Ambil Cuti Dan Asingkan Diri Buat Sementara

Dec 18, 2017 1 Minit
kreatif, produktif, asingkan

Semua pemimpin hebat yang pernah saya temui bekerja keras untuk mencapai cita-cita mereka. Mereka juga memastikan diri tidak mudah berpuas hati. Sikap ini telah membolehkan mereka mengekalkan daya saing dalam era kucar-kacir yang tidak berkesudahan. 

Golongan pemimpin ini sentiasa mencari cara untuk memperluas pengetahuan dan memperoleh kemahiran baharu. Mereka berusaha mengasah kecerdasan emosi dan kesedaran sosial. Mereka memastikan diri selalu berhubung dengan orang di sekeliling. Mereka sentiasa peka dengan perkara yang membuahkan hasil dan bahagian tertentu dalam perniagaan yang perlu ditambah baik. Mereka sentiasa mendesak diri dua kali lebih kuat berbanding orang lain.

Tetapi terdapat satu perkara yang menjadikan pemimpin hebat ini pemimpin yang luar biasa — mereka tahu nilai dan kepentingan untuk selalu meluangkan masa mengasingkan diri tanpa gangguan kerja. 

Ambil cuti untuk mengecas diri 

Mari kita mengambil Richard Branson sebagai contoh. Dia selalu mengambil cuti panjang atau meluangkan masa berehat di rumah. Baginya, masa yang diambil untuk berehat sekejap itu penting.

Jelasnya, “Saya pastikan diri terputus daripada perhubungan luar dengan meninggalkan telefon di rumah atau bilik hotel, jika boleh, selama berhari-hari. Yang cuma saya bawa bersama adalah buku nota dan pen. Apabila diri ini bebas daripada tekanan bekerja sehari-harian, saya dapati lebih mudah untuk saya peroleh cetusan inspirasi dan pandangan baharu akan isu-isu yang dihadapi.”

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Netflix, Reed Hastings, mempunyai sikap yang sama. Dia mengambil cuti selama enam minggu setiap tahun. Jelasnya, “Ini sangat membantu. Idea terbaik selalu diperoleh semasa anda mendaki gunung atau cenuram. Anda bakal melihat sesuatu dari perspektif yang berbeza.”

Sementara itu, bekas KPE eBay John Donahoe menganjurkan seseorang memanfaatkan ‘hari berfikir’ sekurang-kurangnya setiap beberapa bulan. Dalam tempoh ini, dia memencilkan diri dalam pejabat dan melakar idea pada papan putih setelah merenung akan perkara yang berlaku di dunia dan bahagian yang perlu ditambah baik dalam perniagaannya.

“Saya berfikir apa yang telah saya pelajari, bahagian yang perlu saya tumpukan, dan perubahan yang perlu saya laksanakan, serta mengingatkan diri supaya tidak risau akan perkara di luar kemampuan saya.”

Dia menekankan bahawa “tiada yang boleh menggantikan masa cuti yang sah”. Donahoe akan membawa keluarganya menikmati cuti tahunan ke rumah tepi laut milik mereka di pantai Cape Cod. Di sini dia tidak mengendahkan perhubungan dengan dunia luar selama dua minggu.

Artikel berkaitan: Asahkan Kapak Anda Demi Pertumbuhan Peribadi

Luangkan masa untuk sesuatu yang bernilai 

Masih ada orang yang menganggap perbuatan mengambil cuti sama sahaja dengan perangai malas, tiada motivasi dan acuh tak acuh dengan matlamat dan objektif hidup. Ini sudah tentunya jauh dari yang sebenar. 

Bagi memastikan diri meluangkan masa yang berkualiti di luar tempat kerja, walau begitu sayang dengan kerja sekalipun, kita perlu memberi ruang untuk bateri dalam badan dicas semula, idea baharu bercambah, perspektif baharu tercetus, serta kesejahteraan emosi bertambah baik. Dengan meluangkan masa untuk diri sendiri, hasilnya kita menjadi lebih kreatif dalam perniagaan serta produktiviti akan meningkat.

Walaupun semua yang disebutkan ini penting untuk kita mencapai kejayaan termasuklah kejayaan anak buah kita, sekiranya kita leka untuk mengambil masa bagi diri sendiri, isi masa berkualiti dengan rakan dan keluarga, suatu hari nanti kita akan menyesal kerana tidak menggunakan masa yang secukupnya untuk sesuatu yang benar-benar bernilai dalam hidup.

Ya, apabila kita berjaya dalam kerjaya, ini bermakna kita mampu menyara keluarga dan menyediakan pendidikan yang baik untuk anak-anak, tiada sesiapapun yang mencadangkan kita patut abaikan ikhtiar dan tanggungjawab ini.

Namun demikian, sifat murah hati dan sokongan yang kita beri datang dalam pelbagai bentuk. Benda utama yang boleh kita hadiahkan kepada orang tersayang ialah masa dan keberadaan kita di samping mereka; boleh jadi ini merupakan hadiah yang paling berharga buat mereka.

Soalnya di sini ialah keseimbangan. Masa kita begitu berharga kerana masa yang berlalu tidak akan berulang semula. Sebab itulah kita perlu sentiasa memanfaatkan sebahagian daripadanya untuk betul-betul menikmati anugerah kehidupan yang dimiliki, dan menghargai semua perkara serta insan yang menjadikan hidup kita ini sangat bermakna.

Akhir kata

Sekarang masanya untuk mengambil cuti penghujung tahun. Saya percaya kita boleh meluangkan sebahagian daripada masa ini untuk merenung rahmat yang dinikmati.

Saya tahu saya akan terfikir betapa bertuahnya diri kerana ada keluarga, sahabat, rakan sekerja serta kenalan; mereka semua menjadikan perjalanan hidup saya ini  begitu bererti, sama ada dari segi peribadi mahupun kerjaya.

Apa-apa sahaja perancangan anda, sama ada dalam minggu mahupun bulan hadapan, saya berharap anda akan mencari masa untuk diri sendiri dan orang tersayang. Berehat  seketika dan merenung kehidupan sebelum menyambung semula kerja dengan penuh cergas dan bertenaga, dengan semangat yang berkobar-kobar penuh dengan idea, kreativiti dan inovasi yang melimpah ruah.

Selamat bercuti!

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Leaders Who Disconnect: Why We Should Learn From Them

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Kualiti, Nilai Murni

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Interpersonal

Daya Tarikan yang Tidak Tertolak dalam Kemahiran Interpersonal

Oleh Rabi’ah Mutalip. Dalam dunia yang saling berkaitan hari ini, keupayaan untuk mengemudi interaksi sosial dengan kemahiran adalah aset yang tidak ternilai. Kemahiran interpersonal, sering digelar sebagai kemahiran orang atau kemahiran insaniah, adalah sos rahsia yang menyemarakkan kejayaan dalam kedua-dua bidang peribadi dan profesional.

Feb 28, 2024 2 Minit

Lelaki bersama Jaket

Strategi Cinta dalam Memimpin bersama Roshan Thiran

Di episod 2, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk berkongsi ilmu dan pengalamannya tentang strategi cinta dalam memimpin sebuah syarikat atau organisasi. Roshan akan memberi pandangan dari sudut yang berbeza bagaimana seseorang pekerja serta pemimpin dapat menyemai perasaan kasih dan sayang kepada sesebuah organisasi itu.

Mar 14, 2023 10 Min Podcast

Alt

Berbaloi Mengotori Tangan Anda

Kepimpinan hanya boleh dipelajari dan dibentuk dalam proses mengotori tangan melalui pengalaman hidup. Konteks membentuk kebolehan kepimpinan. Tontonilah video ini.   Untuk membaca artikel berkaitan, klik Mengotori Tangan Anda.

Jul 17, 2017 4 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest