Membina Individu Menjadi Pemimpin, Melahirkan Komuniti Penyayang

Aug 15, 2018 1 Minit
komuniti, pemimpin, kerjasama
Rencana ini disiarkan buat kali pertama dalam bahasa Inggeris di laman Facebook Humans of Kuala Lumpur (Insan Kuala Lumpur). Ia adalah kisah mengenai Roshan Thiran, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics. Diterjemahkan dan diulang siar dengan kebenaran.

 

Roshan Thiran | Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics | Penulis dan Penceramah Kepimpinan
Roshan Thiran | Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Leaderonomics | Penulis dan Penceramah Kepimpinan

“Saya selalu bermimpi untuk ke luar negeri tetapi bapa saya tidak mampu untuk menghantar saya.

Bagi saya, ini sungguh tidak adil kerana kawan-kawan saya yang benar-benar kaya dapat pergi ke luar negeri manakala yang lain pula mendapat biasiswa.

Saya mencapai 8 A1 dan 1 C5 (untuk bahasa Malaysia) dalam peperiksaan SPM tetapi gagal mendapat sebarang biasiswa. Jadi, saya pun buat apa yang saya fikirkan perlu.

Saya pergi ke kedutaan-kedutaan kerajaan untuk mendapatkan semua alamat universiti di seluruh dunia. Saya menulis kepada universiti-universiti itu seperti Harvard dan Princeton. Saya memujuk mereka dengan menulis, ‘Tolong beri saya biasiswa. Saya pelajar yang baik, saya bermain bola sepak dan mewakili sekolah dalam banyak pertandingan. Anda tersangat ‘bodoh’ jika tidak memberi saya biasiswa.’ Saya berkata demikian dalam cara yang mesralah (ketawa).

Bijak berfikir

Pada masa itu, bapa saya berkhidmat dengan kerajaan. Melalui beliau, saya menerima ganjaran untuk pencapaian SPM yang baik. Bagi setiap A1, saya menerima RM100. Ini bermakna saya mendapat lebih kurang RM800.

Saya terfikir saya patut membuat sesuatu yang produktif dengan wang ini. Jadi, daripada membeli barangan, saya menggunakan ganjaran ini untuk membeli setem supaya dapat mengirim surat-surat kepada universiti-universiti. Yang bakinya, saya gunakan untuk menduduki peperiksaan SAT dan TOEFL.

Saya mendapat keputusan yang cemerlang bagi SAT — 800 poin untuk Matematik dan 640 poin untuk bahasa Inggeris. Saya mendapat tawaran awal daripada Universiti Princeton dan Universiti Georgetown, dengan biasiswa kecil sebanyak 25%.

Peluang ke luar negeri

Tidak lama kemudian, saya menerima biasiswa penuh daripada Universiti Bridgeport, yang meliputi yuran tuisyen, makanan dan penginapan. Saya menerima surat tawaran itu pada 22 Disember. Penggal pengajian bermula pada 4 Januari. Saya pun berhenti pengajian Tingkatan 6 dan meminta bantuan beberapa ribu Ringgit daripada bapa saya untuk ke Amerika Syarikat.

Biasiswa itu adalah daripada universiti berkenaan. Universiti Bridgeport menganugerahkan 10 biasiswa kepada setiap negara, kesemuanya 160 negara. Jadi, universiti itu adalah seperti perkampungan kecil Bangsa-bangsa Bersatu.

Negara China memberi biasiswa itu kepada 10 pelajar terbaik dari universiti-universiti teratas di China, termasuk Universiti Peking. Jadi, mereka adalah pelajar-pelajar yang tersangat pintar. Tetapi kalangan negara Afrika agak berbeza — ada yang korup dan memberi biasiswa itu kepada anak-anak pegawai-pegawai kerajaan.

Saya berkenalan dengan anak kepada Menteri Kewangan Sudan. Enam bulan kemudian, dia memberitahu bahawa bapanya terkorban dalam suatu rampasan kuasa. Rakan-rakan sekelas saya yang lain adalah Sharon dan Fatima Mugabe, adik-beradik Mugabe dari Zimbabwe. Pada masa itu, Robert Mugabe masih seorang pejuang kebebasan.

Benih kepimpinan tersemai

Dari muda lagi, saya dan kawan-kawan karib saya sentiasa mahu membuat perkara yang gila. Entah bagaimana tetapi setiap kali kami sempat melarikan diri.

Misalnya, kami tidak ada padang untuk bermain bola sepak, jadi kami mencari-cari dan terjumpa sebuah kawasan lapang. Kami membersihkan semak-samun dari kawasan itu dan menyuruh rakan-rakan yang lain untuk mencuri rumput dari rumah mereka. Tidak ada cangkul? Kami meminjam kepada mereka. Kami membuat itu semua supaya kami ada rumput di padang untuk bermain bola sepak.

Apabila saya merenung kembali, saya sedar bahawa pengajaran kepimpinan terselit dalam setiap satu pengalaman itu. Saya terpaksa mempengaruhi 20 budak lelaki untuk mendapatkan rumput dari rumah sendiri. Dengan berbuat demikian, saya sememangnya membentuk kumpulan pengikut. Sebahagian daripada tatacara menjadi pemimpin ialah mewujudkan golongan pengikut. Anda mesti berkongsi visi dengan mereka, misalnya ‘apabila kita ada padang, kita boleh bermain bola sepak pada bila-bila masa yang kita suka’.

Saya tidak tahu apa yang saya tengah buat pada masa itu — saya cuma seorang budak yang cuba meyakinkan kawan-kawannya  untuk mencapai sesuatu kerana saya cuma mahukan sebuah padang bola sepak. Tetapi bermula dari situ, saya sedar kita perlu belajar seni bercerita, kita perlu mengatur perkara-perkara dalam perspektif tertentu, kita perlu menceritakan kisah masa depan untuk menjadi seorang pemimpin.

Kerana apabila mereka dapat melihat masa depan, mereka akan lebih rela untuk menyumbang tenaga.

Lahirnya Leaderonomics

Inilah yang dipanggil penvisualan. Inilah sebahagian daripada sains membina pemimpin, amalan Leaderonomics.

Leaderonomics bermula apabila saya tengah membantu mendidik kanak-kanak dari keluarga kurang mampu melalui kem-kem kepimpinan. Agak menarik sekali kerana yang diimpakkan bukan sahaja kanak-kanak itu sebagai individu tetapi juga komuniti-komuniti mereka.

Jadi saya terfikir — kenapa kami tidak menjadikan ini sesuatu yang lebih besar? Jika kita boleh membimbing seorang demi seorang, dan ini memberi impak kepada komuniti mereka, lama-kelamaan kita akan berjaya melahirkan komuniti-komuniti penyayang yang hebat di seluruh negara. Beginilah terlahirnya Leaderonomics. Cuma dengan inisiatif membantu seorang demi seorang menjadi pemimpin yang seharusnya.”

 

Tahun ini (2018), Leaderonomics menyambut ulang tahun ke-10. Sejak ditubuhkan pada 2008, organisasi sosial ini tetap bertekad kuat dalam usahanya mencapai transformasi bangsa melalui pembangunan kepimpinan seorang demi seorang.

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Bekerja

Bahagian yang Mana Anda Mainkan?

Oleh Michelle Gibbings. Kadangkala apabila menyertai organisasi, akan ada 'peraturan tidak bertulis' yang menyambut kedatangan anda, dan ini adalah sebahagian daripada budaya organisasi yang lebih besar. Temui lebih lanjut tentang sama ada budaya itu menghalang semua orang, dan cara mengubahnya.

Jul 03, 2023 5 Minit

Komunikasi

COVID-19 Merubah Komunikasi bersama Roshan Thiran

Di episod 4, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimanakah krisis Covid-19 merubah norma terbaru kita? Adakah ia merubah cara kita berkomunikasi selamanya? Disini, Roshan berkongsi perspektifnya tentang krisis Covid-19 dan juga berkongsi tips-tips untuk mendapatkan interaksi atas talian yang efektif.

Mar 16, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Manfaatkan Bakat Anda

Setiap orang mempunyai bakat istimewa yang tersendiri. Baik kita pandang ke dalam, cungkilkan dan manfaatkan bakat kita itu.

Aug 16, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest