SL1M: Memiliki Ijazah Tetapi Masih Menganggur?

May 30, 2017 8 Minit
program, hala tuju

Apabila menulis resume, kita biasanya akan meminta nasihat daripada ibu bapa atau ‘rakan’ yang dipercayai, Google. Jika kita ‘mengenali’ orang tertentu, pencarian kerja menjadi lebih mudah.

Apa akan terjadi jika kita tidak mempunyai ‘hubungan sedemikian’? Bayangkan jika kita berada di pekan kecil dengan akses yang terhad untuk peluang pekerjaan dengan syarikat besar. Bagaimana kita hendak memohon pekerjaan sedangkan kita mempunyai kelayakan, pengalaman dan kemahiran yang terhad?

Persoalan yang lebih besar adalah adakah ibu bapa – dan institusi pendidikan – menyediakan belia dengan panduan untuk menghadapi situasi sebenar seperti temu duga pekerjaan, suasana tempat kerja, majikan atau orang yang cerewet?

Kebenaran yang menyedihkan

Menurut laporan McKinsey, 87% graduan mahukan lebih banyak khidmat nasihat kerjaya; 63% alumni berharap pihak universiti menggiatkan komunikasi dengan mereka; 79% graduan memerlukan bantuan dalam mencari pekerjaan; dan sepertiga golongan pelajar tidak tahu hala mana yang hendak dituju untuk kerjaya mereka.

Walau bagaimanapun, bukan golongan pelajar sahaja yang sukar mendapat pekerjaan. Sebanyak 39% majikan berkata mereka semakin menghadapi kesukaran mencari tenaga kerja mahir untuk mengisi kekosongan pekerjaan berkemahiran tinggi. Mengapa berlaku ketidakpadanan ini?

Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) ditubuhkan untuk menaikkan kadar kebolehpasaran dalam kalangan graduan menerusi kerjasama dan penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan dan sektor swasta. Organisasi-organisasi tersebut melaksanakan atau mengambil bahagian dalam program SL1M sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat. Untuk mengetahui bagaimana program SL1M dilaksanakan dan manfaat-manfaat yang dinikmati syarikat-syarikat daripada penyertaan ini, sila rujuk kepada carta yang berikut:

Jerayawara SL1M

Baru-baru ini, 60 syarikat-syarikat berkenaan telah pergi ke Alor Star, Kedah – di bawah Jerayawara Kawasan Utara SL1M – untuk mengadakan temu duga dan pengambilan kerja serta-merta. Pasukan dari Leaderonomics mendapat peluang untuk melihat sendiri trend pencarian kerja dan perekrutan.   

Kampus Leaderonomics juga mengambil bahagian dalam jerayawara ini dan telah membantu lebih daripada 400 pelajar menguatkan Kurikulum Vitae (CV) mereka menerusi “Klinik CV” percuma. “Klinik CV” adalah program komuniti yang dikendalikan oleh Kampus Leaderonomics.

Tip menulis resume, penilaian CV dan temu duga segera adalah antara aktiviti-aktiviti yang diadakan semasa jerayawara SL1M.

Ketua Kampus Leaderonomics, Aaron Tang, dan Penganalisis Kanan, Awatif Ghapar, adalah antara penceramah dan fasilitator utama yang memberi panduan menulis CV yang padu serta soalan yang patut ditanya dan yang tidak patut ditanya semasa sesi temu duga.

Artikel berkaitan: Menulis CV Yang Hebat

Pelajar diingatkan bahawa mempunyai CV yang nampak hebat tidak mencukupi dan mereka perlu memaparkan kemahiran insani – terutama sekali mereka yang tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran teknikal dan operasi – semasa sesi temu duga dengan bakal majikan.

Mitos yang mengatakan anak-anak abad ke-21 adalah pemalas cuma mitos semata-mata. Beratus-ratus pelajar dan pencari kerja telah datang dari segenap pelusuk negara ke acara itu untuk mencari peluang yang lebih baik untuk masa depan mereka.

Kami mendapati ramai daripada graduan yang datang sudah menganggur selama beberapa bulan – ada juga yang selama setahun – walaupun mempunyai kelayakan tinggi seperti ijazah kedoktoran atau sarjana. Ada juga yang mempunyai banyak pengalaman kerja.  

Apakah masalah sebenar? 

Apa kata majikan… 

Majikan yang hadir di acara SL1M itu mengatakan bahawa salah satu ciri utama yang mereka cari dalam graduan adalah kebolehan dan kesanggupan untuk belajar. Majikan bersedia untuk melatih graduan menjalankan pelbagai tugas meskipun mereka memiliki kelayakan dalam bidang lain. Ini adalah untuk membantu mereka keluar dari zon selesa, dan berusaha kuat memandangkan mereka tidak mempunyai pengalaman dan kelayakan yang berkaitan.

Mohd Najib Mohd Seth, pengurus perancang korporat di Boustead Holdings Bhd, memberitahu kami: “Seorang graduan yang menyertai program SL1M yang memohon untuk bekerja dengan kami ialah seorang yang sangat pemalu,  seorang introvert. Namun kami mengambilnya bekerja dan melatihnya. Sekarang, dia adalah ahli kmpulan perancang korporat kami.”

“Apa yang kami harapkan daripada graduan adalah sikap yang baik dan kesanggupan untuk meningkatkan kemahiran insani mereka,” katanya.

Seorang wakil syarikat telekomunikasi terkenal memberitahu kami bahawa mereka juga telah mengambil seorang graduan yang menyertai program SL1M dan melatihnya untuk menyertai kumpulan jualan. Menurut mereka, pekerja itu berjaya beroleh pendapatan sebanyak setengah juta Ringgit dalam masa enam bulan.

Salah sebuah bank terkemuka Malaysia yang melibatkan diri dalam jerayawara ini juga berkata mereka ingin memberi peluang kerja kepada graduan yang mempunyai sikap yang baik dan berpandangan jauh.

Mereka berkongsi cerita tentang seorang graduan kejuruteraan elektrikal yang sukar mendapat pekerjaan dalam industri itu. Mereka menggalakkannya supaya keluar dari zon selesa dan mencuba menceburi bidang jualan. Berbekalkan sokongan dan motivasi, dia kini salah seorang jurujual terhandal bagi syarikat itu di Kedah.

Penyanyi popular Faizal Tahir, yang juga jurucakap SL1M, menghibur orang ramai sambil memberi maklumat mengenai jerayawara SL1M.

Majikan-majikan ini tidak hanya melihat kepada kelayakan, markah atau pencapaian akademik. Kami diberitahu walaupun graduan mempunyai markah CGPA yang rendah, sesetengahnya menunjukkan prestasi cemerlang kerana mereka bekerja kuat dan ada kemahiran insani yang baik seperti komunikasi, pengurusan masa, kemahiran pemikiran kritis, tekun, keupayaan menyesuaikan diri dan kemahiran berpidato umum.  

Majikan yang kami temui mahu graduan yang boleh menyumbang kepada situasi sebenar. Walau bagaimanapun mereka tidak akan membiarkan graduan baharu terkapai-kapai pada hari pertama. Syarikat itu akan menawarkan kursus latihan sebelum memberi tugasan kepada pekerja, bergantung kepada industri.

Artikel Berkaitan: Makna Jawapan Anda Semasa Temu Duga

Apa kata pekerja…

Semasa jerayawara itu, kami juga bertemu dengan graduan yang menyertai program SL1M yang berjaya mendapat pekerjaan melalui program lapangan terdahulu yang dianjurkan oleh Unit Perancang Ekonomi.

“Ia adalah penghormatan bagi saya untuk menjadi salah seorang peserta SL1M-UMW kerana saya didedahkan dengan suasana bekerja yang sebenar. Penyelia dan rakan sekerja menolong saya memahami tugasan di bahagian sumber manusia dengan memberi panduan dan penjelasan secara terang mengenai proses dan prosedur kerja,” kata Jalaluddin Ali kakitangan kumpulan sumber manusia UMW Toyota Motor Sdn Bhd.

Seorang graduan sains komputer yang kami temui juga memohon untuk mengikuti program ini setelah lebih setahun menganggur. Setelah mendapat kelulusan, dia mengikuti latihan selama enam bulan dengan salah sebuah syarikat pendanaan kerajaan yang utama dan kini menjadi sebahagian daripada kumpulan sokongan sumber manusia syarikat berkenaan.

Pada tahun lalu sahaja, syarikat yang sama telah menggaji 3,000 graduan dan pencari kerja yang telah dihantar ke semua syarikat perkongsian menerusi program SL1M.

Mengapa belia masih menghadapi cabaran? 

Graduan baru, Siti Raudhah Abu Bakar, yang sudah dua bulan mencari pekerjaan berkata, “Saya telah menghantar resume ke beberapa syarikat, dan menghadiri banyak temu duga. Tetapi tiada satu pun yang memberi maklum balas. Ada yang memberitahu akan memberi jawapan dalam masa seminggu tetapi hingga kini saya masih menunggu. Lebih baik jika kami diberitahu apabila permohonan kami ditolak.”

Graduan teknologi tekstil, Sharifah Dayana, bekerja keras mencari pekerjaan kerana bidang pengajiannya terlampau khusus. Dia bukan keseorangan dalam masalah ini; ramai juga yang ditemui pada acara itu yang bernasib sepertinya. Ramai yang masih tertanya-tanya mengapa mereka tidak mendapat pekerjaan selepas menghadiri temu duga, memandangkan mereka tidak diberi penjelasan, keputusan atau maklum balas daripada penemuduga atau syarikat berkenaan.

Graduan terpaksa bergelut dalam kegelapan tanpa menyedari apa kesalahan yang mereka buat semasa ditemu duga. Ini kerana mereka tiada pendedahan tentang cara mengendalikan diri semasa sesi temu duga, dan juga kerana tidak menerima maklum balas yang sewajarnya selepas temu duga berlangsung.

Kebanyakan majikan yang ditemui berkata ramai graduan menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang dan markah keputusan yang tinggi. Masalahnya ialah graduan-graduan ini kurang atau gagal merebut peluang untuk menonjolkan kemahiran insani mereka. Akibatnya, mereka tidak dapat meyakinkan majikan yang mereka mempunyai kemahiran yang mencukupi seperti bekerja berpasukan, berpemikiran kritis, cekap dalam pengurusan orang dan boleh membuat keputusan yang bernas.

Mengasingkan pelajar mengehadkan mereka

Pelajar boleh meningkatkan kemahiran insani dengan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum di sekolah dan di peringkat tinggi. Bagaimanapun, sistem pendidikan – termasuk tekanan daripada ibu bapa dan masyarakat – menitikberatkan gred yang baik.

Berazam untuk mendapatkan gred yang baik adalah wajar, tetapi sekolah awam mula memisahkan pelajar mengikut gred. Secara tidak langsung, sistem ini menentukan masa hadapan pelajar dengan mengelaskan mereka ke dalam aliran sains dan sastera selepas Peperiksaan Tingkatan 3 (PT3).

Kadang-kadang sistem ini menjejaskan prestasi pelajar, khususnya mereka yang mempunyai kekuatan dan minat dalam pelbagai bidang. Golongan pelajar ini tidak akan dapat memenuhi minat mereka, atau mengikuti kursus yang diminati – tanpa mengeluarkan ribuan Ringgit. Bagi yang tidak mampu untuk mendapat pendidikan di sekolah swasta, mereka akan berada dalam keadaan terawang-awang.

Program SL1M dapat membantu menangani isu ini dengan menyediakan peluang untuk semua. Tidak kira latar belakang, kelayakan, keputusan atau pengalaman, fokus syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam inisiatif SL1M ini adalah untuk menggalakkan sesiapa sahaja yang sanggup belajar dan menyesuaikan diri dengan tugas.  

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kejayaan yang dicapai menerusi inisiatif ini sangat memberangsangkan. Ia melenyapkan pengasingan dan sistem kepercayaan bahawa hanya pencapai tinggi atau mereka yang ada keistimewaan sahaja yang akan mencapai kehebatan. Program ini adalah inklusif dan menyediakan peluang kepada mereka yang ingin mencapai prestasi yang lebih tinggi dan memperbaiki diri.   
 

SL1M – Fakta sepintas lalu 

Apa: SL1M adalah program kebolehpasaran bakat yang bertujuan untuk membantu graduan menganggur menambah peluang pekerjaan dengan mempertingkatkan kemahiran insani, ilmu dan keupayaan teknikal mereka.Siapa: Program ini diselia oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPM). Program ini dijayakan melalui kerjasama dan penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat swasta. Graduan menganggur dari kawasan pedalaman atau keluarga berpendapatan rendah, atau mereka yang bekerja tetapi tidak setaraf dengan kelulusan ijazah yang diperolehi layak untuk program SL1M.Bagaimana: Syarikat yang menggaji graduan di bawah program ini akan membantu mengalihkan graduan-graduan ini ke jawatan berkenaan melalui program latihan tersasar. Sebagai insentif, kerajaan menyediakan pemotongan cukai berganda untuk syarikat-syarikat ini. Kos latihan juga dibayar balik sama ada secara penuh atau separa menerusi insentif PSBM-SL1M. Ini adalah tertakluk kepada persetujuan yang dibuat. Tempoh latihan adalah terpulang kepada syarikat dan boleh dipanjangkan hingga tempoh maksimum 12 bulan. Graduan boleh melayari portal SL1M di sl1m.my untuk memohon mengikuti program ini. Borang berkenaan boleh dimuat turun, dan selepas diisi sepenuhnya, pemohon boleh menghantar borang tersebut bersama dokumen tambahan kepada Sekretariat UPE.Program latihan: Syarikat-syarikat akan memberi fokus kepada latihan kemahiran insani dan latihan semasa kerja serta modul lain yang boleh meningkatkan kebolehskalaan dan kebolehpasaran peserta seperti kecekapan berkomunikasi, kemahiran pemikiran kreatif dan analitis, kebolehsesuaian organisasi, profesionalisme yang didorong nilai, dan etika pendandanan dan perniagaan.

 

Syarikat-syarikat yang menyertai program SL1M layak untuk pengecualian cukai berganda ke atas elaun bulanan tidak kurang daripada RM1,000 yang dibayar kepada graduan untuk jangka masa maksimum setahun. Ini termasuk perbelanjaan dan yuran untuk menjalankan latihan untuk para graduan. Jumlah pengecualian yang dibenarkan untuk tujuan latihan tidak boleh melebihi RM5,000 bagi tahun taksiran. Kesemua syarikat layak SL1M, program dan modul mesti disahkan oleh EPU.  Untuk mengetahui bagaimana syarikat anda boleh melaksanakan program SL1M, e-mel terus kepada azatul.wahab@epu.gov.my. Untuk maklumat terkini program SL1M, layari Facebook rasmi Skim Latihan 1Malaysia.

 

Tamara Jayne ialah penolong editor dan penulis di Leaderonomics. Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik SL1M: Graduated With A PhD But Jobless? Here’s Why.

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Pemimpin

Memimpin dalam Dunia yang Mengganggu: Pengajaran Utama daripada Sidang Kemuncak Kepimpinan Global 2023 (Bahagian 1)

Oleh Kiran Tuljaram. Daripada memupuk perhubungan yang berkembang maju kepada memanfaatkan kuasa penambahbaikan tambahan, dapatkan wawasan yang tidak ternilai yang boleh digunakan dalam konteks peribadi, profesional dan masyarakat.

Dec 05, 2023 10 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Kepimpinan Itu Ekstrem

Kepimpinan ekstrem adalah gelagat pemimpin yang hebat. Mereka bijak memilih tindakan yang bersesuaian dengan keadaan dan masa. Untuk membaca artikel berkaitan, klik Kepimpinan Itu Sesuatu Yang Ekstrem!

Jul 16, 2017 3 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest