Rutin Pagi Pemimpin Yang Berjaya

Aug 13, 2018 1 Minit
pagi, padang, matahari terbit

Sama ada anda seorang yang bangun awal atau yang tidur lewat, kita semua pasti memulakan hari kita pada sesuatu detik. Dan kita semua memulakannya secara berbeza.

Walaupun mungkin tidak ada rutin pagi yang ideal buat semua orang, kita boleh belajar sekerat dua dengan meneliti rutin pagi pemimpin yang berjaya. Yang mana sesuai, kita jadikannya tip bagi diri.

Bangun awal pagi

Mereka yang berjaya memulakan hari mereka seawal 5.30 pagi, 4.30 pagi, malah ada juga seawal 4.00 pagi.  

Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Apple, Tim Cook, dikatakan bangun dan membalas e-mel yang penting seawal 4.30 pagi. KPE PepsiCo, Indra Nooyi, pula bangun pada 4.00 pagi dan berada di pejabat sebelum 7.00 pagi.

Bukan sahaja mereka akan mempunyai lebih banyak kawalan pada waktu awal mereka, mereka juga akan mempunyai lebih banyak peluang untuk melakukan perkara yang penting bagi diri mereka.  

Waktu awal pagi itu juga membolehkan mereka memberi fokus kepada apa jua yang ingin mereka lakukan memandangkan sebarang gangguan adalah pada tahap minimum ketika itu.

Sekiranya anda ingin memulakan tabiat ini, cubalah bangun 15 minit lebih awal daripada biasa. Kemudian, buat sesuaian secara beransur-ansur.

Bersenam

Bersenam bukan sahaja dapat mengawal berat badan tetapi merangsangkan emosi positif (akibat pengeluaran endorfin dalam badan), memberi tenaga dan membantu anda untuk berfokus sepanjang hari.

Anda tidak perlu menjalankan regim senaman yang terlalu tegang. Buatlah sekadar yang boleh, misalnya senaman yoga, angkat berat, berenang, berjoging atau berjalan di kawasan sekitar.

KPE Kumpulan Virgin, RIchard Branson pernah ditanya bagaimana untuk menjadi produktif. Dengan selamba, beliau menjawab, “Bersenam.” Beliau menerangkan bagaimana dengan bersenam, beliau menjadi empat jam lebih produktif setiap hari.

Peruntukkanlah masa untuk bersenam. Jika anda katakan anda tiada masa untuk bersenam, bayangkan bagaimana kebanyakan KPE dan tokoh industri boleh mencari masa untuk bersenam sekurang-kurangnya 45 minit setiap hari. Ya, jadual mereka pun lebih padat daripada jadual kita semua!

Sekiranya sukar bagi diri anda berbuatnya seorang diri, carilah seorang dua kawan untuk bersepakat dengan anda membuat senaman pagi ini.

Ingat! Badan yang sihat, minda yang sihat (dan lagi tajam!)

Bersarapan pagi

Bersarapan pagi akan merangsangkan metabolisme, membantu membakar kalori sepanjang hari. Ia akan memberi anda tenaga yang diperlukan untuk membuat tugasan harian dan membantu anda berfokus pada kerja di tangan.

Ia juga dikatakan boleh:

  • Seimbangkan paras gula dalam darah, justeru membantu mengekalkan tenaga anda sepanjang hari
  • Meningkatkan memori jangka pendek dan ‘mood anda’
  • Mengembalikan tenaga dengan cepat selepas bersenam

Tetapi jaga-jaga… jangan tersalah makan atau makan terlalu berat untuk sarapan pagi. Makan sekadar cukup, dan makan secara sihat.

Luangkan masa untuk bertafakur

Ramai tokoh mengambil masa pada sebelah pagi hari untuk berfokus, menetapkan gol untuk hari tersebut dan membuat senarai tugasan yang perlu disempurnakan.

Kajian menunjukkan bahawa fokus dan kemahuan kita adalah pada tahap terbaik pada awal hari. Kebanyakan mereka yang berjaya menggunakan masa ini untuk mempertajamkan strategi dan gol mereka.

Benjamin Franklin, misalnya, menghabiskan waktu paginya menetapkan gol bagi mencapai hidup yang baik dan berkuasa, dan membuat perancangan untuk sepanjang hari.

Pembicara motivasi terkenal,Tony Robbins, pula meluangkan masa untuk ‘jam berkuasa’ bagi menetapkan niat dan gol melalui kuasa visualisasi.

Berkomunikasi

Jadikan hubungan dan komunikasi dengan orang tersayang sebagai rutin pagi anda.

Komunikasi dan hubungan dengan keluarga atau orang tersayang adalah penting. Ramai mereka yang berjaya menetapkan masa untuk bersarapan pagi dengan keluarga, atau bersenam bersama.

Bekas pengerusi dan KPE Pepsi, Steve Reinemund, misalnya, bersarapan pagi dengan keluarganya selepas bersenam pagi. Sementara itu, ketua pengarang Good Housekeeping, Jane Francisco pula menghabiskan 30 minit berpelukan dengan anak lelakinya yang masih kecil.

Maksimumkan masa perjalanan ke tempat kerja

Maksimumkan masa perjalanan ke tempat kerja sebagai rutin pagi anda.

Kalau anda warga kota, terperangkap dalam kesesakan lalu lintas bukan sesuatu yang asing. Ada pula kalangan yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke tempat kerja yang mungkin mengambil masa 30 minit atau lebih.

Baik dalam kenderaan sendiri mahupun pengangkutan awam, gunakan masa itu dalam cara yang boleh memanfaatkan peningkatan diri seperti mendengar podcast atau rakaman ilmiah, membaca buku, melakukan kajian melalui Google sebagai persediaan untuk menghadapi pembentangan, membalas e-mel ataupun membuat senarai tugasan yang perlu dilakukan.

Apa sahaja tugas berkaitan kerja yang anda mampu selesaikan ketika dalam perjalanan ke pejabat akan meningkatkan produktiviti anda. Ini kerana apabila anda sampai di pejabat, anda akan dapat memberi fokus kepada perkara yang lebih besar atau penting. Ingat! Setiap saat adalah penting.

Buat kerja yang paling susah dahulu

Buat kerja yang paling susah dahulu sebagai rutin pagi anda.

Selalunya kita akan membuat kerja yang paling senang pada awal pagi dengan alasan ‘panas badan’. Tetapi menurut Mark Twain:

“Jika perkara pertama yang anda lakukan setiap pagi ialah makan ‘katak’ yang hidup, anda boleh melalui sepanjang hari dengan kepuasan mengetahui bahawa itu mungkin perkara paling buruk yang akan berlaku kepada anda sepanjang hari.”

‘Katak’ yang dimaksudkan ialah tugasan yang paling sukar, yang amat ditakuti, yang menghantui anda. Bina tabiat membuat tugasan sedemikian pada awal pagi dan terdahulu daripada yang lain memandangkan anda pasti lebih ‘tajam’ dan efisien. Terselesainya kerja yang sukar itu akan memberi anda rangsangan positif yang mungkin akan mempermudahkan kerja-kerja lain sepanjang hari.

Dalam membuat tugasan gergasi ini, adalah baik sekiranya anda menentukan masa penamat untuk menghabiskannya, mengasingkan diri daripada segala gangguan dan menumpukan fokus sepenuh padanya. 

Berkaitan: Cara Menjadi Pemimpin Yang Lebih Hebat

Akhir kata

Demikianlah tujuh rutin pagi yang boleh anda amalkan. Lakukan mana yang sesuai, mana yang dapat. Buat satu demi satu, secara konsisten — ini adalah lebih baik daripada hangat-hangat tahi ayam buat semua sekali tetapi tidak dapat bertahan.

Semoga anda berjaya meningkatkan diri menjadi pemimpin yang hebat dengan mengikuti sedikit sebanyak rutin pagi ini.

Sila Kongsi

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Sidang Kemuncak Kepimpinan Malaysia 2023

Kejayaan ke Masa Depan: Wawasan daripada Sidang Kemuncak Kepimpinan Malaysia 2023 (Bahagian 1)

Oleh Kiran Tuljaram dan Irfan Razali. Temui wawasan tentang kepimpinan, pengurusan perubahan dan banyak lagi daripada Sidang Kemuncak Kepimpinan Malaysia 2023. Serlahkan potensi sebenar anda dalam dunia yang semakin berkembang hari ini.

Jul 04, 2023 12 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Berani Gagal

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran berkata setiap orang mesti berani gagal dan belajar daripada kegagalan untuk terus maju dalam kembara kehidupan. Kejayaan pasti dalam tangan kelak.

Jul 28, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest