Tidak berapa lama yang lalu, saya bertemu dengan Pierluigi Collina, bekas pengadil berkepala botak FIFA yang masyhur, yang dinobatkan sebagai ‘pengadil terbaik di dunia’.
Setiap kali bertemu dengan seseorang yang merangkul kedudukan ‘terbaik di dunia’ atau ‘Nombor 1 di dunia’, saya tertanya-tanya bagaimanakah mereka meraih gelaran itu.
Dari arena sukan profesional hingga ke bilik lembaga perniagaan yang utama, hanya segolongan kecil individu yang cemerlang menguasai bidang tertentu. Apakah resipi kejayaan mereka?
Collina meneruskan celotehnya, menyentuh tentang keperluan untuk bersedia menghadapi permainan dan membuat keputusan yang hebat dalam keadaan tertekan. Ini merupakan cara seseorang menjadi yang terbaik di dunia.
Beliau meneruskan dengan panjang lebar berkenaan kepentingan melakukan kesilapan dan belajar daripadanya. Collina menjelaskan bahawa semua orang melakukan kesilapan. Perkara yang penting bukan sahaja kesilapan yang dibuat tetapi memahami sebab kesilapan tersebut terjadi. Collina menyarankan supaya kita melakukan analisis diri yang mendalam.
Sebaik sahaja memahami ‘sebab’ berlakunya kesilapan, kita perlu ‘merancang untuk kembali menjadi lebih kuat daripada sebelumnya dan berpaling daripada terus memikir-mikirkan tentang kesilapan tersebut.’ Dalam erti kata lain, kita perlu belajar daripada kesilapan dan bergerak maju dari sana.
Beliau juga berkata kita perlu belajar daripada semua orang. Beliau memastikan dirinya belajar daripada pengadil-pengadil yang lebih muda.
Ikuti temu bual penuh dengan Pierluigi Collina, dalam bahasa Inggeris:
Nasihat hebat ini diperoleh daripada ‘pengadil terbaik dunia’, namun saya masih dahagakan ilmu berkaitan cara untuk menjadi yang terbaik di dunia.
Apa kata Datuk Lee Chong Wei
Maka, saya mengimbas kembali pertemuan saya dengan pemain badminton Nombor 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, beberapa hari setelah beliau tewas kepada Lin Dan dalam perlawanan akhir Olimpik 2012. Saya mengutarakan soalan yang sama kepada Lee – “bagaimanakah seseorang menjadi yang terbaik di dunia?”
Bagi Lee, hal ini memerlukan usaha gigih, pengorbanan tidak berbelah bahagi dan latihan berterusan. Hal ini seperti memperuntukkan 10,000 jam latihan terancang, yang menjadi asas kepada kejayaannya. (Bagi mengetahui kajian berkenaan 10,000 jam latihan terancang, anda boleh membaca laporan kajian tentang latihan tersebut oleh Anders Ericsson melalui Google.)
Mengikut Lee,
“Malaysia mempunyai terlalu ramai pemain badminton. Untuk terplih daripada beribu-ribu dan berjuta-juta orang bukanlah perkara yang mudah. Bakat memainkan peranan, namun bakat sahaja tidak akan membuahkan kejayaan. Dedikasi, ketekunan dan disiplin diri merupakan elemen penting yang amat diperlukan untuk menjadi seorang juara.”
Apabila meneliti konsep menjadi yang terbaik di dunia, saya teringat kembali zaman saya menganggotai barisan kepimpinan sebuah syarikat Malaysia dan bagaimana kami mengubah organisasi kami yang bertaraf ‘paling teruk di dunia’ menjadi ‘yang terbaik di dunia’.
Apabila saya menjejak kaki dalam organisasi tersebut lebih 15 tahun yang lepas, organisasi itu bersaiz kecil, bersifat birokratik, menghampiri ambang kehancuran dengan semangat pekerja yang rendah. Prestasi syarikat itu berada pada tahap yang amat dahsyat sekali.
Pada ketika pesaing bertaraf global yang terbaik di dunia mencatatkan masa pusing balik 45 hari, organisasi kami kadang-kadang mengambil masa pusing balik melebihi 450 hari.
Dengan masalah dan cabaran yang menggunung tinggi, saya tertanya-tanya sebab utama saya menerima tugasan yang ‘tidak munasabah’ sebegini.
Namun, dua tahun kemudian, organisasi tersebut berubah menjadi antara yang terbaik di dunia. Kadang-kadang masa pusing balik menjadi kurang daripada 40 hari, dan pernah mencapai 35 hari. Ini mengukuhkan kedudukan organisasi kami sebagai yang terbaik di dunia.
Lebih menarik, tenaga kerja kekal sama, masih dianggotai ‘orang Malaysia’, sama seperti dua tahun lepas. Tidak banyak yang berubah dari segi teknologi ataupun struktur – peralatan, proses dan struktur organisasi tidak berubah. Jadi, apakah elemen yang menjadikannya berbeza?
Perubahan sikap pekerja
Walaupun tenaga pekerja adalah sama seperti sebelum ini, sikap mereka berubah secara drastik. Terdapat kepercayaan yang mengalir dalam jiwa mereka. Mereka percaya mereka mampu menjadi yang terbaik di dunia. Harapan ini sebati dalam jiwa mereka; hati mereka terisi dengan harapan dan aspirasi untuk menjadi yang terbaik.
Bagaimanakah perubahan ini berlaku? Saya rasa perkara ini bermula daripada tampuk kepimpinan organisasi. Sebagai sebahagian daripada pasukan kepimpinan, kami komited untuk menjadi yang terbaik. Kami komited untuk berkembang maju, membangun dan menambah baik diri setiap hari.
Pemikiran untuk maju ke hadapan sebati dalam diri kami. Kami menetapkan untuk menjadi pemimpin berkelas dunia. Ini membolehkan pasukan kami meneladani komitmen, keazaman dan hasrat kami. Mereka terpengaruh dengan keghairahan bekerja kami hinggakan kesemua lapisan tenaga kerja turut bersemangat berkobar-kobar untuk menjadi yang terbaik di dunia.
Keinginan untuk menjadi yang terbaik di dunia tidak membawa apa-apa kesan. Semua orang ingin menjadi yang terbaik namun hanya segelintir yang akhirnya berjaya. Hal ini kerana perjalanan untuk menjadi yang terbaik penuh dengan ranjau dan onak duri.
Apabila kami mampu merangsang setiap ahli dalam organisasi untuk ‘menginginkan yang terbaik’, untuk menjadi ‘Nombor 1’, kami mula bekerja keras untuk menjadikan impian ini sebuah kenyataan.
Hal ini bermakna kami memperuntukkan segenap usaha kepada proses tertentu tanpa mengira penat lelah. Hal ini bermakna kami mengubah satu perkara kecil setiap hari untuk memperbaiki diri. Hal ini bermakna kami menambah baik masa pusing balik daripada 100 hari, ke 99, seterusnya 98, 97 dan kami tidak pernah berputus asa untuk menjadi yang terbaik. Hal ini bermakna kami belajar kemahiran baharu, menguasai cara baharu untuk mempercepatkan kerja dan melepaskan diri daripada perkara yang membatasi diri.
Perjalanan menjadi yang terbaik
Apabila saya menemu bual seramai mungkin individu yang dikategorikan sebagai yang terbaik di dunia, saya nampak corak yang serupa. Mempunyai keinginan untuk menjadi yang terbaik adalah langkah pertama. Hal ini diistilahkan sebagai visi.
Langkah seterusnya ialah mengetahui sejauh mana kita berada dari visi yang ditetapkan (dikenali sebagai kesedaran diri). Seterusnya ialah rancangan untuk bergerak dari ‘kedudukan sekarang’ ke arah ‘visi’ tersebut.
Akhir sekali, kita perlu bergerak seperti yang dirancang. Hal ini bermakna belajar kemahiran yang baharu, membebaskan diri daripada budaya yang sarat dengan pelbagai batasan, dan berhempas pulas melaksanakan kerja dengan menempuhi rintangan dan halangan dalam merealisasikan impian.
Perjalanan ini panjang dan berliku-liku, dalam usaha menjadi numero uno (nombor satu). Proses untuk menjadi yang pertama melibatkan perjalanan yang menyakitkan; ramai yang mengharungi jalan ini akhirnya bertemu dengan kegagalan. Namun, golongan yang cekal tidak kenal erti kalah; bagi mereka perjalanan ini nyata berbeza. Tiada yang lebih ulung daripada perasaan menjadi yang terbaik.
Saya teringat peristiwa apabila seorang klien terkemuka dari Jepun menandatangani perjanjian jangka panjang dengan syarikat kecil kami.
Bos organisasi Jepun ini memberitahu saya bahawa dalam hati kecilnya dia berasa kami akan menjadi yang terbaik di dunia dan dia mahu menandatangani kontrak jangka panjang dengan kami sebelum kami menjadi Nombor 1 (supaya dia beroleh manfaat dari segi harga yang lebih baik!).
Lebih penting, apabila kami menjadi yang terbaik, kegembiraan dan kebanggaan yang terpancar pada wajah para pekerja menguatkan hakikat bahawa pekerja Malaysia adalah yang terbaik di dunia. Ia merupakan detik yang tidak ternilai bagi semua.
Kepayahan menjadi yang terbaik
Hadapilah kenyataan. Tidak ramai daripada kita yang menjadi cemerlang dan berkelas dunia dalam semua perkara. Contohnya, Albert Einstein tidak mampu untuk mencari jalan ke kedai runcit yang berdekatan dengan rumahnya! (Katanya: “Saya tidak mahu mengusutkan fikiran dengan hal yang remeh!”).
Kita juga tidak perlu (dan tidak boleh) menjadi ‘Nombor 1’ dalam semua perkara — tumpukan perhatian kepada perkara yang benar-benar penting. Maka, kita harus memilih. Terdapat perkara yang membezakan anda dengan saya dan orang lain. Sebuah organisasi pula berbeza dengan organisasi yang lain.
Banyak syarikat merupakan syarikat yang bagus. Namun untuk menjadi yang terbaik, hal ini memerlukan komitmen pihak atasan, tumpuan berterusan terhadap proses dan struktur berkelas dunia serta budaya yang menggalakkan untuk berkembang maju dan berinovasi. Ini bukanlah tugas yang mudah.
Yang menyedihkan, banyak syarikat di Malaysia tidak kisah untuk menjadi ‘Nombor 1 di dunia’ dalam aspek dan bidang yang tertentu, Ya, hal ini sangat payah, tetapi kita mempunyai kepakaran dan kebolehan untuk menjadi yang terbaik di dunia.
Apa yang perlu kita tambah ialah keazaman dan kerja keras (seperti Lee), sentiasa belajar daripada semua orang dan kesilapan sendiri (seperti Collina) serta komitmen pihak atasan untuk menjadi bertaraf dunia (seperti yang dilakukan oleh pasukan kami dalam menangani masa pusing balik organisasi).
Akhir kata
Terdapat perbezaan antara yang terbaik dan selebihnya. Golongan yang terbaik lebih bagus dalam kepimpinan, membuat keputusan yang bernas dalam keadaan tertekan, belajar lebih pantas, dan bertanyakan soalan yang lebih baik. Golongan ini beraksi untuk menang, bukan untuk kalah.
Mereka mempunyai semangat yang berkobar-kobar dan tekad yang berterusan untuk menggapai visi dan matlamat yang ditetapkan. Collina menamatkan sesi temu bual itu dengan menekankan satu lagi elemen dalam mentakrifkan yang terbaik, iaitu keazaman yang mendalam untuk menjadi yang terbaik di dunia.
Apabila meneliti perbualan saya dengan Collina, Lee, dan mereka yang terbaik di dunia, serta pengalaman sendiri dalam membina organisasi yang ‘terbaik di dunia’, saya mula menyedari bahawa menjadi yang terbaik di dunia bukanlah sesuatu yang mustahil.
Setiap perniagaan di Malaysia perlu bercita-cita untuk menjadi yang terbaik di dunia. Jika orang Itali berkepala botak ini boleh melakukannya dengan tekad dan usaha yang gigih, setiap daripada kita juga mampu.
Persoalan yang utama ialah: Adakah kita bersedia untuk meletakkan impian yang lebih besar, mendesak diri serta bekerja lebih keras dan belajar lebih pantas? Jika kita berusaha gigih, menjadi yang terbaik di dunia bukanlah angan-angan Mat Jenin!
Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/
Oleh Juliet Funt. Syarikat mendakwa mereka menghargai pekerja, namun bergelut untuk membiayai pembangunan pekerja. Bagaimana kita boleh merapatkan jurang dan benar-benar menyokong mereka?
Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.
Sesuatu kelainan yang ketara boleh diukir untuk meninggalkan impak yang besar. Tetapi, ia harus bermula dengan anda. Berikut adalah langkah-langkah yang anda boleh ikuti untuk mengukir sesuatu kelainan.