6 Mandat Melakar Hidup Menjadi Pemimpin Yang Hebat

Dec 17, 2018 1 Minit
pilihan pensel warna-warni
Pilihan! Pilihan! Pilihan!

Tempat baharu. Kerja baharu. Hilang orang yang tersayang. Impian yang hancur berkecai.

Perubahan merupakan adat resam dalam hidup. Ada yang baik, ada yang tidak. Namun tidak kira apa pun perubahan yang terjadi, anda mempunyai pilihan, sama ada menongkah arus perubahan, atau membiarkan diri dibadai ombak sehingga terkapai-kapai untuk menyelamatkan diri.

Satu petua untuk mengendalikan perubahan adalah dengan memberi tumpuan pada tahap kemajuan. Sekiranya anda mencapai kemajuan secara berkala, anda akan terus rasa hidup. Bunyinya seperti cakap senang, hendak buat pula susah.

Apabila anda dilanda keserabutan, atau terperangkap dalam pergelutan emosi, hendak faham benda yang terjadi pun payah, inikan lagi hendak mengambil langkah untuk bergerak ke hadapan.

Namun dengan mengikuti mandat yang digariskan ini, anda dapat menentukan aturan dan kepastian dalam saat yang hiruk-pikuk ini, serta mula membina sesuatu yang baharu, dan mungkin menjadikan keadaan lebih baik daripada sebelumnya.

Mandat 1: Lakar visi

Lakar sebuah visi akan perkara yang anda betul-betul idamkan. Jika anda masih menganggur, bayangkan kerjaya ideal bagi diri sendiri. Jika anda baru sahaja berpindah ke tempat baharu, apakah gaya hidup yang anda inginkan di tempat tersebut? Sekiranya anda ada masalah dengan pasangan, apakah yang anda impikan daripada perhubungan tersebut?

Visi tersebut mestilah sesuatu yang mengujakan. Visi ini perlu lekat di hati. Visi ini perlu menambat perhatian. Visi ini seharusnya tidak menjadikan anda membuat sesuatu dalam keadaan terpaksa. Visi ini seharusnya sesuatu yang anda sangat impikan lebih daripada segalanya, sehingga menyentuh hati yang paling dalam. Bayangkan matlamat yang ditetapkan, lihat kesannya pada perasaan, lalu teruskan dengan menjunam.

Mandat 2: Tetapkan azam 

Kini tiba masanya untuk bertegas, “Baik, saya tak akan duduk diam dan berharap bulan jatuh ke riba. Saya akan kawal situasi ini.” Buang perkataan ‘kalau’ daripada fikiran. Jika ini yang anda mahukan, alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Sematkan diri dengan azam untuk mencari jalan menjayakan sesuatu dan tekadkan pemikiran dalam menelusuri haluan ke arah visi yang ditetapkan.

Mandat 3: Cari erti hidup

Anda kini sudah memiliki visi, dan anda telah berdedikasi dengan sehabis baik bagi mencapai matlamat. Kini anda perlu mencari erti hidup, iaitu tujuan yang menggerakkan keinginan untuk mencapai hasil tertentu.

Ini ialah komponen yang paling penting dalam mencapai kemajuan kerana tanpanya, dorongan emosi bakal luntur. Anda sudah tentu bakal berhadapan dengan rintangan, cabaran dan halangan dalam perjalanan, namun erti hidup inilah yang akan terus menggerakkan anda. Apabila dilanda stres dan tekanan, erti hidup mendorong anda untuk meneruskan langkah serta tidak membiarkan anda dikelabui ketakutan dan perasaan negatif.

Erti hidup ini boleh dirangka secara positif mahupun negatif. Misalnya, “Jika aku tak buat benda ni, ini yang aku perlu tanggung,” atau “Jika aku buat benda ni, ini yang aku bakal peroleh dalam hidup.” Pokok pangkalnya, erti hidup ini perlu bergema mengikut alunan jiwa anda. Erti hidup ini bukannya main-main, namun berakar umbi daripada tujuan yang terpendam sehingga menyentuh ruang hati yang paling dalam.

Ingatlah, apabila anda rasa terperangkap atau kosong, cari semula erti hidup, kemudian anda bakal menemui jawapan. Carilah makna di sebalik matlamat yang anda ingin kecapi, lalu biarkannya mendorong anda untuk melangkah bagi mencapai sasaran apabila liku-liku perjalanan mula bertambah sukar.

Berkaitan: Tip Kepimpinan: Fokus Pada Perubahan Kecil

Mandat 4: Jadikannya sebahagian daripada kehidupan seharian 

Cuba anda kenang kembali sesuatu yang anda mahukan lebih daripada segalanya, sesuatu yang anda begitu dahagakan sehingga menyentuh ruang hati yang paling dalam, sesuatu yang anda benar-benar jelas, dan fikirkannya hari demi hari. Anda cuma tidak tahu cara untuk merealisasikannya. Namun tiba satu saat, anda berada dalam situasi yang tepat atau bertemu dengan insan yang betul, dan segalanya tercapai dalam sekelip mata.

Bagaimana hal ini biasa terjadi? Adakah ini yang dinamakan Hukum Tarikan? Bukan ini jawapannya.

Terdapat bahagian dalam otak yang dikenali sebagai RAS, iaitu sistem pengaktif retikular, dan inilah yang menentukan cara anda memandang dunia. Apabila anda menetapkan sesuatu matlamat, benar-benar jelas dengan matlamat tersebut, dan ada erti hidup yang begitu kukuh di sebalik niat di hati, anda mencetuskan RAS. Otak anda menjadi tersangat tajam dalam memandang sebarang benda terlintas di depan mata, yang dikenal pasti dapat membantu anda bergerak ke hadapan.

Letakkan sepenuh jiwa dan raga dalam merealisasikan visi hidup. Jadikannya sebagai tumpuan utama dalam menjalani hidup setiap hari. Kemudian mula ambil peduli dengan segala benda yang menerpa hidup anda. Anda mungkin terkejut dengan peluang dan wawasan yang bakal tercetus.

Mandat 5: Naikkan standard diri 

Hakikatnya, sekiranya anda mahu mewujudkan perubahan yang sebenar-benarnya dalam hidup, anda perlu naikkan standard diri.

Perhatikan mana-mana aspek dalam hidup yang masih terbatas dan tanya diri sendiri saat anda sanggup menerima batasan ini. Hakikatnya, had yang kita letakkan pada diri yang menghalang kebanyakan daripada kita untuk mencapai kemajuan dalam hidup. Kita percaya bahawa kita hanya layak dengan status quo semasa, dan hasilnya kita bentuk identiti diri berdasarkan status quo ini. Manusia hidup berdasarkan identiti yang disematkan dalam diri.

Sekiranya anda mahu bina kehidupan baharu, anda perlu naikkkan standard diri. Anda perlu lepaskan kepercayaan yang dikelilingi batasan sehingga anda terkunci diri dengan rasa mudah puas hati. Jadikan kemajuan sebagai ‘kemestian’ bagi diri sendiri. Tolak mana-mana perkara yang tidak menepati standard. Hal ini mengambil masa, bukannya terjadi dalam sekelip mata. Namun sekiranya anda biasakan diri dengan pemikiran, tingkah laku dan tabiat melalui identiti baharu, otak anda akan jadi lebih mantap untuk mengenal pasti cara untuk mewujudkan perubahan.

Mandat 6: Amalkan tabiat

Standard yang anda tetapkan hanya dapat direalisasikan apabila berpaksikan tabiat. Tabiat merupakan perkara-perkara kecil yang dilakukan setiap hari, yang akhirnya terkumpul menjadi suatu momentum luar biasa sehingga laluan untuk menggapai visi anda kelihatan jelas.

Jika anda tidak bahagia dengan status quo yang dimiliki, dan anda rasa usaha untuk memperoleh kehidupan seperti yang anda idamkan tersangat mencabar, maka leraikannya menjadi langkah-langkah yang kecil. Biasakan tubuh dan emosi dengan tabiat-tabiat kecil. Boleh jadi berjoging sebentar di waktu pagi. Atau berjumpa dengan seorang teman rapat setiap minggu. Ataupun buat kebajikan untuk orang lain sekali sehari.

Kuasa sebenar datangnya daripada tabiat. Tabiat inilah yang membentuk diri kita. Tabiat membantu kita menterjemah standard yang ditetapkan melalui tindakan. Ingatlah, tatkala cabaran melanda, kita mempunyai pilihan, sama ada berserah pada takdir, ataupun bergerak dengan mengambil langkah tertentu.

Usaha merealisasikan hidup seperti yang anda impikan bukannya berlaku dalam sekelip mata. Hal ini memerlukan langkah demi langkah. Semuanya bermula daripada visi. Kita perlu menjadikannya lekat di hati. Kita perlu lihat dan hayati visi ini dengan sepenuh jiwa raga.

Perubahan, tidak kira betapa seksa untuk dihadapi, tidak perlu menjadi titik akhir dalam hidup. Anda mampu memutuskan untuk membuat sesuatu. Dan seandainya anda berpegang pada mandat-mandat ini, sekalipun ada saat anda rasa kosong, anda masih mampu melakar hidup seperti yang diinginkan, dan merayakan kehidupan seperti yang sepatutnya dinikmati.

 

Tony Robbins adalah pemimpin global yang berwibawa dalam psikologi kepimpinan, dan pakar strategi kehidupan dan bisnes yang terunggul.
Diterjemahkan dan diulang siar dengan kebenaran.

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Pejabat

Rahsia Kebahagiaan di Tempat Kerja

Oleh Khor Hui Min. Memandangkan kebanyakan orang dewasa yang bekerja menghabiskan sekurang-kurangnya 8 jam sehari di pejabat, tidak dapat dikatakan bahawa kebahagiaan di tempat kerja adalah yang paling penting. Jadi, apakah yang menentukan kebahagiaan di tempat kerja?

Apr 05, 2023 2 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Menjadi Pendengar Yang Aktif: 10 Cara Terbaik

Kemahiran mendengar perlu dikuasai. Kita mesti pendengar yang aktif, dengan niat untuk memahami. Dengan itu, komunikasi berkesan dapat dijalin.

Oct 20, 2017 7 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest