Memberi Maklum Balas Yang Pedih Tetapi Benar

Jan 07, 2019 1 Minit
maklum balas
Memberi Maklum Balas yang Benar Adalah Penting

Setiap pemimpin mempunyai pengalaman yang serupa. Sama ada berada di dalam lif dengan rakan-rakan sekerja, membeli minuman atau berjalan-jalan di tempat kerja, perbualan jarang lari dari yang biasa-biasa.

“Hai semua, apa khabar?”
“Hai bos, semuanya baik. Terima kasih!”
“Ada apa yang anda perlukan? Apa-apa yang saya patut ketahui?”
“Tidak, tidak. Semuanya baik-baik belaka!”

 

Sekiranya seseorang itu benar-benar seorang pemimpin, dia akan tahu bahawa tidak mungkin organisasinya sedia berada pada tahap yang hebat sepanjang masa.

Terutamanya di dunia sebelah sini, pekerja-pekerja lebih senang berdiam bisu tentang sebarang isu yang dihadapi, apabila ditanya oleh pemimpin mereka. Atau, yang lebih teruk, kerana takut membuat bos marah, mereka enggan berkongsi masalah yang dihadapi dengan bos.  

Situasi sebegini bukan ideal. Mana-mana organisasi yang mendakwa memeluk keterbukaan, ketelusan dan pemerkasaan patut menggalakkan pekerja, ketua pasukan, malah pengurus untuk menyoroti apa sahaja yang dirasa menghambat kemajuan atau kesepakatan dalam pasukan.

Kalau tidak, pemimpin-pemimpin berisiko ditinggalkan dengan kekhuatiran yang belum terselesai, yang cenderung bertambah buruk dari waktu ke waktu, dan mencetuskan masalah yang lebih besar dalam jangka panjang.

Penting saya perjelaskan di sini: sebagai pemimpin, bukan mudah untuk saya mendengar maklum balas yang benar dan keras tetapi saya perlu diberitahu. Ini kerana sekiranya pemimpin tidak dimaklumkan mengenai masalah yang perlu diberi perhatian, dia tidak dapat mengambil tindakan untuk memperbaiki keadaan.

Masuk akal, bukan? Tidak kira betapa hebat atau intuitif seseorang pemimpin itu, dia tidak boleh membetulkan sesuatu jika dia tidak sedar adanya masalah. 

Saya ingin berkongsi pandangan kenapa memberi maklum balas yang keras dan benar adalah penting dan bagaimana kita boleh memberinya dalam cara yang terbaik.

1. Maklumkan isu… tetapi jangan berhenti setakat sana sahaja

Contohnya, jabatan anda dalam keadaan kelam-kabut. Hakikatnya, anda lebih mengenali jabatan anda daripada pengurus kanan atau pemimpin. Meskipun berharga sekali anda ketahui ada masalah, tetapi lebih berharga sekali jika anda mempunyai gagasan idea untuk mengatasi masalah itu.

Ini akan memberi peluang untuk anda memaparkan diri sebagai seorang yang bukan sahaja ringan tulang tetapi juga pandai menyelesaikan masalah. Dan mana-mana pemimpin akan memberitahu anda, individu yang pandai menyelesaikan masalah amat tinggi nilainya.

2. Yang tersembunyi tidak akan kelihatan 

Kebanyakan pemimpin menyedari bahawa pekerja-pekerja mereka akan berkata, “Hebat, bos!” apabila ditanya tentang suasana kerja. Tetapi dalam perbualan sesama pekerja-pekerja lain, mesej yang dikongsikan jauh berbeza sekali.

Biarpun pemimpin anda mungkin seorang yang sungguh cekap, tetapi jauh sekali mereka boleh membaca pemikiran orang lain.

Pemimpin tidak dapat memberi tumpuan kepada sesuatu yang dia tidak nampak. Perlu diingat, pemimpin tidak mungkin ketahui setiap sesuatu yang berlaku. Dia bergantung kepada pasukannya untuk bersifat terbuka seperti mana yang diharapkan pasukan akan pemimpin mereka.

3. Bersifat berani

Bagi mereka yang mungkin membaca ini dan berfikir, “Ini semua bagus, tetapi cuba beritahunya kepada bos saya!”

Meskipun demikian, saya tetap akan menggalakkan anda untuk menyuarakan pandangan anda. Kebanyakan pemimpin menghargainya apabila perkara-perkara yang penting dibawa ke perhatian mereka.

Ya, pemimpin anda seorang yang sibuk. Dia ada banyak perkara yang perlu dilakukan. Tetapi dia sememangnya ingin tahu apa yang sedang berlaku dalam organisasi dan membantu menyelesaikan sebarang isu sebelum ia bertambah buruk.

Jika bos anda benar-benar seorang yang tidak mengalu-alukan maklum balas yang keras dan benar, tetap suarakannya juga. Dengan berbuat demikian, sekiranya masalah itu bertambah buruk, tidak sesiapa boleh berkata anda tidak cuba memaklumkannya.

4. Organisasi kita bukan milik pemimpin seorang, tetapi milik kita semua 

Terutamanya di Asia, kita mudah terjebak dalam budaya memberikan terlalu banyak penghormatan kepada mereka yang berkedudukan atau berpengaruh.

Meskipun rasa (saling) hormat patut disanjungi, perlu dicatat bahawa tanpa insan-insan yang bekerja bersama dengannya, Alibaba milik Jack Ma tidak akan wujud.

Facebook kepunyaan Mark Zuckerberg akan kekal sebagai ruang perkongsian kolej, dan jika Steve Jobs tidak mengelilingi diri dengan individu-individu yang berbakat, apabila seseorang bertanya anda hari ini, “Adakah anda seorang peminat Apple?”, anda mungkin menjawab, “Tidak, saya lebih suka oren!”

Anda adalah bahagian penting dalam sesebuah organisasi kerana anda menyumbang kepada prestasinya. Dengan itu, anda harus menggunakan suara anda dengan kesedaran bahawa anda membantu organisasi anda untuk bertambah baik dan berkembang.

Bagi semua pemimpin, satu titik refleksi diri adalah bahawa kita tidak akan berada di mana-mana tanpa individu-individu hebat yang bekerja bersama kita. 

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The Best Way To Give Tough Feedback.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Alt

Daripada Salah Faham kepada Penguasaan: Empat Dimensi untuk Mentransformasikan Kepimpinan Silang Budaya Anda

Oleh Karin Hurt dan David Dye. Kuasai kepimpinan silang budaya untuk pasukan yang berprestasi tinggi! Belajar untuk mengharungi cabaran dan cemerlang dengan Sambungan, Rasa ingin tahu, Kejelasan dan Komitmen.

Apr 16, 2024 7 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Pembelajaran Efektif

Cuma 10% daripada pembelajaran efektif diperolehi daripada latihan dalam kelas, 70% adalah berasaskan pengalaman, dan 20% adalah melalui pemerhatian.

Jan 04, 2024 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest