Menjadi Pekerja Berwawasan

Jan 22, 2019 1 Minit
visi, wawasan

Pernahkah anda memulakan langkah dengan penuh semangat, nyala rasa dan gelojak jiwa, namun tidak lama kemudian anda dapati diri mula goyah apabila perjalanan anda baru sampai separuh?

Boleh jadi anda terlibat dengan pekerjaan baharu, perniagaan baharu, atau projek baharu yang membuatkan anda anda rasa betul-betul seronok. Anda bermula dengan semangat yang membara, dengan hati yang tulus, anda percaya ini jalan yang terbaik, dan bersedia untuk berhempas-pulas bagi menggapai matlamat.

Saat ini, anda merupakan seorang pekerja berwawasan dengan semangat yang meluap-luap, dan tiada apa pun yang dapat menghalang anda daripada meneruskan langkah.

Namun dalam perjalanan, ada sesuatu telah berubah. Perkara yang dijangka tidak berjalan seperti yang dirancang. Kekecewaan mula melanda. Anda gagal memenuhi jangkaan. Ramai yang sudah berhenti berharap pada anda. Kata mereka, benda yang anda cadangkan sukar dilaksanakan. Anda dibanjiri dengan keraguan dan persoalan. Anda cuba bertahan, namun segala macam kata-kata yang melemahkan semangat terlalu berat untuk anda pikul.

Tanpa anda sedar, anda sudah kehabisan tenaga dan akhirnya berubah menjadi pekerja ikut jam.

Pekerja berwawasan berbanding pekerja ikut jam

Kebanyakan kita pernah merasa kedua-duanya, sama ada menjadi pekerja berwawasan sebelum menjadi pekerja ikut jam atau sebaliknya. Namun apakah perbezaan sebenar antara kedua-duanya?

Pekerja Berwawasan berbanding Pekerja Ikut Jam

Sentiasa terinspirasi Sentiasa penat
Kelihatan bertenaga Kelihatan lesu dan tiada semangat
Ada nyala rasa Sudah pancit
Optimis, nampak gelas separa penuh Pesimis, nampak gelas separa kosong
Suka memberi idea Suka bersungut
Memandang ke hadapan Menoleh ke belakang
Mencipta Meniru
Memulakan langkah sendiri Bagai pahat dengan penukul
Datang awal, balik lambat Datang lambat, balik awal
Bertanya, “Ada apa-apa lagi?”(Jika bukan saya maka siapa yang nak buat?) Bertanya: “Ada orang lain ke?”(Orang lain boleh buat?)
Cepat mengatakan “ya” (Ya, saya kat sini) Cepat mengatakan “tidak” (Bukan saya/saya tengah sibuk)
Membuat perbandingan dengan yang terbaik Membandingkan dengan yang selebihnya
Bertanya, “Bila saya boleh buat kerja ni lagi?” Bertanya, “Mengapa kali ni pun bukan dia?”
Sering berfikir tentang misi sekalipun tiada di tempat kerja Merasakan visi itu terlalu jauh
Mencari cara untuk menambah baik diri Mencari cara untuk melepaskan diri
Tidak sabar untuk sama-sama terlibat Tidak sabar untuk angkat kaki
Menganggap kesilapan sebagai suatu cara untuk melakukan dengan lebih baik pada masa hadapan Menganggap kesilapan sebagai alasan bahawa sepatutnya suatu perkara tidak perlu dilaksanakan
Dipengaruhi oleh perkara yang betul Dipengaruhi oleh apa-apa yang ada
Membuat banyak benda dengan sumber yang sedikit Memuat sedikit sahaja dengan sumber yang banyak

Sumber: Ihsan Kenneth Chin

Berkaitan: 10 Tip Kepimpinan Bagi Bakal Warga Pekerja

Tidak kira setakat manapun perjalanan anda, berikut merupakan tiga aspek untuk membantu anda berusaha dengan lebih gigih untuk menjadi seorang pekerja berwawasan.

1. Nyala rasa: Semarakkan semula semangat

Salah satu perkara yang amat penting untuk dilakukan saat anda kehabisan tenaga adalah mengambil masa rehat untuk menyemarakkan semula nyala rasa anda.

Apakah yang mendorong anda? Apakah benda yang anda benar-benar suka lakukan? Sekiranya masa dan wang tidak menjadi penghalang, apakah yang selalu anda impikan?

Bill Butler pernah berkata,

“Nyala rasa merupakan nafas bagi jiwa.”

Nyala rasa ialah perkara yang anda selalu fikirkan apabila anda bangun dari tidur pada pagi hari dan sebelum anda melelapkan mata pada waktu malam. Hal ini yang sentiasa menyemarakkan semangat dan menjadi pemacu kehidupan anda. Nyala rasa menjadikan kita tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian cukup makan, serta tidak gentar untuk mencuba sesuatu yang baharu.

Nyala rasa tidak menerima alasan seperti kurang pengalaman. Ada benda memerlukan kita untuk mengambil risiko dan ada kalanya kita kena berani mati. Kita tidak bergantung pada pandangan orang lain terhadap diri, atau kita tidak mudah berpaling tadah apabila insan lain tidak bersetuju. Nyala rasa menjadikan kita dapat melihat visi dengan jelas, dan menjadi faktor penolak yang mendorong kita menterjemahkannya melalui tindakan.

Adakah anda sudah menemui nyalarasa anda?

2. Tujuan: Ketahui sebab di sebalik sesuatu

Sekiranya nyala rasa ialah daya penggerak di sebalik sesuatu visi, maka tujuan merupakan hala tuju ke arah visi. Kedua-duanya bagaikan aur dengan tebing.

Pengarang dari Amerika iaitu Thomas Dexter Jakes pernah berkata:

“Jika anda belum ketemui tujuan hidup, carilah nyala rasa diri. Kerana nyala rasa bakal membawa anda ke arah tujuan hidup.”

Pekerja berwawasan bukan sekadar melaksanakan tugasan atas arahan, mereka melakukan sesuatu kerana mereka benar-benar percaya dengan tugasan tersebut. Mereka memandang kerja mereka melebihi tugasan yang diberikan dan dari hati nurani mereka sedar hikmah di sebalik kerja yang  dilakukan mereka. Pekerja berwawasan memiliki tujuan yang tersemat dalam jiwa sehinggakan tugasan yang dilakukan tidak dirasakan sebagai rutin, sebaliknya kerja tersebut dianggap sebagai hasil tujuan daripada kepercayaan yang ditanamkan.

3. Ketekunan: Habiskan perlumbaan

Sekalipun seseorang memiliki nyala rasa dan tujuan seperti yang dinyatakan, ini tidak bermakna kita boleh goyang kaki semasa melalui liku-liku perjalanan. Kita tidak boleh lari daripada cabaran dan masalah, dan akan tiba detik kita hanya mahu menyerah dan angkat bendera putih. Inilah saat tujuan dan nyala rasa kita benar-benar diuji, tetapi saya selalu terkenangkan kata-kata daripada Friedrich Nietzsche:

“Insan yang mengetahui tujuan sebenar kehidupan mampu menanggung segala macam perkara.”

Pekerja berwawasan mampu bertahan melalui perit getir kehidupan kerana mereka memiliki tujuan yang kukuh dan nyala rasa untuk diperjuangkan. Untuk memulakan langkah kita memerlukan kepercayaan, namun untuk mengakhiri perjalanan ini kita memerlukan kesetiaan yang utuh. Moga-moga kita semua terus tekun berlumba, dan akhirinya sebaik mungkin.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Vision Worker vs Roster Worker: Which One Are You?

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Visi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Memimpin dalam Dunia yang Mengganggu: Pengajaran Utama daripada Sidang Kemuncak Kepimpinan Global 2023 (Bahagian 2)

Oleh Kiran Tuljaram dan Meow Ee Chew. Terokai pandangan mendalam daripada Sidang Kemuncak Kepimpinan Global 2023, di mana pakar seperti Anita Elberse dan Erin Meyer berkongsi pelajaran penting dalam kepimpinan pasukan berprestasi tinggi, memupuk budaya ciptaan semula dan menguasai penceritaan di tempat kerja.

Dec 11, 2023 7 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

'Tamparan Idea' ialah podcast Bahasa Melayu yang mengupas topik dan isu semasa berkaitan dengan kepimpinan. Program ini diceriakan oleh Waheeda Hasbullah, seorang pengacara yang sentiasa membawa aura gembira kepada anda semua. Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Rahsia Menjadi Pemimpin Yang Hebat

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita mengenal pasti dan menjadikan tokoh-tokoh yang unggul sebagai suri teladan, dan berlatih corak kepimpinan yang ingin kita contohi.

Jun 27, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest