Tahniah! Anda baru mendapat kerja baharu. Tempoh percubaan dalam kerja baharu biasanya agak mengentarkan. Ini kerana anda akan dipantau dengan rapi. Prestasi anda dalam tempoh 90 atau 180 hari ini akan menentukan sama ada anda akan diambil kerja sebagai staf tetap organisasi berkenaan.
Jadi, bagaimana anda boleh menyusuri tempoh percubaan ini dengan baik dan licin? Kami mengesyorkan beberapa tip untuk dijadikan panduan.
1. Buat perancangan sejajar visi dan matlamat organisasi
Semasa anda ditemu duga untuk jawatan tersebut, anda sememangnya sudah dimaklumkan tentang visi dan matlamat organisasi. Kemungkinan besar juga, panel penemu duga juga bertanya bagaimana anda boleh membantu merealisasikan visi dan matlamat itu.
Kini tibalah masanya untuk anda menyemak semula cadangan yang dikemukakan dan membuat pelan terperinci dan berstruktur. Dalam usaha mengerjakan pelan itu, anda mungkin perlu mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sekerja lain supaya anda mendapat gambaran yang lebih menyeluruh sebelum membina pelan anda.
Apabila anda sudah agak puas hati dengan draf perancangan, jadualkan masa untuk berbincang dengan bos untuk mendapat maklum balasnya. Lepas itu, kemaskinikan pelan itu dan laksanakannya.
2. Libatkan diri secara aktif dan meluas
Sebagai budak baharu, anda perlu mencari sebanyak mana peluang untuk berkenalan dengan rakan sekerja dari unit-unit lain dan melibatkan diri dalam pelbagai sesi perbincangan yang berkaitan.
Anda perlu menggunakan peluang-peluang ini untuk menonjolkan diri sebagai seorang yang bersemangat pasukan, dan boleh dipercayai untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan tanpa kerenah.
Anda perlu banyak menyoal tetapi pandai-pandai berbuat demikian. Jangan hinggakan rakan sekerja menyifatkan anda sebagai amat meletihkan dan tidak dapat bekerja secara berdikari.
Tawarkan diri untuk membuat kerja lain selain bidang kerja rasmi anda. Ini akan menonjolkan diri anda sebagai seorang yang penuh minat dan keghairan.
Tetapi jaga-jaga anda tidak menawarkan diri untuk terlalu banyak kerja secara sukarela hinggakan membebankan diri dan membuatkan kerja yang sepatut dibuat tertinggal.
3. Paparkan wajah yang ceria
Anda mungkin merasa tempoh percubaan ini seolah-olah anda sedang ‘dihakimi’. Memang ada kebenarannya. Tempoh ini penting untuk anda dan majikan.
Bagi anda, ini adalah peluang kerja dan masa hadapan anda. Bagi majikan pula, proses mencari dan menggaji pekerja adalah proses yang menelan masa dan wang Ringgit. Berjaya atau gagal mereka dalam mengambil pekerja yang relevan besar kesannya pada proses pengambilan pekerja dan pengurusan mereka.
Untuk menyusuri tempoh ini dengan berjaya, cara yang ringkas adalah sentiasa berwajah ceria, tanpa mengira cabaran dan tugasan yang perlu anda tangani.
Biarpun ini memang sukar, anda akan dikenali sebagai seorang yang pandai bertahan, boleh bekerja di bawah tekanan, dan pada masa yang sama, memaparkan wajar yang ceria. Ini akan membuahkan hasil yang baik untuk anda semasa mereka menilai prestasi anda pada akhir tempoh percubaan.
4. Bersikap profesional
Biarpun bekerja di bawah tekanan, sentiasa bersikap profesional. Bersopan santun, hadir tepat pada masa, jangan ponteng kerja tanpa alasan yang bernas.
Betul, seseorang mungkin jatuh sakit sekali sekala tetapi ia menjadi mimpi buruk jika terlalu kerap berlaku. Jika anda jatuh sakit dan tidak dapat hadir kerja, maklumkan kepada penyelia atau pengurus anda. Ini akan menunjukkan bahawa anda seorang yang bertanggungjawab dan faham betul dengan perkara-perkara berhubung masa dan kehadiran.
Dari segi pakaian, pastikan pakaian anda sesuai dan serasi dengan peraturan pakaian pejabat. Selepas tempoh percubaan, anda mungkin berpakaian yang aneh laku, yang menimbulkan rasa sayang terhadap anda, tetapi biarkan tempoh percubaan ini berlalu sebelum anda berbuat demikian.
5. Biar jelas dengan jangkaan yang diharapkan
Sepanjang tempoh percubaan, anda harus mengadakan perbualan dan diskusi secara kerap dengan penyelia anda tentang prestasi ada. Tanya kepadanya sama ada anda memenuhi objektif yang ditetapkan dan aspek-aspek yang perlu ditambahnaikkan.
Secara idealnya, majikan anda patut menggariskasari program yang berstruktur, lengkap dengan sesi pementoran dan perbualan, serta maklum balas dan penilaian prestasi pada selang waktu tertentu.
Tetapi biasanya program pementoran ini berjalan untuk seminggu dua sahaja. Lepas itu, terutamanya apabila anda nampaknya sudah biasa dengan budaya dan beban kerja, penyelia anda pun cepat lupa untuk meneruskan proses ini, lebih-lebih apabila masing-masing sibuk dengan kerja dan urusan sendiri.
Apabila berhadapan dengan situasi sedemikian anda perlu memaklumkan kepada penyelia bahawa anda mahu proses pementoran itu diteruskan. Ini adalah penting kerana jika anda mengadakan perbualan yang kerap berhubung prestasi anda, sebarang masalah yang dihadapi dapat ditangani dan sebarang kelemahan anda dapat ditambah baik dengan serta-merta. Ini akan meredakan sebarang kejutan yang mungkin timbul pada penghujung tempoh percubaan.
6. Jangan buat mana-mana yang berikut (semasa ataupun selepas tempoh percubaan)
Jangan gunakan masa kerja untuk melayari media sosial (kecuali skop kerja anda melibatkan media sosial, dan jika ya pun, layari media sosial kerja bukan yang peribadi), mengambil atau membuat panggilan telefon untuk urusan peribadi, membuat komen tentang kerja/rakan sekerja/bos di media sosial.
Jangan hadir untuk kerja dalam keadaan mabuk atau ketagihan, enggan mengikut arahan, bergosip tentang rakan sekerja, mencuri, bercakap bohong, terlibat dalam gangguan seksual, atau berpura-pura tahu atau memberi gambaran palsu bahawa anda boleh buat lebih daripada yang benar.
Akhir kata
Anda mungkin berjaya dan memutuskan untuk meneruskan kerjaya anda dengan organisasi berkenaan selepas tempoh percubaan.
Sebaliknya juga boleh berlaku – jawatan itu bukan seperti yang anda fikirkan. Mungkin anda tidak dapat bekerja dengan staf lain atau gaya pengurusan bos anda tidak serasi dengan anda.
Tempoh percubaan bukan hanya untuk majikan menilai anda. Ia juga untuk anda menilai sama ada peluang itu benar-benar sesuai untuk anda.
Anda tidak perlu malu jika terpaksa melepaskan peluang ini, jika perlu letak jawatan. Kemungkinan, ada pekerjaan yang lebih sesuasi untuk anda di tempat lain.
Sekiranya anda memilih untuk meneruskan kerjaya dalam organisasi berkenaan, berusaha dengan gigih dan dedikasi. Dengan berbuat demikian, anda akan membuktikan bahawa andalah calon yang terbaik untuk organisasi tersebut.
Tidak kira apa yang berlaku, teruskan kembara kerjaya anda dengan yakin dan tabah.
Selamat maju jaya!