Anak Kecil Konsisten, Tidak Mudah Putus Asa Malah Sudah Bijak Menyesuaikan Diri Dengan Keadaan.
Selama hampir sebulan, anak lelaki saya yang berusia enam tahun mencuba untuk menyergah saya dari belakang. Dia berbuat demikian pada setiap pagi semasa saya tengah tekun bekerja di pejabat rumah kami.
Setiap hari juga dia gagal kerana saya pasti akan terdengar derap tapak kakinya berjalan masuk. Kegagalannya juga berpunca daripada ketepatan masa yang dipilih, iaitu setiap pagi, selepas dia mandi. Jadi, sudah tentu saya akan bersiap sedia!
Ini membuatkan saya teringat tulisan Tony Buzan dalam bukunya bertajuk “Brain Child”. Katanya, andai kita boleh meniru ketekunan anak-anak kecil yang boleh mengulang-ulang perbuatan sehingga tercapai matlamat, tentu sahaja banyak matlamat boleh dicapai orang dewasa dalam masa yang lebih singkat.
Jadi, mengapa agaknya orang dewasa yang mempunyai lebih keupayaan berbanding kanak-kanak tidak boleh meniru tingkah laku ketekunan ini?
Rintangan yang mengekang keupayaan
Berikut adalah beberapa rintangan yang, pada pendapat saya, mengekang keupayaan orang dewasa.
Buat dengan sempurna atau langsung tidak mencuba
Sejak dari kecil, jika kita dibesarkan dalam suasana persekitaran konvensional Asia, kita pasti disogok dengan kepercayaan bahawa kejayaan itu sama ertinya dengan kesempurnaan. Keputusan peperiksaan yang berderet dengan A sudah tentu lebih baik berbanding keputusan peperiksaan bercampur-campur A dan E, misalnya.
Penerimaan ini membentuk pemikiran kita sehingga dewasa untuk hanya melakukan sesuatu dengan sempurna, atau langsung tidak mencuba. Ketakutan untuk menerima kegagalan sekiranya sesuatu kerja itu tidak sempurna menyekat kita untuk keluar dari keselesaan yang kita fikir sudah sempurna.
Ini agak ganjil jika kita fikirkan sebagai seorang dewasa, sudah tentu hidup secara umumnya tidak pernah akan sempurna. Kesilapan dan kegagalan pasti akan menunggu dan tugas kita bukanlah untuk melalui kehidupan tanpa cacat cela. Jadi, mengapa pula kita menunda untuk mencuba perkara baharu di dalam hidup atau kerjaya?
Jika kita diajak melakukan sesuatu berulang-ulang kali setiap hari tanpa tahu hala tuju dan matlamat kerja tersebut, tentu sekali kita terasa bebannya, bukan? Tetapi itulah yang dilalui oleh kebanyakan orang dewasa hari ini. Kita keluar menemui dunia sesudah tamat belajar dengan pelbagai idea dan impian yang indah dan hebat.
Tetapi sudah tentu tidak semua yang kita bayangkan itu boleh berlaku dan dicapai. Mungkin sekali dua kita gagal, kita masih boleh membentuk semula matlamat. Namun jika kegagalan demi kegagalan menghentam diri, tidak mustahil kita hilang arah tujuan dan akhirnya tidak tahu lagi apa yang mahu kita capai. Cuba lihat 10-20 tahun ke belakang, adakah anda boleh menyenaraikan matlamat yang telah berjaya anda capai ?
Jika tiada jalan pantas, lebih baik berhenti
Apabila orang menyebut pengalaman boleh mendewasakan, pernahkah anda terfikir yang lebih ramai orang dewasa tidak belajar daripada pengalaman?
Saban hari kita mendengar kes-kes penipuan yang berpunca daripada keinginan orang dewasa mahukan sesuatu hasil dalam jangka masa cepat dan pantas. Kita juga pernah mendengar cerita orang dewasa yang ditipu berkali-kali kerana kesungguhan mereka mahu mendapat hasil melalui jalan pantas dan pintas. Jika tiada jalan pantas, mereka lebih sanggup berhenti dan tidak berbuat apa-apa.
Tip menangani pemikiran serong
Untuk menangani pemikiran serong tersebut, saya ingin mengesyorkan dua tip yang mungkin boleh dijadikan pedoman semua.
Kejayaan adalah pencapaian harian, sedikit demi sedikit
Sikap dan pemikiran yang takut untuk mencuba, takut gagal, tiada matlamat dan mahukan jalan pintas kepada kejayaan, banyak mendorong orang dewasa mensia-siakan usia dan bakat mereka.
Kejayaan tidak boleh didefinisikan mengikut satu acuan umum tetapi perlu dilihat dari keupayaan melakukan sesuatu yang kecil secara konsisten dan bersungguh-sungguh setiap hari.
Sebab itulah walaupun sudah banyak ilmu, rahsia dan strategi sedia dikongsi sama ada melalui buku, seminar dan laman media sosial, tetapi ada yang berjaya dilaksanakan dan mendapat hasil dan ada pula yang sekadar menjadi bahan bicara sahaja.
Kajian sains tingkah laku ada menyebut bahawa untuk mengubah sesuatu tingkah laku kepada tingkah laku baharu yang lebih baik mengambil masa selama 66 hari sehingga lapan bulan. Ini adalah jangka masa yang lama, dan hanya mereka yang sanggup melakukannya secara konsisten sahaja akan mendapat hasil. Dan hanya yang menghargai usaha kecil setiap hari tanpa jemu sahaja akan merasa manisnya kejayaan yang diperolehi nanti.
Ikut perubahan masa, biar lambat asal selamat
Semakin usia kita bertambah, semakin banyak perubahan akan berlaku di sekeliling kita. Kesedaran tentang perubahan demi perubahan ini seharusnya seiring dengan keupayaan kita untuk menyelaras dan menyesuaikan diri dengan keadaan.
Saya masih ingat gelagat seorang profesor universiti saya yang berusia 70 tahun. Dia jauh lebih cekap menggunakan internet berbanding rakan-rakan sebaya saya yang berganda lebih muda usia. Ini memberi inspirasi kepada saya untuk bersedia dengan perubahan teknologi, cara berfikir dan tingkah laku manusia dalam persekitaran saya.
Keupayaan untuk melihat kejayaan dalam kehidupan sebagai perlumbaan jarak jauh boleh mengubah cara kita melakukan sesuatu. Dalam perlumbaan jarak jauh, kepantasan bukan penentu kemenangan, sebaliknya kekuatan untuk bertahan pada kelajuan sederhana adalah lebih penting. Bayangkan jika kita dapat bertahan melakukan usaha kecil-kecilan sehingga berjaya, berbanding orang lain yang melakukan perkara yang sama setengah jalan.
Baru-baru ini, anak lelaki saya akhirnya berjaya menyergah saya dari belakang dan menyebabkan saya terkejut malah terjerit (dan marah!). Bijak sungguh dia mengubah strategi kepada sebelah petang pula, waktu yang tidak saya sangka. Sedang saya leka menaip di komputer, dan saya menyangka dia sedang menonton televisyen, rupa-rupanya dia sudah merancang untuk mengambil kesempatan.
Anak ini bukan sahaja konsisten, tidak mudah putus asa malah sudah bijak menyesuaikan diri dengan keadaan. Apa sahaja asalkan dia berjaya.
Benarlah kata Tony Buzan. Anak kecil tidak seperti orang dewasa. Anak kecil sukar sekali untuk berganjak apabila dia sudah tetapkan matlamat. Ini adalah sesuatu yang orang dewasa harus perhatikan, belajar dan segera aplikasikannya.
Puteri Yusof menggelarkan diri sebagai “blogpreneur” apabila percubaan membina perniagaan dari rumah melalui medium blog sejak tahun 2011 membuahkan hasil. Puteri sering membayangkan dirinya ada 25 jam sehari dan sentiasa mencari peluang mencuba perkara yang baharu setiap hari. Untuk menghubunginya, sila hantar e-mel ke editor@leaderonomics.comArtikel ini adalah pendapat penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan pihak Leaderonomics.
Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.
Kita tidak boleh lari dari kesilapan. Biarpun naluri kita akan lazimnya mempertahankan diri tetapi sekiranya kita bersalah, akuilah kesilapan itu. Tontoni video TOP 10 untuk belajar cara-cara mengakui kesilapan di tempat kerja.