Adakah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Bersedia ke Arah Ekonomi Digital?
Malaysia sedang menuju ke arah ekonomi digital, tetapi kebanyakan bisnes, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), belum bersedia menjadi sebahagian daripada lanskap digital ini.
Pada Persidangan Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif 2019 (CEO 2019) yang bertemakan ‘Merangkul Teknologi Digital bagi Menjana Pertumbuhan’, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Kumpulan Leaderonomics, Roshan Thiran, menyentuh mengenai pengasas-pengasas syarikat yang mempunyai segala ilmu yang diperlukan ketika memulakan bisnes mereka, namun terpaksa mengubah cara mengendalikan bisnes mereka kini.
Merangkul teknologi digital bagi menjana pertumbuhan
Sama ada kita suka atau tidak, masanya telah tiba bagi PKS untuk mengambil pendekatan serius tentang teknologi digital.
Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh PKS adalah mempelajari dan meluangkan masa bersama pembekal-pembekal penyelesaian yang berbeza. Mereka harus bermula dengan mengenal pasti masalah utama yang dihadapi bisnes mereka, melibatkan diri dalam projek perintis, dan memajukan visi jangka panjang.
PKS adalah penting bagi negara kerana mereka membantu memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Industri perkhidmatan dan pembuatan memainkan peranan utama dalam pertumbuhan ini.
Menurut Pelan Induk PKS 2012-2020, PKS dijangka mencapai matlamat 41% daripada KDNK menjelang 2020,” kata Dr. Nikolai Dobberstein (gambar) dalam ucaptamanya. Dr. Dobberstein merupakan Ketua Komunikasi, Media dan Amalan Teknologi A.T. Kearney di Asia Pasifik. Dia juga berfungsi sebagai rakan pengurusan A.T. Kearney di Malaysia.
“98% syarikat di Malaysia adalah PKS, sementara 66% peluang pekerjaan ditawarkan oleh syarikat-syarikat yang sama,” kata Dr. Dobberstein.
Mencungkil emas dari dalam organisasi
Ia dipercayai secara meluas bahawa data adalah emas baharu, dan jika bisnes dapat memanfaatkan kuasa data — jika mereka dapat mengumpulkan data dan menganalisisnya untuk mendedahkan trend dan wawasan — itu tentu akan memberikan bisnes mereka galakan tambahan bagi mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi.
Restoran Copper
“Saya dan suami saya menjalankan perniagaan restoran yang menyediakan hidangan Eropah moden tanpa alkohol. Kami memulakan perniagaan ini berdua sahaja. Apabila bisnes semakin stabil, kami mula memikirkan tentang cara membuat personalisasi,” kata Pengasas Bersama merangkap KPE Restoran Copper, Zeehan Zahari.
“Apabila pelanggan mengunjungi restoran kami, kami akan mengambil perhatian tentang pilihan mereka, seperti diet vegan atau paleo. Apabila mereka datang semula pada masa yang lain, sistem telah pun merekodkan pilihan mereka, jadi kami akan menukar menu mengikut keperluan diet mereka tanpa diminta. Ini melahirkan rasa kesetiaan dalam kalangan pelanggan kami,” tambah Zeehan.
“Langkah seterusnya adalah mencipta program kesetiaan dan kami mendigitalkannya. Saya membuat banyak pengunyahan nombor dan kemudian segalanya berubah. Kami mungkin berada dalam kategori 22% di atas purata industri, walaupun dibandingkan dengan perniagaan yang menyediakan alkohol,” kongsi Zeehan.
EGAN Equipment and Parts
“Pada mulanya, kami menjalankan bisnes kami mengikut cara tradisional. Kami membuat keputusan ala gerak hati. Kami tak tahu dari mana datangnya bisnes kami. Kemudian, kami mula memikirkan tentang digitalisasi. Kami mula melihat kepada nombor-nombornya,” kata Pengasas Bersama EGAN Equipment and Parts Sdn Bhd, Nicholas Gan.
“Ia bukanlah mudah, tetapi kami melakukan perkara yang betul. Sebagai contoh, kami fikirkan yang kami patut membuka cawangan di sebelah utara Semenanjung Malaysia, tetapi apabila kami menganalisis data, kami mendapati negeri yang merekodkan jualan kedua terbesar adalah Sarawak. Jadi, kami fikir kami harus membuka cawangan di Sarawak, di Malaysia Timur!” dedah Gan.
Memanfaatkan teknologi digital untuk mengembangkan syarikat
Terdapat banyak manfaat dalam menggunakan teknologi bagi tujuan mengembangkan dan meningkatkan prestasi syarikat.
Pertama, para pekerja dapat melakukan lebih banyak dengan daya yang kurang, justeru meningkatkan kecekapan. Kedua, mereka akan dapat mengenali pelanggan dengan lebih baik.
“Ekonomi digital di Malaysia bukanlah kecil. Pada 2016, ia menyumbang 18.3% kepada KDNK,” kata Naib Presiden Perunding Perkembangan Perusahaan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Gopi Ganesalingam.
Menurut Ketua Perniagaan PKS Telekom, Mohamad Yusman Ammeran, penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan PKS Malaysia yang paling tinggi adalah untuk peranti pengkomputeran dan ketersambungan, terhad kepada pemproses bisnes bahagian hadapan, dan rendah dan sederhana bagi pemproses bisnes bahagian belakang.
“Dari hari pertama lagi, anda perlu ada visi, termasuk bagaimana untuk berkembang,” kata Pengasas KAT Technologies, Khairol Anuar Mohamad Tawi.
“Kami mempunyai 14 cawangan, dan ia menjadi semakin mencabar untuk mengawasi perkembangan kesemuanya sekali.”
Akhirnya, KAT membina sistemnya tersendiri, KATsys, iaitu sistem perisian sofistikated yang boleh menjejaki stok dari permulaan peringkat penerimaan hinggalah ke penjualan. KAT menjadi sebahagian daripada program Rangkaian Inovasi dan Pemecutan Global (GAIN) oleh MDEC, yang membantu PKS berkembang.
Asia Pacific University (APU)
Pengasas Universiti Asia Pasifik (APU), Dr Parmjit Singh (gambar), menerangkan bagaimana dia mengembangkan Institut Teknologi Maklumat Asia Pasifik (APIIT) dari bangunan berkeluasan 12,000 kaki persegi di tingkat 15 Wisma Semantan pada tahun 1993 dengan hanya 60 pelajar, menjadi APU dengan kampus berkeluasan 2.1 juta kaki persegi di Taman Teknologi Malaysia dengan jumlah pelajar seramai 12,000 orang dari lebih 130 negara.
“Fokus adalah sangat penting. Saya sentiasa berfokus pada teknologi dan tidak pernah menyimpang daripadanya. Ramai yang bertanya kepada saya, kenapa saya tidak menawarkan jurusan undang-undang atau pergigian, tetapi saya tidak mahu,” kata Dr Parmjit.
“Mitos yang mengatakan pendidikan adalah bisnes yang bagus adalah tidak benar. Terdapat banyak peraturan, pentauliahan, dan lain-lain. Syarikat berasaskan pendidikan haruslah layak untuk bisnes sepertimana bisnes yang lain, dan ia harus dikendalikan dengan efisien,” tambahnya.
“Yuran yang kami kenakan berada pada paras kuartil kedua universiti swasta, tetapi kos bagi setiap pelajar adalah pada kuartil pertama, kerana teknologi tidak murah. Dua bidang utama kami adalah kejuruteraan dan IT, antara jurusan yang paling mahal. Tenaga pengajar kami juga melibatkan kos yang tinggi — 96% daripada mereka adalah veteran dan pakar yang telah bekerja dalam industri selama bertahun-tahun.
“Walau bagaimanapun, kami adalah antara mereka yang mendapat keuntungan yang banyak dalam bisnes ini. Kami dapat melakukannya dengan menjadi teratur. Kami menggunakan teknologi sebagai tulang belakang kepada pengurusan bisnes dan kampus kami. Keuntungan yang didapati adalah produk sampingan daripada kualiti dan reputasi kami.”
“Kami hanya mempunyai satu KPI (Petunjuk Prestasi Utama) bagi seluruh universiti, dan ia adalah daya bekerja. Jika majikan-majikan mengambil graduan kami untuk bekerja dengan mereka, maknanya apa yang kami lakukan adalah betul.”
Kejayaan APU adalah bukti bahawa falsafah dan strategi Dr Parmjit berhasil dengan cemerlang sekali.
Pos Malaysia
Ketua Digital Kumpulan Pos Malaysia, Sangeetha Ranganath, membentangkan bagaimana Pos Malaysia mengembangkan model bisnesnya. Perkhidmatan pos wujud di Malaysia sejak tahun1800-an, dan organisasi ini terpaksa berubah daripada bisnes yang sangat tradisional kepada yang moden yang menggunakan aspek teknologi sedia ada untuk menampung permintaan pengguna yang semakin berubah.
Mereka sedang melalui transformasi digital untuk menggunakan platform teknologi bagi melancarkan penglibatan dengan para pelanggan dan juga menawarkan ketelusan. Pos Malaysia telah melabur di dalam hab automasi dengan pengisih dan sistem pengurusan gudang, sementara pilihan penghantaran alternatif juga telah diperkenalkan sekarang.
Pejabat pos sedang bertukar daripada luar talian kepada dalam talian, dan perkhidmatan bayaran bil automasi juga disediakan. Yang sedang diusahakan kini adalah pembangunan aplikasi mudah alih.
Delegasi Persidangan CEO 2019, anjuran DNA dan Leaderonomics
Bagaimana kita boleh memacu perubahan dalam bisnes?
Bagi memacu pertumbuhan dalam bisnes, para usahawan hendaklah mengenal pasti kesilapan mereka dan memacu perubahan dalam bisnes mereka, serta juga memahami bagaimana budaya boleh memberi kesan kepada keupayaan memanfaatkan teknologi.
Bloom This
“Keluarga saya terlibat dalam bisnes penjualan bunga, dan saya fikir menjual secara dalam talian adalah idea yang baik. Kali pertama saya lakukannya, pelanggan tidak tertarik kepada konsep itu. Kemudian saya menambahbaikkan tapak web, namun hasilnya tetap sama. Selepas itu, saya mendapati bahawa MaGiC (Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia) menawarkan kursus-kursus, jadi saya pun mendaftar untuk belajar mengapa bisnes saya tidak berjalan sebegity licin,” terang Pengasas Bersama dan KPE Bloom This, Giden Lim.
“Pembelajaran tambahan dan perkara-perkara yang kita lakukan di sepanjang perjalanan adalah penting. Saya memilih untuk terus bertahan ‘lapar’,” tambah Lim. “Saya mendapati pengalaman penghantaran bunga penting kepada pelanggan. Kita hendaklah memberikan pengalaman yang sempurna dengan lancar, terutamanya apabila si penerima mendapat bunga.”
KPE QEOS Technology
“Anda tidak perlu lakukannya sendirian. Lebih baik jika dapat berganding untuk mengerjakan sesuatu. Kepercayaan dan ikatan adalah penting. Anda dihormati bukan kerana anda ditakuti, tetapi kerana mereka mempercayai anda serta visi anda,” kata Pengasas dan KPE QEOS Technology Sdn Bhd, Dr Gabriel Walter. “Mereka yang mempercayai dan mengikuti anda adalah aset anda yang paling berkuasa.”
“Ketika kami bermula dahulu, kami sentiasa mencari yang terbaik dari segi teknologi. Tetapi semakin masa berlalu, kami sedar bahawa perkara yang paling sukar untuk dilakukan adalah memudahkan sesuatu yang rumit. Kami melatih orang untuk menjadi lebih kreatif,” tambah Dr Walter.
InsideRisk
Para delegasi juga berpeluang menyaksikan previu InsideRisk, yang dibentangkan oleh Ketua Digital Leaderonomics, Sashe Kanapathi. InsideRisk adalah simulasi mendalam yang membantu PKS dan para pemimpin mereka meningkatkan secara dramatik keupayaan pemikiran kritis dan pembinaan kepercayaan menerusi situasi tebusan yang genting.
Persidangan CEO 2019, yang dianjurkan bersama oleh Digital News Asia dan Leaderonomics, dihadiri oleh pengasas-pengasas dan KPE PKS yang telah berjaya dan memanfaatkan teknologi digital untuk membawa mereka ke peringkat seterusnya, bagi berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman dengan para delegasi.
Khor Hui Min adalah penulis, penyair, pencinta alam, pelukis muka, jurugambar, peminat yoga, dan meditator. Untuk berhubung dengannya, hantar e-mel ke editor@leaderonomics.com. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Embracing Digital To Power Growth.
Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.
Membimbing orang lain dalam kehidupan dan kerjaya mereka dapat memberi peluang kepada kita untuk mengembangkan potensi dan meningkatkan pembangunan diri kita. Mari ketahui lebih lanjut tentang membina pembangunan diri bersama Roshan Thiran.