Kenapa Yang Pandai Mudah Membuat Kesilapan?

Oct 10, 2019 1 Minit
pemikiran, cerdik, penalaran logik

Kita semua pandai, bukan? Tambahan pula, kita profesional – ramai di antara kita bekerja dengan organisasi yang berjaya – ini sebabnya kita mungkin orang yang paling pandai di bilik. Kes tutup!

Ahli falsafah Bertrand Russell pernah berkata, “Penyebab utama masalah di dunia moden adalah bahawa yang bodoh terlampau yakin manakala yang cerdik pula penuh dengan keraguan.

Sentimen ini biasa kita dengar dan rasa. Tetapi kajian pula mencadangkan bahawa yang terlampau yakin itu sebenarnya adalah mereka yang cerdik. Jadi, tidak hairan bahawa mereka yang cerdik cenderung membuat lebih banyak kesilapan, disebabkan titik buta dalam penalaran logik mereka. 

Ramai di antara kita biasanya percaya pendirian kita adalah betul – dari segi pandangan, nilai dan cara kita berfikir bagaimana sesuatu masalah itu harus diselesaikan. Apabila orang lain bersetuju dengan pendirian kita (ini kerap berlaku sekiranya kita adalah pemimpin), ia mengukuhkan lagi pendirian bahawa kita ini betul.

Masalahnya bukan kerana kecerdikan semata-mata: seperti hampir semua perkara lain, ia berhubung dengan cara kita menggunakan kecerdikan kita yang menentukan keputusannya. Seorang pemimpin yang pandai, yang dikelilingi pak turut, akan menjadi begitu selesa dengan sikap ‘selalu betul’ hinggakan mereka langsung berhenti menyoal diri. Apabila ini berlaku kepada kita sebagai pemimpin, kita akan menjadi puas hati sehingga tidak memikirkan keputusan kita secara masak-masak.

Ada beberapa sebab kenapa orang yang pandai membuat lebih banyak kesilapan daripada yang disedari. 

Mereka terlalu yakin

Salah satunya ialah rasa terlalu yakin. Pemimpin yang selalu dipuji dan diberitahu “idea yang hebat, bos!” pasti akan mempunyai kepercayaan yang agak terpesong dalam keupayaan mereka melakukan perkara yang betul setiap kali.  

Seperti yang diketahui mana-mana pemimpin, agak susah bagi pekerja untuk mengkritik atau menawarkan kritikan membina terhadap mereka yang berkuasa. Oleh kerana inilah,  adalah penting sekali untuk pemimpin-pemimpin (walaupun tidak ramai pemimpin melakukannya) mengajak tenaga kerja mereka untuk memberi maklum balas. Tindakan ini boleh digalakkan dengan bertanya soalan-solaan seperti:

  • “Saya menghargai kesemua maklum balas positif yang anda semua berikan kepada saya, tetapi saya fikir masih ada sesuatu yang tidak kena. Bagaimanakah idea ini boleh ditambah baik? Apakah yang saya terlepas pandang? 
  • “Terima kasih untuk semua respons yang bersemangat. Apa kata kita mengambil peranan devil’s advocate, kedudukan yang bertentangan dengan orang lain, buat beberapa ketika. Jika anda dikehendaki memberi kritikan membina, apakah yang memerlukan tindakan tambah baik di sini?

Kedua-dua soalan ini akan menyingkirkan tekanan daripada mereka yang diminta untuk memberi maklum balas. Dalam situasi pertama, pemimpin ‘mengaku’ bahawa ada sesuatu yang tidak kena, dan tenaga kerja diminta membantu untuk mencari titik buta.

Soalan kedua pula adalah role play, lakon peranan yang akan santai tetapi penting di mana tenaga kerja diajak untuk membayangkan apa yang mungkin dikatakan mereka jika diajak untuk memberi kritikan membina.

Berkaitan: Kepentingan Sikap Rendah Hati Dalam Kepimpinan

Mereka rasa diri sentiasa betul

Satu lagi sebab mengapa orang yang pandai membuat banyak kesilapan adalah kerana keperluan mereka untuk sentiasa betul. Gejala ini biasa kita lihat di media sosial. Berapa kali kita melihat pemimpin bercakap tentang kegagalan atau kemunduran mereka (yang tidak termasuk pemulihan yang hebat)? Malah, apabila kita mengalami kegagalan, kita cepat mengubahnya menjadi semacam kejayaan. Biarpun tidak salah berbuat demikian, keperluan untuk sentiasa betul membantu membentuk personaliti yang bermasalah: yang tidak boleh dilihat sebagai salah. 

Kegagalan bukan saat penentuan

Jadi, bagaimana kita boleh mengusahakan keperluan ini? Kalangan kita yang sudah lama bekerja pasti pernah membuat kesilapan dan mengalami kegagalan, dan ini bermakna kita terpaksa menukar haluan atau meninggalkan projek itu sama sekali. Oleh itu, langkah pertama untuk mengatasi keperluan sentiasa betul adalah dengan mengganggap kegagalan yang tidak terselesai sebagai hakikat hidup dan bukan melihatnya sebagai sebahagian daripada siapa kita. Kadang-kadang kita yang meremukkan keadaan, atau urusan yang dibuat tidak berjaya, dan itu okay – ia tidak semestinya menjadi refleksi siapa kita, dan langsung bukan saat penentuan.

Amalkan sikap terbuka apabila membuat kegagalan

Satu lagi langkah yang boleh kita ambil adalah amalan memerhati diri apabila kita membuat kesilapan atau apabila orang lain menyoal penjelasan kita. Adakah respons pertama kita bersifat bertahan dan memberi jawapan yang tersedia rapi? Jika itu amalan kita (dan kemungkinan ia adalah amalan kita), kita boleh berusaha untuk mengalih perspektif kita. Daripada cepat-cepat berusaha untuk mempertahankan diri, kita boleh mengamalkan sikap terbuka dan ingin tahu dan menyedari bahawa kita mungkin belajar sesuatu pada saat itu. Jika seseorang tetap menumpukan perhatian kepada kita, minta mereka untuk memberi penjelasan lanjut – barangkali kita boleh menimba pengajaran atau wawasan yang bernilai.

Berkaitan: Cara Dan Manfaat Meminta Maaf Dengan Ikhlas

Mengaku tersilap, jangan sembunyikannya

Sebaliknya, jika kita menyedari bahawa kita telah membuat kesilapan, baik kita mengaku telah berbuat demikian, dan buka tergopoh-gapah menjelaskannya (atau lebih teruk, menyembunyikannya). Biarkan orang tahu bahawa kita, sebagai pemimpin, sebagai orang yang pandai, membuat kesilapan barangkali lebih kerap daripada orang lain. Ini akan membuka mata tenaga kerja bahawa bukan sahaja mereka dihormati tetapi juga membuat kesilapan adalah sebahagian daripada hidup, sebahagian daripada proses hidup. Ia berlaku, dan kita perlu melepaskan khayalan bahawa kita terlepas daripadanya.

Belajar bersama daripada kesilapan

Akhirnya, perkara yang paling penting ialah bagaimana kita membantu satu sama lain untuk belajar daripada kesilapan yang kita buat, dan untuk mengakui bahawa kita semua sama seperti satu sama lain. Siapa tahu, kita mungkin berpeluang mentertawakan diri kita, dan dalam suasana yang lebih santai dan berperikemanusiaan, kita akan kurang membuat kesilapan.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Two reasons why smart people are prone to making more mistakes.

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Pekerja

5 Sebab untuk Memberi Ganjaran kepada Pekerja dan Memastikan Mereka Bahagia

Oleh Srdjan Gombar. Pekerja yang gembira bekerja lebih keras, kekal bekerja lebih lama dan meningkatkan reputasi mereka.

Apr 10, 2023 4 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Fokus Pada Perubahan Kecil

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita menumpukan usaha untuk membawa perubahan kecil pada diri. Lama-kelamaan perubahan menyeluruh akan tercapai. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Jul 19, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest