Awal bulan Ogos 2018, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) PepsiCo, Indra Nooyi mengumumkan bahawa beliau akan mengundurkan diri sebagai KPE setelah 12 tahun memegang tampuk kepimpinan dengan cemerlang sekali. Bagaimanapun, beliau akan kekal sebagai pengerusi organisasi tersebut.
Nooyi dilantik sebagai KPE PepsiCo pada 2006, menjadi KPE wanita pertama dalam sejarah organisasi berkenaan. Beliau menyertai PepsiCo sebagai Naib Presiden Kanan Perancangan Strategik pada tahun 1994.
Dalam beberapa hal, Nooyi, yang dilahirkan di India, adalah personaliti yang bertentangan dengan apa yang mungkin kita bayangkan berkenaan seorang KPE Amerika.
Beliau seorang wanita, seorang ibu, seorang India-Amerika, seorang yang penuh karisma yang telah berjaya membina PepsiCo menjadi sebuah organisasi yang amat beruntung, dengan pertumbuhan pendapatan sebanyak lebih daripada 80 peratus dan mengembang dengan satu jenama bernilai berbilion dolar setiap tahun.
Tidak menghairankan beliau adalah seorang pemimpin yang amat berpengaruh dan berwibawa dalam dunia perniagaan.
Model kepimpinan 5 ‘K’
Beliau menerangkan bahawa sepanjang kariernya, yang menjadi pedoman kepimpinannya adalah 5 ‘C’ Leadership Model atau Model Kepimpinan 5 ‘K’:
- Competency/Kecekapan
- Courage and Confidence/Keberanian dan Keyakinan
- Communication Skills/Kemahiran Komunikasi
- Consistency/Ketekalan
- Personal Compass/Kompas Peribadi
Mari kita teliti dan ambil iktibar daripada Model Kepimpinan 5K amalan Nooyi yang secara konsisten ditarafkan dalam kalangan 100 wanita paling berkuasa di dunia.
1. Kecekapan
Menurut Nooyi, jika anda ingin menjadi seorang pemimpin, anda mesti ada kemahiran ‘hip pocket’ iaitu satu-satunya kemahiran yang anda seorang sahaja miliki dalam pasukan anda. Dengan adanya kemahiran ini, anda akan dikenali sebagai pakar yang orang lain akan rujuk kepada apabila berhadapan dengan sesuatu masalah berkaitan.
Melainkan anda betul-betul mahir dalam sesuatu, dan bukan cuma seorang yang serba tahu, anda tidak akan menyerlah. Tetapi untuk menjadi mahir dalam sesuatu, anda perlu sentiasa megemaskinikan pengetahuan berhubung subjek berkenaan, supaya anda tetap berada di posisi depan dan mengikuti perkembangan semasa yang berlaku dalam bidang tersebut.
2. Keberanian dan keyakinan
Keberanian dan Keyakinan — kedua-dua sifat ini tidak boleh dibelah bahagi. Anda mungkin tersangat mahir tetapi jika anda takut menyuarakan pandangan atau pendirian, jika anda tiada keyakinan biarpun ada pengetahuan tentang sesuatu, semuanya tiada makna langsung. Anda akan asyik ikut perintah, ikut kata orang lain. Jadi, keberanian dan keyakinan amat penting sekali.
3. Kemahiran komunikasi
Kata Nooyi, “Kemahiran komunikasi tersangat penting. Anda perlu berusaha gigih untuk menajamkan kemahiran ini. Apa gunanya jika seorang mempunyai pemikiran yang inovatif tetapi tidak dapat menyuarakan buah fikirannya dengan jelas.
Komunikasi bertulis dan lisan penting kerana sebagai pemimpin, anda sering perlu mendayaupayakan pasukan anda. Di samping menyenaraikan komunikasi sebagai antara kemahiran kepimpinan yang utama, Nooyi juga menerima latihan dalam komunikasi untuk menambah baik keupayaannya supaya dapat berkomunikasi dengan lebih bermakna dan dinamik apabila berhadapan dengan pemimpin-pemimpin yang lain serta pelanggan-pelanggan organisasi. Hakikatnya, komunikasi begitu penting bagi Nooyi hinggakan beliau sering menulis blog di PepsiCo, saluran yang digunakannya untuk berbicara dengan kakitangan PepsiCo selang setiap minggu.
4. Ketekalan
Pemimpin mesti bersikap tekal. Anda boleh mengubah fikiran tetapi berbuat demikian mengikut rangka kerja yang tekal. Ini kerana jika anda tidak tekal, orang lain akan sentiasa menyoal agak perlakuan anda. Jadi, amalkan sikap dan pendirian yang tekal.
5. Kompas peribadi
Kemahiran terakhir ialah Kompas Peribadi. Kejujuran adalah amat kritikal sebagai seorang pemimpin. Anda mungkin cekap, anda mungkin berani, ada keyakinan, mahir berkomunikasi, tekal tetapi jika anda tidak ada integriti, kompas anda tidak akan menunjuk ke arah yang benar. Setiap sesuatu akan hempas berkecai seperti mana yang kelihatan dewasa ini.
Petua kepimpinan
Selain Model Kepimpinan 5K, Nooyi berpegang kepada tujuh petua yang dapat membantu kita menajamkan kemahiran kepimpinan kita dan bergerak maju dalam karier kita.
1. Setiap orang mesti ada visi
Nooyi berkongsi bagaimana inisiatifnya, Performance With Purpose (Prestasi Dengan Tujuan), untuk mengeluarkan produk yang lebih sihat dan penggunaan sumber semula jadi yang kian berkurangan seperti air, serta pemberdayaan kaum wanita dan orang kelainan upaya, telah memberi organisasinya visi yang telah membantu mereka mencapai perkembangan baharu. Beliau menasihatkan setiap pemimpin supaya memikirkan dan membentuk visi yang boleh memotivasikan pekerja untuk memberi usaha yang terbaik.
2. Berfikiran jangka panjang
Beliau menekankan kepentingan mempunyai pelan yang boleh memanfaatkan organisasi dan individu dalam tempoh jangka panjang. Katanya, strategi-strategi yang dirancangkan perlu memberi keseimbangan tahap dan jangka pulangan.
3. Kepentingan pujukan
Nooyi berkongsi bagaimana beliau telah bekerja kuat untuk memujuk pasukannya supaya menyokong inisiatif Prestasi Dengan Tujuan. Beliau menceritakan bagaimana pengkritiknya memberitahunya supaya berfokus pada jualan kentang goreng dan air soda dan lupakan sahaja aspek pemakanan berkhasiat. Tetapi berbekalkan pujukannya, PepsiCo berupaya menghapuskan 6.4 trilion kalori daripada produk makanan dan minuman, suatu pencapaian yang melangkaui janji yang dibuat mereka kira-kira tiga tahun yang lepas dan lebih awal daripada yang dijadualkan, sebanyak 400%
4. Sentiasa lebih dengar daripada bercakap
Sebab kita ada dua telinga dan satu mulut adalah pertanda kita patut mendengar lebih banyak daripada cepat bercakap. Nooyi menceritakan satu kisah apabila pengajar tariannya memberinya pengajaran yang amat berharga. “Jika anda belajar untuk mengikut, anda akan menjadi pemimpin yang lebih baik. Dan ia akan menjadikan anda penari yang lebih baik,” nasihat yang Nooyi akur hingga masa ini.
5. Sentiasa belajar
Anda tidak mampu untuk berhenti belajar. Biarpun beliau seorang KPE, Nooyi suka belajar perkara-perkara di luar bidang kemahirannya. Beliau suka berbual dengan para pelanggan, penjual dan pekerjanya. Beliau tidak keletihan mencari sebanyak mana informasi daripada sebanyak mana sumber.
Biarpun anda seorang KPE sekarang, jangan ingat anda sudah tercapai segala-galanya. Anda mesti terus meningkatkan pembelajaran anda, cara anda berfikir, dan cara anda memimpin organisasi anda.
6. Pasukan dan kakitangan adalah segala-galanya
Untuk menjaga hati pasukannya, Nooyi menulis surat terima kasih kepada ibu bapa pekerja-pekerjanya. Dalam surat itu, beliau berkata syarikat cukup bangga dengan sumbangan anak-anak mereka. Beliau meminta kakitangannya supaya menulis dengan tangan surat-surat penghargaan buat ahili-ahli pasukan dan usaha mereka.
7. Anda KPE di pejabat, bukan di rumah
Beliau menasihatkan supaya ‘meletakkan mahkota anda di garej’ apabila berinteraksi dengan famili dan rakan-rakan. Biar sekali tinggi mana pun pangkat anda di tempat bekerja, anda bukan bos di rumah. Pada penghujung hari, jangan lupa anda seorang insan biasa — jangan lupa anda seorang ibu, jangan lupa anda seorang isteri, jangan lupa anda seorang anak perempuan.
Jika anda ingin menambah baik organisasi anda, anda perlu menambah baik diri, dan organisasi akan turut dibawa naik bersama anda. Ini adalah pengajaran terpenting. Saya tidak boleh mengharapkan organisasi bertambah baik jika saya tidak menambah baik diri dan menaik taraf organisasi. — Indra Nooyi
Sumber Kandungan: Pelbagai rujukan dalam talian
Kredit Imej Terencana: nationmultimedia.com