Diam, Perhati, Tindak!

Jul 07, 2017 1 Minit
tumbuhan, perhatian, perubahan

Semasa menjalankan program pembelajaran tindakan tidak berapa lama yang lalu, saya memainkan video permainan bola keranjang.

Apabila saya bertanya para peserta tentang bilangan lontaran yang dibuat oleh pasukan berbaju putih, mereka semua memberi jawapan yang betul.

Tetapi aneh sekali, tidak seorang pun yang perasan kehadiran gorila besar yang berjalan ke tengah-tengah gelanggang dan menari untuk jangka waktu yang lama sepanjang permainan itu. 

Kurang prihatin terhadap perkembangan

Dalam sedekad dua kebelakangan ini, kita kerap menyaksikan beberapa syarikat yang hebat ditunduk oleh syarikat-syarikat yang kurang dikenali.

Contohnya, Motorola, yang menguasai pasaran telefon bimbit, terlepas peluang untuk beralih ke teknologi digital. Akhibatnya, kedudukannya diambil alih Nokia, sebuah syarikat dari Finland yang mengeluarkan tayar salji dan kasut getah sebelum ini.

Sama juga dengan IBM, pemimpin terulung era pengkomputeran yang tercicir dalam revolusi komputer peribadi (PC) hinggakan kedudukannya diambil alih Microsoft, Dell dan sebilangan peniaga kecil.

Pada waktu yang sama, syarikat yang inovatif digantikan oleh syarikat yang hanya meniru mereka. Xerox menciptakan mesin fotokopi tetapi Canon telah mengambil alih kedudukannya dan membawa bidang ini ke peringkat yang lebih tinggi dengan fotokopi berwarna.

Selama bertahun-tahun, Ford dan GM menguasai kepimpinan dalam bidang automobil sehinggalah rakyat Jepun meniru dengan mengeluarkan kereta yang mempunyai nilai ekonomi yang tinggi dan berjaya menyingkirkan mereka.

Dasar pintu tertutup 

Baru-baru ini, Sepanyol, yang merupakan negara terkaya pada kurun ke-16, terjunam menjadi salah sebuah negara termiskin di Eropah. Perubahan nasib ini berlaku dalam masa 150 tahun sahaja.

Hal ini berlaku kerana Sepanyol menjadi terlalu fokus pada hal-hal dalaman negara, beralih daripada sistem ekonomi terbuka kepada sistem tertutup. Gabungan perang saudara dan dasar pintu tertutup menjadikan Sepanyol hilang kekuasaannya.

Seperti Sepanyol, banyak syarikat juga mengalami kejatuhan yang sama. Syarikat yang menutup diri daripada dunia luar dan fokus pada hal-hal dalam syarikat sahaja akan hilang kesempatan apabila perubahan terjadi, dan segera digantikan syarikat lain.

Hal ini sama untuk kehidupan peribadi kita. Jika kita terlalu sibuk dengan pekerjaan, keluarga, dan seratus seribu perkara yang lain, kita juga akan ketinggalan perubahan penting yang berlaku di sekitar kita.

Cuba fikirkan tentang produk dan perkhidmatan yang anda gunakan hari ini. Berapa banyak produk yang anda gunakan hari ini dikeluarkan oleh syarikat yang wujud sejak 15 tahun yang lalu?

Kita menggunakan perkhidmatan penerbangan AirAsia, membeli perabot rumah di Ikea, membeli komputer daripada Dell, minum kopi di Starbucks, mencari informasi melalui Google, mendapatkan latihan kepimpinan daripada Leaderonomics!

Bukti sosial

Menurut ahli psikologi, Robert Cialdini, yang menulis tentang “bukti sosial”, semakin besar kumpulan orang yang berada di satu tempat kejadian kemalangan, semakin kurang orang yang akan membantu mangsa kemalangan itu. Jika semua orang bersifat pasif, setiap orang akan berfikir bahawa tidak ada kecemasan yang terjadi. Teori Cialdini menjelaskan bahawa “jika ramai orang mengerjakan hal yang sama, mereka pasti mengetahui sesuatu yang tidak kita ketahui.”

Banyak syarikat menerap sikap “ikut pemimpin” secara membabi buta. Wang Laboratories, yang ditubuhkan sebagai syarikat pengkomputeran yang utama pada tahun 1980-an, mengikuti jejak langkah IBM, peneraju industri teknologi pada masa itu, dan melepaskan pasaran PC. Hari ini, Wang Laboratories tidak lagi ada dalam pasaran.

Charan dan Useem mengutarakan satu lagi sebab: “Beberapa kajian menunjukkan bahawa orang sering tidak lagi membuat keputusan yang optimal selepas menikmati masa kejayaan yang berpanjangan. Enron, Lucent dan WorldCom — semuanya berjaya berada di puncak kejayaan sebelum mereka ditimpa masalah. Seseorang seharusnya memberitahu mereka bahawa kebanyakan kemalangan di puncak gunung berlaku semasa menuruninya.”

Gary Hamel menambah:

“Benih-benih kegagalan biasanya tertanam ketika berada di puncak kejayaan.”

Apabila sebuah perusahaan menjadi pemimpin dalam industrinya, pemikiran dan sikap defensif akan menular masuk dan tidak ada sesiapa yang akan mencabar status quo tersebut. Ramai mula berpemikiran sempit dan kehilangan kesempatan sehingga mereka menjadi tidak relevan lagi kepada pelanggan.

Berpandangan ke hadapan

Pemimpin yang cemerlang selalu berpandangan ke hadapan, tidak bergantung pada kejayaan masa lalu atau terperangkap dengan masalah dalaman.

Bill Gates sering berkata: “Microsoft selalu berada dua tahun dari kegagalan”. Gates memahami peri perlunya berprihatin terhadap perkembangan dunia, pola-pola dan perubahan pasaran.

Intel merupakan contoh yang baik sebagai syarikat yang menciptakan kembali diri. Dalam Only the Paranod Survive, Andrew Grove menulis bagaimana Intel menghadapi pesaing dari Korea dan Jepun yang mengubah cip memori menjadi komoditi yang murah. Intel dengan cepat memutuskan untuk keluar dari pasaran memori tersebut dan menjadi pembuat mikropemproses. Grove mendapat ilham ini apabila bertanyakan diri, “Jika saya dibuang kerja dan lembaga pengarah melantik ketua pegawai eksekutif yang baharu, apakah yang akan dilakukannya?” Jawapannya sangat jelas — fokus pada kekuatan syarikat iaitu teknologi yang tinggi dan singkirkan cip memori.

Intel menghadapi banyak masalah dalaman tetapi Grove sedar jika dia terus bermain permainan yang sama, dia akan segera menjadi satu lagi gergasi yang akan tumbang. Dia mendapati bahawa teknologi mikropemproses yang tinggi adalah lebih berharga dan dia memiliki sekumpulan ahli sains yang boleh dikerah untuk tujuan tersebut. Pandangannya yang lebih terbuka membolehkan Intel untuk terus menjadi gergasi meskipun dalam bidang produk yang berbeza.

Jim Collins, penulis buku Good to Great, berkata “Kunci petunjuk — ujian litmus — adalah adakah anda akan cuba memberi penjelasan mengenai keadaan-keadaan yang teruk atau anda akan menghadapinya secara langsung.” Dengan memaksakan diri untuk melihat dari luar, Grove menyedari bahawa keadaan teruk yang dihadapinya telah mendesaknya untuk membuat perubahan-perubahan yang sepatutnya.

Pengajaran-pengajaran

Jadi, apakah yang dapat kita pelajari daripada cerita-cerita ini?

Pertama, perubahan berlaku pada setiap masa. Ia bukanlah sesuatu yang perlu digeruni. Apa yang perlu ialah kita mestilah berhati-hati untuk selalu memerhatikan dari luar tentang apa yang sedang terjadi di dalam. Dan itu bukan hanya tentang perubahan yang terjadi dalam industri sendiri tetapi juga perubahan-perubahan yang berlaku di tempat-tempat lain. Peruncit buku tidak mengerti bagaimana Amazon.com boleh tiba-tiba muncul dan menyingkirkan mereka kerana mereka tidak pernah mengikuti perkembangan revolusi internet.

Kedua, kita perlu berhati-hati apabila kita mula menumpukan fokus dan menghabiskan banyak masa menyelesaikan hal-hal dalaman syarikat. Pemimpin yang hebat berfikir dan mengambil masa untuk memerhatikan “gorila yang sedang menari” dalam kehidupan mereka.

Akhirnya, berwaspadalah ketika anda menjadi sangat defensif dan cepat bereaksi. Ini merupakan titik permulaan anda akan jatuh dari puncak kejayaan. Pemimpin yang hebat yang terus berada di puncak untuk jangka masa yang lama adalah pemimpin yang mengamalkan sifat rendah diri dan percaya bahawa pembelajaran dan pertumbuhan tetap terus berlaku dan tiada kesudahannya.

Akhir kata

Kembali kepada video gorila saya — tidak kira sama ada anda seorang pemimpin atau individu biasa, ambil masa untuk berdiam dan fikirkan perubahan-perubahan yang terjadi. Jika anda terlalu sibuk “menghitung lontaran”,  gorila-gorila itu akan menelan anda dan menjadikan anda “dinosaur” yang tidak relevan lagi.

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

 Majikan

10 Strategi Perbualan untuk Mempamerkan Kualiti Kepimpinan Anda

Oleh William Arruda. Ingin dilihat sebagai pemimpin dalam temu duga kerja anda? Temui 10 petua perbualan untuk mempamerkan kemahiran kepimpinan anda.

Dec 27, 2023 3 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Akui Kesilapan Di Tempat Kerja: 10 Cara Terbaik

Kita tidak boleh lari dari kesilapan. Biarpun naluri kita akan lazimnya mempertahankan diri tetapi sekiranya kita bersalah, akuilah kesilapan itu. Tontoni video TOP 10 untuk belajar cara-cara mengakui kesilapan di tempat kerja.

Aug 09, 2017 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest