Kepimpinan yang baik memberi inspirasi; Pemimpin yang teruk mengawal.
Saya tidak pasti sama ada saya bersetuju sepenuhnya dengan ungkapan tersebut. Kebanyakan bos saya yang hebat memberi inspirasi tetapi juga bersifat mengawal. Mereka tahu bagaimana untuk bertukar daripada bersifat autoritatif kepada memberi inspirasi secara lancar dan pada waktu yang tepai. Jadi, apakah yang menentukan jika bos anda itu baik atau teruk?
Pada pendapat saya, empat perkara berikut adalah pembeza antara bos yang baik dan yang teruk:
- Mereka mengenali saya.
- Mereka membuat saya berfokus.
- Mereka prihatin terhadap saya.
- Mereka menyulitkan hidup saya supaya saya berkembang.
Mengenali saya
Sepanjang kerjaya saya, saya pernah bekerja dengan bos yang hebat dan juga yang teruk. Bos-bos yang baik mengenali kekuatan saya, matlamat peribadi saya, titik tekanan saya, apa yang menguja dan memberi motivasi kepada saya. Dan mereka memastikan bahawa setiap peranan dan tugasan yang diberikan berasaskan pada kekuatan saya (dan bukan kelemahan).
Dalam bukunya berjudul Authentic Leadership, Bill George mengatakan,
“Kebolehan membina hubungan yang erat dan tahan lama menunjukkan tanda-tanda seorang pemimpin.”
Bos yang teruk pula hanya peduli tentang masa hadapan mereka dan bagaimana mengurus kerjaya mereka. Menjalin hubungan adalah perkara yang kurang penting dalam senarai keutamaan mereka.
Satu contoh klasik tentang bos yang teruk adalah apabila dia menerima pujian untuk kerja yang anda lakukan tanpa memberi penghargaan kepada anda.
Ketika saya berada di Eropah, saya bekerja dengan seorang bos yang jarang sekali masuk ke pejabat tetapi tidak pernah tertangkap kerana bosnya berpejabat di Amerika Syarikat (AS). Tanpa saya sedari, setiap tugasan yang saya siapkan dan hantar kepadanya, dihantar semula kepada bosnya di AS dengan cepat tanpa sebarang bentuk penghargaan untuk saya.
Lebih teruk apabila saya dipertanggungjawabkan ketika ada isu yang timbul. Saya tidak pernah menyedari ini sedang berlaku dan terus bekerja dengan tekun setiap hari. Tetapi beberapa orang rakan sekerja saya menyedari perkara sebenar, lantas memberitahu bosnya.
Semasa salah satu cuti panjang bos saya, bos besar dari AS melawat ke Eropah dan menghabiskan masa bersama saya. Dalam masa seminggu, bos saya ditukarkan sementara saya diberi peranan yang lebih besar di AS.
Jadi, berita gembira adalah, walaupun anda mempunyai bos yang teruk, anda tetap akan dihargai jika anda terus bekerja dengan rajin dan memberi usaha yang terbaik.
Membuat saya berfokus
Memandangkan bos yang teruk tidak pernah mengenali anda, mereka tidak dapat membuat anda berfokus. Ramai daripada kita berbakat besar dan mempunyai minat yang pelbagai. Kita harus berfokus.
Bos-bos saya yang hebat mengambil masa untuk membuatkan saya berfokus pada tugasan penting (kadang-kadang dengan hanya perbualan lima minit setiap minggu dari pejabat ke destinasi mesyuarat mereka yang berikutnya).
Sebaliknya, terdapat bos-bos yang saya mula-mula anggap sebagai penyelamat, akhirmya mengecewakan saya. Mereka membiarkan kami melakukan tugasan berpandukan set jangkaan serta standard kami sendiri tetapi kemudian mendapati yang ia tidak diterima. Kebanyakan kekecewaan yang dialami di tempat kerja kini berkait dengan hala tuju dan jangkaan yang tidak jelas.
Saya juga sering berbalah dengan bos-bos saya dalam bahagian pengutamaan. Dalam organisasi saya sebelum ini, ketua pegawai eksekutif mengumumkan 23 inisiatif berbeza yang syarikat terpaksa jalankan bagi tahun tersebut. Saya merasa sungguh terperanjat dan keliru sehingga saya terpaksa bertanya kepada bos saya tentang perkara yang patut saya fokuskan. Dia menjawab bahawa setiap inisiatif adalah penting dan mendesak.
Selesai mesyuarat itu, saya merasa ternganga kehairanan dan menjadi tidak keruan. Sudahnya, saya tidak membuat banyak perkara pada tahun itu. Saya ada membuat sedikit kerja di sana dan di sini tapi tiada hasil yang dapat ditunjukkan. Saya memerlukan bos saya untuk membantu saya berfokus dan mengutamakan kerja yang penting dahulu, membuat perkara dengan mudah dan terus (berkenaan komunikasi).
Satu lagi pengajaran yang saya dapat adalah jangkaan. Bos yang teruk mahu anda melakukan cukup-cukup makan sahaja. Bos yang hebat pula menuntut ‘yang lebih’ – daripada diri mereka sendiri dan orang lain. Dan mereka menunjukkan bagaimana anda boleh berfokus untuk mencapainya. Dan perjalanan menuju ‘yang lebih’ itu selalunya pengembaraan yang luar biasa.
Fokus adalah penting sebab apa yang anda sebagai individu (atau pasukan) lakukan haruslah sejajar dengan bahagian lain dalam organisasi itu. Itulah kenapa pemimpin hebat bekerja keras supaya para pekerja mereka dapat berfokus.
Prihatin terhadap saya
Ramai orang menyalah anggap yang kita terlalu manjakan pekerja kita sedangkan kita hanya prihatin terhadap mereka. Bos-bos terhebat saya sebelum ini menunjukkan mereka mengambil berat dengan menjadi sejujur-jujurnya.
Beberapa tahun lalu, saya menghadapi kesukaran dalam tugasan baharu atas beberapa faktor. Saya tidak sangka yang bos saya menyedari susah payah saya kerana dia tinggal dan bekerja di bandar lain. Ketika saya berada di ibu pejabat, dia membawa saya ke tepi di ruang letak kereta (sebelum kami keluar untuk makan malam bersama rakan sekerja lain) dan dia bersyarah kepada saya selama tiga jam, menyeksa saya tentang betapa dia sangat kecewa dengan prestasi saya.
Saya sebenarnya tidak menyedari takat prestasi saya, tetapi dia menjelaskan yang ia sebenarnya amat mengecewakan. Kami makan malam dan saya berasa sangat sedih kerana dia begitu jujur dalam percakapannya terhadap saya. Tetapi keesokan harinya, saya berazam untuk menjadi lebih baik. Pada suku yang berikutnya, saya menjadi pekerja terbaik dan sekali lagi dia dengan jujur memberitahu saya.
“Memberitahu perkara sebenar menunjukkan yang pemimpin-pemimpin memahami kesusahan yang dialami, dengan cara yang penuh empati sehinggakan ia mencipta hubungan untuk maju ke hadapan.” – Jim Haudan
Kebanyakan pengurus terbaik saya memberi maklum balas yang jujur secara konsisten.
Bagaimanapun, di Asia, kita mempunyai budaya pengelakan maklum balas. Kita risau kerana kita tidak mahu menyakiti perasaan pekerja jika kita membawa perkhabaran buruk. Tetapi, jika kita benar-benar prihatin, kita akan menyediakan maklum balas jujur dan tulen kepada para pekerja kita.
Satu lagi sifat paling ketara bos yang teruk adalah mereka selalu tidak melindungi para pekerja mereka apabila diperlukan.
Beberapa tahun lalu, saya ditugaskan untuk menyediakan kertas yang akan dibentangkan oleh bos saya kepada ketua pegawai eksekutif (KPE) kumpulan, seorang lelaki yang menggerunkan bernama Jack Welch. Ketika pembentangan, Encik Welch dengan pantas terjumpa satu kesilapan dan mendesak penjelasan. Dengan tenang, bos saya menerangkan yang ia sememangnya satu kesalahan, dan dia menanggung kesalahan itu tanpa melibatkan saya. Selepas mesyuarat itu, dia memberitahu saya tentang pentingnya memeriksa semula segala kerja yang dihantar. Itu saja. Saya tidak akan lupakannya.
Kebanyakan bos yang teruk tidak akan secara sukarela memikul tanggungjawab apabila perkara buruk terjadi. Apa yang mereka buat adalah menyalahkan para pekerja mereka.
Bahagian terakhir dalam persamaan prihatin ini adalah mempunyai nilai kemanusiaan. Bos yang teruk kadang-kadang tidak berperikemanusiaan. bukanlah manusia. Mereka hanya mengikut peraturan dan kurang menunjukkan emosi.
Bos yang baik gembira apabila perancangan menjadi dan mereka juga sedih dan kadang-kadang marah dan kecewa apabila perancangan tidak menjadi. Mereka tidak membantah apabila anda menunjukkan emosi anda. Bos yang teruk menahan perasaan dan mengharapkan anda juga begitu. Ini kadang-kadang mengakibatkan tercetusnya emosi yang terpendam.
Membantu saya berkembang
Pembeza terakhir di antara bos yang hebat dan yang teruk adalah kesediaan mereka untuk membantu anda berkembang. Bos yang teruk tidak peduli, jadi mereka tidak berkongsi. Pengurus yang hebat sentiasa bersedia untuk berkongsi maklumat, pengetahuan dan sedikit kebijaksanaan dari masa ke semasa.
Saya teringat bos pertama saya, Mike Petrucelli, seorang bos yang sukar. Dia menginginkan yang terbaik daripada mereka yang bekerja untuknya. Dia mendorong saya walaupun saya tidak suka diperlakukan begitu.
Jika dia tidak menolak saya keluar daripada zon selesa saya, saya mungkin tidak akan berjaya dalam peranan lain di dalam organisasi itu. Dan saya sedari selepas saya bertukar ke jawatan baharu bahawa bos-bos yang terbaik bukanlah yang paling mesra tetapi yang mendorong kita dengan kuat.
Pemimpin yang hebat mengajar dan melatih. Bos yang teruk tiada masa untuk dilabur dalam membina pekerja-pekerjanya. Mereka juga tidak berminat untuk mendorong para pekerjanya.
Pertumbuhan adalah proses yang menyakitkan yang memerlukan masa, usaha dan dorongan malar. Ketika saya di sekolah, guru-guru terbaik nampak potensi yang ada pada diri kami dan percaya pada kami. Mereka sangat prihatin hingga sanggup berleter kepada kami supaya belajar dan mereka mendorong kami untuk melampaui keupayaan kami.
Sama juga dengan pengurus yang hebat. Mereka membolehkan para pekerja mereka memperoleh kecekapan baharu bukan hanya dengan latihan tetapi dengan memberi mereka tugasan mencabar, kerja yang kompleks dan peluang untuk mencuba peranan baharu.
Apabila anda mempunyai bos yang mendorong anda dan membuatkan anda melalui keperitan proses pembelajaran dan pertumbuhan, bergembiralah! Bos anda begitu prihatin untuk melihat anda berkembang.
Kata-kata akhir
Jika bos anda mengenali anda, membuat anda berfokus, prihatin terhadap anda dan membantu anda berkembang, dia adalah seorang bos yang baik. Bekerjalah untuk mereka yang seperti ini. Mereka mungkin akan meregang dan mendorong anda, tetapi akhirnya anda akan berkembang.
Adakah anda seorang bos yang baik atau bos yang teruk? Berita baiknya adalah bos yang teruk juga boleh BERUBAH!
Roshan Thiran berharap dapat memecutkan pembelajaran hariannya dan beraspirasi untuk terus berkembang menjadi bos yang hebat. Anda boleh menghubunginya melalui Facebook atau Twitter. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Deconstructing Leaders: What Makes A Good Boss vs A Bad Boss