Pengajaran Kepimpinan Yang Terbaik Daripada Bapa Tersayang

Jun 13, 2018 1 Minit
pengajaran, kaum bapa, pemimpin
Kepimpinan Bapa

Bapa mempunyai peranan yang kritikal terhadap kejayaan kepimpinan anak-anak mereka. Menurut pakar kepimpinan George Kohlrieser, kedua-dua anak lelaki dan anak perempuan belajar kepimpinan daripada bapa mereka. Bapa memainkan peranan penting dalam melahirkan golongan pemimpin.

Menjelang Hari Bapa, saya terkenangkan pengajaran kepimpinan yang saya peroleh daripada bapa saya. Beliau berkongsi banyak wawasan mengenai kepimpinan semasa saya membesar. Tetapi satu pengajaran yang bapa sentiasa tekankan melalui tindakannya dalam mengemudi kehidupan adalah bahawa setiap insan boleh menjadi pemimpin.

Semasa membesar, bapa akan menggesa ramai orang untuk menggalas jawatan kepimpinan, sekalipun mereka membantah dan menyatakan ketidakupayaan diri menjadi pemimpin. Bagaimanapun, bapa akan terus menggalakkan mereka hinggakan mereka mengia-iakan kata-katanya. Itu merupakan titik tolak saya mula percaya bahawa setiap insan terdaya menjadi pemimpin.

Adakah anda dilahirkan menjadi seorang pemimpin?

Setiap kali saya menyertai perbincangan mengenai kepimpinan, pasti ada seseorang yang akan bersuara dan mengumumkan:

“Saya tidak Dilahirkan untuk menjadi pemimpin; peranan ini bukan untuk saya.”

Dalam kebanyakan kes, suara ini datangnya daripada mereka yang berpendapat kepimpinan adalah sesuatu yang tampak gah. Mereka akan membandingkan diri dengan para pemimpin hebat dahulu dan sekarang lalu merasakan diri mereka tidak sama seperti tokoh terbilang sedemikian. Maka, mereka yakin bahawa mereka tidak layak menjadi pemimpin.

Apa yang saya pelajari daripada bapa, ini sememangnya tidak benar.

Persoalan tentang makna sebenar seorang pemimpin masih hangat diperbualkan. Dengan  sebanyak lebih 350 takrifan berkenaan ‘kepimpinan’ yang diperoleh daripada penyelidikan akademik, terdapat sekurang-kurangnya satu yang kita begitu pasti: tiada jalan tertentu, tiada resepi ajaib yang dapat membentuk seseorang menjadi pemimpin. Sama seperti perjalanan menuju ke sesebuah destinasi, terdapat banyak cara untuk mengembara.

Pemimpin yang tidak menonjol 

Saya teringat akan perbualan dengan seorang insan, yang menyukai idea ‘menjadi pemimpin suatu hari nanti’, namun dia merasakan diri terlalu senyap dan tidak menonjol.

Seperti bapa saya yang suka memberi dorongan kepada orang lain, saya pun mendorongnya dengan menyebut pencapaian tokoh-tokoh seperti Abraham Lincoln, Eleanor Roosevelt, Albert Einstein, Bill Gates, Larry Page, Steve Wozniak dan Elon Musk. Ekstrovert penuh bertenaga bukannya sifat semula jadi mereka.

Dan walaupun hari ini kita mengagungkan nama-nama ini, tiada seorang pun daripada mereka hebat semenjak kecil dan tiada seorang pun yang menganggap diri mereka pemimpin yang hebat.

Tatkala bertukar pendapat dengan individu yang segan untuk menjadi pemimpin ini, saya sedar terdapat masalah dalam cara kepimpinan dan kejayaan digambarkan.

Selalunya, apabila topik kepimpinan dan kejayaan diutarakan, kita dimomokkan dengan idea bahawa kualiti sebegini sepatutnya dicapai serta-merta. Maka, bukan kita tidak percaya kepimpinan sukar dipupuk, sebaliknya kita percaya bahawa ciri kepimpinan perlu tertanam dalam diri sejak dari mula, sebelum kualiti tersebut dipupuk dan diasah kemudian hari.

Setiap orang boleh menjadi pemimpin

Tetapi inilah likunya: setiap orang memiliki sifat kepimpinan dalam diri.

Baik, saya tahu perkara yang berlegar dalam fikiran anda, “Tapi saya bukannya Lincoln atau Roosevelt mahupun Martin Luther King.” Mereka juga tidak terus lahir sebagai insan hebat. Sekalipun bagus sekiranya nyala rasa dan ketekunan mendorong anda memiliki kehebatan, kepimpinan tidak semestinya menjadikan anda ikon yang menggegarkan zaman.

Dalam kebanyakan situasi, kepimpinan menyentuh pada cara kita mengimpak kehidupan seseorang yang kemudian hari akan — atau mengilhamkan seseorang untuk terus — mencapai kehebatan nanti. Pokok pangkalnya, kepimpinan berkait rapat dengan mempunyai matlamat yang jelas, kedudukan semasa yang jelas berhubung matlamat, dan akhirnya mempengaruhi orang lain secara positif yang membolehkan setiap seorang mencapai matlamat masing-masing.

Seperti yang ditunjukkan oleh bapa saya semasa saya kecil lagi, kepimpinan sebenarnya benar-benar melibatkan pengaruh dalam mewujudkan riak yang kesannya melebihi jangkauan anda.

Berkaitan: 8 Cara Berkesan Membentuk Anak Menjadi Pemimpin

Jadi, bagaimana anda boleh kenal pasti sama ada anda sudah memiliki kualiti sebagai seorang pemimpin? Ada beberapa tanda yang menunjukkan potensi yang terpendam dalam diri anda. Senarai berikut tidak semestinya mencakupi semua aspek. Anda mempunyai potensi sebagai pemimpin jika:

  • Anda pernah melatih seseorang dengan kemahiran atau amalan tertentu.
  • Anda pernah memberi nasihat yang menyentuh pada kehidupan peribadi atau profesional kepada seseorang.
  • Anda pernah mendayaupayakan seseorang untuk merealisasikan potensi diri mereka.
  • Anda meluangkan masa untuk mendengar isi hati orang lain dan berminat dengan perkara yang diluahkan oleh mereka.
  • Anda pernah meneliti suatu proses atau amalan, dan anda rasa proses atau amalan tersebut boleh ditambah baik, dan mencari jalan untuk memperbaiki keadaan.
  • Anda meluangkan masa dan tenaga dalam perhubungan dan sering mencari jalan untuk berkhidmat untuk orang lain.
  • Anda meluangkan masa untuk merenung cara anda berinteraksi dengan orang lain dan memikirkan cara untuk menambah baik interaksi tersebut.
  • Anda ghairah dengan sesuatu tujuan atau misi.
  • Anda cenderung membantu dan berkhidmat demi orang lain, tetapi anda rasa diri anda tidak layak menjadi pemimpin (dengan kata lain, anda bersederhana dan rendah hati)

Sekiranya anda rasa anda memiliki satu atau lebih ciri yang dinyatakan di atas, tahukah anda? Anda sudah buktikan bahawa anda memang seorang pemimpin. Ya, inilah hakikatnya.

Mari kita ranapkan rasa di awang-awangan ini. Biarpun anda seorang pemimpin, ini tidak bermaksud anda pemimpin yang hebat, mahupun pemimpin yang bagus. Sama seperti mekanik kenderaan atau akauntan yang kurang cekap, semestinya ada juga pemimpin yang tidak cekap.

Namun, di sinilah pembangunan dan pembelajaran kepimpinan memainkan peranan. Setiap orang berkebolehan menjadi pemimpin yang bagus (malahan hebat), kerana setiap orang memiliki potensi kepimpinan dalam diri mereka. Bagaimanapun, seperti kualiti yang lain, ciri ini perlu disemai, dipupuk dan diasah.

Tidak kisahlah jika anda seorang yang senyap dan tidak menonjol mahupun lantang dan menonjol, semua ini tidak relevan kerana ciri-ciri ini tidak berkesan ke atas kualiti berkenaan potensi kepimpinan seseorang. Perkara yang berkesan terhadap potensi kepimpinan ialah cara anda memupuk bakat yang terpendam dalam diri, dan cara anda meneliti diri serta berkhidmat untuk orang lain sebaik mungkin.

Sudah tentu, saya tidak lupa akan satu lagi keraguan anda. Mari saya jawabkannya sekarang: pemimpin terbaik juga pengikut, kedua-duanya tidak boleh diasingkan antara satu sama lain.

Abraham Lincoln sangat bijak dalam menentukan sama ada beliau perlu memimpin atau mendapatkan petunjuk dalam situasi tertentu. Elon Musk pula tidak dikeliling pasukan orang yang pintar tanpa sebab. Jadi, jika setiap orang menjadi pemimpin yang bagus atau hebat, ini tidak bermakna tiada yang menjadi pengikut.

Akhir kata

Bapa menunjukkan dengan jelas bahawa kepimpinan merupakan cara mempengaruhi orang di sekeliling secara positif: ini tidak bermaksud anda perlu mara ke hadapan mengangkat sepanduk.

Malah, ramai pemimpin hebat hari ini adalah golongan yang mempengaruhi orang lain dalam diam-diam tanpa jerit pekik.

Inilah hadiah terbaik yang saya peroleh daripada bapa saya, iaitu kesedaran bahawa semua orang berkebolehan dan harus berusaha tanpa lelah membentuk diri menjadi pemimpin yang hebat.

Selamat Hari Bapa* kepada semua yang menggalas tanggungjawab sebagai bapa.

 

Roshan Thiran bertekad untuk membentuk setiap individu menjadi pemimpin. Anda boleh menghubunginya melalui Facebook dan Twitter. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik The Biggest Leadership Lesson Learnt From My Father.
*17 June 2018

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Pemimpin

Kepimpinan, Tabiat dan Ego

Oleh Sonia McDonald. Ketahui cara membina tabiat positif, lepaskan ego anda dan pupuk kecerdasan emosi sebagai seorang pemimpin.

Oct 15, 2023 7 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Membina Pembangunan Diri

Membimbing orang lain dalam kehidupan dan kerjaya mereka dapat memberi peluang kepada kita untuk mengembangkan potensi dan meningkatkan pembangunan diri kita. Mari ketahui lebih lanjut tentang membina pembangunan diri bersama Roshan Thiran.

Apr 03, 2024 44 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest