7 Nilai Unggul pada Pekerja yang Dicari-cari Majikan

Jan 24, 2019 0 Minit
pekerja

Tiap-tiap majikan mempunyai pengalaman tersendiri dengan pekerja mereka, sama ada yang baik atau buruk. Berdasarkan pengalaman, majikan yang mengambil pekerja sentiasa mempunyai penetapan sendiri mengenai ciri-ciri pekerja yang layak diambil bekerja di organisasinya.

Ada yang lebih menitikberatkan soal latar belakang pendidikan, pengalaman dan kemahiran manakala yang lain pula lebih mementingkan karakter seperti kebolehan membuat keputusan, bekerja dalam kumpulan, kemahiran berkomunikasi dan membuat perancangan.

Meskipun demikian, rata-rata, berikut adalah tujuh nilai unggul milik pekerja idaman majikan.

1. Kecerdasan

Kajian mendapati bahawa 76 peratus daripada produktiviti dan sumbangan pekerja ditentukan oleh kecerdasannya iaitu tahap akal dan keupayaan praktikal pekerja dalam menangani cabaran dunia pekerjaan. Aspek-aspek yang diteliti termasuk kebolehan untuk merancang, menganjur, menetapkan keutamaan, merungkai masalah dan menyempurnakan tugasan yang diberi.

Majikan akan menilai tahap kecerdasan ini melalui cara pekerja itu bertanya soalan – sama ada yang bijak atau sebaliknya. Sifat ingin tahu dan banyak bertanya soalan yang relevan akan menonjolkan sifat kecerdasan seseorang. Sekiranya pekerja itu banyak bertanya soalan yang baik dan menilai jawapan yang diberi, dia akan lebih cepat belajar mengenai skop kerja/tugasannya.

2. Keupayaan kepimpinan

Kepimpinan adalah kesanggupan dan keinginan menggalas tanggungjawab untuk membuat keputusan. Seseorang yang memaparkan keupayaan kepimpinan tidak gemar memberi alasan. Dia akan menunjukkan kesediaan untuk berusaha merangka strategi untuk mencapai matlamat syarikat.

Berkaitan: Berhenti Memberi Alasan

3. Integriti

Integriti merupakan kualiti yang paling penting untuk mencapai kejayaan jangka panjang dalam kehidupan, lebih-lebih lagi di tempat kerja. Tahap integriti diri boleh dinilai melalui sejauh mana anda jujur pada diri sendiri. Jika anda mampu bersikap jujur ​​dengan diri sendiri, anda juga akan bersikap jujur dengan semua orang termasuk majikan dan rakan-rakan pejabat.

Anda bersedia untuk mengakui kekuatan dan kelemahan anda. Anda bersedia untuk mengakui kesalahan yang dilakukan ketika melaksanakan sesuatu tugasan. Jujur, amanah dan positif saling beriringan. Ia membezakan kualiti diri anda dengan pekerja-pekerja lain.

4. Mudah mesra

Majikan mencari pekerja yang ramah, mudah mesra serta senang bekerjasama dengan orang lain untuk menjadi sebahagian daripada pasukan seperti sebuah keluarga.

Pekerja lelaki atau wanita yang mempunyai personaliti yang baik sentiasa lebih popular dan lebih berkesan dalam apa sahaja yang dilakukan. Kerjasama merupakan kunci kepada kejayaan perniagaan.

Pengalaman anda bekerja sebagai sebuah pasukan pada masa lalu serta kesanggupan untuk bekerja berpasukan pada masa akan datang boleh menjadi antara perkara yang paling menarik tentang anda ketika anda memohon pekerjaan.

5. Kecekapan

Kecekapan merupakan aspek terpenting dalam meraih kejayaan. Baik dalam melaksanakan dan menyempurnakan tugasan, mencari maklumat dan merungkai masalah, kecekapan adalah asas penting dalam setiap bidang kerjaya yang diceburi.

Ia juga merupakan keupayaan pekerja dalam menetapkan keutamaan, membezakan tugas-tugas yang relevan dan kurang relevan, dan bijak mengurus masa.

6. Keberanian 

Keberanian dalam dunia kerja bermaksud kesediaan untuk mengambil risiko, menghadapi cabaran, menerima tugasan besar atau pekerjaan baharu di mana terdapat tahap ketidakpastian yang tinggi dan kemungkinan untuk gagal.

Ia juga adalah kesanggupan untuk bersuara dan mengatakan dengan tepat dan jelas apa yang difikirkan tentang sesuatu situasi yang dihadapi di tempat kerja. Majikan menerima baik pekerja yang tidak takut untuk meluahkan perasaan dan mengutarakan pendapat mereka.

Berkaitan: Memberi Maklum Balas Yang Pedih Tetapi Benar

7. Kekuatan dalaman 

Kekuatan dalaman bermaksud memiliki keazaman dan keupayaan untuk bersabar dan bersemangat kental ketika berhadapan saat sukar di tempat kerja. Kekuatan dalaman akan terpamer jelas apabila anda kekal tenang dan santai semasa sesi temu duga kerja.

Ini adalah petunjuk bahawa anda akan tetap tenang dan mampu bersabar ketika organisasi berhadapan krisis yang tidak dapat dielakkan.

Akhir kata

Dalam mencari kerja atau menjalankan tugas sebagai pekerja, yang paling utama ialah siapa diri anda sebenarnya. Tonjolkan kelebihan yang anda miliki.

Elakkan daripada berpura-pura atau berlakon. Lambat laun majikan dan pekerja-pekerja lain akan dapat melihat sisi sebenar diri anda.

Terus membina watak yang positif dan kekalkannya dalam diri agar ia berubah menjadi karakter semula jadi anda. Kaji dan banyakkan bertanya apa yang dicari oleh majikan sebelum mula mencari pekerjaan.

 

Sumber: Majalah Niaga. 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Nilai Murni

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

pengurusan masa, profesional

Pengurusan Masa yang Efektif: Strategi untuk Profesional Sibuk Masa Kini

Oleh Ed Smith. Para eksekutif hari ini memahami bahawa perniagaan berlaku dalam pelbagai situasi. Suatu hari, anda mungkin bekerja dari rumah secara jarak jauh, dan pada hari berikutnya, anda menaiki pesawat untuk menghadiri mesyuarat korporat penting di luar negara. Ini menjadikan perjalanan perniagaan yang efisien dan selesa satu keperluan untuk organisasi yang berdaya saing dan produktif, bukan sekadar satu kemewahan.

Nov 17, 2024 3 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Berbaloi Mengotori Tangan Anda

Kepimpinan hanya boleh dipelajari dan dibentuk dalam proses mengotori tangan melalui pengalaman hidup. Konteks membentuk kebolehan kepimpinan. Tontonilah video ini.   Untuk membaca artikel berkaitan, klik Mengotori Tangan Anda.

Jul 17, 2017 4 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest