Strategi tanggungjawab sosial korporat (CSR) dulunya diamalkan oleh syarikat besar disebabkan perniagaan yang sudah berkembang, sehingga membolehkan syarikat-syarikat ini kembali menyumbang kepada masyarakat. Walau bagaimanapun, kini semakin banyak syarikat tidak kira saiz mula memberi tumpuan pada tanggungjawab sosial kerana generasi muda makin peka dengan isu-isu kemasyarakatan.
Kini, lebih daripada 50 peratus tenaga kerja di kebanyakan negara terdiri daripada milenial, danEY melaporkan bahawa menjelang tahun 2025, dianggarkan milenial bakal membentuk 75 peratus daripada tenaga kerja global. Golongan ini menuntut kebanyakan syarikat memberi keutamaan terhadap tanggungjawab sosial, selain bertumpu pada aspek kewangan.
Malah, kajian yang dijalankan olehDeloitte Insights pada tahun 2017 mendapati ‘kini ramai milenial makin peka dengan cara organisasi menangani isu berkaitan dengan jurang pendapatan, kebuluran, dan alam sekitar. 88 peratus milenial percaya bahawa majikan perlu memainkan peranan untuk mengatasi masalah ini, dan 86 peratus daripada mereka berpandangan bahawa kejayaan sesebuah perniagaan harus diukur lebih daripada sekadar keuntungan’.
Model perniagaan melibatkan CSR sememangnya penting untuk menarik perhatian, mendorong keterlibatan serta mengekalkan milenial dalam organisasi. Inisiatif CSR dapat membantu merapatkan lagi hubungan yang terbentuk antara organisasi dengan pekerja, selain meniup semangat dan memastikan kedua-dua pihak merasa lebih dekat dengan dunia di sekeliling.
Mendayaupayakan tenaga kerja muda
Leaderonomics baru-baru ini berbicara denganPlus Solar Systems, sebuah perusahaan kecil dan sederhana yang terlibat aktif dalam program CSR, akan kepentingan menyumbang kembali kepada masyarakat demi faedah generasi akan datang.
Syarikat tenaga suria ini memiliki cabang CSR tersendiri yang dikenali sebagai Plus Solar Academy, yang berfokus pada perkongsian pengetahuan dalam industri. Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Plus Solar iaitu Ko Chuan Zhen menyatakan bahawa matlamat Plus Solar Academy adalah untuk merapatkan jurang pengetahuan antara sukatan pelajaran akademik dengan amalan industri.
“Buat masa sekarang, industri tenaga boleh baharu berkembang dengan pesat dan sukar diikuti universiti, kerana banyak sukatan pelajaran yang diajar di universiti masih dalam peringkat awal, dan tidak memberi gambaran sebenar yang berlaku dalam industri.”
Perbezaan ini menjadi isu buat pelajar kerana mereka tidak memiliki maklumat terkini berkenaan industri apabila menamatkan pengajian dan mula mencari kerja.
Hakikatnya,laporan yang diterbitkan oleh Deloitte dan Global Business Coalition for Education menjangkakan bahawa menjelang tahun 2030, golongan muda mencecah 1.8 bilion orang di dunia, lebih separuh daripadanya tidak bersedia untuk memasuki alam pekerjaan kerana mereka tidak memiliki kemahiran atau kelayakan yang diperlukan industri. Peningkatan golongan muda yang kurang berkemahiran ini dikaitkan dengan kadar pengangguran atau guna tenaga tak penuh yang tidak pernah terjadi sebelum ini.
Bagi menangani masalah ini, Plus Solar Academy menganjurkan bengkel secara percuma di universiti merentasi seluruh Malaysia di mana pelajar diuji dari segi kemahiran teknikal melalui aktiviti penciptaan sistem tenaga solar serta lawatan tapak untuk mengkaji fungsi panel solar di dunia nyata. Pada tahun 2018, Plus Solar Academy menganjurkan persidangan kebangsaan buat pertama kali, yang disertai lebih daripada 500 pelajar dari universiti seluruh Malaysia.
Melalui bengkel ini, Plus Solar Academy mendedahkan pelajar dengan pemahaman holistik berkenaan isu semasa dalam industri, meliputi dasar kerajaan, teknologi, pembiayaan, serta trend dan peluang semasa, dengan harapan pelajar sedar akan potensi industri tenaga boleh baharu lalu memilih untuk menceburi bidang ini.
Ko dan dua rakannya mengasaskan Plus Solar pada tahun 2012, dan sejak dari awal lagi, mereka berniat menjadikan Plus Solar Academy cabang utama dalam perniagaan. Menurut Ko, dia terdorong untuk meneruskan idea tanggungjawab sosial ini hasil pengalaman peribadi yang dilalui semasa menuntut di universiti.
“Projek tahun akhir saya semasa di universiti menyentuh tentang sistem tenaga solar. Namun ketika itu tahun 2007, maklumat yang terdapat di perpustakaan universiti agak terhad. Saya hanya menemui dua buah buku teks berkenaan teknologi solar, dan hanya satu daripadanya ada kaitan dengan projek.
“Begitu banyak kesukaran yang saya hadapi ketika itu. Sebagai contoh, saya tidak dapat mencari panel solar untuk menjalankan projek, dan terpaksa meminta bantuan daripada rangkaian profesional pensyarah. Akhirnya, saya berjaya meminjam panel solar dari sebuah universiti tempatan.”
Ujar Ko, pengalaman itu menjadikannya sedar akan jurang besar yang perlu diatasi, dan di sinilah Plus Solar Academy memainkan peranan.
“Apa yang benar-benar membuatkan saya terkesan ialah apabila saya tiada arah tuju, seseorang datang menghulurkan bantuan. Jadi saya mahu melakukan hal yang sama untuk generasi akan datang.”
“Pada pandangan saya, kita tiada masalah dari segi material, namun kita perlu memantapkan pengetahuan, sebab itulah kami (Plus Solar Academy) berkongsi pengetahuan dengan orang lain,” ujarnya.
“Sesetengah peserta mungkin menyertai kami, beberapa yang lain mungkin tidak. Kami pun tidak ambil peduli sangat. Yang penting, kami menyumbang kepada masyarakat dan apabila seseorang mahu terlibat sama, itu kami anggap sebagai bonus.”
Sinar harapan
Sebuah lagi projek yang dijalankan buat julung kali pada tahun 2018 ialah Lights of Hope, apabila Plus Solar memasang panel solar di sebuah rumah anak yatim di Ipoh, Perak secara percuma. “Pada tahun 2013, kami (pengasas) berjanji sesama diri bahawa sekiranya kami berjaya memasang sejumlah panel solar di Malaysia, kami mahu kembali menyumbang kepada masyarakat,” kata Ko.
“Tetapi daripada setakat bertemu dan membantu masyarakat yang kurang bernasib baik sekali dua, kami mahu meninggalkan impak yang lebih berpanjangan dalam komuniti tersebut, maka panel solar ialah jawapannya. Kini mereka memiliki akses kepada tenaga elektrik secara percuma selama 21 tahun. Dengan sistem yang kami pasang ini, kami seolah-olah meninggalkan suatu legasi yang akan membantu mereka dalam tahun-tahun mendatang, yang lebih besar kesan dan maknanya.”
Ko menyambung, setiap kali ahli Plus Solar berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan, mereka ternanti-nanti untuk melakukan lebih lagi pada masa akan datang.
“Kami hanya mahu menyumbang kembali kepada masyarakat dan meninggalkan kesan kepada generasi akan datang. Inilah sebab kami memilih rumah anak yatim, dan berasa terdorong untuk terlibat sama dengan pelajar. Sistem tenaga suria akan kekal terpasang selama bertahun-tahun, malah pengetahuan dan pengalaman yang dikongsikan dengan pelajar juga kekal berpanjangan. Ini sangat bermakna bagi kami,” kata Ko
Oleh Editorial Leaderonomics. Perubahan iklim adalah salah satu cabaran alam sekitar terbesar yang dihadapi oleh dunia hari ini. Dan memahami trend pertumbuhan penduduk adalah bahagian penting dalam memahami dan menghadapi krisis ini. Baca 5 akibat penting pertumbuhan penduduk di sini dalam artikel ini.
Sepanjang kembara kerjayanya, Roshan Thiran telah banyak berpeluang berkhidmat di luar negara. Namun, beliau mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia.