Renungan Tentang PRU Ke-14 Malaysia

May 14, 2018 5 Minit
Malaysia

9 Mei 2018 adalah hari yang bersejarah dan signifikan bagi Malaysia. Bukan kerana negara kita akan serta-merta menjadi negara yang sempurna. Juga bukan kerana segala masalah ekonomi, pendidikan, sosial, keselamatan akan lenyap dengan ajaib. Perubahan akan mengambil masa, dan sempena permulaan fajar baharu ini, saya ingin berkongsi renungan saya.

1. Demokrasi yang matang

Kita telah mengambil langkah penting dalam usaha menuju demokrasi yang matang. Di dalam sistem demokrasi yang matang, rakyat mempunyai pilihan yang berdaya maju. Mereka tidak lagi berasa mereka terjerat dengan kerajaan sedia ada. Dan kerana rakyat dapat melihat bahawa perubahan adalah sesuatu yang tidak mustahil, ahli-ahli politik (dari kedua-dua belah pihak) tidak lagi akan mengambil mudah akan rakyat.

Politik Malaysia sudah berubah buat selama-lamanya.

2. Bergerak maju bersama

Untuk memastikan sistem dua parti ini bertahan, rakyat harus melihat bahawa perubahan pada kerajaan tidak membawa kucar-kacir atau anarki. Itulah mengapa peralihan kuasa kerajaan yang teratur dan aman dalam beberapa hari ini sangat penting. Walaupun masih dalam suasana gembira, penyokong-penyokong kerajaan yang baru dilantik haruslah berpada-pada dalam meraikan kemenangan dan menunjukkan sifat yang baik.

Tidak perlulah menyebut berkali-kali tentang kemenangan itu; lebih baik jika tangan dihulurkan untuk menyatukan semua orang. Penting bagi rakyat untuk tidak merasa yang mereka dihakimi, dipencilkan atau dipinggirkan. Kita harus membantu mereka merasai yang mereka mempunyai tempat dalam ‘negara baharu’ ini dan mereka mempunyai peranan untuk dimainkan supaya maju bersama-sama tanpa mengira kecenderungan politik.

3. Melibatkan generasi muda

Undi daripada golongan belia telah memberi perbezaan yang ketara. Kita perlu terus memastikan generasi muda memainkan peranan mereka sebagai warganegara yang bertanggungjawab dalam usaha kita untuk kekal maju.

Kita harus sentiasa menggalakkan pendaftaran pengundi yang tinggi dalam kalangan penuntut universiti dan siswazah baharu. Terdapat lebih daripada 50% daripada mereka dalam lingkungan ini yang masih belum mendaftar sebagai pengundi, jadi matlamat untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti ialah untuk menaikkan angka tersebut ke 75%.

4. Memberi penghormatan

Kita harus memberi penghormatan kepada para penyokong setia parti pembangkang yang berjuang tanpa mengenal erti penat lelah selama bertahun-tahun. Kebanyakan masanya mereka seakan-akan ombak yang terhempas ke dinding, bertarung dalam pertempuran yang tidak dihargai dan sia-sia selama bertahun-tahun.  

Individu-individu seperti Lim Kit Siang, mendiang Karpal Singh, P. Patto dan ramai lagi perintis yang terlibat dalam pertempuran ini sejak 1980-an dan sebelumnya. Anwar Ibrahim, Wan Azizah, mendiang Irene Fernandez dan ramai lagi yang menyertai pergerakan Reformasi sejak lewat 90-an.

Ayah saya juga berada di dalam kumpulan yang serupa, seorang yang berjuang untuk perubahan sebelum ia diterima atau menjadi popular. Mereka mencetuskan kesedaran politik yang membawa kita ke kedudukan sekarang. Kita harus berterima kasih kepada mereka dari lubuk hati kita.

Berkaitan: #RakyatMalaysiaBoleh Demi Kemakmuran Negara Tercinta

5. Melibatkan semua kumpulan bangsa

Tsunami politik tanggal 9 Mei 2018 istimewa kerana ia melibatkan semua kumpulan bangsa. Ia bukanlah tsunami Cina yang terpencil seperti pada tahun 2008 dan 2013. Anjakan ini melibatkan kaum Melayu, India, Cina, Iban, Dayak, dan lain-lain – dari kawasan bandar dan luar bandar, di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.  

6. Membina semula hubungan

Kita hendaklah mengambil peluang ini untuk membina semula hubungan antara kaum yang telah roboh sepanjang 10 tahun ini. Inilah masa yang tepat untuk kita mengeratkan tali silaturrahim antara adik-beradik berlainan agama dan bangsa, dan mula meruntuhkan segala kesangsian dan salah faham sesama kita.

Kita patut berikhtiar untuk meluangkan lebih banyak masa dengan mereka yang berasal dari latar belakang etnik dan agama yang berbeza daripada kita.

7. Menghormati sesama sendiri

Tsunami hijau yang melanda negeri-negeri pantai timur menunjukkan bahawa terdapat jurang yang perlu dirapatkan. Ramai orang bimbang tentang sekularisasi yang semakin berkembang. Mereka mencari tahap kewarakan yang lebih tinggi dalam masyarakat serta tadbir urus awam.

Sesetengah orang mungkin tidak selesa dengan visi ini, tetapi ia menonjolkan realiti bahawa lain orang, lain visinya untuk Malaysia. Lihat sahaja pada Amerika semasa Obama berbanding Amerika di bawah Trump.

Cabarannya adalah mencari jalan untuk ‘hidup dengan cara tersendiri’ bersama-sama, menghormati sesama sendiri, menunjukkan sikap yang sopan antara satu sama lain, bersetuju untuk tidak bersetuju dalam sesuatu isu, memberi ruang kepada masing-masing untuk memilih gaya kehidupan sendiri tanpa mencerobohi hak orang lain.

8. Menguruskan harapan

Kita harus menguruskan harapan kita terhadap kerajaan baharu. Perubahan akan mengambil masa. Tiada apa yang dapat dilaksanakan dengan serta-merta. Melihat kepada contoh negeri-negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor, saya yakin Kerajaan Persekutuan baharu akan membawa perubahan yang cukup besar kepada sistem dan budaya tadbir urus, yang akhirnya akan membuahkan perubahan kepada kesejahteraan hidup kita — rakyat Malaysia.

Walau bagaimanapun, kerajaan baharu ini tidak akan sempurna, dan tidak mungkin membuat keajaiban dalam waktu yang singkat. Kita bukannya melantik wali atau adiwira. Mereka hanyalah manusia biasa seperti kita. Mereka tidak akan lari daripada membuat kesilapan.

Untuk ini, kita mestilah memastikan mereka bertanggungjawab. Tetapi apa yang rakyat paling mahukan adalah supaya ‘pemimpin yang tidak sempurna’ ini mengutamakan keperluan rakyat dan bukan keperluan diri serta menahan diri daripada nafsu tamak.

9. Menjadi sebahagian daripada perubahan yang kita cari

Kita harus menjadi sebahagian daripada perubahan yang kita impikan. Pemimpin baharu memerlukan sokongan kita. Daripada pekerja pusat perkhidmatan, penasihat profesional dan pakar runding, pekerja komuniti, dan yang lain-lain, kita semua harus berganding bahu.

Saya teringat apabila pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan di Pulau Pinang – ramai pemimpin pemikiran serta pakar, usahawan dan pekerja terlatih pulang ke Pulau Pinang untuk menyumbang tenaga secara sukarela bagi membangunkan negeri mereka. Kebanyakan daripada mereka, yang dalam golongan muda, begitu teruja dengan harapan membina sesuatu yang lebih baik.

Saya berharap dapat melihat trend yang sama sekarang di seluruh negara. Marilah kita menarik semula warga Malaysia di seluruh dunia untuk pulang berbakti kepada negara.

10. Sanggup berkorban

Saya harap perubahan dalam kerajaan akan mengecilkan jurang antara para hartawan dan mereka yang hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Penderitaan ekonomi adalah salah satu sebab utama yang membawa kepada keputusan pilihan raya ini. Mereka yang berada di kelas bawahan menjadi semakin kecewa atas ketidakupayaan mereka membina kehidupan yang memuaskan untuk diri sendiri; membeli rumah sendiri, menyediakan pendidikan untuk anak-anak mereka, mencari nafkah untuk keluarga. Kerajaan tidak mungkin dapat merapatkan jurang ini tanpa kerjasama daripada kelas atasan.

Untuk mencapai kesaksamaan, mereka yang berada di skala teratas haruslah membuat pengorbanan dan berkompromi. Kita harus bersedia berkorban untuk mencapai visi impian Malaysia untuk semua.

Rakyat Malaysia mengalu-alukan kedatangan fajar yang baharu ini, yang membawa peluang yang baharu. Tetapi hari ini tidak akan kekal selamanya. Kita harus menyambar peluang yang ada. Sekarang.  

 

Dr. Goh Chee Leong ialah seorang warganegara Malaysia, yang benar-benar seorang pendidik dalam lubuk hatinya. Beliau menjuarakan kembara membina sebuah bangsa yang lebih baik melalui pendidikan berkualiti. Beliau kerap dijemput untuk berkongsi pandangan pada pelbagai sesi pemikiran kepimpinan. Jika anda ingin berkongsi pendapat tentang peristiwa PRU Ke-14 yang bersejarah ini, anda boleh menghantar e-mel kepadanya melalui editor@leaderonomics.com.Artikel ini diterjemahkan dan diterbitkan dengan kebenaran penulis. Pandangan dan pendapat yang terkandung dalam artikel ini adalah milik penulis dan tidak membayangkan pandangan rasmi Leaderonomics sebagai sebuah organisasi.

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

wawasan kritikal

5 Wawasan Kritikal untuk Mendayai Pasukan Anda pada Tahun Baru

Oleh Karin Hurt. Mendayai pasukan anda untuk berkembang! Ketahui 5 wawasan penting untuk menyelaraskan, memotivasi, dan membimbing mereka ke arah kejayaan.

Dec 16, 2024 5 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Memberi Reaksi atau Respons

Dalam menjalani kehidupan seharian, kita mempunyai pilihan sama ada ingin memberikan reaksi atau memberikan respons melalui perbuatan kita. Jadi, utamakan memberi respons supaya hidup lebih positif dalam apa jua keadaan.

Jul 30, 2024 8 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest