“Jika anda mahu tahu tentang masa silam anda, lihat keadaan semasa anda.
Jika anda ingin tahu tentang masa hadapan anda, perhatikan tindakan semasa anda.” — Padmasambhava
Goleman, Boyatzis dan McKee, dalam buku mereka Primal Leadership (Kepimpinan Primal), mentakrifkan ‘penyakit ketua pegawai eksekutif’ sebagai ‘vakum informasi yang wujud di sekitar seseorang pemimpin apabila orang lain menahan informasi penting (dan yang kadang-kadang tidak menyenangkan) daripadanya’.
Gejala ini banyak terjadi di organisasi-organisasi Asia yang ketua pegawai eksekutifnya berada dalam keadaan penafian tentang situasi sebenar bisnes mereka dan tidak terbuka kepada kritikan atau berita buruk.
Malah, di beberapa organisasi, lembaga pengarahnya dianggotai kroni-kroni dan orang lain yang tidak mungkin mengkritik prestasi ketua pegawai eksekutif berkenaan. Akibat ini, ketua pegawai eksekutif tersebut akan mempunyai titik buta yang signifikan yang tidak disedarinya. Penawar untuk penyakit ini adalah kesedaran diri.
“Apabila tentera anda tidak lagi membincangkan masalah mereka dengan anda, ini bermakna anda telah berhenti menjadi pemimpin mereka,” kata Colin Powell. “Mereka sama ada telah hilang keyakinan bahawa anda boleh membantu mereka atau membuat kesimpulan bahawa anda tidak peduli.”
Tidak ada sesiapapun yang mengalu-alukan berita buruk tentang diri sendiri. Tetapi pemimpin yang mempunyai kesedaran diri bukan sahaja menerima maklum balas, malah mereka juga mencarinya. Mereka berbuat demikian kerana mereka mahu terus belajar dan berkembang. Tanpa kesedaran diri, prestasi pemimpin tidak akan tumbuh.
Tanyalah mana-mana pemimpin dan mereka akan bersetuju bahawa kesedaran diri adalah kritikal untuk berjaya. Namun, ramai yang tidak mengetahui kekuatan sebenar atau aspek-aspek diri yang perlu ditingkatkan. Apabila seseorang pemimpin lebih menyedari diri, dia akan menjadi pemimpin yang lebih hebat. Namun begitu, kebanyakan pemimpin tidak ada masa untuk membuat renungan peribadi. Kenapa kita elak daripada menerokai diri sendiri?
Kesedaran diri bermakna menyedari kekuatan-kekuatan diri sambil mengakui apa yang masih perlu dipelajari. Ini termasuk mengakui anda tidak tahu jawapan untuk sesuatu dan mengakui telah membuat kesilapan, yang mana kadang-kadang sangat menyakitkan. Sama ada anda mengakui kelemahan anda atau tidak, semua orang tetap dapat melihatnya.
Kesedaran diri yang berterusan adalah kuncinya
Kesedaran diri yang berterusan sangat kritikal kerana kekuatan anda, yang telah membawa anda ke tahap sekarang, mungkin menjadi isu pada masa ini.
Beberapa tahun yang lalu, kami melantik seorang individu yang berprestasi tinggi ke jawatan pengurusan. Dia sangat hebat dalam hal-hal yang terperinci, melaksanakan tugasnya dengan baik dan mempunyai kemahiran proses yang kuat. Setelah dinaikkan pangkat, dia menghadapi masalah-masalah yang signifikan dengan pasukannya.
Kekuatannya dalam ketelitian dan pelaksanaan proses bertukar menjadi kelemahannya kerana dia cuba mengurus secara mikro dalam segala sesuatu dan tidak memperkasakan pasukannya. Malah, kekuatannya dalam pelaksanaan secara individu juga tidak dapat dipergunakan dalam situasi bekerja dalam pasukan. Kami semua dapat melihat kelemahan-kelemahannya tetapi dia sendiri tidak sedar kenapa dia tidak berjaya.
Kesedaran diri amat mencabar kerana sangat sukar untuk kita melihat diri sendiri seperti mana orang lain dapat melihat diri kita dengan begitu mudah. Jadi bagaimana boleh kita memulakan perjalanan kesedaran diri ini?
Baru-baru ini, saya telah membantu seorang pemimpin kanan mendapatkan lebih banyak wawasan tentang kepimpinannya. Saya berbuat demikian dengan menggunakan pendekatan Tingkap Johari, yang mempunyai 4 kuadran utama:
- Kawasan Terbuka: Apa yang orang lain dan anda tahu tentang diri anda.
- Kawasan Terlindung: Apa yang orang lain tahu tentang anda, tetapi yang anda sendiri tidak mengetahui.
- Kawasan Rahsia: Apa yang orang lain tidak tahu tentang anda, tetapi anda mengetahuinya – rahsia anda.
- Kawasan Gelap: Apa yang orang lain dan anda tidak tahu tentang diri anda.
Kita semua mempunyai titik-titik buta dan jika kita mengetahuinya, kita boleh menjadi pemimpin yang lebih baik. Tingkap Johari menggalakkan kita untuk membesarkan Kawasan Terbuka sambil mengecilkan Kawasan Terlindung dan Kawasan Gelap supaya kita boleh mengawal diri dengan lebih baik. Tidak mengetahui titik buta sendiri adalah punca berkembang biaknya “penyakit ketua pegawai eksekutif”.
Cara terbaik untuk mengecilkan Kawasan Buta adalah dengan mendapatkan maklum balas yang berterusan. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh digunakan termasuk penilaian multi-taksir 360, Indikator Jenis Personaliti Myer-Briggs, dan Pencari Kekuatan. Ia mungkin mengambil masa seumur hidup untuk mengenali diri sepenuhnya tetapi ia boleh dipercepatkan dengan maklum balas yang jujur daripada orang lain. Peter Drucker menggalakkan semua pemimpin supaya mengkaji semula secara berkala jangkaan-jangkaan yang telah ditetapkan berbanding keputusan sebenar yang telah dicapai.
Doug Baker, yang berusia tiga puluhan, adalah pekerja yang berprestasi tinggi di Ecolab. Dia dinaikkan pangkat untuk menguruskan sebuah anak syarikat. Oleh kerana dia selalu sahaja berjaya, dia menjadi sangat angkuh dan mementingkan diri sendiri. Tetapi pekerja-pekerja bawahannya memberinya beberapa maklum balas yang keras dan mendedahkan ‘kawasan buta’nya.
Berkaitan: Kekuatan Kepimpinan Diri
Dia berkata, “Ia seperti seseorang memegang cermin di hadapan saya semasa saya menunjukkan sikap yang paling buruk. Apa yang saya lihat sangat menakutkan, tetapi adalah pengajaran yang besar. Selepas itu, saya melakukan banyak pencarian jiwa tentang jenis pemimpin yang saya bakal jadi, berbincang dengan pasukan saya dan meminta bantuan mereka.” Kesedaran diri inilah yang mendorongnya untuk menjadi ketua pegawai eksekutif Ecolab sembilan tahun kemudian.
Sekolah bisnis juga turut mencari pemohon yang memiliki kesedaran diri. “Tiada yang lebih baik daripada mempunyai kesedaran diri dan keupayaan untuk menyatakan dengan jelas bagaimana mereka dapat menyesuaikan diri seperti yang sepatutnya,” kata Rosemaria Martinelli, Pengarah Kemasukan Wharton. Pete Johnson, Pengarah Kemasukan MBA di Berkeley, berkata, “adalah lebih baik jika pemohon mempunyai kesedaran diri daripada mendakwa bahawa dirinya tiada kelemahan”. Namun begitu, kebanyakan sekolah bisnis jarang mengajar pelajar MBA tentang cara mereka patut mengambil masa untuk mencari diri.
Jeff Immelt, Ketua Pegawai Eksekutif General Electric, berkata, “Saya patut menjadi pendengar yang lebih baik berikutan krisis ini. Saya seharusnya telah melakukan lebih banyak lagi untuk menjangkakan perubahan radikal yang telah berlaku.” Pengakuan kesedaran diri seperti ini mendedahkan bahawa Immelt akhirnya mungkin terdaya membawa GE maju ke hadapan.
Sebagaimana kita dapat mengemas rambut dengan elok apabila kita berada di hadapan cermin, maklum balas tentang tingkah laku kita akan membantu kita menjadi pemimpin yang lebih baik, dan meningkatkan pertimbangan kita. Ramai di antara kita mempunyai kawasan buta Tingkap Johari yang besar dan perlu memperbetulkannya dengan segera.
Baru-baru ini, saya bekerja dengan seorang ketua pegawai eksekutif yang tidak disenangi dan dicurigai rakan-rakan sekerjanya kerana dia pemimpin yang amat agresif. Dia tidak begitu memahami titik-titik buta ini sehinggalah dia dipaksa untuk mendapatkan maklum balas secara kerap. Kita semua akan bergelut dengan maklum balas yang negatif, tetapi jika kita tidak tahu bagaimana orang lain melihat kita, kita tidak akan dapat beroperasi dengan efektif.
Menjadi ketua yang sahih
Andrea Jung, Ketua Pegawai Eksekutif Avon, mengambil masa untuk merenung dan menyedari kekuatan dan tujuannya sebelum dia mengubah Avon dan misinya daripada organisasi menjual kosmetik kepada organisasi yang memperkasakan kaum wanita.
Howard Schultz menubuhkan Starbucks hasil daripada saat kesedaran diri pada awal zaman kanak-kanaknya apabila dia bersumpah untuk memperbaiki satu kesalahan yang ditanggung oleh bapanya.
Beberapa minggu lalu, saya berpeluang menemu ramah dan menghabiskan masa dengan Ram Charan, seorang pakar bisnis. Ram menegaskan kepada saya tentang kepentingan kesedaran diri dan bagaimana seseorang boleh menjadi pemimpin yang tulen.
Kevin Sharer, Ketua Pegawai Eksekutif Amgen yang bekerja dengan Jack Welch dalam tahun 80-an, berkata, “Semua orang mahu menjadi seperti Jack, tetapi kepimpinan mempunyai banyak suara. Anda perlu menjadi diri sendiri, bukannya cuba untuk menjadi seperti orang lain.”
Seperti yang dikatakan oleh Bill George, realitinya adalah bahawa “tidak ada seorang pun yang boleh menjadi sahih dengan cuba menjadi seperti orang lain. Tidak dapat dinafikan bahawa anda boleh belajar daripada pengalaman orang lain, tetapi anda tidak boleh berjaya dengan mencuba untuk menjadi seperti mereka. Orang mempercayai anda apabila anda bersikap tulen dan sahih, bukan tiruan.” Dan anda hanya boleh menjadi pemimpin yang sahih dengan membina kepimpinan anda atas dasar anda yang sebenar – personaliti, ciri-ciri dan pilihan anda yang akan menjadikan kepimpinan anda unik.
Fokus pada kekuatan, bukannya kelemahan
Pada tahun 1982, para penyelidik telah merakam video dua pasukan boling yang sedang bermain dalam beberapa pusingan pertandingan. Pasukan-pasukan itu kemudiannya menonton rakaman tersebut untuk memperbaiki permainan mereka. Tetapi video yang ditonton telah disunting dengan cara berbeza; satu pasukan menerima rakaman yang hanya menunjukkan kesilapan mereka manakala video pasukan lain hanya menekankan persembahan-persembahan baik mereka. Selepas mengkaji video tersebut, kedua-dua pasukan itu berjaya meningkatkan permainan mereka. Tetapi pasukan yang mengkaji video yang menunjukkan persembahan baik berjaya memperbaiki skor mereka dua kali ganda lebih banyak berbanding pasukan yang menonton video yang menunjukkan kesilapan-kesilapan mereka.
Kajian ini menyimpulkan bahawa jika kita memberi tumpuan kepada diri sendiri, tanpa mengira kesilapan atau kekuatan, ia akan menghasilkan pembaikan. Tetapi sekiranya kita berfokus kepada kekuatan kita, ia akan mendatangkan lebih banyak faedah.
Rath dan Conchie dalam buku mereka yang bertajuk Strength Based Leadership (Kepimpinan Berdasarkan Kekuatan) mendedahkan rahsia untuk menjadi pemimpin yang berkesan: Mengetahui kekuatan-kekuatan anda dan memanfaatkannya.
Setiap pemimpin bisnis yang telah saya temu ramah memulakan perjalanan kepimpinan mereka dengan disiplin kesedaran diri. Kesemua mereka memberi tumpuan kepada kekuatan mereka dan membina gaya kepimpinan yang sahih daripada diri mereka yang sebenar. Anda juga boleh berbuat demikian.
Jadi, ambillah masa untuk berfikir tentang diri anda serta siapa anda sebenarnya. Lebih baik lagi kalau anda boleh dapatkan beberapa maklum balas. Tetapi berhati-hati, anda mungkin akan mula berubah!
Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Do You Know Who You Are?