Disiplin Dan Fokus

Dec 20, 2017 5 Minit
disiplin, fokus

Minggu lepas saya membaca mengenai salah satu rahsia kejayaan jutawan Warren Buffett. Katanya, rahsia kejayaannya hanyalah dengan “duduk di pejabat dan membaca sehari suntuk.”

Sebenarnya, Buffett menganggarkan 80 peratus daripada waktu bekerjanya digunakan untuk membaca. Dia percaya kepintarannya adalah hasil langsung daripadanya membaca. 

Dia pernah menggesa seseorang untuk “membaca 500 muka surat setiap hari. Begitu caranya pengetahuan ditimba, sama seperti faedah kompaun.”

Ketika saya berkongsi nasihat Buffett ini kepada beberapa rakan, mereka bertanya tentang jumlah buku yang saya baca dalam seminggu.

Setelah difikirkan, saya menjawab “lebih kurang dua hingga tiga buah buku seminggu.” Lantas mereka bertanya lagi, “bagaimana kamu mencari masa untuk membaca?”

Dengan pantas, saya menjawab ‘disiplin’. Anda harus mencari masa dan mendisiplinkan diri untuk melakukannya.

Makin lama difikirkan, saya semakin sedar yang saya terpaksa melepaskan banyak perkara untuk menjadi seorang yang berdisiplin.

Sebelum kita memulakan sesuatu, kita hendaklah berhenti membuat perkara lain. Misalnya, jika anda ingin sihat, anda kenalah berhenti makan makanan berlemak sebelum mula bersenam.

Disiplin bukan hanya bermaksud berhenti melakukan sesuatu, ia juga bermakna benar-benar membuat sesuatu perkara.

Bagi saya, untuk memastikan saya membaca beberapa buah buku dalam seminggu, saya terpaksa berhenti menonton TV, berhenti bermain permainan komputer dan membazir masa membuat aktiviti lain yang tidak berfaedah.

Semua orang sedar akan konsep disiplin tetapi ramai yang tidak benar-benar memahaminya. Orang yang paling berjaya dalam hidup berusaha bersungguh-sungguh untuk mendisiplinkan diri mereka setiap hari.

Disiplin amat penting bagi setiap yang bernyawa. Tanpanya, dunia sekeliling kita akan menjadi kucar-kacir.

Menahan diri adalah sebahagian besar daripada disiplin. Anda seorang yang kuat jika anda tidak tumpas kepada godaan.

Kekuatan mental

Sejurus selepas Sukan Olimpik London 2012, saya bertemu dengan pemenang pingat dari Malaysia iaitu Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong.

Apabila bercerita tentang perjalanan mereka menuju kejayaan, mereka berdua sering merujuk kepada pengorbanan, kerja keras dan disiplin. Disiplin yang mereka maksudkan sebenarnya adalah kekuatan mental.

Anda memerlukan mental yang kuat untuk membuat latihan keras dan memaksa diri melalui sesi latihan yang menyeksakan.

Komponen penting bagi kekuatan mental adalah ganjaran tertangguh. Ia adalah kebolehan untuk menangguhkan ganjaran sekarang bagi mendapatkan ganjaran yang lebih besar dan baik pada masa hadapan. Ini memerlukan keazaman yang kuat.   

Pernah tak anda terfikir mengapa keazaman anda luntur pada saat anda paling memerlukannya?

Ganjaran tertangguh

Hasil ujian gula-gula marshmallow yang dilakukan ke atas kanak-kanak prasekolah lebih daripada 40 tahun lalu dapat memberi kita persepsi tentang kuasa ganjaran tertangguh.

Pada akhir 1960-an, penyelidik Walter Mischel menguji keazaman beratus-ratus kanak-kanak berusia empat tahun dengan menempatkan mereka di dalam bilik kosong dengan ditemani gula-gula marshmallow yang sedap. Mereka diberi pilihan untuk terus makan ‘ganjaran’ tersebut atau menunggu 15 minit dan mendapat bukannya satu tetapi dua ‘ganjaran’ istimewa.

Kebanyakan kanak-kanak di situ ingin menunggu tetapi ramai yang dapat bertahan selama beberapa minit sahaja. Sebaik sahaja penyelidik itu meninggalkan bilik, mereka terus menelan gula-gula marshmallow itu.

Kanak-kanak yang masih menunggu hingga ke minit ke-15 dan mendapat dua ‘ganjaran’ berjaya mengalihkan perhatian mereka daripada gula-gula dengan menumpukan kepada perkara lain.

Apa yang lebih menarik tentang ujian itu adalah kajian susulan yang dilakukan bertahun kemudian. Mereka mendapati bahawa kanak-kanak empat tahun yang memahami ganjaran tertangguh menjadi lebih berjaya dalam hidup, termasuk mendapat keputusan akademik yang lebih baik serta pelbagai kebaikan kesihatan dan tingkah laku.

Disiplin memerlukan kita menukar ganti kegembiraan hari ini (bermain permainan komputer, bergembira dengan rakan-rakan, menonton TV) dengan kejayaan esok hari (menjadi pemimpin yang hebat atau pakar dalam sesuatu bidang). Keazaman yang kuat diperlukan untuk memungkinkan ganjaran tertangguh.

Dan ini bukan hanya berkenaan kejayaan dalam bidang sukan. Dalam perniagaan, anda perlu berlatih untuk menjadi pemimpin yang hebat. Anda perlu belajar kemahiran baharu yang memakan masa dan tenaga yang banyak. Ini mungkin memerlukan anda mengorbankan kegembiraan hari ini untuk kebahagiaan berpanjangan pada kemudian hari.

Tetapi bagaimana anda boleh meningkatkan keazaman?

Meningkatkan keazaman anda

Penyelidik dan pakar keazaman, Roy Baumeister, percaya bahawa keazaman adalah sumber terhad. Ia bukanlah kemahiran yang dipelajari tetapi otot yang perlu dikerjakan. Lebih banyak anda mengerah ‘otot’ keazaman anda untuk bekerja, ia akan menjadi lebih kuat.

Pada tahun 1992, seorang ahli psikologi British melakukan eksperimen berkenaan keazaman pesakit-pesakit yang baru selesai menjalani pembedahan penggantian pinggul atau lutut.

Kajian itu menunjukkan terdapat satu elemen mudah yang membezakan antara pesakit yang sembuh dengan cepat dan dapat berjalan semula berbanding mereka yang mengambil masa lama untuk bangun. Perbezaannya hanyalah sekeping kertas.

Kesemua pesakit diminta menulis rancangan pemulihan harian mereka di dalam buku kecil yang diberikan. Mereka yang berbuat demikian mula berjalan dua kali lebih cepat daripada mereka yang tidak endah.

Mempunyai senarai dan melakukan aktiviti harian yang ditulis memastikan anda kekal berdisiplin dan menumpukan perhatian kepada tugas.

Adakah anda mempunyai senarai perkara yang spesifik yang ingin dicapai setiap hari? Inilah titik permulaan bagi keazaman.

Disiplin adalah jambatan di antara matlamat dan pencapaian. Kepuasan segera hanya akan meruntuhkan jambatan itu. Orang yang kurang kawalan tidak dapat memahami kesan jangka panjang akibat tingkah laku mereka, dan ini membawa kepada keadaan otot keazaman yang semakin lemah.

Beri hadiah kepada diri 

Menariknya, salah satu kuasa pendorong yang membolehkan disiplin jangka masa panjang dan keazaman adalah dengan memberi ganjaran atau hadiah kepada diri sendiri.

Satu kajian yang dilakukan ke atas orang yang berjaya berdiet (mereka yang mencapai objektif penurunan berat badan) mendedahkan yang mereka terpengaruh dengan bayangan ganjaran spesifik yang menanti pada akhir diet mereka – dapat memakai semula baju lama yang ketat atau cukup dengan hanya berasa yang mereka telah berjaya.  

Pasti ada sesuatu yang kita semua inginkan. Jika kita menjadikannya sebagai hadiah apabila mencapai sesuatu matlamat, kita akan dapat meningkatkan keazaman kita.

Jadi, berilah hadiah kepada diri sendiri setiap hari jika kita berjaya melaksanakan setiap kerja yang dirancang.

Akhir kata 

Johnny Lewis berkata bahawa anda perlu “menjadi 100% berdisiplin jika anda ingin mempunyai peluang mengecapi kejayaan. Tanpanya, anda tidak akan mencapai kecemerlangan dalam perniagaan mahu pun sukan.”

Adakah anda seorang yang berdisiplin? Adakah anda mempraktikkan ganjaran tertangguh dalam hidup anda? Adakah anda menggunakan otot keazaman anda?

Jika tidak, apa kata anda mulakan hari anda dengan melaksanakan perkara-perkara yang anda telah senaraikan. Ia mungkin menjadi titik-tolak kepada anda untuk menjadi lebih berdisiplin dan fokus.

Ingat, disiplin bermakna lakukan apa yang terbaik untuk anda, tanpa mengira perasaan anda.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Mashmallows, Discipline & Focus?

 

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Budaya

3 Cara Pemimpin Boleh Lebih Baik Mewujudkan Budaya Kepelbagaian dan Keterangkuman

Oleh Shivani Gupta. Syarikat perlu melihat DEI (Diversity, Equity, and Inclusion) bukan sebagai 'baik untuk ada' tetapi sebagai 'perlu ada'. Untuk mendapatkan sokongan, profesional HR perlu menyampaikan kepelbagaian dan keterangkuman dalam konteks bagaimana ia mempengaruhi prestasi perniagaan.

Sep 01, 2024 3 Minit

Roshan Thiran

Tahun Baru, Diri Baru bersama Roshan Thiran

Di episod 1, host Waheeda menemubual dengan Encik Roshan Thiran; pengasas syarikat Leaderonomics, untuk membincang tentang azam tahun baru. Ia adalah topik yang menjadi tanda tanya kepada ramai individu pada masa kini. Pentingkah resolusi tahun baru kepada kita semua? Di sini, Encik Roshan memberitahu bahawa kita mempunyai pilihan lain jika kita tidak ada resolusi tahun baru.

Mar 12, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.

Jul 28, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest