Onak Duri Bagus Kesakitan Mendorong Kehebatan!

Dec 22, 2017 0 Minit
onak duri

Beberapa bulan lepas, saya terbaca sebuah cerpen dalam buku Ajahn Brahm yang berjudul Who Ordered This Truckload of Dung? (Siapa Yang Pesan Selori Tahi Ini?). Buku itu membuatkan saya terfikir tentang ‘kesakitan’. 

Ajahn Brahmavamso Mahathera (yang juga dikenali sebagai Ajahn Brahma atau Peter Betts) pernah menuntut di Universiti Cambridge. Dia kemudiannya menjadi seorang sami Buddha.

Dia percaya bahawa perkara yang membezakan manusia yang bahagia dengan yang sedih ialah cara mereka menangani kesulitan dan bencana dalam hidup.

Brahm menerangkan bahawa sambutan baik kita terhadap tragedi yang melanda akan bertindak sebagai ‘baja’ yang menambah baik aspek lain dalam hidup.

Tindakan kita menongkah ombak dan badai akan mendorong kita untuk menjadi insan yang lebih bagus dan berhikmah.

Kesakitan dalam perniagaan

Setiap ketua perniagaan yang berjaya membina empayar perniagaan pernah mengalami kesakitan yang memeritkan dalam kembara kehidupannya. Namun, apabila mereka berjaya, tidak ramai yang teringat akan kesakitan yang perlu ditempuhi mereka.

Kejayaan Steve Job menghidupkan semula Apple buat kali kedua menjadi sebutan ramai. Namun, ramai yang lupa akan pengalaman memeritkan yang dialaminya tatkala dipecat daripada syarikat yang ditubuhkannya sendiri. Atau kegagalannya dalam pelbagai perusahaan selepas mewujudkan Apple. Namun, pengalaman sebeginilah yang betul-betul membentuk diri Job.

Ramai pemimpin juga perlu menahan rasa perit tidak diterima masyarakat semasa awal kembara karier. 

  • Walt Disney dipecat daripada Kansas City Star kerana “ketandusan daya imaginasi dan idea bernas”.
  • JK Rowling, yang kini terkenal disebabkan watak Harry Potter, tidak diterima berdozen-dozen penerbit termasuklah HarperCollins. Namun, dia tidak membiarkan rasa perit ditolak membantutkan usahanya.
  • Oprah Winfrey pula dipecat daripada tugasnya sebagai pemberita edisi petang di WJZ-TV Baltimore kerana tidak mampu memisahkan emosi daripada cerita yang disampaikannya.

Jika anda bertanya ketua perniagaan di Malaysia, anda akan terkejut apabila mendengar begitu banyak episod ‘duka’ yang perlu dilalui mereka sebelum mengecapi kejayaan. 

Apakah maknanya ini semua? 

John Maxwell pernah berkata bahawa

“Kesakitan mendesak kita untuk sedar akan diri dan tahap kita berada. Apa yang kita usahakan dengan pengalaman sebegini akan membentuk diri kita.”

Kebanyakan daripada kita akan cabut lari daripada kesakitan. Namun pemimpin yang hebat akan bertahan dan berusaha tanpa lelah untuk menggenggam lebih banyak ‘kesakitan’ dalam hidup.

Jadi, bagaimanakah anda boleh berpeluang mengalami lebih banyak ‘kesakitan’ dalam hidup? Berikut adalah beberapa cara yang berhasil.

  • Tawarkan diri untuk projek khas. Tatkala ada kerja ‘di luar bidang’, cepat-cepat rebut peluang itu. Di General Electric, projek khas seperti urus niaga, pemerolehan atau pengintegrasian bukan main banyaknya. Saya selalulah orang pertama yang menawarkan diri. Dan beban kerja saya pun bertimbun. ‘Kerja tambahan’ ini menjadi batu loncatan dan membantu saya untuk berkenalan dengan lebih ramai pemimpin kanan dalam organisasi lalu membuka peluang kerjaya yang lebih cerah.
  • Cari peluang untuk gagal dengan ‘selamat’.  Semasa di universiti, saya memulakan perniagaan yang kemudiannya berkembang dengan pantas. Sedikit masa kemudian ia hancur berkecai pula apabila kami cuba membuatnya secara besar-besaran. Walaupun perit melihat perniagaan sendiri lingkup, namun hal ini tidak menghancurkan semangat saya. Malah kegagalan ini menjadi batu loncatan untuk kejayaan saya yang seterusnya. Sekiranya anda dapat mengecapi pengalaman dan bereksperimen ketika masih muda, dan terbuat kesilapan yang ‘selamat’, anda boleh mengelak daripada kegagalan yang lebih teruk pada kemudian hari. 
Artikel berkaitan: Kegagalan Mendewasakan
  • Belajar sekurang-kurangnya satu perkara baharu setiap tahun. Pembelajaran merupakan salah satu pengalaman yang memeritkan. Belajar bahasa atau kemahiran baharu (misalnya pengaturcaraan komputer) boleh menjadi mimpi ngeri bagi sesiapa pun. Namun jika anda ‘paksa’ diri untuk belajar satu perkara baharu setiap tahun, kesakitan belajar akan reda jika dibandingkan dengan kegembiraan apabila maju nanti.
  • Terima peranan dan kerja yang paling sukar. Satu nasihat yang saya terima daripada bos pertama saya, Mike Petrucelli, adalah rajinkan diri menerima kerja yang paling sukar di sesuatu tempat. Dia menyarankan saya untuk mengendalikan kerja yang tidak diingini sesiapa kerana “andalah yang akan peroleh paling banyak ilmu (walaupun anda gagal) dan ia akan merupakan pendorong yang terbaik (sekiranya anda berjaya). Saya sentiasa mengikut nasihatnya dan bersyukur dengan peluang yang diberi.  Pengalaman mengendalikan kerja yang ‘menyulitkan’ dalam beberapa bulan pertama amat dahsyat namun sebaik sahaja anda berjaya, semua yang perlu dikecapi nampak seolah-olah di hujung jari.
  • Hadapi ketakutan dan kesakitan tanpa gentar. Saat paling menggerunkan dalam menempuhi pengalaman yang memeritkan adalah apabila berhadapan dengan kesakitan. Jangan elak atau cabut lari. Selalunya kesakitan ini berlarutan hanya buat seketika dan tidak lama kemudian anda bakal toleh kembali saat tersebut dan melawak apabila ada orang melalui kesakitan yang sama. Ingat, sakit ini sementara sahaja namun hasilnya bertahan hingga ke akhir hayat.
  • Buat kerja yang paling menyakitkan terlebih dahulu. Selalu mulakan hari anda dengan tugas yang paling perit, sukar dan menjengkelkan. Dengan cara ini, pada penghujung hari, apabila anda menghabiskan sisa tugasan (dengan kerja yang lebih menyeronokkan dan mudah), anda akan menganggap hari yang dilalui adalah bagus. Dengan mendahulukan tugas yang memeritkan dalam jadual (atau dalam proses tertentu), selalunya anda akan lupa akan kesakitan yang dialami.

Akhir kata

Michelangelo pernah berkata, “dalam setiap blok marmar, aku ternampak seperti ada arca ringkas tercegat di hadapanku, yang sudah terbentuk serta elok pergerakan dan perawakannya. Aku hanya perlu menarah batuan keras yang memerangkap seni indah ini untuk ditonton umat dunia seperti yang aku dapat lihat.”

Kerja menarah batuan keras ini sememangnya proses yang memeritkan bagi marmar. Namun, jika proses ini tidak berjalan, arca yang tersergam indah tidak akan terbina langsung.

Sama seperti kehebatan yang terpendam dalam diri kita. Bagi membolehkan kehebatan ini terpancar, kita perlu mengharungi onak dan duri yang akan “menarah bucu-bucu kasar” lalu menyerlahkan kehebatan diri.

Jadi, jangan bimbang apabila berhadapan dengan cabaran hidup. Ukirkan senyuman dan bersyukurlah atas kesakitan yang dialami!

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Dung Is Good… Pain Is Better!

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Kebolehan Diri, Tujuan Diri

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Pemimpin

Melepasi daripada Narsisisme: Bagaimana Pemimpin Boleh Mengelak Perangkap Keangkuhan (Hubris)

Oleh Mafred F. R Kets De Vries. Temui perbezaan bernuansa antara narsisisme dan keangkuhan serta kesan berbezanya terhadap kepimpinan. Mulakan perjalanan muhasabah diri dan pelajari cara mengharungi arus kepimpinan yang khianat dengan kebijaksanaan dan kerendahan hati.

Apr 01, 2024 5 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Tingkap yang Pecah

Dalam episod ini, Roshan Thiran, Ketua Pegawa Eksekutif Leaderonomics cuba memberi tipnya mengenai kuasa seseorang untuk mengendalikan benda-benda yang kecil. Jika kami dapat menjayakan benda-benda yang kecil, lama-lama ia akan membawa kejayaan yang besar

Jan 04, 2018 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest