Jadilah Pemimpin Yang Hebat Buat Anak-Anak Kita

Jun 11, 2018 1 Minit
pemimpin baik untuk anak-anak

Aku ada sebuah impian. Aku berharap suatu hari nanti, keempat-empat anakku akan hidup di negara di mana mereka tidak dihakimi menurut warna kulit tetapi kedalaman karakter mereka. — Martin Luther King, Jr.

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sudah melabuhkan tirainya. Keadaan kian tenang semula. Hari demi hari, kita banyak membaca dan mendengar tentang apa yang perlu dilakukan oleh pemimpin negara sekarang untuk memajukan negara dan menebus semula kredibiliti negara di persada dunia.

Kinilah masanya kita rakyat Malaysia perlu menilai kedudukan semasa dan memikirkan hala tuju kita. Sudah pasti sekali, kita semua mempunyai peranan masing-masing untuk membantu negara menjadi yang terbaik mungkin.

Berkaitan: Renungan Tentang PRU Ke-14 Malaysia

Melentur buluh biar dari rebungnya

Saya tegar dengan idea bahawa pembentukan seseorang pemimpin adalah menerusi proses pengasuhan. Kualiti kepimpinan perlu dipupuk dari kecil lagi.

Pada mulanya, kualiti itu memanglah melalui contoh teladan. Bagaimana kita memperlakukan orang lain, cara kita mendekati masalah, dan bagaimana kita mengatasi isu-isu diperhatikan oleh anak-anak. Mereka menjadikan kita sebagai contoh teladan mereka.

Jika kita ingin membina warga yang baik dan berkarakter kuat, kita perlu bertanya pada diri sendiri: Adakah kita menunjukkan ciri-ciri seorang yang tulen, baik hati dan suka membantu?

Kita boleh memulakan proses membentuk pemimpin masa hadapan dari masa mereka di bangku sekolah. Mengajar mereka bagaimana berfikir, bukan apa yang difikirkan; membenarkan eksplorasi dan eksperimentasi, bukannya pengekalan maklumat; memupuk keyakinan dan kepercayaan bahawa adanya nilai dalam memberi khidmat kepada orang lain; dan juga kebolehan menjadikan hidup mereka hidup yang berjaya, serta melanjutkan kejayaan ini kepada generasi seterusnya.

Baru-baru ini, sebuah kajian di Amerika mencadangkan bahawa, jika sebuah kelas dengan 28 murid mempunyai guru yang lebih baik untuk tempoh setahun, pendapatan kanak-kanak itu (sepanjang hidup) akan meningkat lebih daripada AS$260,000 jika guru dari golongan lima peratus ke bawah digantikan dengan yang sederhana, dan lebih daripada AS$560,000 jika guru yang sederhana digantikan dengan guru yang hebat. Hasil kajian ini menunjukkan betapa kuatnya impak pendidikan ke atas masa hadapan seseorang kanak-kanak.

Lebih mudah untuk membentuk anak-anak yang kuat daripada memperbaiki insan yang patah semangat. — Frederick Douglass

Menjejak langkah mereka yang ikhlas dan tulen

Di kem belia dan program sekolah yang dianjurkan Leaderonomics, salah satu rukun utama yang diusahakan adalah memupuk rasa kepercayaan, semangat berpasukan, dan set minda ‘saya boleh’ dalam diri anak muda.

Antara perkara menarik yang saya perhatikan selama ini adalah beribu-ribu anak-anak yang pernah kami santuni telah menamakan seorang atau lebih daripada seorang ahli pasukan kami sebagai suri teladan atau inspirasi mereka.

Apabila mereka melihat kesempurnaan perilaku diterjemahkan oleh seorang yang ikhlas dan tulen, mereka secara aktif akan meningkatkan usaha untuk mengikut jejak orang yang dikagumi itu. Alangkah gembiranya melihat anak-anak ini pulang semula bertahun kemudian dan berkongsi kisah kejayaan mereka.

Ia menjadi jelas kepada saya bagaimana komuniti, pendidikan, perniagaan dan pemimpin negara mempunyai lebih pengaruh ke atas pembentukan anak-anak kita daripada yang kita fikirkan, dan ke tahap yang lebih mendalam daripada yang kita sedar.

Bina negara dari akar umbi

Jika kita ingin mencipta perubahan sosial yang berpanjangan dan membina negara kita, ia tidak bermula dan berakhir dengan pentadbiran kerajaan. Ini kerana kerajaan boleh berubah, begitu juga polisi. Kita harus membina negara yang kita dambakan dari tahap akar umbi, yang bermula daripada mendidik anak-anak kita mencapai bukan hanya gred yang terbaik  tetapi menjadi warganegara yang sempurna dan penuh belas kasihan.

Kebebasan tidak melebihi satu generasi jauhnya dari kepupusan. Kita tidak menyampaikannya kepada anak-anak kita melalui aliran darah. Ia mesti diperjuangkan, dilindungi, dan diserahkan kepada mereka untuk melakukan perkara yang sama. —Ronald Reagan

Malaysia telah mengambil langkah berani ke hadapan setelah selesainya PRU14. Kita  mungkin tertarik untuk berfikir yang kita telah melindungi kebebasan setelah melaksanakan tanggungjawab kita di peti undi. Sebaliknya, di sinilah bermulanya kerja keras untuk membina masa depan kita. Boleh dikatakan ia adalah projek sepanjang hayat, termasuk memberi inspirasi kepada anak-anak kita menjadi yang terbaik mungkin, dan untuk menghargai negara dan kebebasan yang dikecapi dengan cara yang akan menggalakkan mereka menggalas nilai-nilai tersebut dengan penuh penghormatan dan perhatian, dan tidak memperlekehkan kebebasan yang dikecapi.

Yang lebih penting, contoh teladan yang kita terapkan pada anak-anak kita boleh menjadi hadiah terhebat yang kita boleh berikan kepada mereka. Tetapi ia juga boleh menjadi peluang paling hebat yang terlepas dari genggaman dalam usaha memperkasakan anak-anak untuk menjadi pemimpin masa depan yang bersemangat tinggi demi ibu pertiwi.

Mantera lapuk yang berbunyi ‘Buat seperti yang saya suruh, bukan seperti saya buat’ tidak bermakna lagi. Setiap daripada kita telah belajar menerusi contoh teladan yang diterapkan oleh ibu bapa kita dan generasi mereka yang terdahulu.

Bagi kita yang bertuah kerana mendapat contoh teladan yang hebat untuk diikuti, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memperturunkannya ke generasi berikutnya. Bagi mereka yang kurang bernasib baik, mungkin pengajaran kehidupan yang berharga boleh digunakan untuk membantu anak-anak kita memahami kepentingan ketahanan dan kekuatan dalam menghadapi cabaran dan kesusahan.

Tugas bersama membina negara

Apa yang pasti adalah Malaysia sentiasa mempunyai potensi yang menakjubkan, rakyat yang berbakat, dan nyala rasa ingin menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. Kita kini berada di kedudukan di mana impian itu boleh menjadi kenyataan. Kita perlu sematkan dalam minda untuk menunjukkan makna menjadi bangsa Malaysia kepada generasi berikutnya.

Apa yang perlu kita pertimbangkan adalah membuat pilihan tentang contoh yang ingin kita tetapkan, dan menyedari bahawa ia bukanlah tugas Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata untuk membina masa hadapan yang lebih gemilang untuk anak-anak kita dan generasi seterusnya.

Kita semua memainkan peranan untuk membentuk masa hadapan itu. Saya tahu kita semua ingin bekerja bersama-sama untuk memastikan ia masa depan yang stabil, gemilang dan makmur.

Berkaitan: #RakyatMalaysiaBoleh Demi Kemakmuran Negara Tercinta

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik We owe it to our children to be great leaders – and to lead by example.

Sila Kongsi

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Alt

Cadangan Buat Kamu

Pengurus

Bagaimana Pengurus Mensabotaj Diri Apabila Memberi Maklum Balas Negatif

Oleh Michael Schaerer, dan Roderick Swaab. Ketahui sebab pengurus bergelut dengan menyampaikan maklum balas pembetulan yang jelas dan cara memerangi bias kognitif yang boleh meningkatkan komunikasi dan prestasi.

May 07, 2024 4 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Kepimpinan Itu Ekstrem

Kepimpinan ekstrem adalah gelagat pemimpin yang hebat. Mereka bijak memilih tindakan yang bersesuaian dengan keadaan dan masa. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Kepimpinan Itu Sesuatu Yang Ekstrem!

Jul 16, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest