Membina Pasukan Berprestasi Tinggi

May 18, 2017 1 Minit
José Mourinho, pasukan, bola sepak

“Benar kata Ferguson. Wang tidak menjamin kejayaan. Saya telah membuktikannya apabila pasukan Porto* saya menewaskan Manchester United. Semuanya adalah tentang kepimpinan.” – José Mourinho

*Mouringo adalah pengurus pasukan Porto semasa musim 2002-2004

Semasa Piala Dunia yang lepas, saya mengkaji kerja George Kohlrieser, seorang tokoh kepimpinan merangkap perunding orang tebusan, mengenai pasukan-pasukan berprestasi tinggi. Apabila musim bola sepak yang baharu bermula, saya mula berfikir tentang pasukan-pasukan sukan yang berprestasi tinggi. Dan dengan segera, satu nama menjelma dalam fikiran saya – José Mário dos Santos Félix Mourinho.

José Mourinho telah membina tiga pasukan berprestasi tinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Sebaik sahaja dia mengambil alih pasukan itu, mereka dengan cepat menjadi sebati, mula mempersembahkan permainan dan memenangi banyak piala. Bagaimana Mourinho melakukannya?

Apabila Mourinho ditanya tentang rahsia kejayaannya, dia dengan rendah diri menjawab: “Saya banyak berdoa. Saya percaya kepada Tuhan. Saya cuba untuk menjadi seorang yang baik supaya Dia akan menghulurkan bantuan apabila saya memerlukannya.”

Mourinho mungkin banyak berdoa, begitu juga dengan jurulatih-jurulatih yang lain. Mungkin Maurinho merupakan satu-satunya jurulatih yang mempunyai ijazah kedoktoran (PhD), yang diperolehnya dari Universiti Teknikal di Lisbon. Tetapi berdoa atau mempunyai PhD tidak menjelaskan bagaimana dia dapat membina pasukan-pasukan yang berprestasi tinggi dengan lancar.

Mari kita terokai lelaki paradoks ini. Dengan pakaian trademark Armaninya, Mourinho digelar gila oleh sesetengah orang dan genius oleh orang lain. Zalim dan baik hati. Alim dan sombong. Disayangi dan dibenci. Namun, tanpa mengira pasukan mana yang disokong, semua orang termasuk kaum wanita, mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap ‘Orang Yang Istimewa’ ini.

Malah, apabila Mourinho meninggalkan kelab Chelsea, pesaing ketatnya seperti Sir Alex Ferguson dan Arsene Wenger meratapi pemergiannya. Bahkan Perdana Menteri Britain ketika itu, Gordon Brown, juga turut bersedih.

Dalam satu soal selidik pelarasan status, Mourinho mendapat undian terbanyak, melebihi selebriti-selebriti lain, sebagai orang yang diingini oleh kebanyakan pekerja pejabat sebagai bos mereka. Dia memenangi undian tersebut menewaskan Richard Branson, Barack Obama, Oprah Winfrey, Jamie Oliver dan lain-lain lagi. Bagi para pekerja korporat, Mourinho merupakan ‘Orang Pilihan Tuhan’, seseorang yang secara diam-diam mereka mahukan agar dapat mengubah tempat kerja mereka.

Jadi bagaimana Mourinho dapat terus melahirkan pasukan-pasukan yang berprestasi tinggi? Menurut Kohlrieser dalam bukunya yang berjudul Hostage at the Table, terdapat lapan tiang utama bagi kepimpinan yang berprestasi tinggi:

  1. Memimpin dari mata minda: Kuasa fokus  
  2. Kitaran ikatan: Motivasi, inspirasi, ketahanan
  3. Pemimpin sebagai pangkalan yang selamat: Mewujudkan kepercayaan bagi memacu perubahan
  4. Penyelesaian konflik:Menyelesaikan perbezaan-perbezaan
  5. Kuasa dialog dan bahasa: Membina jambatan persefahaman bersama
  6. Rundingan kesan tinggi: Mempengaruhi dan memujuk 
  7. Memanfaatkan kekuatan: Kesedaran diri pasukan
  8. Mengurus emosi: Mewujudkan tenaga tinggi

Memimpin dari mata minda: Kuasa fokus 

Mourinho mahu menjadi seorang pemain bola profesional seperti bapanya, Felix. Tetapi dia begitu tidak berbakat; percubaannya  berakhir dengan kegagalan memalukan apabila dia langsung tidak diberi peluang untuk turun ke padang. Mourinho berhenti bermain bola sepak dan pergi ke sekolah bisnis. Tetapi selepas hanya sehari, dia berhenti dan mengikuti kursus sains sukan, membuat keputusan untuk menjadi seorang jurulatih terhebat dunia. Sejak hari itu, dia telah menetapkan mata mindanya untuk tertumpu kepada menjadi jurulatih terbaik di dunia.

Di Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan kini Manchester United, mata minda Mourinho menetapkannya agar terus fokus pada kemenangan. Walaupun dalam kekalahan, dia enggan mengambil tempat sebagai yang terkecundang. Setiap pasukan yang diurusnya bangkit semula dengan cepat daripada kekalahan kerana pemimpin mereka mempunyai mata minda yang tertuju hanya pada kejayaan. Ia bukan satu kebetulan bahawa selepas satu kekalahan, Inter dapat bangun semula. Jutaan terima kasih kepada Mourinho,” kata Diego Milito, bintang Inter Milan.

Malah, kemenangan begitu terukir apabila Mourinho menyatakan,

“Saya suka pemain-pemain yang suka menang. Mereka bukan sahaja menang dalam tempoh 90 minit, tetapi setiap hari, setiap sesi latihan, dan setiap detik kehidupan mereka.”

Mata minda seluruh pasukan tertumpu kepada kemenangan.

Pada hari pertama dia masuk kerja, dia menghantar surat berikut kepada setiap pemain, “Mulai sekarang, setiap latihan, setiap permainan, setiap minit kehidupan sosial anda harus berpusat kepada menjadi juara. Pasukan pertama bukanlah suatu perkataan yang betul. Saya perlukan anda semua. Anda memerlukan satu sama lain. Kita adalah satu PASUKAN.” Fokus tersebut bermula pada hari pertama dan tidak berganjak sehinggalah matlamat itu dicapai.

Kitaran ikatan: Motivasi, inspirasi, ketahanan

Mourinho membina ikatan dengan setiap orang pemain dalam pasukannya dan mengetahui setiap orang secara peribadi. Mourinho dikenali untuk ‘hubungan’ yang hebat dengan para pemainnya. Dia mengenali setiap orang pemain dengan intim. Ada yang mengatakan Mourinho seperti seorang bapa saudara yang penyayang dan prihatin, tetapi ada juga yang mengatakan dia seorang yang zalim dan sangat mengintimidasi. Tidak ada kenyataan yang benar selain dia tahu bagaimana menggunakan kaedah latihan yang berbeza untuk setiap pemain. “Sesi latihannya sangat menakjubkan. Intensiti latihan sangat tinggi tetapi kami tidak berasa letih kerana kami amat termotivasi,” kata Ronaldo.

Setiap pasukan yang dilatih oleh Mourinho terikat seperti sebuah keluarga. Mourinho menambah,

“Anda mesti mewujudkan suasana yang positif dan membuat semua orang berasa sebagai sebahagian daripada kumpulan tersebut. Dalam kelab ini, jika anda pergi ke penghadang, orang di pintu merasakan dirinya sebagai sebahagian daripada kumpulan dan kejayaan tersebut. Mereka yang bekerja di dapur juga merasakan diri mereka sebagai sebahagian daripada keluarga ini. Dan saya adalah salah seorang daripada mereka.”

Selepas setiap permainan, di mana biasanya pasukannyalah yang mencapai kemenangan, Mourinho mengucapkan tahniah dan memeluk setiap pemain. Tidak ramai pengurus yang mempunyai hubungan dan ikatan yang rapat dengan pemain-pemain mereka seperti itu.

Pemimpin sebagai pangkalan yang selamat: Mewujudkan kepercayaan bagi memacu perubahan

Kajian menunjukkan bahawa pasukan melakukan yang terbaik apabila pemimpin mereka merupakan suatu pangkalan yang selamat. Mourinho adalah seorang jurulatih, rakan dan pangkalan selamat bagi semua pemain di mana sahaja dia pergi. Bahkan dengan isu-isu peribadi sekalipun, dia sangat nyata dan boleh diakses oleh semua pemain.

Pada hari Mourinho mengucapkan selamat tinggal kepada pemain-pemain Chelsea, linangan air mata ada di mana-mana. Dia mengenali setiap mereka termasuk isteri dan anak-anak mereka, dan menyebutkan mereka satu-persatu sepanjang tempoh 3 jam majlis perpisahannya. Dia memeluk dan bercakap dengan setiap seorang secara peribadi. Kebanyakan mereka sanggup mengorbankan kehidupan mereka demi Mourinho, seperti yang ditunjukkan oleh Terry, Lampard, Essien dan Drogba dengan bermain masa yang panjang walaupun harus melalui kesakitan dan suntikan.

Milito dari Inter menambah:

“Tidak ada jurulatih sepertinya yang sanggup mengorbankan diri bagi melindungi dan mempertahankan semua orang. Cara itu telah mengurangkan ketegangan dalam pasukan apabila sesuatu tidak berjalan dengan baik.”

Mourinho adalah pangkalan selamat para pemainnya. Frank Lampard memperakui Mourinho:

“Saya mengasihinya sebagai seorang manusia dan sebagai seorang pengurus.”

Penyelesaian konflik: Menyelesaikan perbezaan-perbezaan

Semua pasukan berprestasi tinggi berhadapan dengan konflik. Menurut Kohlrieser, pasukan berprestasi tinggi “meletakkan ‘ikan’ di atas meja”. Dengan meletakkan ‘ikan busuk’ atau konflik di atas meja, terdapat peluang untuk semua orang melihat isu-isu itu dan mencari penyelesaiannya.

Mourinho melakukan perkara yang sama dengan sentiasa memberikan maklum balas dan penilaian prestasi kepada setiap pemain. Ada pemain yang mungkin tidak suka ‘ikan mereka diletak di atas meja’. Pernah sekali Joe Cole menerima beberapa maklum balas yang menyengat tetapi dia menjadikannya sebagai satu iktibar dan mula melakukan yang terbaik.

Kuasa dialog dan bahasa: Membina jambatan persefahaman bersama

Apabila Mourinho pergi ke Itali, dia berkata, “Saya mempelajari bahasa Itali selama lima jam sehari untuk beberapa bulan bagi memastikan saya dapat berkomunikasi dengan para pemain, media dan peminat.” Dikatakan bahawa Mourinho boleh bertutur dalam 17 bahasa. Dia menggunakan kuasa dialog dan bahasa untuk membina persefahaman bersama tentang matlamat yang jelas yang telah ditetapkan untuk pasukannya.

Sebagai peminat Alex Ferguson, Mourinho bukan sahaja menjadi teman rapat Ferguson, tetapi juga sebagai saingan hebat. Ikatan dan dialog mereka membolehkan dua orang yang memiliki keinginan yang kuat membina persahabatan walaupun mereka sedang bersaing. Mourinho menggunakan dialog dan bahasa untuk memastikan setiap pemain dalam pasukannya mempunyai persahabatan yang serupa dengannya dan kefahaman yang jelas tentang matlamat akhir.

Rundingan kesan tinggi: Mempengaruhi dan memujuk

Pada bulan Mac 2007, Chelsea sedang mengalami kekalahan pada separuh masa pertama perlawanan Liga Juara dengan jaringan 1-0. Beberapa minit sebelum separuh masa kedua bermula, Mourinho keluar dengan marah. Chelsea keluar dari bilik persalinan sebagai satu pasukan yang benar-benar baharu, dan mereka memenangi permainan tersebut. Hal ini berlaku berkali-kali sepanjang kerjaya Mourinho. Mengapa perbincangan separuh masa keduanya sentiasa berhasil? Dia tidak menjerit, dia tidak berteriak tetapi dia berunding dan mempengaruhi para pemainnya untuk berubah.

“Saya meminta para pemain untuk menikmati keadaan,” kata Mourinho dalam salah satu sesi bersama pemain pada sesi separuh masa, “kami mempunyai 45 minit untuk mengubah keadaan, dan saya bertanya kepada mereka ‘adakah kamu takut atau kamu akan menikmatinya?’ Secara psikologi, saya hanya membuat para pemain berfikir sedikit.”

Menurut ahli psikologi sukan, Andy Barton, “Mourinho akan sentiasa mencari peluang menukar perkara negatif kepada positif. Jika sebuah pasukan kalah dengan jaringan 3-0 pada separuh masa pertama, ia tidak akan membantu jika pengurus mula menjerit tentang semua kesilapan yang dibuat. Sebaliknya dia akan memberi tumpuan kepada perkara-perkara betul yang mereka lakukan, kemudian memberitahu mereka bagaimana mereka boleh mengubah permainan tersebut.”

Mourinho sangat spesifik tentang apa yang diperlukan untuk menang dan mempengaruhi para pemainnya untuk membina imej mental tentang apa yang diperlukan.

Mourinho menghabiskan banyak masa yang signifikan untuk menyediakan setiap pemain dalam cara yang berbeza untuk permainan. Dia mempengaruhi dan memujuk bintang-bintang yang besar untuk melatih dan menurut corak-corak pasukannya. Dia memperlakukan sama rata kepada mereka semua.

Menurut mantan pemain Arjan Robben, “Dia agak istimewa dalam pendekatannya bagi setiap perlawanan. Setiap pemain sangat bersedia. Mereka tahu tugas masing-masing. Dia juga sangat baik dalam berurusan dengan pemain-pemain bernama besar. Dia mendapat penghormatan daripada mereka. Dan ia adalah saling menghormati.”

“Pengurusan individu adalah tentang cara mengubah suai gaya anda bagi menyesuaikannya dengan pemain,” kata Harry Redknapp dari Tottenham. Mourinho mempengaruhi dengan lebih baik berbanding orang lain di dunia ini.

Memanfaatkan kekuatan: Kesedaran diri pasukan

Mourinho adalah seseorang yang mengetahui kekuatan dan had dirinya. Dia pernah berkata, “Jika Roman Abramovich membantu saya dalam latihan, kita akan menduduki tempat terbawah dalam liga. Dan jika saya terpaksa bekerja dalam dunia bisnisnya yang besar, kami akan muflis!”

Mourinho memahami apa dia dapat lakukan dengan baik dan apa yang pasukannya mampu buat. Dia bekerja dalam lingkungan kekuatan pasukannya dan mendapatkan yang terbaik daripada setiap individu.

Dalam bukunya “Good to Great”, Jim Collins berbicara mengenai bagaimana pemimpin-pemimpin yang hebat membina pasukan-pasukan yang hebat dengan “mendapatkan orang-orang yang betul untuk menaiki bas yang sama.” Mourinho mempunyai leftenan-leftenan kepercayaan yang dibawa masuk ke dalam setiap pasukan yang diurusnya. Salah seorang daripada mereka adalah jurulatih kecergasan Rui Faria, yang telah bersama dengannya di setiap kelab.

Apabila Faria ditanya tentang apakah rahsia Mourinho, dia menjawab,

“Setiap jurulatih terkemuka yang lain mengatakan bahawa mereka bekerja keras dan mereka menyediakan lebih baik berbanding dengan orang lain, tetapi mereka tidak boleh melakukan seperti apa yang dilakukan oleh Mourinho. Semua yang dia lakukan adalah jauh lebih baik. Dia bekerja lebih keras daripada sesiapa pun. Dia tahu segala-galanya tentang setiap pemain dan setiap perlawanan. 

Mourinho tahu kekuatan dan kelemahan setiap pemain. Dia tahu bagaimana untuk memanfaatkan kekuatan mereka sepenuhnya sebagai satu pasukan dan mengurangkan kelemahan mereka. Dan setiap pemain saling mengetahui kekuatan mereka dan kesedaran diri pasukan inilah yang membezakan Mourinho daripada jurulatih terkemuka yang lain.

Mourinho sendiri memaparkan kesedaran diri secara peribadi yang hebat apabila dia berhenti bermain bola sepak bagi memberi tumpuan kepada kejurulatihan. Istilah ‘berhenti’ ini dipanggil sebagai Prinsip Hedgehog oleh Collins. Ia menjelaskan mengenai apa yang mendorong anda dan apa yang merupakan kehebatan anda yang sebenar, dan kemudiannya fokus terhadap perkara-perkara tersebut.

Berapa ramai di antara kita yang tidak berganjak daripada hal-hal yang kita tahu secara mendalam tidak akan membawa kita kepada kejayaan? Berapa banyak organisasi yang tidak berganjak dalam melakukan hal-hal dengan cara yang sama? Kegilaan ialah melakukan perkara yang sama tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza-beza. Pernah sekali Mourinho dianggap tidak siuman kerana memasukkan tiga pemain simpanan pada separuh masa pertama di mana mereka sedang mengalami kekalahan. Mourinho hanyalah menangani realiti kekejaman sesuatu situasi.

Mourinho belajar dengan cepat bahawa tidak ada hubungan apa-apa di antara fungsi kepakaran dengan keupayaan pengurusan. Mourinho mungkin seorang pemain bola sepak yang tidak berguna tetapi cemerlang sebagai seorang jurulatih. Pelajaran yang boleh dipelajari daripada perkara ini adalah jika salah satu bintang anda menonjol sebagai seorang jurujual, dia mungkin tidak akan boleh menjadi seorang pengurus yang hebat, dan begitulah sebaliknya.

Mengurus emosi: Mewujudkan pemimpin bertenaga tinggi

“Pemain tidak menang trofi-trofi untuk anda, pasukanlah yang memenangi trofi, skuadlah yang memenangi trofi,” hujah Mourinho pada setiap hari. Tetapi Mourinho melakukan lebih daripada membina pasukan-pasukan. Dia membina pemimpin dalam setiap pasukan yang diurusnya. Di Chelsea, lebih separuh daripada pasukan pertamanya menjadi ketua-ketua pasukan kebangsaan mereka.

Untuk memastikan anda membina pasukan-pasukan berprestasi tinggi, anda perlu membangunkan pemimpin-pemimpin. Kepimpinan diperlukan dalam setiap bahagian pasukan anda. Anda tidak boleh menjadi gergasi yang dikelilingi oleh orang kerdil.

Apabila José tiba di Chelsea, tidak ada bintang di situ – dia membentuk mereka. John Terry dan Frank Lampard adalah pemain-pemain yang baik yang dia ubah menjadi pemain bertaraf dunia. Drogba, Essien dan Cech merupakan pemain-pemain yang tidak dikenali tetapi telah dibentuk menjadi pemimpin.

Kepimpinan adalah seni memanfaatkan tenaga manusia untuk mewujudkan masa depan yang lebih baik. Membina pemimpin-pemimpin sangat kritikal bagi mempertahankan pasukan-pasukan berprestasi tinggi. Inilah yang menjadikan Mourinho sebagai “Seorang Yang Istimewa.”

Dia menambah lagi,

“Anda mesti bekerja keras dan bekerja dengan baik. Ramai orang bekerja keras, tetapi tidak baik. Anda mesti mewujudkan kepimpinan yang baik dengan para pemain, yang mana merupakan kepimpinan yang diterima, bukan kepimpinan melalui kuasa atau status.”

Jika kita melihat kembali pada kerjaya kita, ramai yang mengakui bahawa tempoh kita mencapai kemajuan yang paling banyak adalah apabila seorang pengurus mendorong kita melampaui had kita. Lebih daripada orang lain, Mourinho percaya dalam menolak seseorang kepada had-had mereka, membolehkan pasukannya sentiasa bergerak keluar dari zon keselesaan mereka untuk masuk ke dalam zon keberanian.

Akhir kata

Itu adalah pengajaran tentang Mourinho. Kita memerlukan ‘Orang Yang Istimewa’. Kita memerlukan pemimpin seperti Mourinho yang mata minda mereka sangat fokus. “Apa yang anda tidak tahu tentang Mourinho adalah apa yang akan dia lakukan seterusnya. Tetapi apa pun itu, ia adalah kerana dia merasakan itu bermanfaat untuk pasukannya,” ujar ahli psikologi Barton.

Mourinho telah membina banyak pasukan berprestasi tinggi sebagai seorang pemimpin yang tulen melalui kuasa ikatan. Dia bekerja keras dan mempunyai persediaan forensik yang menyeluruh untuk setiap perlawanan. Tetapi hubungan uniknya dengan para pemain, dan tumpuannya yang tidak henti-henti itulah yang menjadi satu kelainan. Apa yang anda ingin lakukan untuk membina pasukan berprestasi tinggi?

 

Roshan Thiran boleh dihubungi melalui Facebook  dan TwitterUntuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Leadership Lessons From The ‘Special One’

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Kepimpinan

Menyingkap Intipati Kepimpinan Sejati: Apa yang Anda Perjuangkan?

Oleh Ella Zhang. Apa yang diperlukan untuk mempunyai kepimpinan yang sebenar? Selidiki nilai teras, watak dan daya tahan untuk memimpin secara tulen.

Aug 06, 2023 4 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Jadilah Pemimpin: Mengukir Sesuatu Kelainan Yang Ketara

Sesuatu kelainan yang ketara boleh diukir untuk meninggalkan impak yang besar. Tetapi, ia harus bermula dengan anda. Berikut adalah langkah-langkah yang anda boleh ikuti untuk mengukir sesuatu kelainan.

Feb 14, 2017 0 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest