat dicapai Nicol tetapi seawal zaman juniornya, beliau sudah memaparkan banyak potensi untuk menjadi pemain yang hebat, kata bekas pemain skuasy kebangsaan, Ong Beng Hee, berkenaan bekas rakan sepasukannya.

“Saya ingat ketika beliau berumur 15, beliau telah memberi saingan yang cukup sengit kepada pemain wanita dalam senarai 10 teratas. Dalam permainan, beliau cukup kuat mendesak mereka dan hampir mengalahkan mereka. Ketangkasannya terletak dalam kelajuannya di gelanggang yang tidak dapat ditandingi pemain lain.

“Beliau juga mampu menggalas tekanan, terutamanya semasa perlawanan besar dan pertarungan untuk poin-poin yang genting. Inilah yang membuatnya seorang pemain yang cukup hebat. Beliau terdaya bertahan dengan lama berbanding lawannya dan semua pemain cukup seganinya kerana beliau tidak akan menyerah sehingga poin terakhir dimainkan,” kata Beng Hee, yang kini menjadi jurulatih skuasy pasukan kebangsaan Qatar.

Bagi Nicol, kemenangan Terbuka Dunianya yang terakhir adalah perlawanan terhebat dalam kariernya. Pemain nombor satu dunia dari Malaysia ini hampir-hampir dikalahkan oleh lawannya, pemain pilihan ketiga dari Mesir, Raneem el Weleily apabila beliau mengekori 10-6 dalam permainan keempat dalam perlawanan akhir. Bagaimanapun, dengan azam dan kecekapan, beliau berjaya menyelamatkan empat poin akhir berturut-turut untuk memenangi kejuaraan Terbuka Dunia yang kelapan.

Bagaimana pula kita?

Adakah kita bertarung sampai habis untuk sesuatu yang kita fikir benar-benar betul, atau adakah kita menyerah apabila menghadapi onak dan duri? Biarpun ada yang mengata-ngata negatif, biarpun menghadapi cabaran, kita harus mengawasi perspektif kita. Apa yang tampak besar atau sulit dalam hidup kita adalah kecil berbanding tekad dan kemampuan dalam diri kita.

“Kebanyakan perkara penting di dunia telah dicapai oleh mereka yang terus berusaha biarpun berhadapan dengan situasi yang tidak memberi sebarang harapan.” — Dale Carnegie

5. Berpemikiran strategik

“Malah pada zaman mudanya, persepsi beliau terhadap permainan tersebut cukup mengagumkan. Beliau boleh menggerakkan lawannya di sekeliling gelanggang, mengikut rentaknya,” kata Pengarah Persatuan Raket Skuasy Malaysia, Mejar (Bersara) S. Maniam.

“Beliau tahu jenis pukulan yang perlu dimainkan, dan bila untuk membuat pukulan tersebut. Beliau bersaiz kecil tetapi kuat, dan mampu membuat liputan gelanggang dengan mudah. Beliau mempunyai kebolehan memilih pukulan yang betul untuk saat yang betul,” tambah Maniam yang merupakan Pengarah Jurulatih SRAM ketika itu.

Bagaimana pula kita?

Apabila kita dipertanggungjawabkan dengan sesuatu projek atau apabila kita ingin mencapai sesuatu impian, tahukah kita apa yang perlu dibuat? Adakah kita menggariskan strategi atau pelan yang akan membawa kita dari mula ke akhir? Atau adakah kita begitu ghairah dan cepat-cepat mengerjakan projek atau impian itu tanpa memikir habis-habisan usaha itu.

“Gagal merancang adalah merancang untuk gagal.” —Benjamin Franklin

Akhir kata

Nicol David adalah legenda skuasy yang cukup digentari lawan dalam gelanggang. Tetapi di luar gelanggang, beliau tetap seorang insan yang memaparkan tingkah laku yang patut diteladani. Beliau adalah seorang pemimpin yang mempunyai pembawaan diri yang unik yang kita boleh contohi buat pembangunan peribadi dan profesional masing-masing.

Terima kasih, Datuk, atas sumbangan kepada nusa dan bangsa. Moga-moga Datuk terus beroleh kejayaan dalam usaha ‘menyemai kepercayaan dan memberdayakan gadis-gadis melalui sukan untuk mencapai potensi penuh mereka.’ #TheDreamRemains (#ImpianTetapDiusahakan)

 

Sumber-sumber

Sumber Imej Terencana: sportskeeda.com

 

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Berhenti

Berhenti Melakukannya Sendirian

Oleh Michael Jarrett. Pelajari pelajaran penting untuk pemimpin yang mengemudi perubahan dan mengelakkan perangkap strategi terpusat.

Jan 04, 2024 5 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Menjadi Pendengar Yang Aktif: 10 Cara Terbaik

Kemahiran mendengar perlu dikuasai. Kita mesti pendengar yang aktif, dengan niat untuk memahami. Dengan itu, komunikasi berkesan dapat dijalin.

Oct 20, 2017 7 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest