8 Tip Etiket Apabila Berurusan Dengan Budaya Yang Berbeza

Sep 26, 2018 4 Minit
budaya, perbezaan

Persekitaran kerja masa kini penuh dengan kepelbagaian. Dengan globalisasi, kemudahan perjalanan dan penciptaan teknologi seperti e-mel dan persidangan video, berhubung dengan pelbagai negara bukan hanya mudah, malah telah menjadi kebiasaan. Dunia kini berada di hujung jari kita.

Kita di Malaysia kian dikelilingi perbezaan budaya dan etnik disebabkan oleh penghijrahan  ratusan pekerja dari negara-negara lain yang mula bertapak di tanah air kita.

Bagi memastikan komunikasi yang lancar dan berkesan dalam urusan kerja di dalam persekitaran pelbagai budaya, berikut adalah lapan tip yang boleh kita ikuti apabila berurusan dengan orang berbilang budaya:

1. Buka minda dan bersedia untuk belajar

Mempunyai sikap yang baik mungkin perkara terpenting untuk membina perhubungan antara budaya dengan jayanya. Tiada yang lebih menyakitkan hati daripada seseorang yang bercakap dengan nada merendah-rendahkan dan bahasa badan yang seolah-olah berkata, “Cara aku lebih baik daripada cara awak”. Hargai perbezaan budaya dan berusaha untuk memahami mereka.

2. Fahami sistem nilai

Kadang-kadang kita perhatikan kelakuan dan reaksi yang agak membingungkan. Contohnya, seorang Cina akan berasa tersinggung apabila dihadiahkan sebuah jam. Ini kerana orang Cina mengaitkan jam dengan kematian. Dan jauhkan diri anda daripada memegang kepala orang Kemboja atau memindahkan objek di atas kepala mereka. Seperti juga kebanyakan budaya Asia, di Kemboja, kepala seseorang dianggap suci.

Di sebalik pilihan tabiat ini, sememangnya wujud sistem nila, kepercayaan dan pandangan dunia yang beraneka. Seperti ais apung, mudah bagi kita melihat bahagian yang berada di atas permukaan air, tetapi kita harus sedar tentang bahagian ais apung yang memberikan asas kepada puncaknya. Setelah itu barulah kita akan lebih memahami norma budaya.

3. Tahu cara bertegur sapa yang sesuai

Berjabat tangan adalah amalan yang paling biasa dalam dunia bisnes, biarpun ia mungkin berbeza dari tempat ke tempat. Misalnya, di Perancis, mereka berjabat tangan dengan sentuhan sederhana manakala di Amerika, sentuhan tangan adalah lebih kuat.

Di Thailand, berjabat tangan adalah amalan yang diterima dan lazimnya orang asing tidak memulakan ‘wai’ tetapi jika ia diberikan, kita haruslah membalasnya. Berapa tinggi tangan kita diletakkan, seperti juga berapa rendah kita menunduk di Jepun, bergantung kepada status orang yang kita sedang menyapa. Kalau hendak selamat, ambil masa untuk membuat kajian tentang norma menyapa sebelum memulakan perjalanan ke luar negara.

4. Peka dengan ruang peribadi

Norma berkaitan ruang peribadi berbeza mengikut budaya. Melanggar ruang peribadi orang lain bukan hanya menyebabkan mereka tidak selesa, tetapi ia boleh mengalih perhatian mereka daripada perbualan anda.

Di England, jarak yang selesa adalah di mana dua orang boleh panjangkan tangan mereka sedikit dan berjabat tangan. Di Jepun, jarak yang diterima lebih lebar daripada ini, kerana mengambil kira keperluan untuk menunduk. Jangan berada terlampau dekat supaya kepala anda tidak bertemu ketika menunduk.

5. Fahami etiket jantina

Perbezaan sistem kepercayaan membawa kepada perbezaan set interaksi yang diterima di antara lelaki dan wanita. Dalam budaya yang lebih konservatif, sentuhan fizikal di antara lelaki dan wanita di tempat awam adalah tidak manis. Dalam situasi tersebut, anggukan dan senyuman sudah memadai.

Di India, lelaki dan wanita tidak seharusnya melebihi daripada berjabat tangan. Ini dianggap sangat serius. Ingat kembali insiden di mana aktor Richard Gere mengucup bintang Bollywood Shilpa Shetty di pipi beberapa kali ketika majlis kesedaran AIDS di New Delhi pada 2007. Aduan-aduan difailkan dan mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas kedua-dua Gere dan Shetty atas sebab menyinggung perasaan masyarakat tempatan.

6. Elakkan bahasa yang sukar difahami

Elakkan daripada menggunakan kiasan atau bahasa basahan yang membawa makna berlainan daripada makna literal sesuatu perkataan itu jika berbual dengan mereka yang berlainan bahasa ibundanya.

Sebagai contoh: “Saya menarik kaki anda.” Kita cenderung menggunakan ayat ini jika kita ingin ramah atau kasual. Gunakan bahasa yang mudah dan boleh difahami secara literal terutamanya apabila komunikasi itu harus berkesan dan terang. Jangan susahkan mereka, bantulah mereka memahami kita dengan mudah..

7. Perhatikan gerak tangan dan isyarat

Tangan kita boleh berbicara, seperti juga bibir kita. Berhati-hati dengan perbezaan makna gerak tangan yang dibuat. Pergerakan tangan yang sedikit pun boleh mempunyai kesan yang memudaratkan kepada perhubungan.

Membuat bulatan dengan ibu jari dan jari telunjuk sambil mengangkatnya ke udara bermakna ‘OK’ di negara-negara seperti Amerika. Di Brazil pula, ini dianggap gerak isyarat yang amat menyinggung perasaan.

Apabila kita telah makan terlampau banyak, kita mungkin mengangkat kedua-dua belah tapak tangan untuk menandakan yang kita sudah kenyang. Di Greece, gerak isyarat ini digelar moutza dan dianggap sangat biadap. Elakkan daripada membuat gerak isyarat dengan berlebihan supaya bahasa badan anda kekal neutral.

8. Bersopan santun di meja makan

Makan bersama adalah masa untuk berkongsi dan merapatkan silaturrahim, jadi anda harus berhati-hati di ruang ini. Perhatikan hos anda, kelakuan mereka, juga bagaimana mereka meletakkan kutleri di atas meja.

Sebagai contoh di Asia, ia dianggap biadap jika penyepit makanan dilayang-layangkan atau diletakkan secara menegak di dalam mangkuk.

Jika makanan istimewa tempatan dihidangkan kepada anda, terimalah sahaja kerana agak biadap jika anda menolaknya. Mungkin tuan rumah bersusah-payah mendapatkannya untuk anda.

Di sesetengah negara Eropah seperti Jerman, tangan harus diletakkan di atas meja. Secara kebiasaanya, jangan buat andaian. Peka dengan etiket yang ditunjukkan oleh semua orang di sekeliling meja.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik 8 Etiquette Tips When Working With Different Cultures.

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Nilai Murni

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Label

Perkara yang Boleh Dilakukan oleh Label Tersuai Untuk Jenama Anda

Oleh Bryce Fisher. Teruskan membaca untuk mengetahui kelebihan penting label tersuai, ia dapat membantu anda meningkatkan keterlihatan jenama anda dan membina pengikut pelanggan yang setia.

Jul 05, 2023 4 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Memberi Reaksi atau Respons

Dalam menjalani kehidupan seharian, kita mempunyai pilihan sama ada ingin memberikan reaksi atau memberikan respons melalui perbuatan kita. Jadi, utamakan memberi respons supaya hidup lebih positif dalam apa jua keadaan.

Jul 30, 2024 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest