Mula Dengan Insan Cerminan Diri

Jan 22, 2018 5 Minit
cerminan, refleksi

I’m starting with the man in the mirror
Aku bermula dengan insan cerminan diri
I’m asking him to change his ways
Aku mohon dia mengubah hidupnya
And no message could have been any clearer
Dan tiada ungkapan yang lebih jelas lagi
If you wanna make the world a better place
Jika kau mahu dunia ini menjadi lebih baik
Take a look at yourself, and then make a change
Lihat dirimu, dan buatlah perubahan

~ Man in the Mirror, Michael Jackson

Berita kematian Raja Pop Michael Jackson (MJ) pada 25 Jun 2009 menggegarkan dunia. Kejadian ini berlaku hanya beberapa hari sebelum beliau bakal beraksi semula. Mulai saat itu, seluruh dunia bertumpu pada kehidupan dan lagu dendangan penyanyi yang sungguh berbakat ini.

Saya mengenang dan kembali menghayati lagu-lagu MJ yang menjadi kegemaran saya sejak beliau mula-mula menyanyikan lagu Ben. Tetapi ada sebuah lagu beliau yang sentiasa terpahat dalam fikiran, Man in the Mirror (Insan Cerminan Diri).

Man in the Mirror diterbitkan dalam album berjudul Bad pada tahun 1988. Mesej yang terkandung dalam lagu ini kekal sepanjang zaman. Mesejnya ringkas – jika anda mahu mengubah dunia, bermula dengan diri sendiri. Usah mengeluh, usah meratapi nasib. Semua perubahan bermula dari dalam.

Tatkala menghayati lagu ini, saya sedar dalamnya tersimpul rahsia kepimpinan iaitu penelitian diri dan kesedaran diri.

Penelitian dan kesedaran diri

Apakah maksudnya? Saya ketemui takrifan yang menarik oleh Jane Perdue:

  • penelitian diri: memeriksa diri secara santai tetapi memfokuskan objektif pada minat, kemahiran, kualiti dan nilai kendiri
  • kesedaran diri: telahan tanpa menghakimi akan cara kita bertindak balas, memberi respons, berhubung dan berinteraksi dengan orang lain.

Atau dalam takrifan yang lebih mudah, René Descartes menggambarkan kesedaran diri sebagai ‘cara saya berfikir menentukan diri saya’ (Cogito ergo sum).

Pokok pangkalnya, kesedaran diri bermakna kita peka akan kebaikan diri sementara menerima hakikat bahawa ada aspek diri yang perlu kita asah. Hal ini termasuk mengaku bahawa kita tiada jawapan untuk sesuatu persoalan dan mengaku kesilapan diri.

Dalam dunia yang sengit persaingannya, ini seakan tidak boleh diterima. Malah, ramai yang percaya bahawa kita perlu nampak pandai dalam segenap perkara pada setiap masa. Kita bimbang kebolehan diri dipersoal lalu menggugat kedudukan kita sebagai pemimpin.

Realitinya nyata berbeza. Seperti yang disampaikan dalam lagu MJ, cerminan diri yang kita lihat sekali itu (atau beberapa kali!) setiap hari dilihat oleh orang lain juga. Jadi, setiap orang juga nampak kelemahan dan kekurangan kita selama ini.

Melainkan kita mengambil masa untuk meneliti cerminan diri, kita mungkin tidak dapat melihat diri sendiri seperti yang diperhatikan orang lain setiap hari.

Manfaat kesedaran diri

Untuk memahami diri kita yang sebenar memerlukan penelitian dan masa yang secukupnya. Kadang kala kita rasa cerminan itu memantulkan ‘realiti’ diri namun kita memilih untuk tidak menghiraukannya. Lebih mudah untuk kita tuding jari pada orang lain apabila ditimpa masalah.

Artikel berkaitan: Jujur Menilai Diri

Socrates, Benjamin Franklin dan pemimpin hebat yang lain percaya kesedaran diri menjadikan hidup kita lebih produktif dan bermakna. Malah Buddha pernah memberi sepatah dua kata berkenaan kesedaran diri. Ujarnya, “Semua yang berlaku pada diri merupakan hasil daripada pemikiran diri”.

Sekalipun kita disuapkan pelbagai tafsiran tentang kesedaran diri, kita perlu percaya akan peri pentingnya meluangkan masa untuk mengenal diri sediri. Mengapa hal ini penting?

Satu kajian pada tahun 2010 oleh Green Peak Partners dan Fakulti Perhubungan Buruh dan Industri di Cornel menyebut bahawa ‘kesedaran diri sepatutnya menjadi kriteria utama’.

Yang menarik, kesedaran diri yang tinggi menjamin kejayaan secara keseluruhan. ‘Ini sama sekali tidak menghairankan kerana eksekutif yang peka dengan kelemahan diri selalunya lebih pandai mencari anak buah yang boleh menjayakan kerja yang mereka sendiri kurang arif. Pemimpin sebegini juga lebih mudah menerima idea bahawa seseorang dalam pasukan itu mempunyai idea yang lebih baik daripada mereka,’ menurut kajian itu.

Pemimpin yang serba tahu memudaratkan organisasi

Sebagai seorang pemimpin dalam organisasi, jika kita berpura-pura tahu semua perkara, ini akan mewujudkan situasi yang menyusahkan diri dan pekerja, seperti hilangnya kepercayaan dan wujud masalah seperti melantik bakat yang salah.

Sebaliknya, apabila kita menerima terima hakikat bahawa kita kurang arif dalam sesuatu perkara, ini memberi manfaat pada organisasi melalui peningkatan kredibiliti dan kepercayaan. Keberkesanan kita sebagai pemimpin turut bertambah baik. 

Seperti yang ditunjukkan oleh kajian itu, kita akan cenderung untuk merungkai permasalahan atau mendapatkan bantuan daripada orang lain dalam organisasi. Ini membolehkan kita memanfaatkan kekuatan syarikat secara keseluruhan.

Kesedaran diri asas segala-galanya

Kesedaran diri juga menjadi asas kecerdasan emosi. Kekurangan kesedaran diri membantutkan kemampuan kita dalam pengurusan diri (bagaimana boleh kita mengurus perkara yang kita kurang arif?) dan kepekaan kita terhadap keadaan sosial.

Kesedaran diri adalah sifat yang amat diperlukan sekiranya seseorang ingin menjadi pemimpin yang cekap. Ia kemahiran yang perlu diasah bertubi-tubi oleh setiap pemimpin dalam semua organisasi.

Apa yang perlu saya sedar tentang diri?

Saya menyarankan supaya kita bermula dengan melihat aspek-aspek berikut:

1. Kenal kekuatan diri

Pada tahun 1982, penyelidik merakam cara permainan dua pasukan boling. Setiap ahli pasukan kemudiannya menonton rakaman tersebut atas tujuan penambahbaikan.

Namun demikian, dua pasukan ini menerima video yang disunting dengan cara yang berbeza. Satu pasukan menerima video yang bertumpu pada kelemahan manakala satu lagi pasukan dipaparkan dengan video yang bertumpu pada prestasi mereka yang bagus.

Selepas meneliti rakaman video, prestasi kedua-dua pasukan bertambah baik tetapi skor pasukan yang mempelajari kebaikan diri meningkat dua kali ganda lebih baik berbanding pasukan yang meneliti kelemahan diri.

Kajian ini merumuskan bahawa sekiranya kita menumpukan fokus pada diri sendiri, tidak kira pada kelemahan atau kekuatan, kita mampu memantapkan diri. Namun dengan berfokus pada kekuatan, manfaat yang diperoleh adalah lebih ketara.

2. Tahu perkara yang dipelajari

Pembelajaran adalah batu asas dalam pembangunan diri. Pembelajaran merupakan proses yang memeritkan dan ramai daripada kita cuba mengelak pembelajaran ‘sebenar’ kerana ia menyakitkan.

Adakah kita sedar akan cara terbaik untuk kita belajar? Adakah kita belajar melalui visual, auditori atau kinetik? Sebaik sahaja kita sedar akan tabiat dan gaya pembelajaran diri, kita bakal membentuk diri menjadi pelajar dan pemimpin yang lebih efektif.

3. Buat ‘analisis maklum balas’

Peter Drucker menulis tentang refleksi diri, yang diistilahkan sebagai ‘analisis maklum balas’. Dia menjelaskan seperti berikut: “Apabila anda mengambil keputusan atau membuat keputusan yang penting, tulis jangkaan anda tentang apa yang akan berlaku dalam masa sembilan atau 12 bulan kemudian. Kemudian bandingkan jangkaan ini dengan yang betul-betul berlaku nanti.”

Pemimpin yang mengamalkan pendekatan sebegini memperoleh gambaran jelas akan diri mereka, dan mula sedar akan kuasa yang terhasil daripada membuat keputusan.

Warren Buffet tidak pernah ralit daripada mencatatkan faktor yang mendorongnya memilih sesuatu pelaburan. Dia akan memeriksa semula keputusannya beberapa tahun kemudian, untuk melihat sama ada telahannya betul atau salah. Melalui proses sebegini, dia dapat mengenal dirinya dengan lebih mendalam.

4. Ajukan soalan pada diri dengan lebih kerap

Ramai orang berhempas-pulas menjawab persoalan tentang diri sendiri. Ajukan soalan berikut pada diri. Jika kita tiada jawapan yang jelas, terus bertanya pada diri sehingga kita ketemui jawapan yang dicari:

  •    Apakah nilai yang kita pegang?
  •    Apakah yang kita perjuangkan
  •    Apakah legasi yang ingin kita tinggalkan dan diingati?
  •    Apakah yang kita takuti?
  •    Apakah yang menghalang kita daripada berfikir yang terbaik tentang diri?
  •    Bagaimanakah kawan baik kita akan menyifatkan kita?
  •    Bagaimanakan bos dan rakan sekerja kita akan menyifatkan kita?

Akhir kata

Shakespeare pernah berkata, jika kita tidak mengenali diri, susah untuk kita bersifat benar dengan diri. Dan jika kita tidak dapat bersifat benar dengan diri, kita tidak akan berupaya mengilhamkan diri ataupun orang lain untuk mula berubah.

Jadi, sebelum kita cuba mengubah dunia, baik sekali kita bermula dengan diri sendiri.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Start With The Man In The Mirror

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Nilai Murni, Identiti

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Kerja

Cara Menangani Tingkah Laku Pasif-Agresif di Tempat Kerja

Oleh Michelle Gibbings. Menyahkod tingkah laku pasif-agresif di tempat kerja. Lihat, hadapi, dan pupuk budaya akauntabiliti. Ambil tanggungjawab anda sekarang.

May 13, 2024 5 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Rahsia Menjadi Pemimpin Yang Hebat

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita mengenal pasti dan menjadikan tokoh-tokoh yang unggul sebagai suri teladan, dan berlatih corak kepimpinan yang ingin kita contohi.

Jun 27, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest