Jiwai Keberanian Zaman Kecil

Jul 27, 2018 5 Minit
keberanian, zaman kecil

Selama bertahun-tahun, saya telah bertemu ramai orang yang mempunyai idea-idea hebat tentang bagaimana mereka ingin membantu orang lain dan berbakti kepada masyarakat menerusi aktiviti-aktiviti keusahawanan.

Saya telah banyak mendengar beberapa garis kasar dan rancangan yang mengagumkan, di mana seseorang telah menemukan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah atau memberikan perkhidmatan unik yang membantu orang lain dengan penuh berdaya cipta.

Bagi kebanyakan orang, walaupun mereka mempunyai idea yang hebat di minda, sering kali mereka terhimpit dengan perasaan takut — takut untuk mengambil langkah untuk merealisasikan idea tersebut.

Ketakutan itu memang difahami; rasanya kita semua pernah mengalaminya. 

Kemungkinan dan hasil idea yang tidak berkesudahan adalah menarik kerana jika sesuatu  itu kekal sebagai idea sahaja, kemungkinan untuk gagal tiada.

Cumanya, apabila sesuatu idea itu diketengahkan dan mula membentuk dalam dunia nyata, barulah bermula episod halangan dan kegagalan.

Kita terlalu banyak berfikirkah?

Salah satu keraguan yang biasa saya dengari adalah, “Saya tidak tahu segala-galanya tentang idea saya — saya perlukan lebih masa untuk berfikir dan membaca tentangnya. Apabila saya mempunyai pengetahuan yang mencukupi, barulah saya boleh mula mengusahakannya.”

Secara peribadi, saya rasa ini adalah pendekatan yang munasabah. Untuk memulakan apa-apa sahaja perkara yang berfaedah, anda perlukan pengetahuan yang mencukupi untuk  membina produk atau perkhidmatan yang ada di benak anda.

Malangnya, ramai orang mengambil masa yang lama untuk berfikir, dan lebih lama masa yang diambil, kemungkinan mereka memulakan usaha itu makin berkurangan.

Apa maksud mengambil masa terlalu lama untuk berfikir?

Ia adalah perbezaan di antara mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk memulakan idea anda, dan menunggu segala perincian, nuansa, hasil kemungkinan, pro dan kontra, dan kepastian yang konkrit untuk terbentuk di minda sebelum bermula.

Belajar dengan melakukan

Dalam perniagaan, seorang usahawan itu belajar ketika melakukan sesuatu perkara.

Fikirkan waktu anda mula belajar menunggang basikal.

Ibu bapa anda (atau sesiapa sahaja yang mengajar anda) tidak mengajar anda dengan bercerita tentang ilmu mekanik menunggang basikal dan segalanya yang mungkin berlaku apabila anda mula mengayuh.

Sebaliknya, mereka meletakkan anda di atas basikal dan mengajar anda semasa anda berlatih.

Anda mendapat pengetahuan yang mencukupi (asas-asasnya) tentang menunggang basikal supaya dapat menjaga keseimbangan, membuat pusingan, membrek dan (akhirnya) turun dari basikal dengan selamat.

Tidak mungkinlah anda diajar segala-galanya — mendaki dan menurun bukit yang curam dan selekoh tajam serta rupa bumi yang berbeza, berlumba dengan kawan-kawan, atau menunggang basikal tanpa memegang palang gagang.

Semua itu anda pelajari secara praktikal – dan semestinya disulami dengan luka-luka dan benjol yang memberi anda pengajaran bermakna.

Menjiwai sifat-sifat keanak-anakan dalam diri 

Sewaktu kita kecil, kita tidak takut untuk mencuba pengalaman baharu dan membina kemahiran baharu.

Walaupun wujud serba sedikit ketakutan, kanak-kanak selalunya berani untuk mencuba, dan jika mereka gagal sekali, dua kali mahupun lima kali, mereka akan terus mencuba sehingga berjaya mencapai matlamat.

Sebagai orang dewasa pula, kita harus mencari jalan untuk menjiwai keberanian waktu kecil kita. Salah satu rukun keberanian itu adalah tidak mempedulikan bagaimana pandangan orang lain terhadap kita apabila kita gagal.

Apabila kita mencuba perkara yang sukar, kita pasti akan tersandung lalu jatuh — tetapi lebih baik jika tersandung dan jatuh 10 kali daripada menjadi orang yang terlalu takut untuk mencuba perkara baharu.

Orang yang bertindak dan tersungkur akan mengumpul pengajaran yang berharga yang akhirnya akan membawa kepada kejayaan. 

Biasalah, anda tidak akan tahu segala-galanya tentang matlamat anda pada permulaannya.

Perkara yang paling penting adalah meningkatkan pembelajaran dengan tindakan — keluarlah dan cubalah beberapa perkara untuk memulakan usaha demi merealisasikan idea anda.

Perkembangan seperti ini digelar pengajaran pengalaman dan ia hadir dengan beberapa kebaikan jika dibandingkan dengan hanya membaca buku atau berbual dengan orang lain dalam bidang anda.

Kedua-dua pendekatan ini memanglah berharga; tetapi janganlah kita terperangkap dengan mengharapkan semata-mata kepada teori dan anekdot kerana ia tidak akan membawa anda ke mana-mana. Untuk berkembang, anda perlu bertindak.

Masih menunggu?

Ketakutan dapat digunakan sebagai pendorong kuat dalam dos yang sihat, tetapi jika kita membiarkan diri kita menjadi terlampau takut, ia boleh membawa kepada kelumpuhan analisis, bermakna kita terlebih berfikir sampaikan kita tidak berdaya mengambil tindakan.

Ketakutan terbesar dalam konteks ini adalah takut untuk gagal: bimbang tentang rupa kita, risau jika kita tidak berjaya pada kali pertama ataupun bila-bila, bimbang kita tidak akan merealisasikan impian kita.  

Berkaitan: Kegagalan Mendewasakan

Ketakutan ini dikuatkan lagi dengan pemikiran kita, yang memberitahu kita mustahil untuk gagal jika kita tidak pernah mencuba. Jadi, kita menunggu lebih lama lagi dari sepatutnya.

Kita menunggu untuk masa yang tepat. Kita menanti hingga kita bersedia, hingga kecurigaan reda.

Kita menunggu hingga kita mempunyai wang yang mencukupi serta mendapat kebenaran. Kita menanti kerana kita ingin melihat jika semua orang lain membuat perkara yang sama.

Dalam kita menanti, masa berlalu pergi. Lebih lama kita menanti, kurang peluang untuk kita gagal… begitulah kepercayaan kita.

‘Belajar dengan melakukan’ adalah pepatah yang hebat kerana ia benar. Kita membesar, berkembang, dan terjumpa idea hebat hanya dengan ‘melakukan‘.

Lebih banyak yang kita lakukan, maka kita akan mendapat lebih banyak daripada kehidupan, dalam bentuk peluang, inovasi, kejayaan cemerlang, atau pengajaran berharga yang terhasil daripada kegagalan sementara.

Berapa banyak kita telah rugi kerana kita menunggu masa yang tepat atau untuk planet berada sejajar semata-mata untuk memudahkan kita?

Tiada masa yang tepat. Kita yang menentukan nasib kita sendiri.

Jika anda mempunyai sesuatu di dalam minda yang anda ingin lakukan atau kerjakan, berhenti menunggu dan mulakan usaha.

Jangan terbelenggu dengan ketakutan dan ambil satu atau dua langkah sekarang, hari ini, untuk memulakan segalanya.

Jangan jadi seperti orang yang, lima tahun dari sekarang, berkata: “Saya sepatutnya.”

Tiada kekesalan yang lebih mendalam daripada tidak melakukan sesuatu apabila anda mempunyai peluang… dan peluang itu sentiasa ada, sekarang. Rebutlah peluang itu dengan kedua-dua belah tangan.

Akhir kata

Kita boleh memilih untuk memegang kepada kepercayaan palsu bahawa jika kita tidak mencuba, kita tidak gagal; atau kita boleh mencari keberanian untuk menjiwai set minda waktu kita kecil dahulu semasa belajar menunggang basikal.

Ingatkah anda pada rasa kemenangan setelah anda berjaya menunggang basikal tanpa pertolongan sesiapa?

Perasaan itu timbul kerana ketakutan kita dapat diatasi.

Ketakutan hilang dengan ketekunan dan keazaman, ditambah dengan minda yang berkata: “Mustahil untuk gagal jika anda tidak putus asa.”

Bayangkan apa yang anda boleh capai jika anda menawan semula set minda itu?

Teruskan. Berhadapan dengan ketakutan anda. Jadilah Seorang Pemimpin!

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik We Can Achieve A Lot By Embracing The Bold Spirit We Had As Children.

 

 

Sila Kongsi

Alt

Roshan adalah pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif dari Leaderonomics Group. Beliau percaya bahawa semua orang boleh memimpin dan boleh “memberi kesan/membuat lekukan di alam semesta” dengan cara mereka masing-masing. Beliau sering muncul di televisyen, radio and beberapa penerbitan untuk berkongsi Ilmu Membina Pemimpin dan pembangunan kepimpinan. Ikut beliau di https://www.linkedin.com/in/roshanthiran/ atau di https://www.roshanthiran.com/

Cadangan Buat Kamu

Pekerja

5 Sebab untuk Memberi Ganjaran kepada Pekerja dan Memastikan Mereka Bahagia

Oleh Srdjan Gombar. Pekerja yang gembira bekerja lebih keras, kekal bekerja lebih lama dan meningkatkan reputasi mereka.

Apr 10, 2023 4 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Fokus Pada Perubahan Kecil

Dalam Tip Kepimpinan ini, Roshan Thiran mengesyorkan supaya kita menumpukan usaha untuk membawa perubahan kecil pada diri. Lama-kelamaan perubahan menyeluruh akan tercapai. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit.

Jul 19, 2017 2 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest