Mulakan Sekarang! Masa Tidak Menunggu Sesiapa

Apr 02, 2018 6 Minit
Alt

Pada tahun 1908, Henry Ford mula membina kereta model T. Pada tahun 1920-an, radio menjadi satu media komunikasi. Tiga puluh tahun kemudian, televisyen diperkenalkan. Teknologi laser direka cipta pada tahun 1960. Pada penghujung 1970-an pemain kaset mudah alih membolehkan orang ramai menikmati muzik pada bila-bila masa dan di mana-mana jua.

Memasuki era 1990-an, keluarga-keluarga di seluruh dunia menjadi biasa dengan bunyi dailan Internet, di mana orang ramai dapat berkongsi dan memuat turun maklumat di ruang siber.

Pada tahun 1992, telefon pintar yang pertama di dunia direka cipta oleh IBM. Kini, hampir semua orang berjalan ke sana sini dengan alat peranti di dalam poket yang lebih berkuasa daripada komputer Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan yang menghantar Neil Armstrong dan kru Apollo 11 ke bulan dan kembali pada 1969.

Masa yang memisahkan antara penciptaan roda dan kereta Ford model T adalah lebih dari 5,000 tahun, manakala ia hanya mengambil masa 21 tahun di antara penciptaan komputer peribadi pertama (Kenbak-1 yang direka cipta pada 1971) dengan telefon pintar.

Kemajuan teknologi adalah sangat pantas hingga para pengulas mengatakan yang telefon pintar yang anda beli enam bulan lalu sudah lapuk. Perubahan berlaku dalam kadar yang sangat membimbangkan dan ia tidak menunjukkan tanda-tanda akan menjadi perlahan.

Adakah ini antara kisah syarikat permulaan teknologi yang memporak-perandakan?

Tidak, ini bukan kisah tentang teknologi.

Artikel ini ditulis untuk mereka yang menghantar mesej kepada saya baru-baru ini dengan pertanyaan, “Bilakah masa yang terbaik untuk memulakan [masukkan idea di sini]?” Hanya ada satu jawapan untuk soalan sebegini.

Sekarang!

Ada yang menjawab, “Tetapi Roshan, saya mempunyai pinjaman pelajaran yang harus saya selesaikan, kerja yang harus dibuat, komitmen keluarga; Saya tidak mempunyai masa yang cukup, wang, pengalaman, kontak.”

Poin-poin ini adalah sah. Sesiapa sahaja yang pernah menjayakan idea mereka mesti telah melalui pengalaman sedemikian dan mungkin lebih lagi daripada itu.

Bukan semua orang yang berjaya bermula dengan hidup yang senang dan mempunyai sumber yang amat banyak. Sebenarnya, ramai daripada mereka yang berjaya bermula dalam keadaan yang cukup susah berbanding apa yang pernah kita lalui.

Saat yang tepat tidak wujud

Apabila saya menerima mesej daripada mereka yang bertanyakan tentang masa yang terbaik untuk memulakan idea bisnes yang bermain di minda (termasuk seratus alasan mengapa mereka patut menanti waktu terbaik),pandangan ini terlintas dalam minda saya,  “Masa tidak pedulikan keadaan anda.”

Ya, ia memang sedikit kasar, tetapi kita harus menerimanya walaupun pahit untuk ditelan. Kenyataannya: masa akan tetap berjalan, tidak kira apa yang kita pilih untuk lakukan. Perubahan berlaku dengan pantas buat masa ini dan momentum ini tidak akan berubah.

Pada masa kini, menanti terlalu lama hanya bermakna yang idea anda akan menjadi tidak relevan, atau orang lain akan melakukannya sebelum anda.

Itu adalah antara kesilapan terbesar yang ramai orang lakukan. Mereka menunggu untuk masa yang tepat. Mereka menanti hingga mereka bersedia, hingga keraguan reda, hingga mereka mempunyai cukup wang atau mendapat persetujuan. Mereka menunggu untuk melihat jika semua orang melakukan perkara yang sama.

Berapa banyak yang kita rugi kerana kita menunggu masa yang tepat? Tiada istilah masa yang tepat. Kita yang menentukan nasib kita, dan ini dipupuk dengan mengambil risiko yang terhitung (atau kadang-kadang terjah sahaja) dan melakukan apa sahaja untuk merealisasikan idea itu.

Belajar dengan melakukan

Kita belajar paling banyak menerusi tindakan yang kita ambil. Tiada yang lebih berkesan daripada keluar dan membuat sesuatu serta menerokai kawasan asing. ‘Belajar dengan melakukan’ adalah konsep yang hebat. Kita membesar, membangun, dan terjumpa idea hebat dengan ‘melakukan’. Lebih banyak kita lakukan, lebih banyak yang kita dapat, tidak kira dalam bentuk  peluang, inovasi, kejayaan cemerlang, atau pengajaran yang bernilai yang dipelajari daripada kegagalan sementara.

Berkaitan: Adakah Anda Seorang Pemimpin Yang Berani?

Kisah Leaderonomics

Saat Leaderonomics ditubuhkan, saya bukanlah pakar dalam mengurus dan membina perusahaan sosial. Lebih 10 tahun lalu, saya dan beberapa orang rakan sekerja mempunyai visi untuk membentuk pemimpin di Malaysia dan membantu mentransformasikan negara.

Setiap daripada kami membawa bersama kemahiran dan kepakaran yang pelbagai ke dalam perusahaan ini, tetapi kami tetap tidak mempunyai idea bagaimana hasilnya kelak. Kami juga meragui jika usaha kami akan membuahkan kejayaan ataupun tidak.

Tetapi kami mempunyai visi. Kami mempunyai minat untuk membuat sesuatu yang kami percaya, jadi kami mengambil keputusan untuk memberi segala yang kami ada sambil belajar.

Jika anda mempunyai sesuatu dalam minda yang anda ingin lakukan, jangan bertangguh lagi. Berhenti daripada dijadikan sebagai tebusan dan ambil satu atau dua langkah sekarang, hari ini!

Jangan menjadi orang yang berkata lima tahun dari sekarang, ”Saya sepatutnya membuat sesuatu pada  2018”. Jangan biarkan alasan-alasan menghalang anda daripada memberi khidmat murni kepada dunia.”

Berhenti memberi alasan

Saya dihubungi oleh seseorang yang ingin memulakan perniagaan fotografi tetapi tidak mempunyai modal.

“Anda ada telefon pintar?” saya bertanya kepadanya.

“Ya”  jawabnya.

“Anda mempunyai akses kepada Internet?” Jawapannya juga ya.

“Jadi, mengapa anda perlu lebih wang untuk membina jenama anda?”

“Saya tak dapat membuka studio dengan wang yang saya ada – tak mungkin.”

OK, membuka studio agak mustahil buat ketika ini. Tetapi membuka akaun media sosial dan memulakan blog foto tidak memerlukan wang. Anda tidak perlukan modal untuk membina laman web yang asas. Mencipta kandungan untuk YouTube juga percuma. Terdapat banyak aplikasi percuma untuk mengurus, mencipta dan mengedit kerja anda.

Memberi nilai kepada orang lain menerusi kerja yang anda kongsikan tidak memerlukan wang – tetapi ia akan memberi pulangan yang berlipat-ganda jika hasil kerjanya memuaskan, dan dinikmati orang ramai.

Tiada alasan yang tidak boleh disingkirkan, kerana ada orang di luar sana yang terdaya membuat perkara menakjubkan walaupun berhadapan halangan yang sama yang kita semua hadapi. 

Kejayaan adalah hasil kerja keras

Apa yang saya sedari adalah kita tidak semestinya menunggu peluang untuk bertindak. Entah kenapa tetapi ramai orang seakan-akan menanti hasil untuk muncul secara ajaib di hadapan mereka.

Bagi mereka, usaha mencapai sesuatu semuanya melibatkan terlampau banyak kerja. Realiti yang menyedihkan adalah mereka tidak terlalu inginkan sesuatu itu hinggakan mereka bersedia bekerja keras untuk mendapatkannya; mereka hanya inginkan hasil yang telah siap.

Jika saya berkata seperti ini, “Baiklah, mulakan kerja awak, luangkan masa yang diperlukan, buat hubungan, urus masa dengan berkesan, wujudkan nilai untuk orang lain, kemudian saya akan berikan RM10,000 untuk projek awak,” tiba-tiba mereka akan mendapat motivasi untuk bekerja. Ini kerana mereka tahu yang sesuatu akan menanti mereka pada akhir proses tersebut.

Tiada kepastian tentang apa yang bakal terjadi, walau apa jua idea anda. Bill Gates, Steve Jobs, Mark Zuckerberg, Warren Buffett… pada mulanya mereka ini juga tidak tahu-menahu ke mana usaha awal mereka akan membawa mereka. Apa yang mereka ada hanyalah idea, minat mendalam, etika kerja yang tidak masuk akal dan fokus luar biasa untuk membina sesuatu yang mereka percaya.

Tiada kejayaan yang pasti dari mulanya, walaupun ia mudah untuk dipercayai sekiranya diimbas kembali. Jika mereka tidak berusaha, kita tidak akan mempunyai Facebook atau iPhone hari ini.

Adakah anda mewujudkan nilai untuk orang lain?

Dunia kini adalah tentang mencipta nilai untuk orang lain. Apa yang anda beri menentukan apa yang anda bakal terima sebagai balasan. Jika anda bermula daripada “Bagaimana saya ingin mengajak orang untuk membeli …,” anda telah gagal. Dalam hampir kesemua pasaran, orang ramai mempunyai terlampau banyak pilihan sehingga mereka mempunyai kuasa untuk bertanya, “Apa manfaat yang bakal saya dapat?”

Inilah sebab mengapa syarikat seperti Coca-Cola membelanjakan kira-kira AS$3 bilion untuk pengiklanan di seluruh dunia setiap tahun. Mengapa jenama yang paling dikenali di dunia masih ingin melibatkan diri dengan penggunanya? Ini kerana penggunanya mempunyai kebebasan untuk beralih arah jika mereka rasa mereka tidak mendapat nilai daripada jenama tersebut.

Berbalik kepada poin saya tadi, jika anda ingin memulakan perniagaan fotografi, perkara pertama yang harus anda fikirkan bukanlah, “Bagaimana cara saya boleh membeli studio?”

Ia sepatutnya begini, “Bagaimana saya boleh mencipta isi yang menambat perhatian dan kongsikannya secara efektif di media sosial setiap hari dengan cara yang akan membuatkan kehadirannya dirasai, berhubung dengan orang ramai dan membuatkan mereka kembali semula?” Itu rancangan yang boleh diusahakan ketika ini.

Ambil langkah pertama

Untuk mendahului mana-mana perlumbaan, kita haruslah mengambil langkah pertama. Usain Bolt juga tidak mungkin memenangi perlumbaan 100m dengan bermula di garisan penamat. Sebenarnya, dia pernah mengaku yang dia selalu bermula dengan perlahan tetapi mengakhiri perlumbaan dengan hebat – dia tahu bagaimana memaksimumkan momentum yang dicapai ketika perlumbaan itu.

Faham-faham sahajalah. Jika dia menunggu walaupun beberapa saat selepas pistol pelepas ditembak, dia mesti akan ketinggalan dan mengejar peserta yang lain akan menjadi sukar.

Apa sahaja yang anda ingin lakukan, anda harus membina momentumnya dahulu, dan ia datang dengan membuat kerja tersebut dan mewujudkan nilai bagi audiens anda, serta melibatkan diri dengan mereka secara konsisten dengan cara yang bermakna.

Lakukannya sekarang!

Melainkan anda bernasib baik hingga tidak masuk akal, persediaan asas hendaklah dimulakan sebelum mana-mana kejayaan dapat dicapai.

Jangan tunggu lagi. Tiada istilah ‘masa yang tepat’ – satu-satunya masa yang wujud adalah sekarang. Apa jua kejayaan yang dicapai akan ditentukan oleh kebolehan anda menggunakan setiap saat dari sekarang dengan berkesan. Jangan tinggalkan ruang untuk kekesalan.

Berhenti menunggu dan lakukannya sekarang! Jadilah seorang pemimpin!

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Start Now! Time And Tide Wait For No Man

 

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Anda Seorang Pemimpin

Alt

Roshan is the Founder and “Kuli” of the Leaderonomics Group of companies. He believes that everyone can be a leader and "make a dent in the universe," in their own special ways. He is featured on TV, radio and numerous publications sharing the Science of Building Leaders and on leadership development. Follow him at www.roshanthiran.com

Cadangan Buat Kamu

Cara

Cara Menjajarkan Apa yang Anda Katakan Dengan Perkara yang Anda Lakukan

Oleh Manfred F. R. Kets de Vries. Temui kuasa tidak sedarkan diri yang membentuk keputusan anda! Selami dinamika minda yang menarik dalam artikel ini.

Jan 23, 2024 4 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Pemimpin yang Berani

Tahukah anda, bagaimana menjadi pemimpin yang berani? Dalam Tip Kepimpinan kali ini, Roshan Thiran berkongsi tip yang menarik untuk menjadi pemimpin yang efektif dan berani.

Jun 24, 2024 7 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest