Berkolaborasi! Jangan Bersaing

Jul 10, 2017 1 Minit
kolaborasi, kerjasama, kumpulan

Berkolaborasi (atau bekerjasama) adalah kunci untuk mengubah dunia.

Ramai yang mungkin tidak menyedari bahawa kita kini berada di tengah-tengah beberapa perubahan global yang melanda dunia yang kita kenali. Tidak berapa lama yang lalu, dalam perbincangan saya dengan seorang ketua pegawai eksekutif yang terkenal dari Malaysia, kami menyentuh tentang betapa sukarnya untuk mencapai kejayaan dalam persaingan dengan perniagaan internet. “Sangat mustahil untuk menang. Kami sudah banyak mencuba menghapuskan pesaing tetapi mereka tumbuh seperti cendawan di merata-rata tempat!” katanya.

Apa yang ketua pegawai eksekutif ini gagal memahami ialah dalam dunia baharu yang terbentuk hasil perubahan global, cara untuk menang sudah berubah dan ia sangat berbeza. Daripada menghapus dan mengalahkan pesaing, dunia baharu ini sebenarnya memerlukan kemahiran kepimpinan yang baharu, kerana “permainan” kini adalah berlandaskan set peraturan baharu.

Berkolaborasi dalam dunia muzik

Pada tahun 2005, MGM dan beberapa syarikat hiburan yang lain seperti Disney, BMG, Sony dan Virgin Records mengupah peguam terkemuka untuk menyaman Grokster, sebuah syarikat kecil yang membekalkan perkhidmatan P2P (peer-to-peer) yang membolehkan pengguna berkongsi muzik dan program komputer dengan percuma melalui internet.

Sebelum itu, mereka telah pernah menyaman Napster, pembekal P2P yang dikendalikan seorang budak berusia 18 tahun bernama Shawn Fanning yang menyediakan perkhidmatan tersebut secara percuma. Napster jatuh muflis selepas disaman.

Selepas melumpuhkan Grokster, mereka menyaman dan mengalahkan Kazaa, eMule, e-Donkey dan beroleh kemenangan. Mereka juga menyaman orang-perseorangan yang memuat turun muzik secara haram. Malangnya, walaupun mereka selalu menang dalam kes mahkamah, mereka tetap kecewa kerana kegiatan haram ini berterusan. Semakin banyak pula syarikat P2P didirikan di seluruh dunia.

Apple 

Di tengah-tengah kegelisahan ini, muncul pemenang baharu yang ketara, Apple. Daripada cuba menentang model baharu dan membunuh aplikasi P2P, Apple menyesuaikan P2P dan menghalalkannya di sisi undang-undang. Apple berkolaborasi dengan syarikat rakaman untuk membenarkan pengguna memuat turun fail dengan bayaran yang murah melalui iTunes. Apple mengubah model konvensional dan menjadikannya model kolaboratif.

Hasilnya? Apple wujud sebagai pemenang sah dengan hasil perolehan baharu sebanyak AS1.9 bilion dengan 30% margin keuntungan. Sementara syarikat muzik dan syarikat rakaman yang lain sibuk menentang usaha kolaboratif P2P untuk berkongsi fail dan muzik, Apple mengambil kesempatan dan akhirnya mencapai kejayaan cemerlang dengan berkolaborasi.

Berkolaborasi dalam dunia pemasaran dan kewartawanan

Yang menarik ialah banyak perniagaan baharu yang berjaya hari ini telah mula mengamalkan model kepimpinan secara berkolaborasi. Model kepimpinan ini bermakna tanggungjawab memimpin adalah dengan cara memberi persetujuan yang merangkumi sokongan di mana setiap orang mengambil bahagian dalam proses kepimpinan itu.

Bagaimanapun ia bukan setakat tentang kepimpinan sahaja. Terdapat juga inovasi secara kolaboratif di mana organisasi memilih untuk membenarkan pelanggan atau sesiapa sahaja di dunia untuk bekerjasama tentang produk dan idea baharu.

YouTube dan Twitter membolehkan kolaborasi dalam pemasaran, dan kewartawanan malah dalam pembangunan perisian. Terdapat juga model perniagaan kolaboratif di mana seluruh perniagaan bukan diuruskan oleh ketua pegawai eksekutif dan tenaga kerjanya tetapi oleh orang ramai seperti Wikipedia. Malah terdapat juga organisasi yang membenarkan bahan-bahan hak cipta terpeliharanya disebarkan secara percuma kepada sesiapa sahaja di duniauntuk diubah suai dan kemudiannya dibenarkan untuk digunakan serta disebarkan semula kepada komuniti atau organisasi lain.

Akibat perubahan yang ketara dalam teknologi, demografi, perniagaan, ekonomi malah dunia ini, kita telah memasuki zaman baharu di mana orang ramai mengambil bahagian dalam ekonomi seperti yang tidak pernah berlaku selama ini.

Penyertaan secara baharu ini telah sampai ke kemuncaknya di mana bentuk kolaborasi secara besar-besaran telah menukar cara bagaimana barang-barang dan perkhidmatan dicipta, dikeluarkan, dipasarkan dan diedarkan secara global. Perubahan ini telah membuka peluang kolaborasi yang besar dan bersesuaian kepada setiap syarikat dan setiap orang yang dapat berhubung untuk mencapai sesuatu.

The Huffington Post telah berkembang menjadi surat khabar laman web utama dengan mengerahkan kuasa kerjasama kewartawanan. Mereka mempunyai jangkauan yang luas walaupun HuffPost hanya mempunyai 50 pekerja berbanding dengan New York Times yang memiliki 1,332 pekerja ruangan berita. Ia memiliki lebih daripada 1,800 “sukarelawan” yang menulis secara percuma setiap hari dari seluruh dunia.

Wikipedia

Pada tahun 2001, seorang pesara telah melancarkan bahan rujukan untuk kanak-kanak di seluruh dunia, sebuah ensiklopedia yang lain dari yang lain. Sejak Wikipedia dilancarkan dalam talian, ia telah menjadi penyimpan maklumat terbesar melebihi ensiklopedia yang lain. Artikel-artikel di Wikipedia ditulis secara kolaboratif oleh sukarelawan yang tidak dibayar dari seluruh pelusuk dunia. Ia disunting dan dikawal untuk memastikan tidak ada orang yang memalsukan atau menghapuskan maklumat yang ada. Wikipedia adalah 100% urus niaga bekerjasama yang melibatkan sekumpulan penyunting, penulis dan polis sukarela.

Mozilla

Mozilla hari ini juga adalah salah sebuah syarikat berbentuk kolaborasi yang meningkat naik. Ia bersaing dengan Microsoft, Apple dan Google, tetapi pada waktu yang sama, ia juga bekerjasama dengan pesaing-pesaingnya.

Mozilla Fox bersaing secara langsung dengan Microsoft Internet Explorer dan ternyata mencapai kemenangan. Sementara Microsoft mengupah jurutera dan saintis ternama, Mozilla pula bergantung kepada sukarelawan dan pengguna untuk mengemaskinikan pengisian Firefox pada setiap hari. Malah pada tahun 2004, pengguna Mozilla berjaya mengutip AS$250,000 untuk membantu mengiklankan pelancaran Firefox 1.0 di The New York Times, sementara Microsoft terpakss berbelanja berjuta-juta ringgit untuk mengiklankan Explorer.

Berkolaborasi dalam industri penerbangan dan kenderaan 

Kolaborasi tidak hanya terhad kepada industri teknologi maklumat atau syarikat-syarikat teknologi sahaja.

Southwest Airlines dan AirAsia, dua syarikat penerbangan, telah berjaya mendapatkan sokongan dan persetujuan pelanggan untuk bekerjasama dengan mereka dalam mengurangkan kos. Satu cara ialah dengan memuat turun dan mencetak sendiri tiket pesawat. Apabila AirAisa mula “memaksa” pengguna untuk mencetak “boarding pass” mereka pada tahun 2001, ramai mengkritik AirAsia bahawa pendekatan in tidak akan berjaya. Namun demikian, mereka meneruskan usaha ini dan pengguna nampaknya menerima  amalan itu tanpa banyak bantahan.

Toyota pula mengupah pasukan-pasukan kolaboratif yang kecil untuk membina kereta mereka walaupun kebanyakan syarikat kereta membina kereta melalui cara perkilangan dan pengkhususan. Di Toyota, tidak ada pengkhususan — setiap pasukan membina kereta dari tahap asas.

Amalan berkolaborasi melawan kebiasaan 

Idea berkongsi pendapat dan inovasi di antara syarikat dan pesaing melanggar semua peraturan dalam semua buku perniagaan. Secara tradisi, penemuan  Penyelidikan dan Pembangunan sentiasa dilindungi ketat; inovasi selanjut dikawal untuk memberi kesempatan kepada syarikat berkenaan untuk mendapat kembali kos yang telah dibelanjakan untuk tujuan penyelidikan (dengan harapan mendapat keuntungan).

Dalam konteks ini, amalan sikap “pintu terbuka” dengan menyebarkan maklumat penyelidikan kepada orang lain adalah dianggap sebagai langkah yang terlalu berani.  Yang aneh sekali ialah syarikat yang mengamalkan “inovasi terbuka” ini meraih keuntungan.

Hari ini maklumat  dapat dipindahkan dengan mudah hingga agak sukar untuk kita menyekatnya. Oleh kerana itu, memandangkan syarikat-syarikat tidak dapat menyekat fenomena model inovasi terbuka ini, mereka sebaliknya perlu belajar untuk mengambil faedah daripadanya.

Akhir kata

Jadi, bagaimanakah saya menerapkan idea ini dalam organisasi saya? Mudah sahaja. Apabila kami berhadapan dengan masalah dan memerlukan rancangan, pendekatan terbaik adalah melibatkan kumpulan individu yang berbeza tetapi berbakat dan membiarkan daya kreativiti mereka bekerja.

Kolaborasi boleh berjalan dengan lancar sekiranya terdapat gabungan antara minat dan tujuan. Mereka yang mempunyai kepentingan diri dalam penyelesaian masalah itu serta mereka yang benar-benar berminat merupakan gabungan tenaga yang ideal untuk mencapai hasil yang terbaik.

Adakah sistem berasaskan kolaborasi ini sesuatu yang baharu di dunia? Sejarah awal menunjukkan bahawa sistem kolaborasi dan kerjasama yang berdasarkan puak dan suku lazimnya dibangun atas dasar kepercayaan dan hubungan persaudaraan. Ini wujud sebelum adanya kuasa dan persaingan berdasarkan hiraki hari ini.

Keberkesanan pergerakan kolaboratif seperti Alcoholic Anonymous yang tidak mempunyai pemimpin, telah memanfaatkan berjuta-juta orang melalui perkongsian fahaman dan menekankan bahawa masa hadapan adalah bergantung kepada kebolehan anda untuk bekerjasama dengan orang lain.

Internet telah menciptakan infrastruktur dan alat penyambung kerjasama dalam abad ke-21 ini. Orang ramai kini dapat ikut serta dalam perkembangan ekonomi. Perubahan ini menyediakan peluang-peluang yang lebih luas bagi setiap syarikat dan setiap individu untuk bekerjasama.

Kemahiran memimpin pada masa akan datang adalah mengenai berkongsi apa-apa sahaja dengan sesiapa sahaja, dan memberi kepercayaan kepada orang ramai untuk menyokong dan berkembang bersama anda.

Jadi, hentikan keinginan yang berketerlaluan untuk “membunuh” pesaing. Berkolaborasilah dengan mereka!

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Going To War Is So 20th Century.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Nilai Murni, Hubungan

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Strategi

Strategi Berkesan untuk Membina dan Meningkatkan Keselamatan Psikologi

Oleh Mark Mortensen, Maria Guadalupe, Nathan Furr dan Henrik Bresman. Selami penyelidikan dan pandangan terkini tentang keselamatan psikologi. Tingkatkan kepimpinan, cergaskan pasukan dan pacu inovasi di tempat kerja moden. Perjalanan anda ke kecemerlangan tempat kerja bermula di sini!

Feb 06, 2024 6 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Pembelajaran Efektif

Cuma 10% daripada pembelajaran efektif diperolehi daripada latihan dalam kelas, 70% adalah berasaskan pengalaman, dan 20% adalah melalui pemerhatian.

Jan 04, 2024 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest