Berlaku Jujur Dengan Diri Sendiri, Nasihat Faizal Tahir

May 18, 2018 1 Minit
Faizal Tahir

Tatkala menyaksikan dendangan secara langsung lagu Negaraku pada tahun 2017, saya masih teringat saat saya duduk tegak di kerusi mencari-cari gerangan penyanyi utamanya.

Saya bukan sahaja terpaku dengan suaranya yang merdu, malah bait-bait lagu yang dinyanyikan membangkitkan suatu rasa di jiwa.

Negaraku
Negaraku
Kuberi sepenuhnya
Kuberi sepenuhnya
Ini negaraku
Oh darahku
Hiduplah sepenuhnya
Dirgahayu semua

Lelaki yang saya perhatikan di pentas itu ialah penyanyi rock terkenal, Faizal Tahir. Turut sama mengiringinya di pentas pada hari itu ialah rakan-rakan seperjuangan, Joe Flizzow, Altimet dan SonaOne, yang sama-sama  terpapar dalam album single yang dikeluarkan pada tahun 2016.

Penyanyi, penulis lagu dan komposer yang telah merangkul beberapa anugerah ini mula menempa nama apabila memperoleh tempat kedua dalam rancangan televisyen, One in a Million pada tahun 2006.

(Dengar garapannya melalui lagu The Real Thing karya asal Bo Bice, dan aneka lagu We Will Rock You”. Saya benar-benar terpukau dengan persembahannya. )

Semasa membesar, Faizal terpaksa membuat perkara yang tidak disukainya. Sampai suatu tahap, dia tidak lagi mampu bertahan. Jiwa memberontak dalam dirinya, mendorongnya untuk mengetepikan sesiapa sahaja yang menghalangnya daripada meneruskan impiannya dalam bidang muzik.

Hari ini, dia telah membawa namanya ke persada negara dan rantau Asia Tenggara.

Latar belakang

Faizal, yang nama penuhnya ialah Ahmad Faizal bin Mohd Tahir,  dilahirkan pada 26 Oktober 1978.

Dia menghabiskan masa kecilnya di United Kingdom. Faizal dan keluarga kembali ke tanah air sewaktu usianya lapan tahun. (Inilah sebab Faizal mempunyai pelat British dalam percakapannya sehingga kini.)

Membesar dalam persekitaran yang ketat dan mendapat didikan agama, Faizal mengakui dia tidak begitu terdedah dengan sukan atau muzik. 

Jadi, bagaimanakah dia boleh meminati muzik?

Penyanyi berusia 40 tahun ini tersenyum dan berkata, ”Saya tidak tahu. Saya hanya sukakan muzik. 

“Semasa kecil, saya merupakan seorang yang ada semangat meluap-luap dan bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu. Saya tidak suka sesiapa pun menghalang saya (daripada meneruskan hasrat)… Ini merupakan sisi suka memberontak dalam diri saya.”

Anda mungkin terkejut apabila mengetahui bahawa penyanyi ini tidak pernah mempunyai pendidikan formal dalam muzik atau mengikuti kelas vokal sebelum mengambil bahagian dalam rancangan tersebut. (Saya sendiri turut sama terkejut).

Sejak kemunculannya dalam One in a Million, Faizal telah mengeluarkan lima buah album bahkan melangkah dengan label sendiri iaitu Faithful Music (bersama-sama dengan Hanie Soraya, Elizabeth Tan dan Aziz Harun).

1. Impian mereka untuk anda berbanding impian anda sendiri 

Setelah tamat sekolah menengah, Faizal menyambung pengajian diploma dalam bidang komunikasi massa dan ijazah dalam pengiklanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Namun, sebulan sebelum tamat ijazah, Faizal tidak menghabiskan pengajiannya. Katanya, dia terbangun pada suatu hari dan sedar dia tidak dapat gagahkan diri untuk meneruskan pengajiannya.

“Saya mahu hasilkan muzik. Saya rasa saya perlu berlaku jujur ​​dengan diri sendiri, maka saya tak mampu terus menghadiri kelas walhal hati saya kosong (tiada motivasi dan semangat).”

“Saya mahu hasilkan muzik. Saya rasa saya perlu berlaku jujur ​​dengan diri sendiri, maka saya tak mampu terus menghadiri kelas walhal hati saya kosong (tiada motivasi dan semangat).”

Ibu bapanya tidak terlalu gembira dengan keputusan Faizal, namun mereka sudah penat dengan sifatnya yang suka memberontak dan membiarkannya merancang masa depannya sendiri.

Selepas itu, Faizal membuat beberapa kerja rencam. Dia mencuba nasib dengan mengajar, menjadi penjual dan pengulas sukan. Dia pernah juga menjadi juruwang di KFC dan bank.

Faizal tidak bertahan lama dalam setiap pekerjaan. Ujarnya, hatinya tidak terpaut dengan kerja yang dilakukan. Namun, hal ini tidak menghalangnya daripada mengejar hasrat yang diimpikan sejak dari kecil.

Apabila diberi peluang, dia membulatkan tekad dan menjalani saringan untuk melayakkan diri dalam One in a Million. Selebihnya, seperti yang anda ketahui, tinggal sejarah.

Faizal berkongsi, perjalanannya untuk sampai ke tahap seperti hari ini bukannya mudah.

“Anda perlu mempunyai keinginan yang kuat dalam melakukan sesuatu.

“Dalam segenap perkara dalam kehidupan, sama ada yang melibatkan kerjaya, keluarga, mahupun perhubungan, yang paling penting ialah keseimbangan. Kita tidak boleh terlalu berlebih-lebih atau ambil mudah akan sesuatu.

“Anda harus kenal pasti perkara yang anda mampu lakukan dan suka lakukannya serta boleh mencabar diri anda. Resepinya, anda perlukan kesemuanya, bukannya hanya salah satu.”

Berkaitan: Percaya Atau Ragu-ragu?

Pengajaran

Adakah anda perlu menitikberatkan minat atau rasa terjamin (pekerjaan yang baik, stabil) sewaktu memilih bidang di peringkat ijazah mahupun laluan kerjaya?

Ibu bapa Faizal tidak merestui pilihannya. Namun, Faizal sedar lakan angkah yang perlu diambil bagi mencapai impiannya lalu dia teruskan usaha untuk mengecapinya. Akan tetapi, hal ini menuntut kerja keras dan ketekunan.

Soalan yang perlu anda ajukan kepada diri sendiri adalah :

  • Apa yang saya mahukan?
  • Adakah saya berupaya mencapainya?
  • Adakah saya tahu cara untuk sampai ke sesuatu tahap?
  • Adakah saya mempunyai jalan untuk berbuat demikian?

Misalnya, anda mungkin mempunyai minat yang mendalam dalam seni halus, namun anda juga bagus dalam matematik dan fizik. Mungkin bidang kejuruteraan lebih terjamin dan anda boleh luangkan masa dalam seni halus melalui hobi?

Fikir sehabis sebelum membuat keputusan.

Berkaitan: Daripada Zero Menjadi Hero: Pengajaran Hidup Daripada Anak Laut

2. Jangan terlalu berkeras pada diri 

Faizal yang kita kenali hari ini tampak yakin, berkarisma dan menawan perhatian ramai semasa beraksi di pentas. Dia tahu cara untuk berhubung dengan penonton. Membuat persembahan di hadapan khalayak ramai sudah dianggap biasa.

Namun, penyanyi yang menggondol anugerah ini dahulunya bukanlah seperti ini. Malah, Faizal kurang yakin pada diri ketika zaman mudanya.

Ujarnya, ”Saya terpaksa menghadiri kaunseling pada satu ketika.”

Pengalaman membesar di luar negara sebagai satu-satunya murid berbangsa Asia di dalam kelas, serta perlu berhadapan dengan isu perkauman, hal ini lebih merencatkan keyakinannya, kata Faizal.

Pengalaman pahit yang dialaminya semasa kecil kini diterjemahkan dalam beberapa lagu seperti Assalamualaikum dan Negaraku, yang mengangkat isu perpaduan, keharmonian dan cintakan negara.

Melihat peranan penyanyi ini sebagai duta program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), saya bertanya kepada Faizal akan pendapatnya tentang graduan Malaysia.

SL1M adalah program latihan yang membantu para graduan yang menganggur dan yang tidak menyandar pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan masing-masing.  

Kata Faizal, yang menyedihkan, kebanyakan daripada graduan kita mempunyai sifat rendah diri.

Pendapatnya seiring dengan laporan berita semasa, yang menyatakan salah satu isu dalam kalangan siswazah Malaysia yang sedang mencari pekerjaan adalah sifat kurang yakin pada diri.

Bapa kepada enam orang cahaya mata ini menambah, menjadi tanggungjawab semua orang (ibu bapa, pendidik dan masyarakat) untuk membantu belia di Malaysia membangunkan imej diri mereka dengan baik.

Faizal Tahir, salah seorang duta program SL1M

Pengajaran

Keyakinan diri merupakan kepercayaan anda pada kebolehan diri. Hal ini boleh menjadi kunci untuk membantu anda mencapai kejayaan.

Yang bagusnya, keyakinan merupakan sesuatu yang boleh diasah!

Dalam sebuah temu bualAngie Morgan, iaitu pengarang Spark: How To Lead Yourself And Others To Greater Success, berkongsi petua untuk membina keyakinan, yang saya sendiri rasa amat berguna:

  • Ingat kembali kejayaan yang pernah anda kecapi (tidak kira betapa kecil nilainya di mata anda).
  • Buat penilaian diri secara positif (bercakap dengan diri sendiri), kerana pemikiran boleh mempengaruhi perasaan dan kelakuan anda.
  • Kelilingi diri anda dengan orang yang positif — orang yang boleh membangunkan diri anda.

Atasi ketakutan, rasa tidak selamat dan kebimbangan dengan mengenal pasti perasaan tersebut dan lakukan sesuatu

3. Setiap orang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan 

Semasa mengadakan konsert pada tahun 2008, dengan perasaan yang membara, Faizal menanggalkan jaket, tali pinggang dan baju-T Superman daripada tubuhnya, lalu membiarkan dadanya yang bertulis huruf merah ‘S’ terdedah.

Faizal menyatakan bahawa peristiwa itu merupakan pelajaran yang berharga buat dirinya sekalipun menyakitkan.Sejurus selepas itu, dia menerima respons yang dahsyat daripada rakyat Malaysia, terutamanya daripada masyarakat Islam.  

Faizal diharamkan daripada membuat penampilan dalam mana-mana program hiburan selama enam bulan, atas arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Selain itu, 8TV membekukan royalti hasil daripada jualan album dan konsertnya.

Menurut The Star, hati Faizal benar-benar remuk akibat insiden tersebut. Dalam diam, air matanya mengalir dan dia ada terfikir untuk menarik diri daripada arena muzik tempatan.

Faizal menyatakan bahawa peristiwa itu merupakan pelajaran yang berharga buat dirinya sekalipun menyakitkan.

“Pokok pangkalnya, yang penting kita perlu positif dan sedar bahawa ada perkara tertentu yang sepatutnya kita lepaskan,” katanya.

Pengajaran

Bekas Peguam Negara dan Senator Amerika Syarikat, Robert F. Kennedy, pernah berkata, “Hanya mereka yang berani jatuh terduduk mampu mencapai kejayaan yang besar.”

Kegagalan dan kesilapan adalah lumrah kehidupan. Ya, anda mungkin berasa sedih, malu dan ego tercalar, namun sekiranya anda hanya merenung dan terlebih memikirkan kesilapan dan kegagalan, hal ini tidak akan membawa anda ke mana-mana.

Yang penting, jangan sesekali berhenti mencuba. Cari jalan lain untuk mencapai matlamat. Jangan sekali-kali hilang keyakinan, semangat dan tujuan. Buatlah seperti Faizal.

Berkaitan: Kegagalan Mendewasakan

4. Syukur dengan nikmat yang ada   

Kunjungan Faizal ke kem pelarian Palestin di Lebanon pada tahun 2010 mengubah sudut pandangnya pada diri sebagai penghibur. Kisah ini dimuatkan dalam sebuah artikel The Star.

Dengan melihat sendiri penderitaan yang dialami oleh golongan yang kurang bernasib baik berbanding dirinya, Faizal bertekad mahu melakukan sesuatu untuk membantu mereka.

Dia menganggap, dia sepatutnya menggunakan pengaruhnya sebagai seorang selebriti untuk mewujudkan kesedaran dan meninggalkan kesan positif kepada masyarakat.

Maka dia membangunkan inisiatif amal sendiri, iaitu iamFaithmen.

Baru-baru ini, Faizal membuat kunjungan ke Bangladesh bagi misi kemanusiaan warga Rohingya.

Apabila diajukan soalan berkenaan kunjungan itu, dia berkata, “Keadaan warga Rohingya di Bangladesh sememangnya dahsyat. Pengalaman di situ nyata berbeza daripada semua pengalaman yang pernah saya lalui.

“Kunjungan sebegini sangat meninggalkan kesan. Hal ini benar-benar membuka mata dan jiwa dengan benda baharu serta membuatkan saya lebih menghargai negara sendiri.”

Pengajaran

Sangat mudah untuk kita mengeluh akan sesuatu yang kurang atau tiada dalam kehidupan.

Setiap orang mempunyai perjalanan hidup yang berbeza dan jika anda ingin ambil pusing pendapat semua orang berkenaan hidup anda, anda tidak akan pergi jauh.

Insan yang berada di puncak kejayaan seperti Tony Robbins, Ariana Huffington dan Oprah Winfrey menyenaraikan perkara yang mereka syukuri setiap hari.

Kata Huffington, “Perkara yang kita tumpukan, perkara yang kita beri perhatian benar-benar menentukan pandangan kita akan perjalanan sesuatu hari atau segenap kehidupan secara umum.”

Cubalah!

Akhir kata

Tidak semua orang beroleh peluang untuk mengecapi impian serta-merta. Hal ini memakan masa, seperti yang dapat kita lihat sendiri daripada kisah Faizal. Kita mungkin perlu bermula dari bawah dan merebut apa sahaja peluang di depan mata.

Sebagai graduan, misalnya, bukan senang untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan minat dan kelayakan serta yang menawarkan gaji yang berpatutan.

Persekitaran kerja hari ini yang sengit dengan persaingan mengehadkan seseorang daripada terlalu memilih (terutamanya jika anda baru mula bekerja).

Mulakan langkah anda di sesuatu tempat dan dapatkan pengalaman kerja yang boleh membantu anda bergerak selangkah lebih dekat dengan pekerjaan yang diimpikan atau yang ideal.

 

Jika anda seorang graduan yang sedang mencari pekerjaan, anda boleh menyertai Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), program latihan yang bertujuan membantu graduan muda yang menganggur atau tidak dibayar gaji yang setimpal. Klik sini untuk memohon! 
Untuk membaca artikel ini dalam bahasa Inggeris, klik Life Wasn’t Always Rosy For Local Singer, Faizal Tahir.

Sila Kongsi

Kepimpinan

Tag: Nilai Murni, Perwatakan

Alt
Artikel ini diterbitkan oleh penyunting-penyunting Leaderonomics.com

Cadangan Buat Kamu

Tenggelam

Cara Mengubah Budaya Toksik

Oleh COLIN D ELLIS - Anda tidak pernah melupakan budaya toksik pertama anda. Ia kekal bersama anda, malam dan siang, hari bekerja dan hujung minggu. Ia menjejaskan kerja anda, hubungan anda, kehidupan anda. Selalunya, anda tidak melakukan apa-apa untuk mencipta atau mengekalkannya, tetapi seperti orang lain, anda terpaksa menjalaninya.

Jun 25, 2023 4 Minit

Bunga

Serlahkan Nilai-nilai Murni dan Etika Kerja Anda bersama Roshan Thiran

Di episod 5, Waheeda kembali semula menemubual tetamu yang tidak asing, Roshan dari syarikat Leaderonomics. Bagaimana kita boleh memupuk nilai-nilai sebagai seorang pekerja. Beliau juga mengatakan bahawa setiap individu boleh menunjukkan nilai mereka, tidak kira sebagai pekerja biasa mahupun sebagai pemimpin, di dalam pejabat ataupun interaksi di alam maya. Marilah kita bersama-sama serlahkan nilai-nilai positif di organisasi kita.

Mar 17, 2023 10 Min Podcast

Alt

Berbaloi Mengotori Tangan Anda

Kepimpinan hanya boleh dipelajari dan dibentuk dalam proses mengotori tangan melalui pengalaman hidup. Konteks membentuk kebolehan kepimpinan. Tontonilah video ini.   Untuk membaca artikel berkaitan, klik Mengotori Tangan Anda.

Jul 17, 2017 4 Min Video

Jadilah Pembaca Leader’s Digest