Kebanyakan perniagaan hari ini mengalami kesulitan membuat perancangan jangka masa panjang. Ini disebabkan oleh suasana ekonomi yang pesat berubah yang mewujudkan landskap perniagaan bersifat VUCA (volatile, uncertain, complex and ambiguous), iaitu turun naik, tidak tentu, kompleks dan taksa.
Dalam suasana ekonomi ini, inovasi pula kian menjadi mantra harian. Perniagaan yang gagal berinovasi perlu bersedia mengulung tikar. Industri-industri yang ingin kekal relevan dan berada di kalangan pemacu ekonomi berpendapatan tinggi perlu sentiasa meningkatkan prestasi.
Peranan PSMB
Maka di sinilah munculnya Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB). Agensi ini melabur dalam program peningkatan kemahiran dan pembinaan kebolehan untuk semua sektor, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.
Berpegang teguh pada visi untuk menjadi peneraju berautoriti dalam pembangunan modal insan di negara ini, PSMB menyediakan penyelesaian pembangunan sumber manusia (PSM) melalui pendanaan, penilaian, latihan peningkatan kemahiran, serta program pendidikan dan promosi.
PSMB berganding bahu dengan kerajaan untuk menggalakkan pelaksanaan inisiatif PSM seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-11 pada tahun 2016. Inisiatif tersebut adalah:
- Meningkatkan kecekapan pasaran buruh untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi
- Mengubah pendidikan teknikal dan untuk memenuhi keperluan industri
- Memperkukuh pembelajaran sepanjang hayat untuk meningkatkan kemahiran
- Menambahbaik kualiti sistem pendidikan untuk mencapai prestasi pelajar dan kecemerlangan institusi yang lebih baik.
Artikel berkaitan: 10 Skim Kewangan dan 4 Inisiatif PSMB
Mandat PSMB yang baharu lagi dinamik adalah memastikan pembentukan dan pertumbuhan modal insan tempatan yang berkualiti melalui program pensijilan latihan berkemahiran tinggi yang efisien. Ini adalah untuk menangani inisiatif pembelajaran sepanjang hayat bagi peningkatan kemahiran, yang akan menyumbang kepada 35% tenaga kerja mahir di Malaysia dan membentuk 1.5 juta peluang pekerjaan menjelang tahun 2020,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PSMB, Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran.
Menurut Vignaesvaran, terdapat 17,585 majikan dari sektor perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari yang berdaftar dengan PSMB. Hampir dua juta pekerja meraih manfaat daripada program pembangunan dan latihan PSMB, katanya.
Jumlah ini dijangka meningkat tidak lama lagi, dengan perluasan Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001 yang berkuat kuasa pada 1 April 2017.
Dengan terlaksana Akta ini, bilangan rakyat Malaysia yang layak menjalani latihan dengan PSMB dijangka meningkat daripada 1.77 juta kepada 2.8 juta orang dalam tiga tahun akan datang.
Hal ini akan mengubah persepsi bahawa agensi ini hanya berfungsi sebagai penyedia dana untuk pelbagai inisiatif sumber manusia. Tanggungjawab ini telah diamanahkan kepadanya apabila PSMB ditubuhkan di bawah Kementerian Sumber Manusia pada tahun 1993.
“Dalam Bajet 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi mandat kepada PSMB untuk memperuntukkan 30% daripada dana latihan disatukan kepada program peningkatan kemahiran dan latihan kemahiran semula. Ini adalah untuk meningkatkan kualiti modal insan di Malaysia dengan mempertingkatkan produktiviti buruh tempatan dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang memerlukan pekerja berkemahiran tinggi,” jelas Vignaesvaran.
PSMB kini bersedia untuk memainkan peranan yang lebih besar dan terangkum bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Daya Saing Global.
Ketua Pegawai Eksekutif PSMB, Datuk CM Vignaesvaran. Kredit Foto: PSMB
Menyediakan negara untuk RI4
PSMB kini merupakan pusat sehenti yang menyediakan penyelesaian PSM, termasuk latihan kecekapan berasaskan keperluan kepada majikan yang berdaftar dengannya (81% daripadanya ialah PKS), selain menangani isu nasional (dan global) berkaitan dengan sumber manusia melalui cara yang mampan.
Sebagai contoh, isu kritikal yang sedang diusahakan PSMB pada masa ini berhubung kait dengan Revolusi Industri 4.0 (RI4), sebuah konsep untuk menangani isu masa depan apabila operasi perindustrian dijalankan secara automatik sepenuhnya, justeru mewujudkan keadaan tanpa atau kurang bergantung pada tenaga kerja buruh kasar.
Untuk mencapai revolusi “kilang pintar”, PSMB kini menyediakan sokongan dalam bentuk latihan dan dana kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran dan agensi lain, yang menerajui pembangunan inisiatif modal insan berimpak tinggi di Johor, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak.
Dalam proses RI4 membina laluan di rantau Asia, Malaysia perlu bersedia untuk mempunyai 35-40% tenaga kerja mahir untuk mencapai status ekonomi maju pada tahun 2020. Pada masa ini, 28% daripada hampir 15 juta populasi pekerja dianggap sebagai pekerja mahir.
RI4 merupakan salah satu inisiatif utama yang akan diberi fokus oleh PSMB dalam mewujudkan tenaga buruh berdaya saing di peringkat global. Inisiatif strategik lain termasuk program Big Data (Data Besar) dan MyFuture, yang akan memberi manfaat kepada PKS di Malaysia.
Namun, PSMB juga mendapati bahawa syarikat di Malaysia tidak sepenuhnya bersedia untuk menerima perubahan, kerana latihan-latihan terhad kepada skop kerja masing-masing. Latihan jarang membantu syarikat tempatan untuk berhadapan dengan revolusi pekerjaan pada masa hadapan, seperti RI4, atau sesuatu yang segera dan jelas seperti mengurus jangkaan generasi baharu (milenial) di tempat kerja.
Hal ini menjadi misi PSMB dalam usaha mengubah mentaliti dan mempersiapkan perniagaan tempatan untuk gelombang perubahan yang melanda negara ini.
“Cabaran yang paling besar adalah mengubah mentaliti pengamal sumber manusia tempatan. Contohnya, idea berkenaan proses pengambilan dan pemecatan haruslah ditukar. Memandangkan kebanyakan tenaga kerja kini terdiri daripada Gen-Y dan Gen-X, adalah tidak relevan untuk membincangkan atau membahaskan isu yang berhubung dengan kelewatan, penyalahgunaan cuti dan sebagainya. Topik-topik ini adalah topik perbincangan masa lepas manakala sekarang adalah masa untuk melihat di luar skop permasalahan dan mencapai penyelesaian yang bersepadu,” jelas Vignaesvaran.
Kerjasama adalah kunci utama
Bagi PSMB, sektor swasta memainkan peranan yang besar dalam mengubah industri secara keseluruhan.
“Kerajaan akan memainkan peranannya melalui pelbagai agensi. Di PSMB misalnya, Jawatankuasa Latihan Sektor akan berusaha untuk bekerjasama dengan sektor swasta, pemimpin industri dan kakitangan sumber manusia untuk berkongsi input berkenaan keperluan industri dan latihan,” kata Vignaesvaran.
Adalah penting untuk kedua-dua sektor kerajaan dan swasta di negara ini mengakui bahawa pembangunan kemahiran sumber manusia yang paling mampan dan bernilai, iaitu tenaga kerja Malaysia, adalah strategik dan tidak boleh dirunding.
Beliau menambah, ini adalah masa yang sangat sesuai untuk semua sektor menggembleng tenaga dan kepakaran dalam mencari penyelesaian untuk melatih semula kemahiran, meningkatkan kemahiran dan mempelbagaikan kemahiran tenaga kerja tempatan supaya bersedia untuk menghadapi dan menyesuaikan diri dengan perubahan. Hal ini menyumbang kepada perkembangan pekerja dan ekonomi, sekaligus membuka laluan kepada kemunculan pemimpin dan pengganti yang hebat.
(Dari kanan): Ketua Pegawai Eksekutif PSMB, Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem; Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib; dan Ketua Tujuan Khas PSMB, Muhammad Ghazali Abdul Aziz, pada majlis perasmian Inisiatif Strategik Modal Insan PSMB. Kredit Foto: PSMB
Membentuk pemimpin
Melahirkan pemimpin yang akan mempergiat industri masing-masing dan mendorong mereka untuk mengorak langkah ke hadapan bukanlah tugas yang mudah. PSMB membentuk pemimpin dengan menangani kelemahan industri melalui program pembelajaran dan latihan yang diiktiraf di peringkat global. Program ini mungkin dilaksanakan melalui pembiayaan penuh atau sebahagian.
Jawatankuasa Latihan Sektor PSMB menilai keperluan industri dan memadankannya dengan program pensijilan yang sesuai. Langkah ini bertujuan untuk menangani masalah industri yang sedia ada dan mendatang seperti kekurangan kemahiran; pengambilan, pengekalan dan pengurusan bakat; pengurusan perubahan, dan menaikkan pangkat pekerja berkemahiran dengan mempelbagaikan kemahiran mereka.
“Langkah Kerajaan membiayai program latihan semula dan peningkatan kemahiran akan mendorong majikan untuk melatih pekerja mereka melalui program pensijilan yang diiktiraf oleh badan profesional. Ini juga akan meningkatkan produktiviti majikan yang sudah dan bakal berdaftar dengan PSMB kerana mereka terdorong untuk membangunkan set kemahiran dan pengetahuan pekerja.
“Hakikatnya, bakat-bakat tempatan akan menyediakan platform yang kukuh untuk menampung pertumbuhan pesat ekonomi dan meningkatkan daya saing global,” tambah Vignaesvaran.
Inisiatif strategik
Baru-baru ini, PSMB melancarkan empat inisiatif strategik yang bertujuan untuk menyumbang kepada agenda nasional dalam mencapai 35% tenaga kerja mahir di Malaysia menjelang 2020.
Acara yang dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem, menyaksikan pelancaran empat inisiatif iaitu Pusat Penempatan Luar 1Malaysia (1MOC), Program Latihan dan Ganti (T&R), Program Pembangunan Graduan untuk Kebolehkerjaan (GENERAtE) dan Kemahiran Industri Dipercepat Luar Bandar untuk Pekerjaan (RAISE). Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk menangani isu mendesak seperti pengangguran, pergantungan pada buruh asing, pengurusan tenaga kerja masa hadapan, dan menambah peluang pekerjaan untuk penduduk luar bandar.
Mengulas tentang program RAISE, Riot berkata: “Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kebolehkerjaan belia luar bandar tetapi turut membantu majikan memperoleh pekerja tempatan yang terlatih.
Hal ini selaras dengan Rancangan Malaysia ke-11 untuk meningkatkan keterangkuman ke arah masyarakat yang saksama, bagi memastikan peluang yang setara untuk rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat.”
Inisiatif ini akan dibiayai oleh 30% Dana Terkumpul PSMB, peruntukan kerajaan dan perkongsian swasta, yang akan berjalan secara berterusan berdasarkan keperluan industri.
Secara kolektif, program tersebut akan digunakan untuk beberapa objektif utama termasuk mengurangkan kadar pengangguran negara dan gejala sosial yang berkaitan; meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat tempatan dan pendapatan per kapita negara; dan menghasilkan pekerja Malaysia yang berkemahiran untuk perniagaan domestik.
Membuat persiapan untuk milenial
Tenaga kerja hari ini sangat berbagai-bagai, dengan tiga generasi yang aktif, iaitu baby boomers, Gen-X, dan Gen-Y atau milenial, dalam kumpulan tenaga mahir yang sama.
Perniagaan di seluruh dunia sedang membentuk semula proses kerja, polisi dan ruang kerja untuk memenuhi keperluan golongan milenial kerana mereka merupakan tenaga kerja masa hadapan. Syarikat-syarikat sudah pun menyedari (atau terpaksa menyedari) keperluan yang mendesak untuk menarik, melatih dan mengekalkan generasi ini. Ini merupakan cabaran yang melanda semua industri pada masa ini.
Bagi PSMB, cara terbaik untuk menarik dan mengekalkan Gen-Y adalah dengan melaksanakan sistem maklum balas yang anjal. Menurut Milennial Branding dan Kajian Kerja Masa Depan Milenial oleh PwC baru-baru ini, generasi ini suka menerima maklum balas.
Kajian tersebut mendedahkan bahawa 80% daripada milenial suka menerima maklum balas daripada pengurus mereka manakala 35% daripadanya mencari peluang latihan dan pembangunan di tempat kerja sebagai cara untuk mempertingkatkan diri. Bagi kebanyakan Gen-Y, pekerjaan perlu menyediakan hala tujuan; 91% akan meletakkan jawatan dalam tempoh tiga tahun yang pertama.
Vignaesvaran berkata hubungan dengan generasi yang ‘terhubung’ perlu dipermudah melalui penglibatan dan maklum balas secara berterusan untuk membantu mereka belajar dan berkembang. Ini kerana generasi ini sememangnya biasa mendapat jawapan segera dan balasan masa nyata dalam talian, “Jika anda ingin menarik dan mengekalkan Gen-Y, pelaksanaan proses maklum balas dengan bantuan alat penilaian prestasi harus dianggap sebagai prioriti yang mendesak. Apabila sudah disiapkan, langkah seterusnya adalah menyampaikan maklumat kepada mereka sebelum mereka menjejak kaki ke syarikat anda,” nasihat Vignaesvaran.
Mengekalkan bakat pada masa hadapan bukanlah tugas yang mudah, tetapi PSMB percaya milenial akan kekal di sesebuah organisasi apabila mereka memperoleh perkara yang diingini, seperti peluang untuk berkembang dan persekitaran kerja yang bersifat kerjasama.
Penyesuaian khusus peluang latihan dan pembangunan dapat membantu dalam hal ini dan menyediakan majikan untuk menerima generasi yang seterusnya, yang berkemungkinan akan merevolusikan landskap perniagaan dan kepenggunaan dalam tenaga kerja sekali lagi.
Untuk maklumat lanjut, layari www.hrdf.com.my
Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik How Is HRDF Reskilling The Malaysian Workforce?