Cabaran Dan Potensi Subsektor Agromakanan

Dec 12, 2018 6 Minit
agromakanan

Setiap manusia perlu makan setiap hari, tanpa mengira kedudukan geografi, latar belakang budaya dan pilihan makanan. Ini merupakan keperluan asas untuk hidup.

Hak mendapat makanan adalah hak asasi manusia. Setiap orang seharusnya ada makanan yang cukup dan tahu cara mendapatkannya. Makanan tersebut perlu memenuhi keperluan nilai pemakanan dan diet manusia.

Dengan pertambahan penduduk dunia yang naik secara mendadak, beberapa bahagian di dunia dilanda kebimbangan akan akses kepada makanan dan nilai pemakanan yang cukup.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), penduduk dunia dijangka mencecah 10 bilion menjelang tahun 2050. Hal ini mungkin meningkatkan permintaan terhadap hasil pertanian sehingga 50% berbanding tahun 2013.

Apabila kita mahu membeli makanan, kita akan mengunjungi pasar raya atau kedai runcit untuk mencari bahan mentah untuk dimasak. Selain itu, kita boleh pergi ke restoran dan pesan sahaja makanan.

Namun demikian, sesetengah insan di dunia tidak bernasib baik seperti kita. Mereka terhalang daripada menerima bekalan makanan berkualiti yang mencukupi. Ini mungkin disebabkan masalah rantaian bekalan atau produk di rantau atau kawasan tersebut.

Inilah sebab subsektor agromakanan perlu berjalan dengan lancar.

Agromakanan di seluruh dunia

Bahagian Peluang Pertumbuhan di dalam laporan Pasaran Produk Agromakanan Global mendedahkan bahawa pasaran produk agromakanan di seluruh dunia dijangka mencecah AS$1.14 bilion menjelang tahun 2018.

Laporan ini juga mendedahkan bahawa pasaran produk agromakanan didominasi  oleh 10 buah syarikat, namun bahagian pasaran 10 syarikat ini tidak mencapai 20%.

Sementara itu, untuk bersaing dengan syarikat besar, pemain industri kecil menggunakan strategi seperti pembezaan keluaran dan mensasarkan tahap perkhidmatan yang lebih baik supaya pelanggan berpuas hati.

Pendapatan boleh guna dijangka meningkat, dan kesannya, pengguna mempunyai kuasa belanja yang lebih besar. Walau bagaimanapun, kesedaran berkenaan kesihatan dan kesejahteraan juga dijangka meningkat. hal  hal ini bakal mendorong permintaan produk makanan yang lebih sihat. Kepesatan perbandaran juga menjadi faktor yang meningkatkan permintaan pasaran produk agromakanan.

Menurut laporan Masa Hadapan Makanan dan Pertanian: Trend dan Cabaran FAO (Future of Food and Agriculture: Trends and Challenges), pelaburan dalam kemajuan pertanian dan teknologi menaikkan produktiviti, namun pengeluaran hasil semakin merosot. Selain itu, terdapat isu pembaziran dan sisa buangan dalam pertanian. Sekiranya ini dapat dikurangkan, ia akan membantu mengurangkan keperluan untuk menambah  pengeluaran.

Laporan FAO juga menyatakan ada keperluan untuk meningkatkan produktiviti, namun hal ini tergendala disebabkan oleh kemusnahan biodiversiti dan kemerosotan alam sekitar, serta penyebaran makhluk perosak dan penyakit yang menyerang tumbuhan dan haiwan.

Agromakanan di Malaysia

Di Malaysia, pertanian terbahagi kepada dua iaitu agromakanan dan perladangan. Agromakanan ditakrifkan sebagai hasil tanaman (buah-buahan, sayur-sayuran, bunga, dll), hasil ternakan (tenusu, ayam) dan hasil perikanan (termasuk hidupan liar dan akuakultur).

Subsektor agromakanan merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan dan logistik. Pada tahun 2017, agromakanan menyumbang 39.3% daripada jumlah nilai tambah sektor pertanian secara keseluruhan, dan 26.8% peluang pekerjaan dalam sekjtor ini.

Tambahan pula, produktiviti buruh dalam subsektor agromakanan meningkat sebanyak 6.1% kepada RM76,210 pada tahun 2017, daripada RM71,811 pada tahun 2016.

Beberapa program sedang dilaksanakan di bawah Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) bagi menambah baik prestasi subsektor ini. Langkah-langkah yang diambil termasuk meningkatkan pengeluaran makanan melalui pembangunan tanah yang optimum dan lestari, menaik taraf infrastruktur pertanian, serta meningkatkan kualiti dan keselamatan makanan dengan memantapkan pematuhan piawaian.

Cabaran dalam subsektor agromakanan

“Rakyat Malaysia bertanggapan kononnya kita merupakan negara pertanian, tetapi hakikatnya tidak,” kata Dr Nungsari Ahmad Radhi, Peneraju Nexus Produktiviti Agromakanan bagi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

“Kita dilimpahi dengan nikmat hujan, tanah yang subur dan sinar matahari. Dari segi anugerah semula jadi dan kedudukan geografi, kita berada di kedudukan yang strategik bagi pengeluaran pertanian dan agromakanan. Namun kita tidak menjayakannya, kerana kita lebih ber fokus pada minyak sawit, dan kepakaran teknikal diperuntukkan dalam bidang tersebut.”

Dalam usaha untuk mempertingkatkan produktiviti di Malaysia sejak 25 tahun lepas, MPC telah mengadakan ceramah dan bengkel, membangunkan program latihan, menyediakan khidmat nasihat dan perundingan berkenaan dengan peningkatan produktiviti, dan juga memberi geran dan pengiktirafan kepada organisasi yang menjadi teladan dalam menjalankan projek penyelidikan berkaitan dengan produktiviti .

Pada tahun 2000-an, MPC telah menetapkan penandaan aras dan amalan terbaik, serta mengkaji cara mempertingkatkan daya saing dan inovasi di peringkat kebangsaan. Bagi mempercepatkan pertumbuhan produktiviti, Unit Perancang Ekonomi (EPU) melancarkan Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia (MPB) pada tahun 2017. Sembilan subsektor utama dikenal pasti, salah satunya ialah agromakanan.

“Kita mengimport sangat banyak makanan. Dan satu-satunya ternakan yang berjaya kita kembangkan iaitu ayam (poultri) banyak bergantung pada makanan import (seperti jagung). Walaupun mempunyai bil import makanan yang besar, usaha kita dalam subsektor agromakanan tempatan masih tidak mencukupi,” ujar Dr Nungsari, yang juga pengerusi eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

“Kita mempunyai beberapa syarikat tersenarai dalam industri makanan, yang terlibat dalam pengetinan, pemprosesan, makanan laut, dan sebagainya. Namun syarikat-syarikat ini tidak bergantung pada pengeluaran huluan di Malaysia. Mereka membawa masuk bahan yang diperlukan, tetapi  menjual dalam pasaran domestik.”

“Produktiviti hanya terhasil apabila sumber yang sedia ada seperti tanah, manusia dan teknologi digunakan dengan lebih baik, tetapi semua ini perlu berdaya maju pada peringkat komersial. Kita melibatkan diri dalam perladangan kerana sektor ini berdaya maju dari segi komersial. Akan tetapi, kita menggunakan lebih ramai buruh asing dan produktiviti tidak meningkat pun saban tahun,” jelas Dr Nungsari.

Nexus Produktiviti Agromakanan terlibat dalam tiga peringkat: nasional, industri dan perusahaan.

Tahap nasional melibatkan akses kepada pasaran, perjanjian perdagangan bebas, serta urusan dengan negara Asean dan lain-lain. Tahap ini juga meliputi dasar berkenaan tanah, tenaga buruh, dan sebagainya.

Tahap industri merangkumi isu berkenaan piawaian, seperti keselamatan makanan dan piawaian keselamatan, serta peraturan tertentu. Hal ini termasuk piawaian pemprosesan dan piawaian pensijilan ladang.

“Kementerian Pertanian telah mengemukakan piawaian dan amalan baik bagi sektor ini. Piawaian diperkenalkan untuk bahagian tertentu seperti piawaian perladangan, pemprosesan (dalam pembuatan), logistik, dan lain-lain.”

“Namun hari ini, ramai menitikberatkan kebolehkesanan. Jika sesuatu berlaku, mereka perlu dapat mengesan kembali punca sebarang isu. Sekiranya anda ingin mengeksport ke negara-negara maju, jika sesuatu berlaku, kita wajib mengesan kembali punca masalah — adakah dari syarikat, kilang, ladang. Jika dari ladang, dari mana datangnya bahan tersebut? Penggunaan teknologi dapat membantu kita memenuhi semua piawaian.”

Sokongan melalui pembiayaan dan penyelarasan

Nexus ini ditubuhkan pada tahun 2017 bagi membantu membiayai kos pemasangan sensor, namun hanya sedikit bajet yang diperuntukkan bagi tujuan ini.

“Kami melaksanakan pembiayaan bersama, namun ia bukan semata-mata pembiayaan. Kami menyelaraskan dan membangunkan modal sosial, serta bekerjasama dengan pihak yang terlibat,” kata Dr Nungsari.

“Kadangkala kami membantu merangka protokol. Misalnya, kini kami meneliti model pertanian kontrak, yang melibatkan isu rantaian bekalan. Petani kecil bersungut bahawa mereka menanam sayur-sayuran dan buah-buahan serta mengembang biak ternakan, namun tiada pihak yang mahu membeli. Kemudian, apabila anda bertanya wakil syarikat-syarikat besar akan sebab mereka mengimport segala-galanya, mereka menjawab tiada pihak yang boleh menanam atau mengembang biak mengikut permintaan mereka.”

“Jadi sebelum kita beri peluang kepada petani untuk menghantar bekalan kepada syarikat-syarikat besar, kita perlu menetapkan protokol tertentu. Jadi, siapa yang bertanggungjawab dalam hal ini? Syarikat gergasi seperti Nestlé yang memperoleh hasil pendapatan sebanyak AS$91bil pada tahun 2017 mempunyai protokol tersendiri. Bermula dari peringkat benih sehinggalah produk akhir, Nestlé akan membelinya. Namun kebanyakan syarikat kecil tiada protokol tertentu.”

“Untuk kami bangunkan protokol dan mengenal pasti perkara yang penting supaya protokol tersebut dapat ditepati, kerja ini sebenarnya renyah. Sebab itulah tiada sesiapa yang dapat menandingi McDonald, kerana prosedur operasi standard dan manual kerja McDonald begitu bagus. Dari sudut logistik sehinggalah pemerolehan, kakitangan McDonald dilatih untuk melaksanakan kerja langkah demi langkah. Syarikat makanan segera lain tidak membuat perkara yang sama.”

“Pengeluaran makanan dan pertanian kontrak seharusnya dilaksanakan sedemikian rupa. Kita perlu membangunkan protokol sebegini dan mendidik petani supaya memenuhi keperluan pemproses.”

“Kami tidak menyediakan akses kepada pasaran, kerana usaha ini dilakukan oleh pemain industri besar. Nexus ini lebih berfokus untuk membantu firma-firma (dengan membiayai sensor dan membangunkan protokol) dan industri (dengan menambah baik keselamatan makanan dan menetapkan piawaian perladangan),” kata Dr Nungsari.

“Tetapi masih banyak produk yang tidak diperakui. Jika anda mengunjungi MAHA dan membuat semakan produk (teh, kopi, dll), kebanyakannya masih belum diperakui dan menerima pengiktirafan. Jadi, sukar untuk produk-produk ini menembusi pasaran. Mereka hanya boleh menjualnya di Malaysia — ini memberi sesuatu petanda terhadap piawaian kebangsaan.”

“Beberapa pengusaha kecil tidak mendapatkan pengiktirafan kerana kekangan kos. Anda perlu membelanjakan wang untuk mendapat pengiktirafan. Akses kepada pasaran berhubung kait dengan keupayaan menepati piawaian. Ini adalah  sebahagian daripada langkah memenuhi syarat kemasukan pasaran. Pertama ialah kemampuan menembusi pasaran, kemudian sama ada untung atau tidak, ini isu lain.”

Dr Nungsari menegaskan petani huluan mesti dihubungkan dengan pengusaha yang memproses produk hiliran.

“Jika pemproses meminta petani membekalkan sejumlah buah-buahan, sayur-sayuran atau ternakan pada tarikh tertentu, maka petani perlu memikirkan langkah untuk memenuhi pesanan tersebut.”

Malaysia dikurniakan dengan nikmat hujan dan sinar matahari sepanjang tahun, serta tanah yang subur dan kita ada potensi besar dalam pengeluaran pertanian dan agromakanan. Dengan adanya fokus, pengetahuan, sokongan dan teknologi yang sepatutnya, firma yang terlibat dalam subsektor agromakanan mampu memperkasa keterlibatan masing-masing ke peringkat yang seterusnya.

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah memulakan gerakan produktiviti di seluruh negara, merentasi semua segmen masyarakat untuk mewujudkan tahap kesedaran dan pemahaman yang lebih tinggi mengenai kepentingan dan manfaat produktiviti pada tahap perusahaan, berserta bimbingan mengukur dan menjejak produktiviti. Untuk maklumat mengenai Nexus Produktiviti, layari wayup.my. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai MPC, kunjungi mpc.gov.my.Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Ensuring Food Security Challenges And The Future Potential In Agro-food

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com
Alt

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Kecerdasan Keberanian – Kepimpinan untuk Masa Depan

Oleh Sonia McDonald. Dengan contoh dunia sebenar dan strategi yang berkesan, temui kuasa kepimpinan yang berani dalam mengharungi cabaran, membentuk budaya organisasi dan mempengaruhi perubahan positif.

Jan 09, 2024 10 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Tingkap yang Pecah

Dalam episod ini, Roshan Thiran, Ketua Pegawa Eksekutif Leaderonomics cuba memberi tipnya mengenai kuasa seseorang untuk mengendalikan benda-benda yang kecil. Jika kami dapat menjayakan benda-benda yang kecil, lama-lama ia akan membawa kejayaan yang besar

Jan 04, 2018 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest