Pemimpin Sejati Tidak Semestinya Orang Yang Paling Cerdas Dan Berbakat

May 22, 2019 3 Minit
mancis

Jack Ma dari Alibaba, Jeff Bezos dari Amazon, dan Carlos Ghosn dari Nissan semuanya memiliki satu kesamaan: Mereka secara luas dianggap sebagai antara pemimpin terbaik di dunia pada ketika ini.

Tetapi apa yang benar-benar menjadi seseorang pemimpin sejati? Adakah kerana seseorang itu tahu cara mengurus — atau ia sesuatu yang sama sekali berbeza?

John Quincy Adams menghuraikannya seperti ini:

“Jika tindakan anda menginspirasi orang lain untuk bermimpi lebih banyak, belajar lebih banyak, berbuat lebih banyak, dan menjadi lebih banyak, anda adalah seorang pemimpin.”

Baik dalam arena politik, bisnes atau sosial, pemimpin sejati mempunyai visi yang jelas, dan tahu bagaimana untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada orang lain untuk membantu merealisasikan visi itu.

Mereka berbuat demikian melalui cara-cara berikut:

  • Mempromosikan nilai 
  • Menggalakkan kreativiti
  • Membina semangat
  • Menawarkan bimbingan
  • Merangsangkan inisiatif

Contoh yang baik adalah Mahatma Gandhi. Beliau dapat mengubah nasib India dengan menggunakan ciri kepimpinan sejati seperti tekad, kerendahan hati, kejujuran dan tanpa keganasan. Perlakuannya yang tulen dan kepercayaannya yang kuat menyebabkan jutaan orang mengikuti dan menyokong tujuannya.

Perarakan Garam, perjalanan tanpa keganasan yang mengubah dunia, yang dipimpin Gandhi. Sumber foto: Central Press/Getty Images

Apakah yang membentuk kepimpinan sejati?

Walaupun sukar untuk mengikut jejak pemimpin terhebat dunia, kita boleh mula meningkatkan kualiti kepimpinan kita dengan mengambil langkah-langkah berikut.

1. Layani kakitangan anda seperti anda harapkan mereka melayan pelanggan anda

Jika anda mengharapkan pasukan anda bersikap mesra dan sopan terhadap pelanggan, pastikan anda bersikap sedemikian dengan ahli pasukan anda.

Saya masih ingat seorang pengurus memberitahu saya: “Kakitangan harus selalu diperlakukan seperti pelanggan.” Amalkan sikap ini, dan pasukan anda (dan pasukan lain) akan termotivasi dan diilhami kepimpinan anda.

2. Berulang kali lakukan perkara yang kurang anda senangi

Untuk menjadi pemimpin sejati, anda perlu melangkah keluar dari zon selesa anda. Sekiranya anda tidak selesa menjalin rangkaian atau berpidato awam (contohnya), berusaha untuk mengukuhkan kemahiran anda dalam bidang-bidang ini. Daripada bekerja sambil belajar, apa kata jika anda mendapat bantuan pembimbing atau mentor?

Berkaitan: Cara Menjadi Pemimpin Yang Cekap

3. Ikuti trend industri terkini

Perubahan adalah norma baharu pada abad ke-21. Barang apa pun bidang atau industri anda, pasti adanya pindaan, pengemaskinian dan inovasi yang terus berlaku setiap hari. Sebagai pemimpin, anda perlu mengetahui perubahan-perubahan ini. Bagaimanapun, jangan jadi penagih berita pula, sebaliknya belajar untuk mencari trend utama.

4. Tingkatkan diri, kembangkan pasukan anda

Berhenti dan fikirkan pertumbuhan peribadi anda. Adakah ia memberi kesan positif kepada pasukan anda? Sudah tentu ada. Tetapi anda boleh melangkah lebih jauh lagi dengan memastikan supaya kakitangan anda mempunyai peluang latihan dan pembangunan yang berterusan.

Sebagai contohnya, bawalah pasukan anda ke persidangan industri supaya mereka boleh belajar dan diilhami beberapa individu yang terbaik dan paling berjaya. Ini adalah keadaan menang-sama-menang. Anda dan pasukan anda akan memperoleh pengetahuan dan kemahiran berharga. Dan anda juga akan membantu merangsangkan semangat berpasukan yang sihat.

5. Belajar untuk  menepati janji

Kredibiliti anda boleh terhancur akibat janji-janji yang dimungkari, contohnya memberi harapan kepada pasukan anda bahawa mereka akan menerima bonus kewangan, tetapi yang langsung tidak berlaku.

Untuk menjadi pemimpin yang berjaya, anda mesti sentiasa berusaha untuk menepati janji anda. Ya, ia memerlukan disiplin dan integriti untuk mencapai matlamat ini. Tetapi dalam jangka panjang, ia pasti bernilai.

6. Tetapkan matlamat yang mengilhamkan

Pemimpin yang cemerlang sentiasa mempunyai matlamat dan tujuan yang tengah diusahakan mereka. Ia mungkin berupa matlamat kewangan, jumlah pelanggan, bahkan sasaran kepuasan pelanggan.

Sudah tentu, matlamat boleh berupa jenis yang besar, kecil, berjangka pendek atau panjang. Tetapi anda mesti mempunyai matlamat jika anda ingin mencapai kejayaan.

Jika kakitangan anda tahu matlamat tertentu yang anda mahu capai – ini akan membantu dan memberi inspirasi kepada mereka untuk membantu anda dalam mencapai matlamat ini.

7. Dapatkan maklum balas yang jujur

Bukan mudah untuk mendengar maklum balas yang jujur tetapi selalunya ini akan menentukan antara kesederhanaan dan kecemerlangan seseorang.

Daripada menunggu maklum balas yang tidak diminta, terus tanyakan kakitangan dan pelanggan tentang pandangan mereka terhadap anda dan gaya kepimpinan anda.

Anda juga boleh bertanya sama ada mereka mempunyai cadangan untuk membina keberkesanan anda sebagai pemimpin. Ingat, pemimpin sejati tidak takut mendengar kritikan. Sebaliknya, mereka menganggap maklum balas ini sebagai peluang untuk belajar dan meningkat maju.

Berkaitan: Memberi Maklum Balas Yang Pedih Tetapi Benar

Akhir kata

Anda mungkin bukan seorang pemimpin secara semula jadi  tetapi dengan mengikuti saranan yang dikongsikan, anda akan dapat mengembangkan kualiti kepimpinan anda secara progresif.

 

Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Why A True Leader Doesn’t Need to Be the Smartest and Most Talented One.

 

 

 

Sila Kongsi

Kepimpinan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Interpersonal

Daya Tarikan yang Tidak Tertolak dalam Kemahiran Interpersonal

Oleh Rabi’ah Mutalip. Dalam dunia yang saling berkaitan hari ini, keupayaan untuk mengemudi interaksi sosial dengan kemahiran adalah aset yang tidak ternilai. Kemahiran interpersonal, sering digelar sebagai kemahiran orang atau kemahiran insaniah, adalah sos rahsia yang menyemarakkan kejayaan dalam kedua-dua bidang peribadi dan profesional.

Feb 28, 2024 2 Minit

Graduan wanita

Dilema Seorang Graduan Baru bersama Andrea Chew

Di episod 3, host Waheeda sekali lagi menemubual dengan Andrea Chew; Strategik Projek Partner di Leaderonomics, tentang topik hangat diantara 'fresh graduate' yang mula melangkah ke dunia pekerjaan. Bagaimanakah seseorang graduan baru boleh menyesuaikan diri di tempat kerja? Di sini, Andrea Chew akan berkongsi beberapa tip-tip kepada para siswa dan siswi untuk berkeyakinan lebih tinggi.

Mar 15, 2023 10 Min Podcast

Alt

Tip Kepimpinan: Manfaatkan Bakat Anda

Setiap orang mempunyai bakat istimewa yang tersendiri. Baik kita pandang ke dalam, cungkilkan dan manfaatkan bakat kita itu.

Aug 16, 2017 1 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest