Dedikasi Buat Emak, Guru Pertamaku

OlehEditor
May 13, 2018 1 Minit
dedikasi kepada ibu

Sehingga ke hari ini, tidak susah meneka bahawa saya adalah anak kepada Norlida Samah, emak saya.

Yang paling kelakar adalah ketika saya ke pejabat emak beberapa tahun lepas. “Awak anak Puan Norlida, ya?” sapa seorang pengawal keselamatan yang kali pertama bertemu saya ketika itu.

Sudah tentu saya gembira kerana mempunyai wajah seiras emak, tetapi saya berharap untuk menjadi terbaik dan selfless (tidak mementingkan diri) sepertinya.

10 Mei merupakan hari lahir emak, jadi peluang untuk menulis artikel ini amatlah bermakna.

Ketika saya menaip artikel ini di dalam kamar tidur, beberapa kali emak mengetuk pintu untuk mengajak saya bersarapan. Tetapi, saya mahu menceritakan kepada dunia terlebih dahulu bagaimana wanita ini telah mengajar dan membimbing saya.

Universiti Melbourne, Disember 2014
Bersama emak tersayang, Norlida Samah selepas penulis menerima Ijazah Sarjana dari Universiti Melbourne pada Disember 2014.

1. Cinta itu adalah perbuatan

Secara amnya, emak saya jarang memanjakan kami dengan kata-kata manis, tetapi teguran memang banyak! Setelah begitu lama, barulah saya sedari, cintanya terzahir dengan perbuatan.

Sekecil-kecil daripada memastikan ada tisu dalam beg saya, membeli kasut kerja baharu kepada memasak lauk kegemaran saya ketika saya berada di rumah. Semua perbuatannya adalah kerana cinta.

Berbeza dengan emak, love language (bahasa cinta) saya adalah lebih kepada masa yang diluang bersama dan melalui perkataan. Tetapi emak telah mengajar saya pelajaran terpenting tentang cinta — ia perlu dibuktikan dengan perbuatan.

Sehingga hari ini, saya masih belajar untuk menzahirkan cinta saya bukan sahaja kepada manusia tetapi kepada semua peluang yang saya miliki. Contohnya, peluang bekerja di Leaderonomics. Hari ke hari, saya cuba melakukan yang terbaik dalam tugasan yang diberi.

Melalui cinta yang mendalam akan terhasillah keazaman yang tinggi. Ini seterusnya akan melahirkan hasil kerja yang baik. Tidak cukup dengan janji, perlu ada bukti.

2. Fokus pada membina hubungan 

Selain wajah kami yang amat seiras, saya percaya sifat peramah juga merupakan antara
persamaan lain.

Ketika saya remaja, saya selalu terlihat betapa mesra emak dengan semua orang. Kadang-kadang beliau seperti sudah mengenali pembantu kedai bertahun-tahun lamanya! Saya masih teringat senyuman yang terukir di wajah pembantu kedai itu.

Maya Angelou pernah berkata,

“Saya telah belajar bahawa orang akan melupakan apa yang
anda katakan, orang akan melupakan apa yang anda lakukan, tetapi orang tidak akan lupa bagaimana anda menyentuh perasaan mereka.”

Prinsip ini saya berharap akan tersemat dalam diri saya buat selama-lamanya.

Fokus pada perhubungan, bukan semata-mata faedah daripada perhubungan. Jika saya ingin membina teras perhubungan yang kukuh, saya harus memulakannya terlebih dahulu dengan niat yang ikhlas.

Perhubungan yang baik boleh membawa kita jauh, mencapai sesuatu yang mungkin tidak tercapai apabila kita keseorangan.

3. Tanggungjawab dan kerjasama adalah segalanya

Jujurnya, saya dan adik saya dibesarkan oleh seorang ibu tunggal sejak saya berumur enam tahun. Namun, saya tidak pernah berasa kekurangan. Emak memastikan kami dibesarkan secara normal yang boleh.

Pakcik-pakcik saya menggalas tanggungjawab dalam menghantar kami ke sekolah, kelas tuisyen dan kelas mengaji. Emak tidak pernah menggunakan alasan tiada kenderaan ketika itu untuk tidak memastikan pendidikan terbaik buat kami berdua.

Mungkin kerana itu, saya amat cenderung untuk mempunyai peranan kepimpinan dan
hubungan yang terbaik. Pengalaman emak membesarkan kami menunjukkan tidak mungkin kami mencapai apa-apa tanpa sifat tanggungjawab dan juga kerjasama.

Emak menerapkan set minda yang amat penting untuk kehidupan — “Get the things done!” (Selesaikan apa yang perlu dilakukan!) Jika tidak mampu melakukannya, cari skuad dengan kekuatan yang melengkapi anda.

Terus saya teringat dengan pengalaman menganjurkan persidangan Do Good (Buat Baik) baru-baru ini. Terima kasih kepada emak, rakan sekerja dan saya berjaya mencari pasukan terbaik dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan.

Penulis (ketiga dari kiri) dengan rakan-rakan sekerja selepas selesai menjalankan tugas dengan jayanya pada persidangan Do Good Leaderonomics baru-baru ini.
Penulis (ketiga dari kiri) dengan rakan-rakan sekerja selepas selesai menjalankan tugas dengan jayanya pada persidangan Do Good Leaderonomics baru-baru ini.

4. Berkhidmat selagi boleh

Walaupun emak merupakan anak bongsu dalam keluarga, namun beliau memikul
tanggungjawab yang berat dalam membantu keluarganya.

Kadang-kadang saya juga berasa hairan mengapa emak harus terus berkhidmat tanpa lelah. Kata emak,

“Tidak rugi kita memberi apa yang kita ada, dan bersyukurlah dengan kemampuan yang ada.”

Masih jauh lagi perjalanan saya dalam kehidupan ini, tetapi emak telah merubah persepsi
saya tentang berkhidmat untuk orang lain.

Kehidupan ini bukanlah berpaksi pada diri sendiri sahaja. Soalan yang saya sering tanya diri, “apa yang boleh saya lakukan ketika ini untuk orang lain?”

Berkaitan: Legasi Seorang Ibu Untuk Generasi Seterusnya

Bergembiralah diri dengan peluang untuk membuat perbezaan dalam kehidupan orang lain. Mungkin dengan senyuman, usaha, masa ataupun bantuan dalam bentuk lain. Rebutlah peluang itu. Ia akan mengajar kita menjadi insan yang lebih rendah diri dan hebat.

Akhir kata

Saya percaya terlalu banyak lagi pengajaran lain yang telah dipelajari oleh insan kerdil ini.

 

Waheeda Hasbullah bertugas di unit Leaderonomics Experiences, Leaderonomics. Dia percaya setiap perkara dan setiap cerita mengungkap kebijaksanaan untuk mereka yang percaya.
Leaderonomics mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu!

Sila Kongsi

Cadangan Buat Kamu

Pemimpin

Memimpin dalam Dunia yang Mengganggu: Pengajaran Utama daripada Sidang Kemuncak Kepimpinan Global 2023 (Bahagian 1)

Oleh Kiran Tuljaram. Daripada memupuk perhubungan yang berkembang maju kepada memanfaatkan kuasa penambahbaikan tambahan, dapatkan wawasan yang tidak ternilai yang boleh digunakan dalam konteks peribadi, profesional dan masyarakat.

Dec 05, 2023 10 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.

Jul 28, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest